Semua kanak-kanak yang meninggal
dunia merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah Yang Maha Mencipta dan Maha
Mengasihani. Kanak-kanak itu juga adalah hambaNya. Bahkan seluruh jasad dan
rohaninya merupakan salah satu daripada kejadian ciptaan Allah. Dia juga adalah
sahabat atau kawan yang dipinjamkan kepada kedua ibu bapa untuk dipelihara dan
dijaga dengan baik oleh mereka. Allah telah menjadikan kedua ibu bapa sebagai
khadam yang setia kepadanya. Allah juga mengurniakan kepada kedua ibu bapa
perasaan kasih sayang, belas kasihan dan kelazatan sebagai ganjaran segera
terhadap segala perkhidmatan yang mereka lakukan terhadap anak mereka.
Namun setelah tiba masanya, Allah
Yang Maha Mencipta dan Maha Mengasihani, yang menjadi pemilik hakiki kepada
anak tersebut telah mengambilnya daripada kamu berdasarkan rahmat dan hikmatNya
yang tersendiri, dengan menamatkan khidmat kamu terhadap anak itu. Dia adalah
Tuhan yang memiliki Sembilan ratus sembilan puluh sembilan daripada seribu bahagian anak itu jika
dibandingkan dengan satu bahagian sahaja yang dimiliki oleh kamu. Itu pun jika
kamu dapat mengatakan ia adalah bahagian yang selayaknya bagi kedua ibu bapa.
Oleh itu, adalah tidak layak bagi
ahli iman untuk berdukacita, berkeluh kesah dan berputus asa ketika kehilangan
anak, kerana perbuatan tersebut akan menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Tuhan yang memilikinya dengan pemilikan yang mutlak. Perbuatan tersebut hanya
layak bagi ahli kealphaan dan kesesatan.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009
No comments:
Post a Comment