Saya mengambil
kesempatan di hari Arafah yang amat bermakna dan besar pengertiannya ini, untuk
sama-sama kita sekalian mengajak, untuk sama-sama kita sekalian memerhatikan.
Betapa hari mulia yang besar ini, hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh para
jemaah haji yang melangkaui lebih daripada 8 ribu kilometer perjalanan
kapalterbang. Yang datang daripada utara dan selatan, timur dan barat, daripada
Sabah dan Sarawak , Perlis sampai ke Johor.
Semuanya tidak lain dan tidak bukan menunggu dan menanti hari yang penting dan
mulia ini. Hari yang disebutkan juga alhajul Arafah. Sesungguhnya haji itu
ialah kamu berada di Padang Arafah.
Sidang hadirin,
para duyufurahman, para tetamu Allah :
Hari ini, di
ketika ini, di saat ini dan di waktu ini, di mentari ini, di bumi dan di pasir
ini, di lembah ini, di bukit-bukit ini, di Padang Arafah ini, telah berhimpun
junjungan nabi saw bersama-sama para sahabat, mudah-mudahan kita yang datang
dari jauh dan dekat, khususnya para jemaah haji daripada Malaysia juga
mengambil keberkatan, kemuliaan kewajiban berkumpul di Padang Arafah dengan
pakaian yang serba putih, yang tidak memakai sesuatu melainkan pakaian ihram.
Yang meletakkan lambang kebersamaan kita sekalian daripada sebesar-besarnya sehinggalah
sekecil-kecilnya manusia. Tidak
ada kemuliaan, tidak ada kelebihan kepada Allah melainkan semata-mata kerana
takwa kepada Allah SWT. Inilah pakaian takwa yang kita pakaikan pada hari ini. Kita berkumpul mengambil perintah Allah
SWT.
Dan perintah Allah, serulah manusia wahai Muhammad
supaya mereka datang untuk menunaikan ibadat haji.
Kita datang pada
tempoh yang begitu panjang, meninggalkan sanak saudara, meninggal anak-anak
yang kita kasih dan sayang, meninggalkan isteri dan juga suami ataupun datang
bersama-sama pasangan masing-masing. Meninggalkan ibu dan ayah yang kita
sayangi semata-mata menyahut panggilan Allah SWT. Mungkin inilah pertemuan yang
terakhir, mungkin inilah pertemuan yang telah ditentukan oleh Allah SWT yang
tak mungkin yang kita bertemu lagi sesudah daripada ini. Semuanya penuh
dituluskan kepada Allah SWT.
Marilah kita
menepati sunnah nabi saw dalam melaksanakan ibadat haji yang telah
diperintahkan ke atas kita sebagaimana ayat yang telah khatib bacakan sebentar
tadi. Marilah kita mengikut jejak langkah yang diatur rasulullah pada saat-saat
kemuncak haji, sesudah kita bersa’ie dan juga setelah kita bertawaf di Kaabah.
Sama ada haji Tamattu’, Ifrad dan juga haji Qiran. Hari ini kita telah pun
berkumpul di bumi Arafah.
Sesungguhnya pusingan yang telah kita tawafkan Kaabah, sebagaimana yang
diajar dan ditinggalkan oleh rasulullah kepada kita sekalian adalah merupakan
pusingan yang menunjukkan lambang penyatuan umat Islam dalam masa yang sama
saling hormat menghormati, saling berkerjasama, tidak menolak, tidak memaki
hamun, tidak menggunakan bahasa pertuturan peradaban yang tidak beradab. Semuanya
kerana kita tunduk dan patuh kepada Allah.
Bersa’ie di antara Safa dan Marwah dengan laungan…inaa sofa…..alsakirun alim. Pusingan tujuh kali di antara Safa dan
Marwah, kembali di antara Marwah ke Sofa dan sebagainya, melengkapkan tujuh
pusingan. Sebagaimana juga yang digambarkan pada kisah yang ditinggalkan oleh
pengurbanan mereka yang mengasaskan Kaabah, nabi Allah Ibrahim dan anaknya
Ismail as dan juga isteri yang tercinta Hajar.
Di tatkala
ditinggalkan di lembah kontang Mekah, seorang isteri yang begitu setia dan
tabah, seorang isteri yang begitu patuh dan taat kepada suaminya menjunjung
perintah Allah berlari-lari anak mencari secebis, sedikit, setitis air minuman
untuk anak yang dalam keadaan kedahagaan.
Berpusing
sebanyak 7 kali yang pada kita barangkali dalam suasana sekarang Safa dan
Marwah yang sudah beraircond, yang
sudah berhawa dingin, dalam suasana yang batu-batu krikilnya sudah dihilangkan,
namun masih terasa betapa kepenatan. Namun Hajar, di tengah kepanasan terik
mentari padang
pasir mencari setitis air untuk anaknya Ismail as dan berkat kemuliaan anak dan
ayah yang begitu hebat, isteri yang begitu hebat. Allah kurniakan zam-zam yang
diminum oleh seluruh umat, yang dibawa pulang oleh seluruh umat. Namun tidak
pernah kering dan tidak pernah kontang daripada pengisian telaganya.
Inilah mukjizat,
inilah kemuliaan yang harus dibanggakan oleh umat Islam, yang harus menjadi
pengajaran daripada ruh kisah pengurbanan nabi Allah Ibrahim, nabi Allah Ismail
dan ibunya Hajar.
Wallahu a’lam.
Datuk Seri Jamil Khir Baharom
15 Oktober 2013
Arafah
No comments:
Post a Comment