Wahai pesakit yang kurang sabar!
Bersabarlah! Hiasilah dirimu dengan kesyukuran. Sakit yang kamu alami boleh
menukarkan beberapa minit umur kamu menjadi beberapa jam ibadat. Ini adalah
kerana ibadat terbahagi kepada dua bahagian : Pertama ibadat positif, iaitu yang
dilakukan dengan anggota badan yang tercerna melalui solat, zikir, doa dan
sebagainya. Kedua, ibadat negatif, iaitu yang dilakukan dengan hati.
Seseorang yang ditimpa musibah
penyakit akan tadharru’ (kembali
kepada Allah) dan meminta perlindungan kepada Allah, Tuhan yang menciptanya
serta mengharapkan pertolonganNya dan memohon bantuanNya. Ini semua bertitik
tolak daripada perasaannya yang merasakan dirinya lemah ketika berhadapan
dengan pelbagai jenis penyakit dan musibah.
Dengan tadharru’ tersebut dia akan
memperolehi suatu ibadat maknawi yang ikhlas dan bersih suci daripada sebarang
perasaan riak. Memang terdapat beberapa riwayat sahih yang mengatakan bahawa
umur seseorang mukmin yang bercampur dengan sakit adalah dianggap sebagai
ibadat tetapi dengan syarat dia tidak berkeluh kesah dan berputus asa terhadap
rahmat daripada Allah swt.
Dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Ahmad, rasulullah saw bersabda: Jika Allah menguji seseorang hamba Muslim pada tubuh badannya, Allah
swt berkata: Tulislah baginya amalan yang soleh. Jika Allah menyembuhkannya
daripada penyakit itu, dia akan menjadi bersih dan suci. Tetapi jika Allah
mematikannya dengan sebab penyakit itu, Allah akan mengampunkannya dan
merahmatinya. (Sahih Al-Jami’ Al-Saghir)
Beberapa riwayat yang sahih dan
kasyaf yang benar telah menunjukkan bahawa satu minit sahaja daripada kesakitan
yang dihadapi oleh sebahagian orang-orang yang bersyukur dan sabar adalah
dianggap menyamai satu jam ibadat yang sempurna bagi mereka. Sebagaimana satu
minit daripada kesakitan yang dihadapi oleh sebahagian daripada orang-orang
yang telah mencapai tahap kesempurnaan (alkamilin) dianggap menyamai satu hari
ibadat yang sempurna.
Wahai saudaraku! Janganlah kamu
merasa ragu dan syak bahawa satu minit daripada kesukaran yang kamu hadapi
disebabkan sesuatu penyakit boleh menjadi seribu minit dan dapat memanjangkan
umur kamu! Bahkan kamu hendaklah bersyukur.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment