Friday, November 1, 2013

Nasihat ke 2 kehilangan anak


Pada suatu ketika, seorang lelaki telah dimasukkan ke dalam penjara. Anaknya yang disayangi juga turut dimasukkan bersamanya ke dalam penjara. Lelaki itu merasa amat sukar kerana kelemahan dan keterbatasannya bagi menyediakan keselesaan yang sepatutnya kepada anaknya itu, di samping masalah serta kesakit-kesakitan peribadi yang dihadapinya.

Pada suatu hari, raja menghantar seorang utusan kepada lelaki tersebut untuk memberitahu bagi pihak raja. Utusan itu pun berkata: Meskipun anak itu adalah anak kamu, namun dia tetap salah seorang daripada rakyatku. Aku akan mengambilnya daripada kamu untuk dididik di bawah naungan istana yang indah dan besar.

Lelaki itu mula menangis, berdukacita dan berkeluh kesah. Dia berkata: Tidak! Aku tidak akan memberikan anakku dan tidak akan menyerahkannya. Dia adalah penghibur bagiku!

Kawan-kawannya di dalam penjara membantah. Mereka berkata: Wahai saudara! Janganlah kamu terlalu mengambil kira tentang dukacita dan kesakitan kamu. Jika kamu berdukacita bagi anak kamu, itu tidak memberikan apa-apa pengertian kerana dia akan tinggal di dalam istana yang luas dan dipenuhi dengan pelbagai kemewahan. Dia akan meninggalkan penjara yang tercemar, sempit dan bau busuk ini.

Jika kamu berdukacita bagi diri kamu sendiri, kerana kamu mahu mendapatkan manfaat peribadi sahaja, maka anak kamu akan mengalami pelbagai kesulitan di samping kesempitan dan kesakitan yang hebat, jika dia terus tinggal bersama kamu di sini, demi untuk memenuhi manfaat sementara yang tidak dapat dipastikan bagi diri kamu.

Tetapi jika anak kamu tinggal di istana, itu akan menjadi salah satu daripada ribuan cara yang akan mendatangkan manfaat dan faedah kepada diri kamu, kerana dia akan menjadi sebab yang menurunkan rahmat raja terhadap kamu.

Anak kamu itu akan menjadi umpama pemberi syafaat. Sudah pasti suatu hari nanti, raja akan menberikan peluang kepada kamu untuk menemui anak kamu agar kamu merasa gembira. Raja tidak akan mahu kamu bersedia untuk menerima kunjungan anakmu di penjara, dan raja tidak akan menghantar anakmu ke penjara untuk menemui kamu. Bahkan raja akan mengutus seseorang untuk menjemput kamu ke istana bagi menemui anakmu. Itupun jika kamu memberikan ketaatan dan kepercayaan kepadaNya.

Berdasarkan perumpamaan ini, wahai saudaraku yang mulia, kamu dan orang-orang yang beriman, seumpama kamu hendaklah berfikir ketika mengalami kematian anak.

Kamu hendaklah memahami bahawa anak itu tidak bersalah. Sesungguhnya Allah Maha Mengasihi dan Maha Mulia. Sebagai ganti daripada perasaan kasih dan pendidikan yang tidak sempurna, dia sebenarnya telah didakap oleh naugan rahmat Allah yang luas. Rahmat Allah juga telah mengeluarkannya daripada penjara kesulitan dan kesakitan dunia dan menghantarnya menuju kepada naungan syurga firdaus yang luas terbentang. Kegembiraan yang besar telah diperolehi oleh anak itu.

Tiada siapa yang tahu apakah yang akan dilakukan oleh anak tersebut jika dia terus hidup di dunia. Oleh itu, kamu tidak usah merasa dukacita terhadap kematiannya. Bahkan yakinlah bahawa dia adalah amat berbahagia dan bernasib baik. Tinggal lagi, kau memikirkan tentang kenikmatan peribadi bagi dirimu. Jika anak itu terus hidup di atas dunia ini, terdapat jaminan bagimu untuk memberikan kasih sayang terhadap anak-anak dan bergurau senda dengan mereka dalam tempoh yang sementara, selama lebih kurang sepuluh tahun.

Dalam tempoh tersebut, sudah pasti ia diselubungi dengan pelbagai kesakitan, meskipun anak itu menjadi seorang soleh lagi berbakti. Dia mungkin mempunyai kemampuan dalam urusan dunia yang membolehkannya memantu dan berkerjasama dengan kamu. Tetapi dengan kematiannya, dia menjamin agar kamu dapat merasakan nikmat kasih sayang terhadap anak-anak dalam tempoh ratusan tahun di dalam syurga yang abadi. Dia juga akan menjadi pemberi syafaat untuk kamu memasuki kebahagiaan abadi.

Oleh itu, tidak harus merasa sangat sakit kerana kehilangannya walaupun terpaksa mengenepikan kemaslahatan diri sendiri. Kerana sesiapa yang kehilangan manfaat segera yang belum lagi dapat dipisahkan hasilnya, dalam masa yang sama dia akan mendapt seribu keuntungan pada masa akan datang, yang sudah pasti akan dicapainya. Tidak sepatutnya memperlihatkan dukacita yang menimpa kepada orang lain dan tidak wajar sama sekali untuk mengeluh dan menyesal!

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment