Wednesday, October 23, 2013

Rawatan ke 13

Wahai pesakit yang mengadu kesakitan! Bagi sesetengah orang, sakit akan menjadi khazanah yang amat berharga dan hadiah yang amat bernilai buat mereka. Setiap pesakit boleh menggambarkan sakit yang dihadapinya. Hikmat Allah swt menentukan agar ajal tidak diketahui ketibaannya, bagi menyelamatkan manusia daripada kekecewaan dan kelalaian mutlak serta bagi mengekalkan manusia agar terus berada dalam keadaan antara takut dan harap. Juga bagi memelihara dunia dan akhiratnya daripada terhumban ke dalam gaung kerugian.

Ini bermakna ajal sentiasa dijangkakan ketibaannya setiap waktu. Jika pada waktu ajal mendatangi seseorang, sedang dia ketika itu tenggelam dalam kelalaian, maka ajal itu akan menyebabkannya mendapat kerugian yang besar dalam kehidupannya di dunia dan di akhirat yang abadi. Maka sakit yang dialami dapat menghancurkan dan memecahkan kelalaian itu.

Seterusnya, dia akan mengingatkan akhirat dan menghadirkan keadaan kematian di dalam pemikirannya, lalu dia bersiap sedia bagi menghadapinya. Bahkan mungkin sakit yang dialami akan memberikannya keuntungan yang besar. Sehinggakan dia mencapai tingkatan yang tinggi dalam masa 20 hari, apa yang tidak mungkin dicapainya dalam masa 20 tahun.

Sebagai contoh: Terdapat dua orang pemuda (semoga Allah merahmati kedua-duanya) dari kalangan murid-muridku. Pemuda pertama bernama Sabri dari kampong Ilama dan seorang lagi bernama Mustafa Wazir Zadah dari kampong Islam.

Meskipun kedua-duanya buta huruf, namun aku amat kagum terhadap kesetiaan, kebenaran dan khidmat besar mereka terhadap iman sehingga aku menganggap mereka sebagai golongan kelas pertama. Pada ketika itu aku tidak mengetahui hikmatnya, tetapi selepas kematian mereka, aku mendapat tahu mereka berdua mengalami dua jenis penyakit yang kronik, Akibat penyakit tersebut, mereka menjadi orang yang amat bertaqwa dan sentiasa berusaha untuk memberikan khidmat mulia yang memberikan manfaat kepada akhirat mereka.

Berbeza dengan para pemuda lain  yang lalai dan lupa terhadap tanggungjawab mereka. Oleh itu, aku bermohon kepada Allah agar menggantikan dua tahun kesukaran dan kesakitan yang dialami mereka semasa hidup mereka di dunia dengan jutaan tahun kebahagiaan hidup yang abadi di akhirat.

Hanya sekarang barulah aku faham bahawa doaku buat mereka agar memperolehi kesembuhan sebenarnya merupakan doa untuk sebaliknya dari sudut dunia. Namun aku berharap kepada Allah agar doaku itu dimustajabkan untuk kesenangan mereka di akhirat.

Menurut keyakinanku, kerana itulah mereka berdua memperolehi keuntungan yang menyamai hasil usaha dan ketaqwaan yang dilakukan oleh seseorang yang lain dalam tempoh paling minima sepuluh tahun. Jika mereka berdua bermegah-megah dengan kesihatan yang mereka milki sebagaimana sesetengah para pemuda hari ini dan menjunamkan diri mereka ke dalam perangkap kelalaian dan kelphaan, sehingga mereka didatangi oleh kematian yang sentiasa mengintai-intai dalam keadaan tersungkur di dalam lumpur kesalahan dan kegelapan, nescaya kubur mereka berdua sekarang terdiri daripada batu-batu yang dipenuhi kala jengking dan ular sebagai ganti daripada khazanah cahaya dan kebahagiaan.

Oleh kerana penyakit sebenarnya mengandungi manfaat yang banyak, maka sama sekali tidak patut mengeluh ketika mengalaminya, bahkan wajib berpegang dengan rahmat Allah dengan penuh tawakkal dan sabar, bahkan dengan memuji dan mengucapkan kesyukuran.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa nabi saw bersabda: Seseorang lelaki mempunyai suatu kedudukan di sisi Allah. Dia tidak mencapai kedudukan itu dengan amalan. Lalu Allah mengujinya dengan sesuatu yang tidak disukainya, sehingga akhirnya dia mencapai kedudukan tersebut. ( Hadis Hasan )

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment