Wednesday, July 24, 2013

Abu al-Darda’ Ra



Abu Darda’ iaitu Uwaimir Abu Darda’. Beliau masyhur dengan kuniyahnya dan juga masyhur dengan namanya. Namun, ulama berselisih mengenai namanya, ada yang mengatakan Amir, manakala Uwaimir adalah laqab kepada dirinya.

Amr bin al-Ghalas berkata: Ulama telah berselisih mengenai dengan nama ayahnya. Ada yang mengatakan Amir atau Tha’labah atau Abdillah atau Zaid dan ayahnya Ibn Qais bin Umaiyah bin Amir bin Adi bin Ka’ab bin al-Khazraj al-Ansari al-Khazraji.

Abu Syahr berkata daripada Said bin Abdul Aziz : Beliau memeluk Islam pada peperangan Badar dan menyertai peperangan Uhud. Ibn Hibban mengatakan bahawa Muawiyah menyuruh Abu Darda’ menjadi qadi di Kota Damsyiq pada zaman pemerintahan Umar.

Beliau meriwayatkan daripada nabi saw, Zaid bin Thabit, Aisyah, Abi Umamah dan Fudhalah bin Ubaid. Yang meriwayatkan daripadanya pula ialah anaknya, Bilal dan isterinya, Ummu al-Darda’, Abu Idris al-Khaulani, Suwaid bin Ghaflah, Jubair bin Nufair, Zaid bin Wahab, Alqamah bin Qais dan lain-lain lagi.

Abu Syarhr mengatakan beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Uthman ra. Ibn Abd al-Bar berkata: Beliau meninggal selepas peperangan Sifin. Yang rajah di sisi ahli hadis, beliau meninggal pada zaman pemerintahan Uthman ra.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Abi Umamah al-Bahili RA



Nama sebenarnya ialah Suday, al-Bahili nisbah kepada Bahilah. Di dalam al-Qamus, Bahilah merupakan kaum. Nama ayahnya ialah Ajlan. Imam Ibn Abd al-Bar berkata : Ulama tidak khilaf berkenaan namanya dan nama ayahnya. Beliau menetap di Mesir kemudian berpindah dan menetap di Hims.Meninggal di sana pada tahun 81 Hijrah, ada pendapat menyatakan pada tahun 86 Hijrah. Beliau merupakan sahabat yang terakhir yang meninggal dunia di Kota Syam. Salah seorang daripada yang banyak meriwayatkan hadis.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Gurindam jika takut



Jika takut masuk neraka
Jangan buat yang Allah murka

Jika takut mati disiksa
Hidup jangan membuat dosa

Jika takut membuat dosa
Nafsu jangan dibiar berleluasa

Jika takut nafsu berleluasa
Iman dan tauhid kekalkan sentiasa

Jika takut tidak berkat
Banyakkan bersedekah zakat

Jika takut berbuat jahat
Dengan syaitan jangan subahat
 
Jika takut dimurkai Tuhan
Jangan abaikan segala suruhan

Jika takut hilang iman
Al-Quran sentiasa jadikan teman

Ehsan Jamily
Taman Desa Baru, Melaka
BH 21 Julai

Munajat 1



Aku duduk di depanMu
hanya aku
tidak ada yang lain
pohon-pohon tak bergoyang
angin tidak bertiupan
hanya nafas diri kedengaran
dan degup jantung
yang Kau anugerahkan

Hanya Kau
Yang Berkuasa
Yang Dapat Melaksanakan Kuasa
Hanya Kau

Ini aku
yang telah Kau hantar ke sini
kini berdepan denganMu
dengan kehendakaMu
dan takdir yang Kau susun
dan Kautulis terang dan nyata
seperti matahari
di lohmahfuz

Tidak ada sedih, keluh dan dukacita
berdepan denganMu
 sebagaimana yang Kauperintahkan

Perbetulkan arahku
kiblatku
jika aku tersilap
sebagaimana yang Kau izinkan
kemudian ampunkan aku
ampunkan aku
dari segala kesilapanku
kealpaanku

Ampunkan jua
kedua orang tuaku

Anugerahkan kemuliaan
yang setinggi-tingginya
kepada Muhammad
yang membawa dan menyebarkan risalahMu
memberi rahmat kepada
seluruh makhluk

Sutung Umar RS
Kuala Lumpur
BH, 21 Julai 2013

Monday, July 22, 2013

Abi Umamah



Abi Umamah iaitu Abu Umamah bin Tha'labah al-Ansari al-Harith kebanyakan ulama mengatakan namanya ialah Iyyas dan dikatakan juga Abdullah. Inilah yang dikatakan oleh Ahmad bin Hanbal. Ada pendapat yang mengatakan namanya Tha’labah bin Suhail dan banyak lagi nama-nama yang lain.

Beliau meriwayatkan daripada nabi saw beberapa hadis, antaranya dalam Sahih Muslim dan Ashab al-Sunan. Yang meriwayatkan daripadanya pula ialah anaknya Abdullah bin Atiyyah. Abu Ahmad al-Hakim berkata : Beliau keluar bersama nabi saw, lantas nabi saw menyuruhnya kembali, apabila sampai didapatinya ibunya meninggal, lantas beliau menyembahyangkan jenazah ke atasnya.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Abi Musa al-Asyaari



Amir bin Abdullah bin Qais Abu Burdah bin Abi Musa al-Asy’ari dikatakan namanya Amir, ada pendapat mengatakan Harith. Seorang yang thiqah meninggal pada tahun 104 Hijrah ketika usianya 80 tahun

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Doa enam dalam satu



Daripada Abdullah bin Mas’ud, telah berdoa rasulullah saw:

Ya Allah, kami bermohon kepadaMu mendapatkan pelbagai punca rahmatMu, meraih sumber keampunanMu, agar terhindar daripada segala dosa, agar berjaya merebut segala kebaikan, berjaya meraih syurga dan terselamat daripada azab neraka, dengan inayah dan pertolonganMu.

(Riwayat al-Hakim)

Mudahnya merah darjat di Syurga
Ahmad Asri Lubis

Tuesday, July 16, 2013

Abi Amrah Sufyan bin Abdillah RA



Sufyan bin Abdillah bin Abi Rabi’ah bin al-Harith bin Malik bin Hatit bin Jusyam al-Thaqafi al-Taifi. Telah memeluk Islam bersama rombongannya dan meriwayatkan hadis istiqamah ini. Hadisnya terdapat dalam Shahih Muslim, al-Nasaie dan al-Tirmizi.

Saidina Umar melantiknya untuk menguruskan zakat di Taif. Dan dalam riwayat secara mursal oleh Ibn Abi Syaibah bahawa nabi saw melantiknya menjadi gabenor di Taif. Antara yang meriwayatkan daripadanya ialah anaknya Asim, Abdullah, Alqamah, Amru, Abu al-Hakam dan lain-lain lagi. Abu al-Hasan al-Madini berkata : Sufyan bin Abdullah telah menyertai peperangan Hunain dan saudaranya Uthman telah terbunuh dalam peperangan tersebut.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Abdullah bin Umar R.Anhuma



Abu Abdul Rahman Abdullah Ibn Umar Ibn al-Khattab al-Adawi RA. Dilahirkan di kota Mekah selepas rasulullah saw diutuskan seketika. Telah memeluk Islam ketika masih kecil dan menyertai hijrah bersama ayah dan ibunya yang bernama Zainab binti Maz’un. Masih dianggap kecil dalam peperangan Uhud ketika usianya 14 tahun dan diizinkan menyertai peperangan
Khandak ketika usianya melebihi 14  tahun. Seterusnya menghadiri semua peperangan bersama rasulullah saw. Beliau banyak mengambil daripada persahabatannya dengan rasulullah saw ilmu, di samping mulazamah di masjid dan menghafaz al-Quran al-Karim.

Beliau adalah seorang ahli feqah di kalangan sahabat yang banyak meriwayatkan hadis daripada rasulullah saw iaitu 1630 hadis. Beliau terkenal sebagai sahabat yang amat kuat mengikut athar rasulullah saw. Sehingga rasulullah saw bersabda kepadanya: Sesungguhnya Abdullah lelaki yang soleh. Meninggal dunia pada tahun 73 Hijrah di kota Mekah pada usia 84 tahun.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Ketidakhadiran



Usaha mencapai semangat kerja yang tinggi bukan merupakan satu isu moral. Usaha ini merupakan isu kewangan dan kewajaran.

Lapan langkah membasmi ketidakhadiran yang berlebihan :

L1 : Menjadi contoh
Pekerja tidak akan melakukan apa yang anda katakan, mereka akan melakukan apa yang anda lakukan. Jika anda menganggap ketidakhadiran anda dan mereka penting, maka mereka juga akan menganggap sedemikian.

L2 : Menghargai
Orang akan berada di mana mereka dikehendaki sahaja. Menghargai pekerja akan meningkatkan nilai mereka.

L3 : Menyemaikan
Hubungan anda dengan pekerja akan menentukan samada pekerja ingin menghadirkan diri untuk kerja atau tidak.

L4 : Merangsangkan
Kebosanan bukan punca segala masalah ketidakhadiran, tetapi kebosanan mewujudkan perasaan tidak puas hati.

L5: Megintergrasikan
Pekerja yang menganggap dirinya sebagai pemain pasukan jarang ponteng latihan

L6 : Memulakan
Orang suka berada di mana tindakan dapat dilaksanakan. Rekod ketidakhadiran yang lebih baik ialah interaksi di antara tindakan dengan reaksi terhadapnya.

L7: Mempertimbangkan
Masalah ketidakhadiran yang paling baik ialah masalah yang telah diatasi melalui perancangan pragmatik.

L8 : Mendelegasikan
Tiada siapa pun yang mahu menjalankan tugas tambahan atau tugas pekerja lain. Jika anda mengamalkan langkah ini, anda bukan sahaja akan menjadi sebahagian daripada ahli majoriti yang bersemangat dan anda juga akan menjadi minoriti elit di antara pengurusan elit.

Kesimpulannya; masalah ketidakhadiran ialah masalah semangat, organisasi, keselamatan dan masalah yang rumit.

Untuk masalah semangat, ikutilah 8 langkah untuk mencapai semangat yang sihat. Amalkan tingkahlaku yang diingini supaya menjadi tauladan kepada pekerja. Tunjukkan penghargaan anda kepada pekerja. Lakukan tindakan yang baik secara adil, konsisten dan bertimbangrasa. Intergrasikan diri anda dan jangan mengasingkan diri. Beri rangsangan kepada orang bawah. Bekerja secara berpasukan. Beri perhatian kepada keperluan dan perasaan pekerja. Galakan penyertaan pekerja secara ringkas. Langkah meningkatkan semangat pekerja ialah salah satu tugas tambahan jabatan anda. Sesungguhnya masalah ketidakhadiran juga ialah masalah anda!.

Wallahu a’lam.

Menyelesaikan masalah ketidakhadiran
Lynn Tylczak,
Pelangi Sdn. Bhd. 1990

Kata-kata



Dari sepatah kata
menjadi kata-kata
menjadi cerita berjela
kata upaya ubah segala
angin harmoni bertukar
taufan sengketa
dari taufan sengketa
jadi angin bahagia.

Bagi ahli politik kata-kata
umpama senjata
bagi guru kata-kata
upaya ubah Negara
bagi hakim kata-kata
penamat segala
bagi Teja kata Tuah
bawa diri ke Melaka
bagi pecinta mabuk
dalam lautan kata
kata di kedai kopi biasanya sia-sia

Kata sasterawan Negara
kata-kata
memendam racun dan bisa
dari telaga yang keruh
tak akan mengalir air yang jernih
buat penutur kata itu
segera pohon ampun daripadaNya

Kata harus dilihat pangkalnya
kata yang baik menguntum pahala
kata yang buruk palit celaka
pilihlah kata kerana
kita penuturnya
kita saja upaya kelarainya

Kamarulzaman Ismail
Primula, Kuala Terengganu
Berita Harian
7 Julai 2013

Selawat 116



Allaahumma shalli wa sallim wa baarik ‘alaa Muhammadin-nuuridz dzaati wassarris-saarii fii-asmaa-i wash-shifaat

Ya Allah, limpahkanlah selawat, salam dan berkat kepada Muhammad, cahaya zat, rahsia yang berjalan di dalam hari, di dalam seluruh asma dan sifat.

Monday, July 15, 2013

Abdullah bin Salam RA



Abdullah bin Salam bin al-Harith Abu Yusuf. Beliau daripada Yahudi Bani Qainuqa’. Dikatakan namanya al-Husin kemudian nabi saw menukarnya, inilah yang dijazamkan oleh al-Tabari.

Antara yang meriwayatkan hadis daripadanya ialah anaknya Muhammad dan Yusuf dan dikalangan sahabat pula ialah Abu Hurairah, Abdullah bin Ma’qal, Hunais, Abdullah bin Hanzalah, Qarsyah bin al-Harr, Qais bin Ubbad dan lain-lain.

Beliau memeluk Islam pada permulaan Hijrah nabi saw ke Madinah. Ada pendapat mengatakan beliau memeluk Islam pada tahun 8 Hijrah sebagaimana yang disebut oleh Ibn al-Burki. Antara riwayatnya yang masyur ialah tatkala nabi saw sampai di Madinah aku bersama orang yang memerhatikannya dan ternyata mukanya bukan muka pembohong, kemedian aku mendengar Baginda bersabda: Sebarkan salam, beri makan kepada orang dan solat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu masuk syurga dengan sejahtera. Selain Abdullah bin Salam diriwayatkan di Madinah terdapat seramai 29 orang pendita Yahudi yang telah beriman kepada nabi saw. Beliau meninggal dunia di Kota Madinah pada tahun 43 Hijrah.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Abdullah bin Mas’ud RA



Abdullah bin Mas’ud bin Ghafil bin Habib bin al-Huzali, Abu Abdul Rahman. Ibunya ialah Ummu Abdillah daripada qabilah Huzali juga. Beliau termasuk di kalangan yang mula-mula masuk Islam. Diriwayatkan bahawa beliau orang yang keenam memeluk Islam. Antara manaqibnya ialah : Beliau merupakan orang yang pertama menyaringkan bacaan al-Quran di Mekah di hadapan orang-orang kafir. Berhijrah ke Kota Habsyah kemudian ke Kota Madinah, menyertai bersama rasulullah saw di dalam peperangan Badar, Bai’ah al-Ridhuan dan semua peperangan.

Beliau kemudiannya menyertai peperangan Yarmouk selepas kewafatan rasulullah saw. Beliau dimuliakan dan dikasihi oleh rasulullah saw. Pernah berkhidmat sebagai khadam rasulullah saw dengan penuh amanah. Beliau memegang banyak rahsia rasulullah saw di samping menjadi teman rasulullah saw dalam musafir. Beliau diizinkan masuk bertemu rasulullah saw sepanjang masa dan membawa siwak, sepatu dan air untuk rasulullah saw. Beliau termasuk di kalangan ulama serta sahabat yang besar dan menghafaz al-Quran.
Rasulullah pernah berkata padanya : Sesungguhnya kamu seorang budak yang layak menjadi guru dan Umar ra berkata : Bekas yang dipenuhi dengan ilmu. Meriwayatkan sebanyak 848 hadis. Umar ra melantiknya menjadi gabenor di Kufah dan juga penguasa Baitulmal. Beliau kembali ke Kota Madinah pada zaman pemerintahan Uthman ra. Meninggal pada tahun 32 Hijrah atau selepasnya dalam usia 60 tahun di Kota Madinah.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dokumentasi



Dokumentasi bagi sesebuah organisasi ibarat geran bagi sebidang tanah. Tanpa geran, tanah tersebut :
 
a) Tidak dapat dikesan statusnya
b) Tidak dapat dibuktikan hak milik
c) Tidak dapat diperakukan sama ada cukai yang dikenakan sudah dijelaskan atau sebaliknya
d) Tidak dapat diturunkan kepada waris

Wallahu a’lam.

Arshad b Ab Rashid (IAB)
Azhar b Aziz ( Universiti Dundee, Scotland)
Dr Lokman b Mohd Tahir (UTM)

Kuketuk pintu Ramadan, malam ini



Kulirik langit lewat jendela
ada titik-titik genit mengernyit
sinarnya menggamit pesona
terbawa rasa dalam tahmid semesta

Seekor kelip-kelip hinggap
berkelit di kaca tingkap
seolah-olah menyingkap sesuatu
dari dalam diri yang kelabu
merunduk tatap dalam tasbih kalbu.


Terang sinar kejora terukir indah
ingin kuterbang jauh menjelajah
menembus batas awan
ke langit tertinggi
hingga dapat kumelihat bumi hati
yang berselirat dengan
kerancuan duniawi.

Dari birai jendela kamar ini
dengan wajah sepenuh duka
dengan tubuh berjubah noda
dengan tangan berlumur dosa
kuketuk lagi…..sekali lagi
pintu Ramadan, malam ini.

Berharap ada cahaya ar-Rayyan
menyelinap dari kisi-kisi istighfar
menelusi kegelapan jiwa hamba
yang telah sekian waktu terkurung
di balik gelas kehidupan yang retak.

Rosnani Hiplee
Julai 2013
Taman Matang Jaya, Kucing
BH 14 Julai 2013

Selawat 115



 

Allaahumma shalli ‘alaa Muhammadin-nabiyyil-ummiyyi wa ‘alaa aalihi wa shahbihi wa sallim. ;Adada maa ‘alimta. Wa zinata maa ‘alimta. Wa mil-a maa ‘alimta.

Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam atas Muhammad, nabi yang ummiy, juga kepada keluarga dan para sahabatnya, sebanyak jumlah apa yang Engkau ketahui, keindahan apa Yang Engkau Ketahui dan sepenuh apa Yang Engkau Ketahui.

Friday, July 12, 2013

Abdullah bin Amru R.Anhuma



Abdullah bin Amru bin al-As bin Wail bin Hasyim bin Said bin Saham bin Amru bin Hasis bin Ka’ab bin Luay al-Qurasyi al-Sahmi, Abu Muhammad. Pendapat lain mengatakan : Abu Abdul Rahman. Beliau dinamakan dengan al-As sebagaimana nama datuknya, kemudian nabi saw mengubahnya dengan nama Abdullah.

Beliau merupakan salah seorang sahabat terawal memeluk Islam, dan yang banyak meriwayatkan hadis. Beliau meriwayatkannya daripada rasulullah saw, Umar, Abu Darda’, Muaz, Ibn Auf dan ayahnya sendiri Amr. Abu Nu’aim berkata : Telah meriwayatkan daripadanya di kalangan sahabat ialah Ibn Umar, Abu Umamah, al-Miswar, al-Said bin Yazid, Abu Tufail dan ramai di kalangan tabiin. al-Hafiz Ibn Hajar dala kitabnya al-Isabah berkata: Mereka yang meriwayatkan daripadanya ialah Said bin al-Musaiyib, Urwah, Tawus, Amru bin al-As, Abu al-Abbas al-Syair, Ata’ bin Yasar, Ikrimah, Yusuf bin Malik, Abu Zur’ah dan ramai lagi.

Beliau memeluk Islam lebih dahulu daripada bapanya dan perbezaan umur antara dia dan bapanya hanya 12 tahun sebagaimana yang dikeluarkan al-Bukhari. Beliau meninggal dunia di Kota Syam pada tahun 65 Hijrah dalam usia 72 tahun. Kata al-Barqi : Dikatakan beliau meninggal dunia di Kota Mekah ada pendapat mengatakan di kota Taif dan ada yang mengatakan di Mesir.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Abdullah bin Abbas R.Anhuma



Abdullah bin Abbas Ibn Abdul Muttalib al-Hashimi, Abu al-Abbas. Sepupu rasulullah saw, dilahirkan tiga tahun sebelum hijrah di Kota Mekah. Berkat doa rasulullah saw kepadanya, supaya beliau menjadi fakih dalam agama.

Beliau dikenali sebagai lautan ilmu atau pendita ummah. Umar Ibn al-Khattab memasukkannya ke dalam majlis walaupun usianya masih kecil dan meminta bantuan dengan ilmunya yang luas dan akalnya yang besar. Beliau meninggal pada tahun 71H di bandar Taif dan dikebumikan di sana.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Pemikiran Tuk Kenali ( 6 )



Tuk Kenali ingin menukar kata sembahyang kepada sembahAllah

Menurut beliau, sembahyang suatu kata majmuk (percantuman) daripada sembah dan yang. Sembah ialah tunduk, hormat, patuh, mengabdikan diri kepada sesuatu yang dianggap boleh memberi kebaikan atau menolak kemudaratan. Manakala yang pula mempunyai dua pengertian; Pertama, ia bermaksud Tuhan dalam nama dewa Dewata Yang Mulia Raya. Kedua; berfingsi sebagai kata sambung (sendi).

Memandang pengertian itu, dan selari dengan kata-kata abbadallaah menyembah Allah) sesuai dengan firman Allah : Dan sembahlah kamu kepada Allah dan janganlah kamu menyengutuiNya menerusi penyembahan itu dengan sesuatu pun (yang lain) (An-Nisaa : 36)

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

Di pelabuhan ini aku menantimu, Ramadan



Dari jauh kapal itu datang
padat dengan muatan
emas seribu erti
bulan Ramadan muncul
di permukaan
seperti biasa ingin menguji
cintaku pada Ilahi
adakah gunung yang terpacak tegak
tak kan runtuh dek
gempa yang kuat
atau hanya sekadar ranting yag rapuh
sedikit diusik angin sudah
patah dan jatuh?

Di pelabuhan ini aku
menantimu, Ramadan
kerana kau selalu tak lupa
membawa hadiah istimewa
pahala berganda; doa
yang sangat makbul
malam seribu bulan, rahmat
dan keampunan Tuhan
yang sangat kudambakan

Lalu, hari-harimu akan kuisi
agar tak kosong dan sunyi
dengan tasbih, selawat,
tilawah dan tahajud
mewangi dinihari
biar jarak denganNya menjadi
begitu dekat dan akrab
nafsu bergelora di jiwa melesap
hatiku menjadi tenang
mengharum mawar

Tuhan, selepas Ramadan berlepas nanti
biarlah aku suci laksana
bayi yang baru lahir
bahagia dalam peluk redaMu.

Mohd Adid Ab Rahman
SMK Selandar, Melaka
BH, 7 Julai 2013

Selawat 114



 

Ya Allah, limpahkanlah selawat atas cahaya di antara segala cahaya, rahsia di antara segala rahsia, penawar duka dan pembuka pintu kemudahan, Sayyidina Muhammad, manusia pilihan,  juga kepada keluarganya yang suci dan sahabatnya yang baik, sebanyak jumlah kenikmatan Allah dan kurniaNya.

Friday, July 5, 2013

Dua perintah Rasul



Permata 101

Daripada Anas bin Malik ra, rasulullah saw bersabda: Hendaklah kamu berakhlak baik, dan banyak diam. Demi jiwaku di tanganNya tiadalah makhluk mendapat keindahan seumpamanya. (Riwayat Abu Ya’la, al-Bazzar, al-Tabrani dan al-Baihaqi)

Mutiara Hikmah :

a) Imam Muslim : Setiap orang Islam yang berakal sewajarnya menjaga lidahnya dan tidak menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah. Lebih baik diam daripada berkata-kata yang dapat menimbulkan sengketa. Sesungguhnya di dalam diam itu terdapat hikmah.

b) Diam itu bukanlah cara bagi membuktikan kesalahan. Ini kerana diam adalah sebahagian daripada disiplin rohani dalam menunjang kebenaran.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Galakan dan cara berqiamullail



Permata 100

Daripada Bilal bin Rabah ra berkata, rasulullah saw bersabda: Hendaklah kamu melaksanakan qiamullail kerana ia merupakan perjalanan orang soleh sebelummu dan sesungguhnya qiamullail mendekatkan kepada Allah, menegah daripada dosa, menghapuskan kesalahan dan menjauhkan penyakit. (Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Mutiara Hikmah :

a) Imam al-Ghazali : Solat Tahajud adalah solat para nabi dan rasul. Bangunlah pada waktu yang akhir dan gunakan waktumu untuk meminta hajatmu nescaya akan segera ditunaikan Allah.
 
b) Hasan al-Basri ra : Aku tidak dapati satu ibadat yang lebih berat daripada solat di pertengahan malam. Lalu beliau ditanya : Apakah yang menyebabkan wajah orang yang bertahajjud menjadi lebih bercahaya dan berseri daripada manusia lain? Beliau menjawab : Ini kerana mereka telah bersendirian dengan Allah yang bersifat pemurah, lalu Dia memberikan cahayaNya kepada mereka.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Pemikiran Tuk Kenali ( 5 )



Sikap Tuk Kenai terhadap Tariqah

Di zamannya telah dibawa masuk tariqah-tariqah sufi, antaranya tariqah Naqsyabandiyyah, Syadziliyyah, Ahmadiyyah dan lain-lain di mana ada sebahagian ulama dan para cendekiawan mengamalkannya.

Tuk Kenali berpandangan bahahawa ajaran dan amalan Ahmadiyyah, ciptaan Sidi Ahmad B Idris  bertentenangan dengan pokok-pokok ajaran Islam yang sebenar. Ia mampu merosakkan umat Islam itu sendiri dan membantutkan prestasi negara yang sedang membangun. Sidi Azhari akhirnya meninggalkan Kelantan ke Terengganu, kemudiannya ke Mekah.

Menurut Hj Hasbullah Buk, Ketereh (lahir 1901), Tuk Kenali adalah seorang ulama yang memegang Al-Quran dan Al-Hadis, apa perlunya lagi beliau menganut tariqah seperti itu. Pendapat ini sejajar dengan pendapat Prof. Asy-Syaikh Abu Bakr Al-Jazaa’iri, seorang tokoh di Masjid An-Nabawi dan Universiti Islam Madinah. Demikianlah juga dengan pendapat dan pengkajian Al-Ustaz Yusuf Ab Rahman Al-Barqaawi dan Ab Rauf Al-Abuusi.

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

Selawat 113



 
Allaahahumma shalli ‘alaa nabiyyinaa Muhammadin kullamaa dzaakiruuna wa ghafala ‘an dzikrikal-ghaafiluun.

Ya Allah, limpahkanlah selawat atas nabi kami Muhammad selama orang-orang yang ingat menyebutMu dan orang-orang yang lalai melupakan dari menyebutMu.

Thursday, July 4, 2013

Golongan yang cerdik



Permata 99

Daripada Syaddad b Aus ra berkata, rasulullah saw bersabda: Orang yang paling cerdik ialah yang sentiasa muhasabah dan beramal untuk selepas mati, sedangkan orang yang lemah sentiasa mengikut hawa nafsu dan berangan-angan terhadap Allah . (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad dan al-Hakim)

Mutiara Hikmah :

a) Imam al-Shafie : Bertafakurlah sebelum tidur untuk menghisab diri di atas segala kesalahan dan kesilapan semasa aktiviti di siang hari sebagaimana Umar bin al-Khattab ra menyiasati dirinya  dengan pelbagai soalan tentang dosa-dosanya di siang hari.

b) Imam Muslim : Sebelum mata kita terpejam, bertafakurlah seketika agar kita dapat menghitung dosa dan kesalahan kita pada hari ini. Kenang kembali setiap gerak geri kita agar yang kesalahan tidak berulang kembali.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri