Wednesday, August 13, 2014

Setiap kesilapan dapat diatasi, jika mahu! (3)

Lalu penulis teringat dialog santai dengan beberapa orang kawan semasa minum petang di kafeteria baru-baru ini. Seorang kenalan penulis yang duduk di meja lain mampir ke tempat kami lalu selamba bertanya: “Apa bezanya warga Singapura dengan warga Jepun?” Kawan penulis yang pernah bertugas di Jepun dan Singapura untuk beberapa tahun semasa masih berkhidmat dalam Kementerian Luar (kini sudah bersara malah sudah dapat pencen tua) berkata: “Orang Singapura dan orang Jepun sama-sama tertib dan berdisiplin di negaranya tetapi…”

“Apa tetapinya?” celah kawan yang lain. “Tapi maaf cakap warga Singapura, jika berada di luar negara belum tentu menjadi orang yang tertib. Kalau sudah berada di luar negaranya, mungkin dia menjadi orang yang tidak tertib.” Penulis menyoal,”Jadi kenapa dia berdisiplin dan tertib di negaranya?”

Jawab kawan penulis, “Kerana hukum atau peraturan yang diterapkan oleh negaranya sangat kuat.” Kawan yang di meja lain itu minta izin untuk duduk sama di meja kami. Kami mempersilakan. Kawan penulis yang berpengalaman hidup di Singapura dan Jepun itu lalu berkata, “Berbeza dengan orang Jepun. Di mana pun mereka berada maka kebiasaan itu selalu melekat dalam diri mereka. Malah, pernah aku nampak, ada orang Jepun yang selalu membawa asbak (tempat abu rokok) ketika main golf, kerana ia mempunyai kebiasaan merokok.”

Jadi yang penulis ingin lontarkan di sini adalah membentuk kebiasaan. Jika sudah terbentuk kebiasaan, maka di manapun kita berada, apapun suasananya, kita akan selalu melakukan hal-hal yang positif. Ambil contoh bangsa Jepun tadi. Tapi ya, di dalam hidup kita ini ada dua bentuk keyakinan. Iaitu keyakinan yang menguatkan, dan keyakinan yang tidak menguatkan. Ketika takut gagal, lantas merasa kurang percaya diri, kurang yakin diri. Lalu ragu-ragu dalam mengambil keputusan. Meletakkan diri dalam ruangan yang terbatas.

Wallahu a’lam.

Haji Mohd. Salleh Abdul Latif
Cetusan Minda Bilangan 108
Pelita Brunei  
27 May 2014 

No comments:

Post a Comment