Wahai pesakit yang mengadu kerana
tidak dapat menjalankan kerja-kerja kebajikan! Bersyukurlah! Aku memberikan
berita gembira kepada kamu bahawa yang boleh membuka pintu kebajikan yang
paling tulus ialah penyakit itu sendiri. Di samping penyakit boleh membawa
pahala yang besar dan berterusan kepada pesakit dan orang-orang yang
menjaganya, ia juga merupakan cara terpenting yang menyebabkan doa dimakbulkan.
Daripada Jabir, sabda rasulullah
saw yang bermaksud: Ziarah pesakit yang
paling afdhal pahalanya ialah apabila orang yang menziarahi itu segera bangun
dari sisi pesakit.
Menjaga orang sakit boleh
mendatangkan pahala yang besar kepada orang yang beriman. Begitu juga dengan melakukan ziarah dan bertanya khabar
tentang kesihatan dan keadaan mereka juga merupakan amalan sunnah yang mulia
dan boleh menghapuskan dosa dalam waktu yang sama, dengan syarat tidak
menyusahkan mereka.
Terdapat banyak hadis yang
menyuruh kita meminta orang sakit berdoa kerana doanya adalah mustajab,
khususnya apabila pesakit itu terdiri daripada keluarga terdekat kita.
Lebih-lebih lagi jika pesakit itu adalah ibu atau bapa, maka jika kita
memberikan perkhidmatan kepada mereka ketika mereka sakit, ia merupakan suatu
ibadat yang penting dan dalam masa yang sama ia adalah pahala yang besar.
Menenangkan hati orang yang sakit dan menggembirakan mereka merupakan sedekah
yang penting. Alangkah gembiranya anak-anak yang menjaga ibu dan bapa ketika
sakit dengan memasukkan kegembiraan ke dalam hati ibu bapa mereka yang sakit
itu, lalu mereka memperolehi doa ibu bapa mereka yang mustajab.
Hakikat yang berhak mendapat penghormatan
dan kedudukan yang lebih tinggi di dalam kehidupan bermasyarakat ialah kasih
sayang kedua ibu bapa dan anak yang baik membalasnya dengan memberi
penghormatan dan kasih sayang selayaknya kepada mereka ketika sakit. Situasi
ini merupakan pandangan kesetiaan yang menampilkan kebajikan yang tinggi di
sisi anak dan ketinggian sifat kemanusiaan hingga membangkitkan ketakjuban
seluruh makhluk. Sehingga para malaikat mengalu-alukannya dengan bertahlil,
bertakbir dan meninggikan suara dengan berkata: Masya-Allah……Barakallah…..
Rasulullah saw bersabda : Doa orang sakit adalah mustajab dan dosanya
terampun. (Musnad Al-Firdaus, Jam”al-Fawaid, Ibnu Majah)
Sesungguhnya perasaan kasih
sayang, belas kasihan dan rahmat yang berlegar di sekitar pesakit dapat
meleburkan kesakitan yang ditanggung oleh pesakit dan menukarnya kepada suatu
bentuk kelazatan yang manis dan menggembirakan.
Penerimaan dan mustajabnya doa
pesakit merupakan satu perkara yang patut diberikan perhatian. Semenjak empat
puluh tahun lalu, aku sering berdoa agar disembuhkan daripada sakit yang
dialami di bahagian belakangku. Kemudian barulah aku mengerti bahawa sakit yang
dialami dikurniakan kepada seseorang hanyalah agar dia berdoa.
Doa itu sendiri merupakan sejenis
ibadat, kerana seseorang pesakit bernaung di bawah lindungan Allah ketika
berada dalam keadaan lemah.
Oleh itu, walaupun telah 30 tahun
aku berdoa agar sakit di bahagian belakang itu sembuh, tetapi ianya tidak
dimakbulkan. Namun itu sedikit pun tidak
memalingkan aku atau menjadikan aku terfikir untuk meninggalkan doa meskipun
sehari. Ini adalah kerana sakit merupakan waktu dan ketika untuk berdoa. Sembuh
pula bukanlah natijah daripada doa, bahkan ia adalah pemberian Allah swt. Yang
Maha Bijaksana lagi Maha Pengasih berdasarkan kelebihan dan kemuliaanNya
semata-mata.
Jika doa tidak makbul sebagaimana
yang dipohon, tidak boleh mendorong kita untuk berkata bahawa doa itu tidak
mustajab. Allah Yang Maha Mencipta lagi Maha Bijaksana itu lebih mengetahui,
bahkan kita adalah jahil. Sesungguhnya Allah swt memberikan sesuatu yang lebih
baik dan bermanfaat kepada kita. Kadang-kadang Allah menyimpan doa-doa
keduaniaan kita itu agar kita mendapat manfaatnya di akhirat nanti.
Demikianlah bagaimana doa
dimakbulkan olehNya. Walau bagaimanapun, doa yang terbit daripada keikhlasan
dan rahsia penyakit yang datang daripada sifat kelemahan, kehinaan dan harapan,
amat hampir untuk dimakbulkan. Sakit merupakan asas dan paksi kepada doa yang
ikhlas seperti ini. Oleh itu, orang yang sakit dan mereka yang menjaganya
ketika sakit, sepatutnya mengambil faedah dan manfaat daripada doa ini.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment