Wahai pesakit yang kehilangan
nikmat kesihatan! Sesungguhnya penyakit yang kamu alami sebenarnya tidak
menghilangkan kelazatan nikmat Allah, bahkan sebaliknya. Sebenarnya ia
menjadikan kamu merasa nikmat tersebut, mengindahkannya buat kamu dan
menambahkan kelazatannya. Ini adalah kerana jika sesuatu itu berterusan di
dalam keadaan asalnya, akan menyebabkan ia kehilangan rasa dan kesannya. Ahli
Al-Haq sepakat mengatakan: Sesuatu itu dikenali melalui perkara-perkara yang
bertentangan atau berlawanan dengannnya……..
Sebagai contoh: Jika tidak kerana
kegelapan, nescaya cahaya tidak dikenali atau diketahui dan ia terus berada
dalam keadaan kita tidak merasakan kelazatannya. Jika tidak kerana kedinginan,
nescaya kehangatan tidak dikenali atau diketahui dan ia terus berada dalam
keadaan kita tidak merasai kenikmatannya. Jika tidak kerana lapar, nescaya kita
tidak dapat merasakan kelazatan ketika makan. Jika tidak kerana kepanasan perut
yang dahaga, nescaya kita tidak dapat merasakan kelazatan memuncak ketika
menghirup air yang dingin. Jika tidak kerana penyakit yang dihadapi, nescaya
nikmat kesihatan yang kita alami tidak mempunyai apa-apa kenikmatan. Jika tidak
kerana penyakit, nescaya kesihatan yang kita perolehi tidak akan mmemberi
sebarang kelazatan.
Allah Yang Maha Mencipta dan Maha
Bijaksana mahu agar manusia ini merasa dan dapat mengecap pelbagai jenis
kenikmatan dan kelazatan yang dikurniakanNya supaya manusia bersyukur
kepadaNya. Maka Dia menyediakan terlalu banyak peralatan pada diri manusia agar
dapat merasa dan mengecapinya. Oleh itu, Dia juga menurunkan pelbagai jenis
penyakit sebagaimana Dia memberikan nikmat kesihatan dan afiat.
Aku ingin bertanya kepada kamu: Jika bukan kerana rasa sakit yang menimpa
kepala, tangan atau perut kamu, adakah kamu mampu untuk merasa kelazatan yang
tersembunyi di sebalik kesihatan yang terdapat pada kepala, tangan atau perut
kamu? Adakah kamu dapat merasakan kenikmatan tersebut, seterusnya bersyukur
terhadap nikmat Allah itu? Bagaimanapun, biasanya kamu sering berada dalam
keadaan lupa. Sedangkan yang sepatutnya kamu bersyukur. Atau mungkin juga kamu
menguruskan kesihatan kamu itu dengan melampau dan alpa, lalu kamu melakukan
sesuatu tindakan yang bodoh tanpa kamu sedari.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment