Wahai pesakit yang tidak
bersyukur dan tenggelam dalam rungutan! Rungutan sepatutnya lahir daripada
sesuatu hak manfaat yang hilang daripada kamu. Sedangkan tiada hak kamu yang dipersia-siakan
yang menyebabkan kamu patut merungut. Bahkan kamulah yang sepatutnya menunaikan
banyak hak, malah belum menunaikan hak bersyukur pada Allah. Kamu belum
menunaikan hak Allah ke atas kamu. Lebih dari itu, kamu juga merungut terhadap
sesuatu yang batil, seolah-olah kamu benar dalam tindakan itu. Kamu tidak
berhak untuk merungut dengan melihat kepada orang yang lebih sihat daripada
kamu, tetapi sepatutnya kamu melihat kepada orang yang lebih lemah dan lebih
teruk sakit yang dialaminya daripada kamu.
Kamu sebenarnya ditugaskan untuk
bersyukur sebanyak-banyaknya. Jika tangan kamu patah, lihatlah kepada tangan
yang terpaksa dipotong. Jika kamu hanya memiliki sebelah mata sahaja, lihatlah
kepada mereka yang kehilangan kedua-dua belah mata, agar kamu bersyukur kepada
Allah swt.
Dari sudut kenikmatan, tiada
seorang pun yang berhak untuk melihat kepada orang yang lebih baik kedudukannya
agar api rungutan menyala marak di dalam dirinya. Tetapi ketika ditimpa musibah
seseorang mesti melihat dari sudut musibah itu kepada orang yang lebih teruk
menghadapi musibah dan sakit agar dia bersyukur selepas itu, dalam keadaan
berpada dengan apa yang ada pada dirinya. Rahsia ini telah dijelaskan dalam
sebahagian risalah yang lain.
Contohnya seperti berikut:
Seorang lelaki memimpin tangan seorang miskin menaiki sebuah menara hingga ke
puncaknya. Lelaki itu memberikan hadiah kepada si miskin pada setiap tingkat
menara. Akhirnya ketika sampai di puncak menara, lelaki itu memberikan hadiah
yang paling besar dan berharga kepada si miskin itu. Sepatutnya si miskin itu
mengucapkan terima kasih terhadap pelbagai jenis hadiah yang diberikan
kepadanya. Tetapi dia lupa terhadap segala hadiah yang diterimanya pada setiap
tingkat menara.
Atau dia menganggapnya tidak
bernilai lalu dia tidak berterima kasih kerana dia melihat kepada orang yang
lebih tinggi darjatnya daripada dirinya. Seterusnya dia berkata dan merungut:
Kalaulah menara ini lebih tinggi, nescaya aku boleh mencapai darjat yang lebih
tinggi! Kenapa ketinggianmenara ini tidak sama dengan bukit di sana atau menara di
sebelah?
Jika lelaki miskin itu merungut
sedemikian rupa, maka alangkah besarnya kekufuran nikmat yang telah
dilakukannya dan alangkah besarnya sifat melampaui hak yang dibuatnya.
Demikian juga halnya dengan
keadaan manusia yang datang ke dunia ini daripada ketiadaan, dengan menjadi manusia Muslim yang banyak memperolehi
segala macam jenis nikmat kesihatan dan afiat serta dapat mengecap darjat
kenikmatan yang tinggi. Dia tidak menjadi batu, pokok dan binatang.
Meskipun demikian, dia tetap
menampilkan rungutannya ketika sakit kerana tidak memperolehi kesihatan dan
keafiatan hasil daripada sesetengah penyakit yang dialaminya, atau kerana dia
sendiri yang mensia-siakan nikmat lantaran kesalahannya sendiri, atau kesilapannya
ketika menggunakan nikmat itu. Atau dia tidak mampu mencapai nikmat tersebut,
kemudian dia berkata: Apakah yang telah aku buat, sehingga terjadi kepadaku apa
yang berlaku?
Dia berkata demikian dalam
keadaan mencela rububiyyah dan uluhiyyah Allah swt. Keadaan ini
menggambarkan kesakitan maknawi dan musibah yang lebih besar daripada penyakit
dan musibah yang dialaminya. Dia sebenarnya menambahkan sakitnya dengan
rungutan itu. Seperti seseorang memasuki pertandingan gusti sedangkan tangannya
telah sedia tercedera. Tetapi orang yang berakal akan sentiasa mengingati
firman Allah swt: (Iaitu) orang-orang
yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami
kembali….. (Al-Baqarah:156)
Lalu dia menyerahkan segalanya
kepada Allah dalam keadaan sabar sehingga penyakit itu berakhir dan menjalankan
tugas seterusnya.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment