Hikmat 7
Warisan hikmat ini ada kaitan
dengan kepercayaan dan dipercayai. Ia seakan sama dengan, bagaimana hendak menjual sabun, sedangkan baju sendiri kotor.
Bagaimana anda hendak menasihati orang lain sedangkan diri sendiri sebenarnya
memerlukan nasihat orang lain? Bagaimana hendak bercakap fasal kejayaan jika
diri sendiri belum berjaya? Bagaimana hendak bercakap fasal produk kesihatan
yang boleh menyembuhkan berbagai jenis penyakit sedangkan diri sendiri tidak
sihat dan kelihatan lesu?
Memang amat biasa kita lihat di
sekeliling kita bagaimana ramainya manusia yang enggan mengubati diri sendiri
sebelum menyembuhkan orang lain. Mereka bercakap fasal kewangan, fasal jutawan,
mahu membentuk kejayaan dan kekayaan orang lain sedangkan diri sendiri tak
kenal, tak pasti berapa digit sebenarnya angka jutawan, apakah pra syarat dan
syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi jutawan. Biasa anda lihat begitu?
Memang terlalu biasa.
Biasakah anda mendengar istilah,
menjual diri sendiri?. Ia membawa maksud – diri sendiri mestilah dijadikan
teladan sebelum cuba
menjual atau membicarakan tentang hal yang berkaitan. Contohnya baju anda
mestilah bersih, barulah anda boleh menjual sabun. Ia sangat bertepatan dengan
warisan hikmat ini.
Bagaimanapun tidak ada halangan
untuk anda berbuat kebaikan. Maksudnya biarlah ia selaras dengan ilmu anda. Tak
perlu memandai dan menunjuk pandai. Kalau bukan doktor bedah, perlukah
menyampaikan ilmu pembedahan? Kepandaian anda A hingga C, memandailah anda
menyampaikan kebaikan dari A hingga C. Dalam masa yang sama juga, teruskan
untuk mempertingkatkan diri sendiri. Itulah maksud selaras – anda bercakap
mengenai kejayaan, dalam masa yang sama sentiasa meningkatkan diri menuju
kejayaan.
Wallahu a’lam.
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006
No comments:
Post a Comment