Tuesday, December 31, 2013

Jangan Bersedih

Pada hakikatnya kehidupan tidak pernah luput daripada kesengsaraan, duka dan ujian. Jika ingin terus berjalan mengharungi hidup ini, maka anda mesti menaiki perahu harapan dan keredaan. Ini kerana karakter dunia dan manusia yang hidup di dalamnya mustahil dapat terlepas daripada musibah dan kesengsaraan. Ia sunnatullah terhadap kehidupan dunia dan manusia secara umum.

Para ahli hikmah telah mengingatkan tentang pahit dan getirnya dunia agar jangan bersedih kerana:

* Kesabaran merupakan kunci kelapangan
* Waktu malam yang paling gelap ialah sebelum datangnya fajar yang terang.
* Bersama kesukaran ada kemudahan, bersama kesempitan ada kelonggaran.
* Dalam setiap ujian dan cabaran terdapat penghapusan dosa-dosa dan kesalahan, peningkatan darjat serta peringatan terhadap kelalaian diri.
* Allah SWT tidak memilihkan untukmu kecuali yang terbaik.
* Allah SWT sangat mencintaimu, lebih dari cinta seorang ibu kepada anak yang disusuinya.
* Kegembiraan orang zalim tidaklah abadi dan Allah SWT akan menolongmu di dunia dan akhirat

* Kesedihan tidak akan mengembalikan sesuatu yang telah hilang, tidak akan menyembuhkan orang yang sakit dan tidak akan menghidupkan orang yang sudah mati.
*  Berbaik sangkalah terhadap Allah SWT
* Surga merindukanmu
* Sakit pasti akan hilang, musibah akan berlalu, dosa-dosa akan diampunkan, hutang akan dibayar, ikatan akan terurai, sesuatu yang hilang akan kembali, orang yang melakukan maksiat akan bertaubat dan orang yang fakir akan menjadi kaya.

* Bukankah kamu sentiasa melihat mendung hitam dapat sirna, malam yang pekat akan berlalu secara perlahan, angin yang menderu-deru akan kembali tenang dan badai pasti berlalu. Jadi keeluruhan kesempitan itu akan menjadi longgar, hidup anda akan damai, dan masa depan anda akan cerah.
* Panas matahari boleh hilang ketika kamu berada di bawah tempat yang teduh, dahaga orang yang bermusafir akan lenyap dengan air yang segar, rasa lapar yang menusuk akan hilang dengan sepotong roti, kepenatan akibat terjaga pada malam hari akan hilang dengan tidur yang nyenyak dan kepedihan kerana sakit akan sirna dengan nikmat kesihatan. Kewajipanmu hanyalah bersabar dan menunggu sesaat.

Wallahu alam. 

Syeikh Mahmud Al-Misri
The Power of Smile

Semangat

Esei 39

Charles Buxton berkata, pengalaman menunjukkan kejayaan adalah disebabkan lebih oleh semangat dari kebolehan. Yang boleh menang adalah yang dapat memberikan sepenuh hati, jiwa dan semangat kepada kerja. Yang kaya dan terkenal menekankan bahawa semangat dan kejayaan selalu berganding sama, kerana kudrat manusia dapat melakukannya dengan tidak disangka. Emerson mengiktiraf, setiap kehebatan dan pergerakan di dunia adalah kejayaan yang dimiliki dengan semangat. Tiada yang terhebat telah dapat dicapai tanpabya. Thomas Watson, pencipta syarikat komputer IBM yang terbesar menasihatkan kita semua : Pencapaian terhebat manusia adalah terhasil daripada ide dan semangat.

Perkataan (enthusiasm) semangat dan keinginan adalah berasal dari perkataan Greek En Theos, yang bermaksud Dengan Tuhan, inspirasi dari Tuhan, dan dengan tenaga Tuhan. Biasanya semangat apabila bergabung dengan kualiti manusia yang lain-lain, adalah cukup untuk membantu setiap orang berubah dari kegagalan kepada kejayaan. Ia juga membantu untuk mengurangkan perasaan malu, tidak ketahuan atau kekecewaan.

Semangat adalah dengan sendirinya satu kejayaan. Malah, kesejahteraan kita adalah satu kaedah untuk terus maju, bukan satu destinasi. Kita akan menjadi lebih gembira apabila teruja dan mempunyai sifat ingin tahu. Kecantikan pun terdapat dalam keghairahan semangat. Orang yang periang dan bersemangat tidak suka membesarkan perkara remeh. Dengan itu keseronokan dan kegembiraan benar-bear boleh menyembuh atau bertindak memberi imuniti.

Kita boleh mewujudkan semangat diri dengsn cara mudah hanya dengan bergaul dengan orang lain yang bersemangat, membaca bahan-bahan bermotivasi dan memikirkan perkara-perkara yang menyemarakkan semangat. Kemudian tetapkan matlamat yang diingini, dan rasai nikmat kebahagiaannya yang boleh dikecapi setiap saat di sepanjang usaha tersebut. Hidup ini amat menyeronokkan!.

Wallahu alam.

Stephen W.K.Tan
100 Esei Inspirasi & Motivasi Untuk Pelajar

Usaha membaiki diri 8

a) Untuk melakukan kebaikan sukar. Untuk menyembunyikan kebaikan yang telah dilakukan jauh lebih sukar. Tetapi untuk melupakan kebaikan yang pernah kita lakukan adalah sesuatu yang paling sukar.

b) Lama kelamaan orang yang baik akan kelihatan cantik bukan kerana wajahnya berubah, tetapi bebaikannya yang telah mengubah hati orang yang memandangnya. Apabila hati baik, wajah akan kelihatan cantik!.

c) Kita buat baik bukan kerana kita sudah menjadi orang yang baik tetapi itulah usaha kita untuk menjadi orang yang baik!.

c) Apabila kita meninggalkan maksiat pada siang hari, sebenarnya itu adalah sumber kekuatan kita untuk melakukan ibadah pada malam hari.

d) Apabila manusia sering mengecewakan kita untuk sama-sama melalui jalan Allah, itu isyarat untuk kita lebih serius memperbaiki diri dan hati dengan Allah. Insya-Allah, manusia itu pasti kembali semula bersama kita melalui jalanNya. Ataupun kita dikurniakan hati yang tidak memerlukannya lagi bersama kita kerana siapa yang bersama kita di jalan Allah adalah pilihan mutlakNya jua, bukan pilihan kita.

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Sabah

Di bawah Bayu jolokan nama
Buminya indah sudah ternama
Rakyat harmoni hidup bersama
Biar berbeza bangsa agama.

Gunung yang tinggi mencapai awan
Menjadi tempat kajian ilmuan
Riadah berat bersama kawan
Berkat yakin puncak ditawan.

Pulau Sipadan tempat kunjungan
Airnya jernih tiada tandingan
Ikan berenang diusik jangan
Penyu yang jinak makan di tangan.

Pulau Labuan membangun cepat
Jumlah pengunjung semakin berlipat
Bebas cukai taraf didapat
Hidup selesa rakyat setempat.

Pekan Kundasang daerah nyaman
Kaya dengan hasil tanaman
Tempatnya indah jadi idaman
Di pinggir gunung bagaikan taman.

Pasar tamu di pagi minggu
Setiap orang tertunggu-tunggu
Barang dijual tiada ragu
Aman harmoni tidak terganggu.

Mutiara indah jadi tumpuan
Jadi kegilaan kaum perempuan
Beraneka warna berkilau-kilauan
Hati tertarik tidak keruan.

Pasar Filipina pusat dagangan
Tempat terjual segala barangan
Barang keperluan da buah tangan
Harganya murah tiada tandingan.

Ke rimba Poring meniti jambatan
Di atas pokok di tengah hutan
Merentas daunan rimba Kalimantan
Kenangan indah jadi catatan.

Kota Belud tempat beradu
Buah terap manis bermadu
Warganya mesra kasih berpadu
Sekali datag selamanya rindu.

Bandar Tawau di hujung negeri
Di pinggir laut indah berseri
Pusat makanan jelapang negeri
Tanahnya awal disinari mantari.

Bumi menghijau Sabah nan segar
Hutan lestari tunggu dipugar
Hasil alam jangar dicagar
Sabah membangun budaya membugar.

Ghazali Lateh
Negara Tercinta, 2013

Munajat Ya Al-Karim

Yang Maha Mulia

Wahai Allah
Yang Maha Mulia Maha Dermawan
percikkanlah ke dalam hati dan fikiranku
semangat bagi menolong hamba-hambaMu
yang memerlukanku.

Jangan biarkan aku dikuasai
perasaan takut miskin dan sengsara
bangkitkanlah dalam jiwaku
semangat supaya aku dapat memberikan
apa yang ada pada diriku kepada orang lain.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Monday, December 30, 2013

Ikrar integriti Malaysia

Kami rakyat Malaysia yang merdeka dan berwawasan dengan tulus dan suci hati, berikrar, memantap dan memperkukuhkan, maruah dan intergriti kami, keluarga dan masyarakat, agama, bangsa dan negara kami.

Ke arah itu kami berikrar :

* Mematuhi sepenuhnya perlembagaan persekutuan dan undang-undang;
* Mematuhi dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara;
* Mempertingkatkan integriti dengan mengamalkan nilai-nilai murni dan beretika;
* Bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak untuk mencegah sebarang perlakuan jenayah, salah laku dan perbuatan tidak berintegriti;
* Menyokong dan bekerjasama bagi mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menggugat integriti masyarakat dan negara; dan
* Membudayakan integriti sebagai amalan hidup harian secara individu dan berpasukan.

Ringkasan Pelan Integriti Nasional
Institut Integriti Malaysia

Malu makan seorang diri

Suatu hari Hasan bin Ali cucu rasulullah saw melihat seorang hamba berkulit hitam di sebuah kebun. Hamba itu sedang menjamu selera dengan bekalan roti yang dibawanya. Sepotong dia makan, sepotong lagi diberikan kepada seekor anjing yang berada di hadapannya.

Hasan bertanya kepadanya : Mengapa engkau memberikan bekalanmu kepada anjing itu? Dia menjawab : Aku malu untuk makan tanpa memberinya. Hasan berkata : Jangan pergi ke mana-mana hingga aku kembali.

Hassan pergi menemui tuan pemilik hamba itu. Beliau membeli hamba itu berserta kebunnya sekali. Kemudiannya beliau memerdekakan hamba itu dan menghadiahkan kebun itu kepadanya. (Diceritakan oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah )

Pengajaran :

Sayang kepada haiwan ialah salah satu akhlak terpuji. Islam menggalakkan ihsan kepada haiwan meskipun terhadap seekor anjing. Imam al-Bukhari ada merakamkan hadis yang menceritakan seorang wanita pelacur diampunkan dosanya oleh Allah SWT dek perbuatannya memberi minum kepada sekor anjing.

Jika berbuat ihsan kepada seekor anjing pun dikira ibadah, apalagi ihsan kepada haiwan-haiwan yang lain. Lebih besar lagi, ihsan kita kepada manusia terutamanya kepada kaum keluarga dan jiran tetangga.

Wallahu a’lam.

Al-Ustaz
Volume 01 Isu no 08, 2012

Usaha membaiki diri 7

a) Pujuklah hati apabila sesuatu yang berbeza dengan kehendak kita berlaku dalam hidup ini. Setiap yang Allah takdirkan pasti ada hikmah dan kebaikannya. Mungkin kita inginkan kesenangan tetapi Allah anugerahkan kesabaran. Kita inginkan keindahan tetapi Allah kurniakan kebenaran. Bukankah kesabaran dan kebenaran itu lebih berharga daripada keindahan dan kesenangan?
 
b) Baikilah diri jika kita benar-benar ingin menperbaiki orang lain!

c) Orang yang sudah berada dalam kebaikan pun masih perlu bergerak terus mencari kebaikan. Kerana, jika dia berpuas hati sekadar berada di situ, dia akan musnah. Ibarat berada di tengah landasan walaupun sudah berada di jalan yang betul tetapi jika dia hanya tetap di situ, maka dia akan digilis dari belakang.

d) Hidup akan lebih tenang dan ceria sekiranya kita lebih memikirkan dan berusaha untuk mengubah diri berbanding mengubah orang lain!

e) Petanda diri belum baik apabila hati dan lidah sering berasa dan berkata; aku lebih baik daripada kamu!

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Sarawak

Bumi Kenyalang itulah nama
Negeri Sarawak semakin ternama
Tanahnya subur sejak selama
Rakyat harmoni hidup bersama.

Bandar Kuching semakin ceria
Rakyatnya mewah hidup bergaya
Siapa yang rajin maju nescaya
Yang penting tekun yakin percaya.
 
Gua Niah gua terbesar
Di atas bukit kawah di dasar
Aliran sungai tenang berpusar
Anugerah alam yang Maha Besar.

Gunung Mulu rabung negeri
Dari udara nampak berdiri
Indahnya alam tidak terperi
Ingin melihat datang sendiri.

Jangan lupa Kampung Budaya
Di bumi Santubong seninya kaya
Berkumpul datang ramai berkarya
Menaikkan nama negeri berjaya.

Sungai Rejang sungai ternama
Dimudik orang sejak lama
Jadi hubungan jalan utama
Khazanah alam warisan bersama.

Bujang senang bukan sembarangan
Buaya besar tiada tandingan
Berjemur megah tepi tebingan
Bahaya jangan diambil ringan.

Sagu yang enak makanan ruji
Dimasak berlauk adunan kanji
Makan bersama meneguh kanji
Mengerat hubungan kukuh terpuji.

Terubuk masin adunan juadah
Hasil Sarawak enak di lidah
Di mana-mana terkenal sudah
Dijual merata sampai ke Kedah.

Tanahnya luas hijau lestari
Kaum pelbagai adat berdiri
Bersatu hati mandat diberi
Dipimpin adil junjungan negeri.

Banyak bahagian juga daerah
Sarawak maju terus terarah
Berkat pengalaman kaya sejarah
Menyatu warga semuanya pasrah.

Bumi Kenyalang negeri berkembang
Dari Sarikei sampai ke Limbang
Perpaduan kaum menjadi lambang
Rohani jasmani erat seimbang.

Ghazali Lateh
Negara Tercinta, 2013

Munajat Ya Al-Raqib

Yang Maha Mengawasi

Wahai Allah Tuhan Yang Maha Pengawas
penglihatanMu tidak terbatas ruang dan waktu
Kau melihat yang nyata dan yang tersembunyi
Kau manjakan hambaMu yang derhaka
kerana Kau menginginkan dia menjadi baik
dan setia padaMu.

Kau uji hambaMu yang salih
dengan kepedihan
kerana Kau menginginkan puji-pujian,
munajat dan keluhan
keluar dari mulutnya
kerana kau juga tahu
bagi hambaMu yang soleh
penderitaan adalah sarana
bagi menggapai cintaMu dan redaMu.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Sunday, December 29, 2013

Penyakit ilmu

Imam Jalaludin al-Mahalli seorang tokoh ulama mazhab Syafi’i. Beliaulah salah seorang penulis kitab tafsir Jalalain yang terkenal. Meskipun beliau seorang ulama besar, namun beliau sangat suka berkhidmat kepada janda-janda tua dan fakir miskin di negerinya. Beliau kerap menunda kelasnya hanya kerana untuk membeli barang-barang dapur untuk mereka di pasar.

Orang mempersoalkan tindakannya itu. Beliau menjawab : Saya telah menghabiskan sebahagian besar umur saya untuk ilmu. Padahal penyakit ilmu sangat banyak. Jarang sekali ada orang yang terselamat daripadanya. Saya berharap Allah mengampuni dosa-dosa saya dengan rutin yang saya lakukan ini. (Diceritakan oleh al-Sya’rani dalam kitab al-Uhud al-Muhammadiah)
 
Pengajaran :

Ilmu memang sesuatu yang sangat bermanfaat bagi manusia. Namun begitu, ilmu boleh memberikan mudarat apabila tidak diiringi dengan kebersihan hati pemiliknya. Antara penyakit yang sangat berbahaya ialah ujub (merasa diri pandai), riyak (suka menonjolkan keilmuannya), sombong, suka berdebat, meremehkan orang lain dan sebagainya.

Sepatutnya golongan ilmuwan hendaklah sentiasa menginsafi diri dan berusaha untuk menjauhkan dari daripada semua penyakit ilmu. Hal ini kerana di akhirat nanti, ilmu itu sama ada menjadi hujah yang membelanya atau hujah yang mendakwanya.

Wallahu a’lam.

Al-Ustaz
Volume 01 Isu no 08, 2012

Melakar akhirat Membaca Dunia : dari kenaikan harga barang

Solusi keluar dari bebanan hidup

Saya pun simpati dengan keadaan di mana kenaikan harga tetapi kita mesti faham konsep dunia tidak ada barang, tidak ada situasi di mana harga akan turun. Memang harga akan naik. Minta maaf kadang ada orang kata saya terlampau optimistik dan tidak memahami apa yang berlaku dek orang yang kurang mampu.

Tetapi pada saya macam ini, bukan apa yang berlaku itu penting tetapi respon kita terhadap apa yang berlaku. Kalau kita guna formula ini, peristiwa yang berlaku campur dengan respon kita menghasilkan hasil kehidupan kita. Kalau peristiwa itu negatif, respon kita negatif hasilnya mesti negatif. Jadi kita guna formula peristiwa negatif, harga barang naik respon kita mesti sangat positif maka hasil positif.

Macamana respon positif? Senang sahaja. Jangan kata kita tidak mampu beli barang itu. Kita tanya soalan, bagaimana untuk saya lakukan. Cuba tengok orang yang kurang rezeki. Cuba nilai diri. Berapa jam masa yang digunakan untuk benda yang produktif. Contohnya jika sebelum ini kita tengok tv satu hari lima jam. Apa kita dapat tengok tv,  drama yang negatif, cerita hantu dan sebagainya. Tidak mendatangkan manafaat. Bagi wanita yang ada bakat, kalau dia pandai buat sesuatu pergi tengok sana boleh buat  Tingkatkan pendapatan dengan benda yang berkat. Online atau buat sambal tumis, kalau orang laki-laki dengan kerja lebih dan sebagainya.

Dan juga dengan mengatur cara kita berbelanja. Keutamaan. Bagi orang yang merokok, merokok itu membakar wang. Jadi kenapa harus merokok juga. Dan juga bagi orang yang berbelanja, cuba audit balik perbelanjaan kita. Bila ke Supermarket, kita beli air gas. Ia satu minuman yang merosakkan badan. Kita beli makanan bergula, ais krim benda yang tidak membina nutrisi kita buang. Maknanya kita atur balik perbelanjaan. Jika tidak boleh meningkatkan gaji, kita kurangkan perbelanjaan yang tidak penting. Banyakkan minum air yang bersih, makanan yang sihat dan jika kita ada rumah kita tanam sendiri.

Ada dua jenis manusia, satu merungut, mengeluh, dia sibuk hidup dari luar ke dalam. Macam-macam alasannya; saya tidak mampu, harga barang naik. Dia sibok mencari faktor di luar daripada faktor dirinya sendiri. Kalau kita tak cukup duit, kita kata kenapa kita tak cukup duit? Kenapa saya dapat kerja yang tak bagus?

Sebab manusia ini apabila diberi duit berdasarkan nilai yang diberi kepada dunia. Kita pekerja, nilai kita beri gaji RM1,000 tetapi kerja macam RM800, tapi kita kita dibayar RM1000 tak berkat duit itu. Tapi kalau gaji RM1,000 kerja macam RM2,000, Allah  akan beri keberkatan RM2,000 itu kepada kita. Ini undang-undang sunnatullah yang perlu kita semua perlu fahami. Apa-apa kita buat, buat yang terbaik sebab Allah paling sayang orang yang paling bermanfaat.

Tekanan ini, sebenarnya bila kita yakin pada rezeki di tangan manusia. Ingat, kita manusia sebenarnya sibok dengan benda yang Allah sudah janji. Apa dia, ulat dalam batu pun ada rezeki. Kita sibok  mengejar benda Allah sudah janji hingga kita lalai pada tanggungjawab kita untuk ubudiyyah atau menyembah Allah. Berapa orang daripada kita solat lima waktu yang cukup, wanita menutup aurat, taat pada suami, jaga pergaulan, jaga akidah, jaga ibadah, jaga akhlak. Kalau kita tak buat apa yang Allah suruh, tak jaga Allah macam mana Allah nak jaga kita. Jadi jangan kalau Allah dah tetapkan rezeki, jangan sibok dengan benda Allah sudah jamin hingga terlupa dengan tanggungjawab kita. Banyak orang yang cuai dengan tanggongjawab, rezekinya tidak berkat. Maka sebab itulah duit tak cukup, kereta rosak, anak sakit.

Siapa yang menentukan anak sakit dan rezeki tidak cukup, kereta rosak?. Semuanya Allah SWT. Sebab itu jaga Allah, Allah jaga urusan kita. Jaga akhirat kita Allah jaga urusan akhirat kita  Kita kejar akhirat, dunia kejar kita. Itu konsep nak hilangkan tekanan. Sebab ingat orang yang tertekan , hanya orang yang ego. Dia rasa semua di tangan manusia. Dan masaalah masyarakat sekarang ialah mereka lebih yakin kepada diri mereka atau manusia lain lebih yakin daripada kuasa Allah.

Bagi orang yang tertekan, saya nak ajar begini. Bangun pagi-pagi, Subhanallah. Langit! Tiada duit pun boleh tengok langit. Boleh bernafas! Kenapa nak susah hati, tiada duit.? Satu lagi orang kurang tenang, ialah orang yang kurang syukur. Nak tahu kita kurang syukur, sebab kurang takwa. Orang takwa tak ada sifat ehsan merasa orang melihatnya. Kenapa tidak ada sifat ehsan. Sebab tidak beriman kepada Rukun Iman seterusnya Rukun Islam. 

Kalau kita tak bersyukur, kita akan mengeluh, merungut. Kalau kita sentiasa bersyukur aura positif magnet kepada benda yang positif. Orang yang mengeluh, auranya mengeluh sentiasa akan ada inproduktif. Lihat orang yang berjaya. Mulut mereka baik atau tak baik? Selalu menghargai, menyebut kebaikan orang, hati bersih, penuh kasih sayang, murah hati!. Orang negatif, orang yang susah; dengki, menyampah, sakit hati, dendam, tamak, takut selain daripada Allah. Ini perkara-perkara lain yang menyebabkan orang tertekan.

Orang nak lempar kita barang sepuloh kilo. Kita bersedia sebelumnya. Orang yang bijak menyelesai masalah. Orang yang genius, dia mencegah masalah sebelum masalah berlaku dengan membuat pesediaan awal. Maknanya sebelum anak dilahir, sudah disediakan tabungan kewangan, fokus pada perbelanjaan yang betul. Sebelum kahwin, dia dah buat perjanjian, misalnya tentang merokok. Bila dah kahwin disuruh berhenti, duit merokok dimasukkan dalam tabung rokok, masuk, masuk. Bila duit dah banyak, macam-macam boleh buat!. Itu cara yang baik.

Satu emosi yang kita tidak boleh ada ialah marah, menyalahkan orang, dendam, sakit hati, fikir negatif, rasa negatif, tindakan negatif akhirnya nasihat saya bersyukur, kasih sayang, murah hati, tolong orang, betulkan diri sebelum betulkan orang. Sebab orang yang berjaya membuat pilihan , orang yang tidak berjaya mencari alasan. Katakan selamat tinggal kepada alasan, insyallah semuanya terjamin. Hilangkan marah, betulkan diri dan doakan kepada orang  yang kita rasa buat silap, jangan kutuk mereka. Jangan ada sedikit pun dalam hati kita benci, tak suka pada orang sebab tidak sempurna iman seseorang jika tidak mengasihi saudaranya.

Oleh itu dengan cara mengubah cara kita melihat kehidupan dengan mencelik hati-hati kita, insya-Allah pada 2014 ini kita hadapi tahun baru dengan azam baru. Bukan azam saja tapi perancangan  baru, cara berfikir pola pemikiran yang berbeza, pola pemakaian berbeza, pola akidah berbeza yang lebih bagus, pola ibadah yang lengkap dan kelembutan akhlak. Insya-Allah jika kita menjaga akidah,ibadah dan akhlak kita akan bahagia dunia dan akhirat

Wallahu alam.

Prof Dr Muhaya Mohamad

Ya Allah Ya Tuhan kami, anugerahkan kami sifat qanaah dan berlapang dada dalam meniti hari-hari mendatang. Lindungi kami dalam rahmat dan kasih sayangMu. Dengannya hati-hati kami mendapat petunjuk, berkumpul segala yang bercerai berai dan terhimpun segala yang terpisah, terpelihara dari segala yang merugikan agama, dunia dan akhirat kami. Aameen.

Usaha membaiki diri 6

a) Ujian adalah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah memperkenalkan diriNya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan diriNya Yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya Yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya Yang Maha Penyabar.

b) Membuat keputusan yang salah lebih baik daripada tidak membuat keputusan langsung. Tidak membuat keputusan petanda takut untuk bertanggungjawab!

c) Diri yang menerima hidup berdasarkan apa adanya lebih tenang daripada diri yang ingin hidup serba ada.

d) Ingatlah wahai diri, melakukan taat lebih mudah berbanding melakukan maksiat.

e) Perjalanan menuju kematian telah bermula sebaik kita dilahirkan. Ingat mati adalah penawar untuk kesedihan hati apabila ditimpa ujian. Penghilang rasa nikmat untuk melakukan maksiat. Dan pendorong untuk istiqamah dalam melakukan ketaatan.

Ya Allah, bantulah kami untuk sentiasa mengingati kematian. Aameen.

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Terengganu

Negeri Terengganu tanahnya indah
Pantai yang cantik terkenal sudah
Islam hadhari mejadi wadah
Bergerak maju berlandas akidah.

Kuala Terengganu semakin bangkit
Pasar Payang dan Batu Rakit
Nikmat melimpah bukan sedikit
Masa yang sukar jangan diungkit.

Batu Buruk pantai tumpuan
Bersantai beriadah lelaki perempuan
Mereka yang rajin mendapat habuan
Berjaja niaga pelanggan ribuan.

Petroleum mentah memberi rahmat
Pemangkin rezeki banyaknya amat
Mentadbir sumber penuh berhemat
Dunia akhirat pasti selamat.

Tasik Kenyir tasik buatan
Tempat wasita di tengah hutan
Indahnya alam jadi pautan
Di dalam hati kekal ingatan

Masjid terapung di pekan Marang
Lambang kehebatan bukan sebarang
Disinari cahaya terang benderang
Iman di dada tiada berkurang

Keropok lekor industri desa
Menjadi pilihan setiap masa
Pasti tertarik sekali dirasa
Makanan ringan nikmat perisa.

Lautnya biru jadi tarikan
Tempat beradu orang bersukan
Lubuk nelayan mencari makan
Udang sotong siput dan ikan.

Taman Tamadun tarikan baru
Orang teruja datang menderu
Tingginya syair dakwah diseru
Jelas panduan tidak celaru.

Kain songket tenunan warisan
Buatannya halus pelbagai hiasan
Mutunya tinggi memang berkesan
Hendak menolak tiada alasan.

Bumi Terengganu bagaikan taman
Pantai melandai bayunya nyaman
Segar menghijau di pedalaman
Dari Besut sampai Kemaman.

Bandar Kerteh pusat industri
Semakin pesat memacu negeri
Tenaga mahir rakyat sendiri
Hasil negara terus lestari.

Ghazali Lateh
Negara Tercinta, 2013

Munajat Ya Al-Jalil

Yang Maha Agung

Wahai Allah Yang Maha Agung Maha Indah
jadikan aku hambaMu
yang dapat membaca keagunganMu
dan keindahanMu
dalam diriku sendiri
dan yang tersebar luas di alam semesta
supaya aku menjadi hambaMu yang arif
dalam menghadapi fenomena
yang terhampar di hadapanku
supaya aku dapat membaca hikmah di sebalik
fenomena itu.

Dengan keindahanMu
jadikanlah aku supaya memandang
semua yang kau ciptakan
sebagai indah, cantik dan mengagumkan.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Saturday, December 28, 2013

Berwaspada bukan membenci

Muslihat Yahudi

Soalan1 :
Ustaz kerap menekankan soal bahaya Yahudi. Mohon huraian lanjut.

Jawapan :
Itulah mesej yang al-Quran hendak umat Islam sedar dan rasai. Bagaimana sikap kita apabila diceritakan bahawa seorang yang kita kenali itu suka mengambil kesempatan dan menipu? Kita mungkin tidak begitu mempercayainya terus. Kita perlukan masa, lebih bukti dan pengalaman sendiri. Namun dalam sedar, kewaspadaan kita meningkat. Apabila bertemu dengannya, kita akan curiga semacam dengannya walaupun berusaha untuk bersangka baik. Itu baru satu dua cerita, kita sudah merasakan ada unsur bahaya.

Jadi bagaimana pula orang Yahudi yang begitu banyak cerita buruknya diceritakan sendiri oleh Allah?. Dalam al-Quran dirakamkan bahawa mereka menulis, merubah dan mereka-reka wahyu yang Allah turunkan kepada nabi Musa, mendakwa bahawa Allah itu kedekut dan miskin, membunuh banyak nabi dan menyuruh nabi Musa pergi berperang sendiri bersama Allah demi mereka. Biadab sungguh!.

Ada satu kenyataan yang berbunyi: Tidak ada kerosakan atas muka bumi melainkan di belakangnya ada Yahudi. Saya sendiri setuju dengan kenyataan ini. Banyak rakaman sejarah dunia membuktikan hal ini. Kalau kita hadkan pada sejarah Islam, maka kita dapati bahawa tragedi kehilangan legasi Khalifa al-Rasyidin yang bermula dengan kematian sayidina Uthman ditunjangi oleh seorang Yahudi bernama Ibn Saba’.

Begitu juga dengan keruntuhan Khilafah Islam Turki Uthmaniyyah yang direncanakan oleh orang Yahudi. Bukankah kita, masyarakat Malaysia sendiri pernah merana dek tangan jahat seorang Yahudi bernama George Soros yang menyebabkan kemelesetan ekonomi sekitar tahun 1997?.

Soalan 2 :
Maknanya kita mesti ada sikap membenci orang Yahudi?

Jawapan :
Tidak. Sekali-kali tidak. Bukan sikap membenci Yahudi yang al-Quran ingin tanamkan dalam jiwa kita. Al-Quran inginkan kita berwaspada dengan mereka. Jangan lupa, betapa ramainya nabi-nabi pilihan Allah berbangsa Yahudi.

Wallahu a’lam.

Muhammad Luqman Makhtar
Al-Ustaz, volume 01 isu no 08, 2012

Ibrah Tasbih nabi Yunus as ( 5 )

Terapi 3T – rumusan ramuan

Inilah rahsia 3T, ramuan 3T yang sangat perlu dimuhasabah, harus koreksi diri. Apakah dalam hidup, dalam hati kita ini ada nilai tauhid, nilai tasbih memuji Allah SWT dan nilai tunduk; mengakui kelemahan, kesilapan pada diri kita sendiri.

Kadang-kadang sebagai seorang ibu, kita terus bersungut tentang sikap anak-anak. Nak buat macam mana lagi, sekolah sekolah agama dah, khatam khatam quran dah tapi perangai menyakitkan hati! Baik ibu-ibu sekalian, sebelum terus menyalahi orang lain, ada baiknya kita tundukkan diri di hadapan Allah mengakui; Wahai Allah sesungguhnya akulah menzalimi diri sendiri. Dulu saat aku mengandungkan anak ini, aku tidak jadikan Kalamullah sebagai bacaan harianku. Orang lain boleh khatam dua tiga kali masa mengandung, tapi aku tergolek-golek ajer melayan hormon, marah-marah hormon, geram-geram hormon! Maka kita dapatlah hasil daripada sikap kita menzalimi diri kita sendiri.

Marilah kita berikan harapan pada diri sendiri untuk kita berikan sedikit ruang masa dalam hidup untuk menilai apakah selama ini yang kita lakukan benar-benar telah kita usahakan. Cuba sekurang-kurangnya kelihatan cubaan itu ketika mana kita berdoa; Wahai Allah, mohon Ya Allah agar amalanku ini Kau angkat dan Kau terima sepertimana amalan orang-orang yang soleh Ya Allah. Kalau amalan ini tidak baik, tidak suci, tidak ikhlas, mohon disucikan Wahai Allah.

Sekurang-kurangnya daripada munajaat kita itu benar-benar kelihatan yang kita sangat ingin mentauhidkan Allah, mengikhlaskan amal kita kepada Allah SWT. Dan kita nilai tasbih, sejauh mana dalam hidup ini kita memegang bahawa yang benar-benar layak menerima puji-pujian hanyalah Allah. Kadang-kadang bila orang bersalin diziarahi akan kedengaran kata-kata apabila ditengok anak kecil yang comel, merah-merah pipinya. Apa yang dikata? Comelnya baby ini, yalah mak ayahnya lawa! Tengok, disangkutkan pada mak ayah! Dia tak tahu, melambak-lambak mak ayah lawa, anak tak lawa atau mak ayah tak lawa, anaknya comel!

Tapi jika dah ajar, dipegang dalam diri, tasbih. Segala puji-puji hanya untuk Allah. Tengok comel, subhanallah. Tengok orang bijak, subhanallah. Inilah ramuan yang sangat penting.

Dan ketiga itu tentang tundukkan diri dengan mengakui kesalahan diri. Sesungguhnya ada satu sikap ego dalam diri kita ini. Kita payah nak terima kebenaran, sebab kita payah nak akui kesilapan kita. Sebenarnya jika kita berdepan dengan maduun (orang yang tidak boleh mengakui kesilapan diri ) memang agak payah. Kalau seorang suami tegur isteri tapi isteri berkata; bukan salah saya, bukan salah awakkah itu? Ini payah untuk cari solusi pada permasalahan yang dihadapi.

Maka beri masa dalam hidup kita untuk melihat tauhid, tasbih dan tunduk kepada Allah. Lazimkan untuk mengulang dan terus mengulang di lidah dan di hati. Laa ilaaha illaa anta subhanaka inni kuntu minazh-zhaalimiin. Dalam apa jua keadaan, Ya Allah akulah yang terlebih dahulu menzalimi diriku sendiri. Ulanglah lafaz-lafaz ini, ulanglah pengakuan ini di hadapan Allah setiap kali kita solat di waktu pagi dan malam dengan perasaan penuh tadharub, tunduk kepada Allah SWT.

Barangkali inilah jalan keluar kepada semua masalah yang kita hadapi kerana Allah berkuasa saja tanpa apa-apa sebab musabab Allah boleh menyelesaikan apa jua masalah, apa jua urusan kita. Tetapi apa yang lebih penting yang Allah ingin melihat bila Allah menguji seorang hamba, pada hamba tersebut  mendapat kemuliaan, sebagai kafarah dosa-dosanya, diangkat darjat dan sebagainya. Tapi jika tiada nilai tauhid, bagaimana Allah SWT nak angkat kedudukan kita.

Mari kita mencari kemuliaan dengan mengaku salah di hadapan Allah SWT, mengaku berdosa di hadapan Allah. Kita lihat bagaimana penjenayah dengan Polis. Bila mana nak serah diri, kena campak senjata. Bila serah diri, salah kalau Polis pergi tembak. Maksudnya bila seseorang telah menyerah diri, dia akan mendapat layanan yang lebih istimewa. Begitulah bila kita menyerah diri di hadapan Allah, mengakui kesilapan di hadapan Allah.

Mudah-mudahan kita mendapat kemuliaan daripada Allah SWT, kerana ada empat perkara sahaja yang menjadikan hidup kita hina :

a) Kalau kita menyerahkan hidup kepada syaitan pada keseluruhan masa atau pada beberapa masa.
b) Mengikuti hawa nafsu.
c) Tidak lagi berbuat ehsan / berbuat baik kepada Allah atau manusia
d) Kehilangan kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah SWT.

Wallahu alam.

Nur Hafizah Musa
UTM

Ibrah Tasbih nabi Yunus as ( 4 )

Terapi 3T - Tunduk

Diambil daripada kefahaman kita terhadap ayat, inni kuntu minazh zhaalimiin; sesungguhnya aku tergolong dalam golongan orang yang zalim pada diri sendiri.  Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri sendiri. Kadang-kadang inilah ramuan yang Allah tunggu-tunggu daripada seorang hamba untuk Allah lihat ada dalam jiwa hamba tersebut, yang menjadi solusi kepada semua permasalahan kita. Apa dia?

Allah nak tengok hamba ini tunduk kepadaNya, merendah diri dengan mengakui bahawa sebenarnya dialah, hamba inilah, kitalah yang telah menzalimi diri kita terlebih dahulu sebelum kita salahkan orang itu dan orang ini. Sebelum kita salahkan itu dan ini, kita terlebih dahulu menzalimi diri sendiri.

Contoh, ada segelintir isteri yang tidak puas hati dengan suami. Suami saya teruk! Ditegur tak dengar, ego, bongkak dan macam-macam kita sandarkan kepada suami kita atau sebaliknya. Soalnya? Sudahkah kita menundukkan diri kita di hadapan Allah, mengakui terlebih dahulu sebelum kita salahkan orang itu dan orang ini. Mengaku terlebih dahulu; Wahai Allah, sungguh aku telah berlaku zalim kepada diriku! Kenapa?

Kerana masa mula-mula nak kahwin dulu kita langsung tidak bertanya kepada Allah SWT. Tidak ada solat istikhorahnya, tidak ada doa istikhorahnya, mohon bertanya kepada Allah. Wahai Allah, apakah laki-laki ini baik untukku, duniaku, akhiratku, agamaku, imanku? Sebaliknya kita kahwin sebab dah sayang, dah cinta, dah adik manis hari-hari. Tak bertanya lagi dah pada Allah, baik tak baik jodoh kita ini. Maka kalau kita adukan dulu; Wahai Allah sebelum orang lain zalim kepadaku, aku telah zalimi diri sendiri. Aku berlagak pandai Ya Allah. Berlagak macam tahu sangat tentang masa depanku dan hari inilah aku makan hasil daripada sifatku yang tidak tunduk terlebih dahulu di masa dulu!

Maka akukan pada Allah, insya-Allah sekelip mata kalau Allah berkehendak siapa sahaja Allah ubah menjadi sangat baik dan lebih baik.

Wallahu alam.

Nur Hafizah Musa
UTM

Usaha membaiki diri 5

a) Apabila hati resah, pasti ada perintah Allah yang belum dilaksanakan atau pun tegahan Allah yang telah dilanggar atau pun kedua-duanya sekali. Beristighfarlah…kemudian paksa hati dan anggota untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

b) Rasa sukar memaafkan insan petanda hati belum benar-benar inginkan keampunan Tuhan.

c) Yang paling wajar kita maafkan ialah ….DIRI sendiri. Maafkanlah dirimu, berilah harapan kepadanya. Bersangka baiklah pada diri sendiri atas kemampuannya untuk berubah. Insya-Allah, Allah mengikut sangkaan hambaNya termasuk sangkaan si hamba itu terhadap dirinya sendiri.

d) Maafkan dirimu dengan memberi peluang kepada diri sendiri membetulkan kesilapan. Maafkan orang lain dengan menerima hakikat kesilapan adalah fitrah seorang insan.

e) Jemu itu suatu fitrah. Jemu itu satu anugerah. Apabila Allah anugerahkan rasa jemu, itu isyarat supaya kita mencipta kebaikan yang baharu!

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Kelantan

Kelantan digelar Serambi Mekah
Budaya indah terjaga tingkah
Hidup sesama tidak telingkah
Memaju negeri terus melangkah.

Siti Khadijah pasar tumpuan
Riuh berniaga lebih perempuan
Pusat jualan barang keperluan
Ramah mesra erat perpaduan.

Dikir barat budaya tradisi
Sejak berzaman sudah diwarisi
Setiap kata sarat berisi
Menjadi hiburan semua generasi

Wau buan ciptaan berseni
Dimainkan orang di sana sini
Boleh bertanding siapa berani
Tidak dilupa sampai ke kini

Pantai Cahaya Bulan nan indah
Serata tempat terkenal sudah
Anginnya segar bagai bermadah
Tempat melepas rasa nan gundah

Indah bermutu kain batik
Dipakai tuan sangatlah cantik
Hasil tenunan jari nan lentik
Puas rasa di hati berputik.

Rantau Panjang pekan sempadan
Tempat dagangan harganya padan
Barang rumah dan hiasan badan
Ramai pengunjung datang bertindan.

Dialek Kelantan bahasa nan indah
Tutur bernada bagai bermadah
Manis bunyinya fahamnya mudah
Mesra orangnya cerita tak sudah.

Orang tempatan rajin belaka
Tak pernah lalai alpa dan leka
Bekerja bergaul bermadah seloka
Sepanjang masa hidup bersuka.

Gadisnya ayu cantik memikat
Sekali pandang terus terpikat
Kalau tak sedia jangalah dekat
Kelak tak balik di sini melekat.

Budu adunan makanan tempatan
Bilis diperam ketat ikatan
Setelah cair genap sukatan
Dihidang enak cili dan kantan.

Permainan rakyat gasing berpusar
Disukai orang kecil dan besar
Dibuat bertanding di kampung di pasar
Budaya warisan terus membesar.

Ghazali Lateh
Negara Tercinta, 2013

Munajat Ya Al-Hasib

Yang Maha Mencukupi

Wahai Allah
Yang Maha Mencukupi
jadikanlah aku hambaMu
yang pandai bersyukur
dan merasa cukup
dengan sekecil apa pun pemberianMu
jangan sekali-kali
hati dan fikiranku diliputi
oleh perasaan kurang dan kurang
kerana menurut pandanganku
apa yang ku minta tidak sesuai
dengan kemahuanku.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Friday, December 27, 2013

Ibrah Tasbih nabi Yunus as ( 3 )

Terapi 3T - Tasbih

Di mana kita melihat dalam ayat, Subhaanaka. Maha Suci Engkau Ya Allah. Dalam kehidupan nabi yang lain iaitu nabi Musa as, ketika mana Allah SWT menyuruh nabi Musa untuk berdepan dengan Firaun, menyampaikan dakwah, risalah tauhid lalu apa yang diminta oleh nabi Musa daripada Allah SWT. Antara lain nabi Musa as memohon kepada Allah seperti mana yang boleh kita lihat dalam surah Toha ayat 29 – 35.

Nabi Musa mohon lidah yang fasih, hati yang lapang termasuk nabi Musa as mohon seorang sahabat iaitu nabi Harun as untuk menemani nabi Musa. Tetapi di hujung ayat itu, kenapa nabi Musa mohon nabi Harun sebagai  sahabat, untuk menolong baginda. Allah menyebut dalam surah Toha ayat 29 -35. Nabi Musa mohon ada seorang pendamping, ada seorang sahabat, teman iaitu Harun supaya kami boleh memuji Kamu banyak-banyak Wahai Allah, supaya kami boleh ingat Kamu banyak-banyak Wahai Allah!.

Lihat bagaimana pada kata-kata nabi Musa as yang dirakam oleh Allah ini. Bagaimana nabi Musa nampak sangat bahawa dalam hidup ini menjadi satu tujuan untuk kita terus tenggelam dalam segala puji-pujian kepada Allah SWT. Walaupun di saat kita susah. Apatah lagi di saat kita senang. Walaupun di saat kita kesukaran menghadapi bermacam-macam bentuk ujian jangan sampai kita terlupa untuk memuji dan memuja Allah SWT.

Kenapa? Kadang-kadang kondisi kita sebagai manusia yang lemah iman ini bila Allah timpakan ujian, bukanlah berat sangat. Kadang-kadang ujian itu kecil-kecilan sahaja tetapi kerana kita  ini tidak benar-benar memuji Allah memahami konsep tasbih kepada Allah SWT. Maka hati kita dikotori dengan sifat-sifat yang busuk dan terkeji. Contoh, kita tak tahan dengan ujian tersebut, lalu kadang-kadang ada perasaan seperti tidak redha dengan ketentuan Allah. Lalu ada perasaan seperti menyalahkan takdir itu dan ini. Datang perasaan tidak husnul zun dan bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT. Kadang-kadang rungutan itu, luahan ini sama ada kita sedar atau tidak sedar ada jauh dalam hati kita perasaan tidak berapa senang dengan ketentuan Allah SWT.

Sedangkan kita katakan tasbih kepada Allah, Subhanaaka Ya Rabb. Maha Suci Engkau Ya Allah. Engkau Maha Sempurna, Engkau Maha Baik. Tidak mungkin Allah menzalimi hambaNya. Tidak sama sekali Allah mensia-siakan kita. Lalu kenapa timbul pertanyaan-pertanyaan seperti menyalahkan takdir? Kenapa berlaku dalam hati kita dengki dengan orang lain dapat dan kita rimas dengan apa yang kita tidak dapat. Semua itu kerana kita tidak memahami benar-benar konsep tasbih dalam hidup.

Kalau kita telah meletakkan seluruh puji-pujian kepada Allah, sepatutnya reflek daripada tasbih itu tidak ada lagi dalam hati tersebut perasaan tidak redha dengan takdir Allah, bersangka buruk dengan Allah, dengki sesama kita atau menyalah takdir dan sebagainya.

Wallahu alam.

Nur Hafizah Musa
UTM

Ibrah Tasbih nabi Yunus as ( 2 )

Terapi 3T - tauhid

Mari kita lihat bagaimana Terapi 3T ini boleh kita aplikasikan dalam kehidupan kita. Insya-Allah.. Pertama, soal tauhid. Apa makna Tauhid? Mudahnya disebut tauhid ialah mengikhlaskan seluruh kehidupan kita kepada Allah SWT. Ikhlaskan sahaja. Segala amalan, segala tindakan, segala pengorbanan kita hanya kepada Allah kerana kita harus ingat paras kebahagiaan atau pun ketenangan hidup kita tergantung pada kadar keikhlasan kita. Semakin ikhlas kita dalam suatu amalan, semakin bahagia kita rasakan.Bayangkan kebahagiaan yang akan Allah curahkan kepada seorang hamba yang melakukan sesuatu benar-benar dengan niat untuk mempersembahkannya kepada Allah.

Analogi yang agak mudah, andaikata kita memasak, selama ini kita masak untuk orang dalam rumah sahaja. Paling ramai pun jiran, kawan-kawan. Suatu hari, kita dijemput untuk memasak makanan untuk Tuanku Permaisuri, yang akan menjamah makanan kita. Boleh bayang tak macam mana excitednya kita nak masak untuk Tuanku Permaisuri. Bila mana kita dah hidang makanan tersebut, kita melihat makanan itu nak masuk dalam mulut Tuanku Permaisuri dengan dada yang berdebar-debar. Ya Allah, masin sangat ke? Cukup tak garam tu? Terlebih ke? Manis sangat ke?. Berdebar-debar.

Dan sebaik Tuanku Permaisuri makan makanan itu, di saat baginda berkata sedapnya makanan ini, beta suka. Kita pun rasa bahagia tanpa perlu apa-apa penghargaan, tanpa apa-apa balasan dan imbalan daripada tuanku tadi. Cukup dengan pujian, kita akan rasa sangat bahagia. Bukanlah Allah bandingan untuk perkara-perkara yang seumpama ini kerana Allah jauh lebih hebat daripada itu tetapi sebagai suatu bayangan bagaimana bahagia dan indahnya bila kita buat sesuatu, kita persembah untuk Allah SWT.

Ini rahsianya. Rahsia yang barangkali kita tercari-cari bagaimana hendak melalui satu ujian demi satu ujian dalam hidup ini. Berbagai-bagai cara kita ikhtiarkan. Betul kita dituntut untuk berikhtiar, tetapi di dalam hati ini bagaimana?. Dengan itu T yang pertama ialah tauhid. Ikhlaskanlah seluruh kehidupan kita untuk Allah SWT. Barangkali inilah sebagai satu jalan keluar yang terbaik, untuk kehidupan yang lebih cemerlang. Insya-Allah.

Kita lihat bagaimana nabi Ibrahim as dibakar di dalam api, lalu datang Malaikat bertanya kepada nabi Ibrahim. Ada apa-apa yang nak dibantu ke?, ada apa-apa nak minta tolong, permintaan? Nabi Ibrahim pun menjawab; adapun kepadamu tidak ada, tetapi kalau kepada Alllah, ada.

Tengok nabi Ibrahim bezakan! Hatta kepada malaikat pun tidak ada apa nak minta tolong, tapi pada Allah selama-lamanya memohon pertolongan kepada Allah SWT. Ini tauhid. Dan tauhid ini dilihat, dinilai oleh Allah SWT. Dan biasanya orang dapat merasai tahap tauhid yang sebenar bila mana ia betul-betul diuji oleh Allah sehingga tak nampak sebarang bentuk pertolongan kecuali pasrah kepada Allah SWT sepertimana yang dilalui oleh nabi Yunus as.

Apa reflek daripada tauhid ini? Apabila seseorang benar-benar tauhidnya kepada Allah,  insya-Allah dengan sendirinya terbuang , tercabut, tertanggal daripada hatinya penyakit-penyakit hati seperti ujub, riak, keluh kesah dan sebagainya. Sebab dia telah menyerahkan segala apa yang dilakukan, kehidupan ini benar-benar untuk Allah SWT.

Wallahu alam.

Nur Hafizah Musa
UTM