Hikmat 10
Melihat tempat anda jatuh mungkin
boleh menyebabkan anda mengingatinya selalu dan terbawa-bawa kepada kekecewaan
dan kesedihan. Sepatutnya, setelah dipelajari, kejatuhan dan tempat jatuh itu
dilupakan sama sekali supaya anda tidak teringat-ingat, membawa kegagalan dan
kejatuhan lalu ke hari ini. Kegagalan lalu yang dibawa ke hari ini akan memberi
kesan kepada perjalanan hari ini. Apa saja yang dilakukan hari ini akan membawa
kesan kepada masa depan. Ia berkait-kait – kejatuhan lalu membawa impak kepada
keadaan dan usaha anda hari ini dan akan datang, jika anda berterusan
mengingati kejatuhan dan tempat jatuh.
Orang yang bijak akan mempelajari
kejatuhan itu untuk panduan di masa depan dan melupakan sama sekali agar tidak
menganggu usaha hari ini dan impaknya pada masa akan datang. Apa dan di mana
yang hendak dipelajari? Pelajari punca atau penyebab kegagalan. Kalau terjatuh,
lihat di mana tergelincir kerana di situlah punca terjatuh. Dari tempat anda
tergelincir anda boleh mempelajari sebab musabab dan punca anda terjatuh. Orang
yang bijak akan mengkaji punca dan sebab kejatuhan, kegagalan, jadi di masa
akan datang tidak akan melakukan kesilapan yang sampai berkali-kali.
Apa yang terjadi hari ini adalah
sebaliknya. Lebih ramai yang mengenang kejatuhan dan kegagalan lalu tetapi
enggan mengkaji dan mempelajari punca kejatuhan dan kegagalan itu. Maka, mereka
yang lebih suka mengenang kegagalan berbanding mengkaji punca kegagalan, akan
terus tenggelam dalam kejatuhan dan kegagalan.
Wallahu a’lam.
Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006
No comments:
Post a Comment