Friday, February 28, 2014

Prinsip 12D ( 3 )


7. Detailed (Perincian) – memperincikan dengan teliti segala pemikiran bagi setiap tindakan dan jangkaan kesan tanpa mengorbankan kejelasan (clarity) terutama dalam mencari penyelesaian yang lebih kreatif sifatnya, dan serentak membawa ciri-ciri distinctive dalam merekayasa kelebihan persaingan. Kaedah deliberative perlu diutamakan untuk menentukan segala perincian telah dihalusi dan dititik berat supaya tidak mengelirukan keadaan serta menjejaskan imej dan persepsi positif organisasi. Dokumentasi (satu lagi abjad D) sewajarnya merupakan sebahagian daripada prinsip ini kerana tanpa dokumentasi yang teliti, perincian akan sukar dihayati. Ingat pepatah Inggeris: The devil is in the details (dua lagi abjad D).

8. Deep Thinking (Pemikiran mendalam) – mencakupi deep learning dan deep knowledge – merujuk kepada satu amalan tabii dan satu mekanisme asas untuk penghadaman fakta secara terperinci dalam suasana yang boleh memberikan pengajaran dan teladan (aspek learning) bagi dimanfaatkan sepenuhnya (aspek knowledge) sehingga membuahkan hikmah. Pemikiran pembelajaran dan ilmu mendalam merupakan kesinambungan serumpun untuk membolehkan isu yang ingin diketengahkan atau perkara yang ingin dipelopori dilangsungkan dengan licin, termasuk memerhatikan iktibar yang ada di persekitaran sendiri. Kesinambungan ini juga menggambarkan aliran ilmu dalam bentuk tidak ketaran (tacit) kepada ketara (explicit) Sebenarnya, 80 peratus ilmu adalah dalam bentuk tacit, hanya 20 peratus explicit. Aspek ini penting bagi mencapai matlamat perekayasaan yang cukup inivatif dan terkehadapan.

9. Dexterity (Serba mahir atau ketangkasan) – mempamerkan berbagai-bagai kebolehan merentasi bidang (transdisciplinary) yang sesuai dengan dimensi kepelbagaian (diversity) yang dianjurkan. Terdapat organisasi yang menyasar kepada penerokaan sesuatu yang unggul (distinctive). Imbuhan trans dalam istilah transdisciplinary sekali gus memusatkan aspek antara bidang ilmu, pelbagai bidang ilmu malah merangkumi semua bidang ilmu – wawasan dan pengalaman baru untuk pembelajaran. Terutama mempergiatkan kefahaman sains dalam sastera dan sastera dalam sains sebagai asas perkembangan ilmu yang seimbang dan menyeluruh. Matlamatnya untuk memberi kefahaman tentang dunia semasa, yang satu daripada tuntutannya (imperatitnya) ialah kesatuan ilmu, yakni satu kerangka baru menyusun ilmu dan berwacana bagi mengatasi masalah yang kian kompleks. Dexterity lazimnya lebih mudah mencetuskan sikap menemui sesuatu yang baru (lebih kepada discovering daripada discovery) kerana pendekatan yang diberi agak menyeluruh dan spontan.

Wallahu alam.

Dzulkifli Abdul Razak
Revolusi Pendidikan Merekayasa Sebuah Universiti, 2005

Today’s expert is a person telling us what yesterday’s expert did wrong.

Kehidupan 5

a) Tidak ada jalan yang panjang jika kita melaluinya bersama orang yang tersayang. Jalan menuju Allah itu mudah jika ada isteri di sisi seperti Khadijah. Jalan hijrah itu tidak sukar jika bersamanya ada teman seperti sayidina Abu Bakar.
b) Usah gentar dengan kekuatan musuh jika kita telah membina kekuatan sendiri.
c) Manusia yang paling berpotensi untuk mengeji di belakangmu ialah dia yang memuji secara keterlaluan di hadapanmu!
d) Jangan mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya. Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah. Apa yang tidak mampu, serahkan kepada Allah.
e) Sekiranya hati masih bertanya, mengapa dunia ini tidak adil? Jawabnya, kerana Allah Yang Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Kata Khatib

Berkata khatib dari mimbarnya:

Hendaknya masjid tidak hanya
tempat pertemuan warga bersara sahaja
datang menghimpun diri
mentaati Allah.

Lalu menyeru sekalian umur
mengunjungi rumah Allah
kerana tambahnya
janjiNya tidak mengenal usia.

Suatu hakikat yang tiada siapa
dapat menyanggahnya
di masjid mahupun di surau
warga tua membarisi saf depan
dan saf belakang.

Kata-kata khatib menusuk rasa
mencuit sedar
betapa kesibukan tugasan menjadi alasan
menunggu ruang masa tidak pernah terluang
menghambat dunia tidak berkecukupan
sedang usia muda bukan jaminan
jemputan pulang tak mengira siapa
pangkat, darjat tinggal semuanya.

Lalu bertanya
mampukah kita bertangguhan?
kerana hayat hidup bukan milik kekal
bisa terpadam tetiba
bila-bila masa saja!

Izani HD
Kota Bharu
Dewan Tamadun Islam
Bil. 3 Tahun 2013

Munajat Ya Al-Muta’ali

Yang Maha Tinggi
 
Wahai Allah Yang Maha Tinggi
Engkau takdirkan bagi mencapai puncak
kebahagiaan dan kejayan
mestilah melalui pendakian
yang panjang dan meletihkan
Engkau simpan tenagaMu
dalam jiwa manusia sehingga
ada yang menemukannya
dan ada yang menyia-yiakannya
bagi mereka yang menemukannya
tenaganya itu adalah suatu
kekuatan yang maha dahsyat
dan tidak ada satu pun di planet bumi ini
yang sama dengannya
kerana itu masukkan aku ke dalam kelompok
mereka yang berjaya menemukan tenagaMu
dengan itu aku tidak lagi bergantung
kepada sesiapa pun kecuali kepadaMu
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Thursday, February 27, 2014

Prinsip 12D ( 2 )


4. Diversity (Kepelbagaian) – mengenal dengan jelas kepelbagaian sebagai kekuatan organisasi bagi menyokong usaha merekayasanya, termasuk membina jaringan dan pertalian antara satu sama lain di semua peringkat. Kepelbagaian ini juga merentasi batasan budaya, usia dan pengalaman agar dapat turut serta dalam ekosistem ilmu dan pendidikan yang menguntungkan semua pihak (menang-menang) tidak terkecuali alam sekitar sendiri. Kepelbagaian kini merupakan satu asas penting yang sealiran dengan perkembangan globalisasi dan pengantarabangsaan, dan sekali gus menjadikan pendidikan yang berpaksikan kepelbagaian sebagai benteng untuk menghalang pengaruh globalisasi yang melulu serta merugikan supaya terheret ke arah pembentukan monobudaya. Oleh itu, kepelbagaian pandangan (diversity of opinion) dalam erti kata perkongsian maklumat dan pengalaman adalah paksi penting untuk memperkayakan lagi pembangunan ilmu pada zaman komunikasi ini.

Kepelbagaian juga ada kaitannya dengan dialog antara budaya dan disiplin  untuk membina kefahaman yang lebih erat dan menghargai kebebasan akademik sebagai asas kecemerlangan. Ini termasuklah mengeratkan lagi semangat kerja berpasukan dan berkluster.

5. Discontinuity (Pemisahan) – memperdanakan pemisahan ataupun arus perubahan mendadak yang ditempuhi organisasi dalam usaha merekayasanya dalam abad ke-21. Umumnya, tindakan perlu diarahkan kepada strategi untuk mengurangkan  risiko apabila perubahan tersebut berlaku. Ini amat penting bagi memperkasakan lagi organisasi untuk persaingan global sesuai dengan pembentukan ekosistem ilmu dan pendidikan yang peka perubahan. Oleh itu semua kata kinci dalam kunci dalam prinsip 12D mestilah berpaksikan set minda yang membolehkan organisasi dan warganya menyedari fasa pemisah tersebut, terutama dalam menangani  revolusi pendidikan melalui usaha merekayasa organisasi. Revolusi sewajarnya membawa kepada fasa pemisah dengan erti kata berlakunya satu anjakan paradigma, khususnya dengan tercipta inovasi dan ide baru yang kreatif. Pengajian tinggi tidak terkecuali dalam hal ini.

6. Deliberative (Musyawarah) – menghayati pendekatan bermusyarah dengan menekankan peri penting kesanggupan untuk berbincang, berunding, berdialog dan bertolak ansur serta mengambil kira secara terbuka pelbagai pandangan dan maklum balas (diversity of opinions and feedback) yang membina. Ini termasuk berkongsi maklumat serta pengalaman sebagai input pencapaian misi serta hala tuju organisasi secara berpasukan, atau network of practice) untuk berkongsi maklumat dan pengalaman merentasi semua peringkat dan bidang atau disiplin yang boleh menjurus kepada pendekatan transdisiplinan. Satu bentuk sinergi perlu dipupuk melalui perkongsian maklumat (termasuk ide ) agar keputusan yang diambil menjadi lebih tepatdan ampu. Sekali lagi, dialog (satu lagi abjad D) merupakan teras utama pendidikan yang terdedah kepada arus globalisasi bagi memupuk persefahaman global. Ini termasuklah dialog antara antara pelbagai budaya dan tamadun dalam masyarakat pengajian tinggi. Ini termasuk juga penglibatan masyarakat luar, penggubal dasar dan pelanggan organisasi bagi memantapkan program pembangunan (development, satu lagi abjad D) yang seimbang.

Wallahu alam.

Dzulkifli Abdul Razak
Revolusi Pendidikan Merekayasa Sebuah Universiti, 2005

Kehidupan 4

a) Ingatlah Allah memberi untuk kita memberi kepada hambaNya. Semakin banyak yang kita beri, semakin banyak pula Allah akan memberi untuk kita terus memberi. Memberi tidak akan pernah mengurangkan bahkan akan menambahkan.
b) Jika takut miskin, berniagalah dengan Allah menerusi jihad, zakat dan sedekah.
c) Lupakan peristiwa pahit sebaik sahaja mengambil pengajaran daripadanya. Forgive and forget! Jangan biarkan diri disengat dua kali oleh satu kepahitan. Satu semasa mengalaminya. Kedua semasa mengenanginya. Let go, and let Allah! Siapa yang selalu menoleh ke belakang, tidak akan bergerak ke hadapan. Yesterday ended last night!
d) Hidup selagi hidup. Jangan mati sebelum mati.
e) Jika kita katakan kejayaan itu kepada keadaan nabi Ismail yang tidak jadi disembelih oleh ayahnya nabi Ibrahim as dengan digantikan dengan seekor kibasy……apakah nabi Zakaria as yang syahid dan terbelah dua kerana digergaji oleh musuh Allah itu tidak berjaya? Apakah Sumayyah yang mati ditusuk lembing oleh kafir Quraisy itu tidak berjaya?

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Apa guna

Apa guna mengaku pelajar
Jika malas hendak belajar.

Apa guna nama cantik
Jika masam setiap detik.

Apa guna nama hebat
Jika tak jaga nama kerabat.

Apa guna mengaku beradab
Jika tindakan jelas biadab.

Apa guna hidup berbudi
Jika bakti tidak menjadi.

Apa guna hidup berjasa
Jika banyak menjadi mangsa.
 
Apa guna ada akal
Jika hidup tiada bekal.

Apa guna ada tenaga
Jika tak guna tiada harga.

Apa guna ada semangat
Jika hanya hangat-hangat.

Apa guna ada cita-cita
Jika hanya pandai bercerita.

Apa guna ada wawasan
Jika masih ada waswasan.

Apa guna ada matlamat
Jika tugasan tidak tamat.

Apa guna jadi pemimpin
Jika jaguh ketika berkempen.

Apa guna jadi pengikut
Jika diri sentiasa takut.

Apa guna wajah cantik
Jika perangai suka menggeletik.

Apa guna berwajah tampan
Jika perangai tidak sopan.

Apa guna bergelar cendekiawan
Jika terlupa budi kawan.

Apa guna jadual waktu
Jika buang masa tidak menentu.

Apa guna bermain cinta
Jika musnah segala cita-cita.

Apa guna pandai berbahasa
Jika tidak berbudi bahasa.

Apa guna pandai bercakap
Jika kerja tidak cekap.

Apa guna kata boleh
Jika banyak beri dalih.

Apa guna kata pandai
Jika tabiat duduk tersadai.

Apa guna kata mahu
Jika nasihat buat tak tahu.

Apa guna ucapan saying
Jika kasih tidak terbayang.

Apa guna mengaku saudara
Jika tiada rasa mesra.
 
Apa guna ada kawan
Jika berubah menjadi lawan.

Apa guna ada mulut
Jika bercakap hanya kalut.

Apa guna ada telinga
Jika tak dengar tetapi menyinga.

Apa guna ada mata
Jika pandang tetapi mengata.

Apa guna ada hati
Jika tiada rasa simpati.

Apa guna kata hendak berjaya
Jika tak berusaha sedaya upaya.

Apa guna kata Insya-Allah
Jika tiada tawakal Subhanallah.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

Munajat Ya Al-Wali

Yang Maha Pemerintah

Ilahi
keluarkan aku daripada kehinaan
bersihkan aku daripada keraguan
sucikan aku daripada syirik
sebelum aku masuk ke liang kubur
tolong dan bantulah aku
padaMu jua aku berserah diri
jangan jadikan bebanku berat
hanya padaMu aku memohon
jangan tinggalkan aku dalam kekecewaan
kerana pada kurniaMu aku berharap
janganlah Engkau tolak permohonanku
yang datang padaMu dengan penuh harapan
jangan jauhi aku dan tinggalkanku
aku berada di depan pintuMu.
Aameen

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Wednesday, February 26, 2014

Prinsip 12D ( 1 )

Setiap abjad daripada 12D ini jika dipupuk dengan penuh sedar akan membina set minda untuk memotivasi setiap orang agar bermuhasabah dan melakukan perubahan untuk merekayasa organisasi secara berterusan

1. DNA (DNA) – memahami sepenuhnya blueprint organisasi yang mencerminkan nilai utama yang mendasarinya, termasuk wawasan, misi, hala tuju serta budaya yang membawa kepada perilaku sewajarnya. Kefahaman ini membantu merekeyasa organisasi tersebut, terutama dengan menepati petunjuk atau hala tuju melalui amalan dan tindak-tanduk yang telah di[ersetujui bersama. Ini akan membentuk aliran pemikiran dan kefahaman yang dapat membulatkan tekad serta muafakat untuk membangunkan agendsi mengikut fitrah sebuah organisasi yang jitu.

2. Design (Reka bentuk) – menjayakan perancangan yang sesuai dengan DNA termasuk mengambil kira aspek intangible (tidak ketara atau tidak nyata) atau tersirat sebagai ilham ke arah pertumbuhan jangka panjang lagi lestari. Dalam hal ini beberapa dimensi baru perlu dikenal pasti sebagai kelebihan persaingan untuk merekayasa organisasi, khasnya dalam penggubahan program akademik yang lebih inovatif dan kurikulum yang lebih dinamik. Aspek ini juga menekankan pentingnya soal dalaman sebagai satu dimensi tidak ketara berbanding aspek luaran dan ketara seperti yang sering ditonjolkan. Reka bentuk jelas merupakan satu lagi sumber yang dapat membezakan antara yang cemerlang, gemilang atau terbilang, terutama supaya dapat mencapai pembangunan lestari. Dalam era ilmu pengetahuan, reka bentuk merupakan aspek nilai tambah yang begitu penting.

3. DISTINCTIVE (Unggul) – atau keunggulan yang yang membezakan organisasi A dengan organisasi lain berlandaskan cetusan inovasi baru dan niche sejauh yang boleh dalam apa jua hal. Di samping itu, organisasi perlu berperanan sebagai distinctive pacemaker atau opinion leader seperti yang dianjurkan cogan Kami Memimpin dalam menyumbang kepada perkembangan pendidikan negara khasnya dan kesejahteraan masyarakat amanya. Sifat yang unggul ini mesti menembusi setiap individu, kemudian organisasi, masyarakat dan negara. Keunggulan organisasi hanya merupakan cerminan keunggulan setiap sesuatu yang terangkum di dalamnya termasuk perkhidmatan, kemudahan malah persekitaran sekalipun. Aspek ini akan memudahkan organisasi dikenal pasti sebagai sebuah organisasi yang sentiasa ke hadapan dan kreatif kreatif di kalangan pesaingnya. Ia sewajarnya sebati dengan jenama organisasi itu sendiri yang cuba mengutarakan keunggulan pengalaman belajar, bekerja dan berkhidmat yang paling memberangsang untuk diperdanakan.

Wallahu alam.

Dzulkifli Abdul Razak
Revolusi Pendidikan Merekayasa Sebuah Universiti, 2005

Kehidupan 3

a) Jika diteliti, kita lebih banyak menzalimi diri sendiri daripada dizalimi orang lain. Dengan melakukan dosa, kita menzalimi diri untuk diseksa di neraka!
b) Tidak kira sama ada hidup serba ada atau pun seadanya, usahlah menzalimi orang lain apatah lagi menzalimi diri sendiri!
c) Betapa setelah isi dihabiskan dan hanya cebisan tulang dan sisa kuah diberikan…..lalu, orang yang zalim itu berkata kepada si miskin, bersyukurlah! Masya-Allah, jangan gunakan kalimah kesyukuran untuk melindungi kezaliman.
d) Antara pilihan dan penentuan, antara tadbir dan takdir, antara kesempurnaan dan pencarian, semuanya menagih kepada sikap berhati-hati. Jangan terlalu cepat hingga tersadung. Jangan terlalu perlahan sehingga terlambat.
e) Pohon yang tidak pernah berbunga dan berbuah ialah pohon kalau!

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Peluang

Semua orang ada peluang
Ambil segera jangan dibuang.

Ada peluang jangan terlepas
Peluang pergi tinggal hampas.

Peluang datang hanya sekali
Setelah pergi sukar kembali.

Peluang berada di mana-mana
Gunakan peluang dengan bijaksana.

Dulu disebut peluang keemasan
Jangan sampai ditimpa kecemasan.

Sekarang dikata peluang kewangan
Jangan sampai di awing-awangan.

Rebutlah peluang semasa ada
Tak guna menyesal sudah tiada.

Jika kita tiada peluang
Fikiran sempit tiada ruang.

Ada peluang terus sambut
Berani bertindak pantang dicabar.

Jangan khuatir kata-kata keji
Senyum sahaja apabila diuji.

Jangan lemah mengaku kalah
Jiwa berani pasti menyerlah.

Ada peluang ada rezeki
Ada wang simpanlah baki.

Peluang bukan hanya pada wang
Silap langkah masuk ke gawang.

Ada orang mengambil peluang
Awas wang lesap diri terbuang.

Ada orang hendak beri peluang
Siang kelawar malam keluang.

Peluang itu satu kesempatan
Murah rezeki sumber pendapatan.

Peluang sebenarnya macam-macam ada
Rebutlah peluang semasa ada.

Yang penting pancing peluang
Sama ada tenggiri atau seluang.

Rezeki berada di mana-mana
Tidak di sini mungkin di sana.

Peluang datang dari sini sana
Rezeki muncul tanpa rencana.

Peluang dari pintu dan tingkap
Keluar dicari datang ditangkap.

Peluang mungkin di lain tempat
Ada rezeki insya-Allah dapat.

Bukan sekadar kata atau cakap
Yang penting tindakan mesti cekap.

Kata orang rezeki masing-masing
Ada kalanya jangan bising-bising.

Jika tiada rezeki kita
Hendaklah reda  apa nak kata.

Jika sungguh nak cari peluang
Jangan takut untuk berjuang.

Jika tidak diberi peluang
Cuba lagi ada masa terluang.

Peluang hadir pada lain masa
Tabahkan hati jangan putus asa.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

Munajat Ya Al-Batin

Yang Maha Tersembunyi

Wahai Allah Yang Maha Tersembunyi
Engkau berkata:
Tinggalkanlah dosa yang kelihatan
dan yang tersembunyi

Engkau ingatkan ini padaku
kerana Engkau
menginginkan yang lebih baik bagiku
tetapi aku seringkali tidak menyedari
betapa aku lebih suka menyibukkan diri
menguruskan lahiriah orang lain
sedangkan batiniahku terabai .

Oleh itu wahai Yang Maha Kuasa
sudilah kiranya Engkau
anugerahkan aku
hati yang terang
supaya aku dapat melihat diriku sendiri
siapakah aku
sebelum aku berani
berkata pada orang lain :
inilah aku!
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Friday, February 21, 2014

Kehidupan 2

a) Hiduplah seolah-olah hari ini hari terakhirmu. Ya itu kemungkinan sahaja…Berapa ramai manusia yang telah menemui kematian dalam keadaan menunda ibadah dan taubat kerana merasakan esok masih ada!
b) Ingat, mati itu sesungguhnya menghidupkan hati. Biarlah mati sentiasa hidup di hati kita.
c) Hiduplah seperti orang yang bersedia untuk mati. Insya-Allah diri akan lebih berani. Lebih tabah untuk mujahadah. Lebih cepat untuk bertaubat. Dan lebih gagah untuk beribadah. Diri yang ingat mati akan hidup!
d) Milikilah hati yang celik dengan mencintai syurga tanpa meminggirkan dunia!
e) Ketika senang, mengapa tergamak menzalimi orang lain dengan kelebihan? Ketika susah, mengapa tega menzalimi diri sendiri kerana kekurangan?

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Ya Allah, kami adalah hambaMu. Kurniakan kepada kami ketentuanMu yang terbaik ya Allah. Kami berusaha, kami berikhtiar ya Allah. Berikan takdirMu yang terbaik kepada kami hambaMu ya Allah. Berikan jalan yang terbaik.

Petua 20 kata penawar

Assalamualaikum, selamat sejahtera
Senyuman diukir tanda mesra.

Apa khabar apabila berjumpa
Saudara sahabat jangan dilupa.

Maafkan saya jika tersalah.
Beralah bukan bererti kalah.

Perkataan tolong minta simpati
Orang mengikut senang hati.

Ungkapan mulia terima kasih
Lambang ikhlas hati bersih.

Madah murni ucapan bismillah
Umat bertakwa kepada Allah.

Ingat selalu syukur Alhamdulillah
Baik buruk ujian subhanallah

Saya sayang sesama insan
Sikap membantu jangan bosan

Ucapan tahniah tanda penghargaan
Turut gembira tumpang kebangaan.

Ucapan tahziah jika kecelakaan
Lumrah manusia ditimpa kedukaan.

Syabas mengakui kehebatan orang
Jangan hasad dan berasa berang.

Insya-Allah dan bertawakal
Bertindak bijak gunakan akal.

Masya-Allah jika ditimpa musibah
Hendaklah tenang usah gelabah.

Saya doakan anda berjaya
Berusaha gigih sedaya upaya.

Doakan saya murah rezeki
Sesama kita janganlah berdengki.

Dalam perjuangan tekun dan sabar
Semangat waja terus berkobar-kobar.
 
Hendaklah bertenang jangan gelisah
Fikirkan senang bukannya susah.

Jangan ikut hati nanti mati
Sentiasa waspada dan berhati-hati.

Aku Boleh katakan selalu
Berjaya gagal pantang malu.

Bisikan aku memang hebat
Tuah menjelma di kalangan sahabat.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

Munajat Ya Al-Zahir

Yang Maha Nyata

Wahai Allah
Yang Maha Nyata dan Maha Hadir
Engkau berkata:
ke mana pun engkau menghadap
di sana ada wajahKu.

Namun,
aku sering tidak menyedari kehadiranMu
sehingga sapaan-sapaan lembutMu
sering tidak ku dengar
padahal sapaan-sapaan itu berisi
ajakan supaya aku
semakin peka pada apa yang terjadi
pada diriku sendiri
dan apa yang terjadi di sekelilingku.

Wahai Allah
dengan segala ketulusan hati
dengan segala harapan
aku mohon kiranya Engkau anugerahkan aku
dengan ilmuMu
sehingga aku sedar
Engkau selalu hadir bersamaku
Engkau mendampingiku
Engkau mengawasiku
Engkau sentiasa berbicara padaku
Engkau sentiasa menyayangiku
Engkau sentiasa mengabulkan cita-citaku.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Wednesday, February 19, 2014

Kehidupan 1

a) Hidup ialah satu siri pelajaran yang panjang dan berterusan. Allah mendidik kita dalam setiap apa yang berlaku dalam hidup ini. Tujuannya? Untuk kita menjadi lebih baik sebagai hamba Allah dan khalifah!
b) Siapa yang berjuang mencari mati, dia akan menemui hidup! Dunia dicipta untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat. Kita adalah warga akhirat kerana di sanalah kehidupan yang hakiki dan abadi.
c) Kita semua ialah orang berada selagi berada di dunia. Kita sentiasa ada untuk memberi kerana Allah sentiasa memberi untuk kita memberi!
d) Usah dipinta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah menghadapinya.
e) Orang yang paling utama berkongsi kegembiraan dengan kita ialah mereka yang kita ingat semasa dalam kesusahan. Ketika kita lupa, dia mengingatkan ketika kita ingat, dia sedia memberi bantuan.

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Hijrah

Hijrah bererti perpindahan tempat
Biar bertempat daripada merempat.

Hijrah bererti penambahbaikan
Demi kebahagiaan dan kebajikan.

Rasulullah saw terpaksa bermigrasi
Tindakan bijak mengikut situasi.

Hijrah dari Mekah ke Madinah
Arahan diterima jujur amanah.

Hijrah kini bermaksud perubahan
Hadapi cabaran dengan ketabahan.

Daripada negative kepada positif
Daripada static kepada aktif.

Sifat tecela kepada terpuji
Amalan mulia lenyaplah keji.

Daripada malas kepada bersungguh-sungguh
Bertindak segera jangan bertangguh.

Daripada jahil kepada berilmu
Rajin berusaha tanpa jemu.

Hijrah minda rajin berfikir
Tekun bekerja tidak fakir.

Lihatlah kekurangan diri sendiri
Insaf sedar muhasabah diri.

Demi meningkatkan mutu kerja
Bertanggungjawab bersemangat waja.

Jika hari ini cemerlang
Esok lusa biar gemilang.

Jangan salahkan nasib malang
Jadilah diri insan terbilang.

Kurangkan hiburan jagalah kesihatan
Tingkatkan kebaikan tinggalkan kejahatan.

Kurangkan manisan dalam minuman
Banyakkan manisan dalam senyuman.

Daripada maksiat kepada kebaikan
Daripada kejahilan kepada kecerdikan.

Daripada perasaan bangga diri.
Kepada perasaan rendah diri.

Daripada perkara yang baik
Kepada perkara yang terbaik.

Rela bersedekah dan menderma
Bermuafakat serta bekerjasama.

Dekatkan diri kepada Allah.
Insan  kamil  insya-Allah.

Mohon ampun banyakkan taubat
Jiwa yang sakit perlu diubat.

Solat 1 hari semalam 5 kali
Bukan 5 hari hanya 1 kali.

Berubah dalam pelbagai segi
Semuga untung tidaklah rugi.

Berhijrah sebagai satu pengorbanan
Lumrah hidup bukannya bebanan.

Tinggalkan semua yang dilarang
Jangan dinanti mulai sekarang.

Wajib taat segala arahanNya
Jauhi pula segala larangannya.

Seyogia Allah menerima taubat
Sedar insaf sebelum terlambat.

Daripada baik hebat cemerlang
Insan  bestari gemilang terbilang.      

Wallahu alam.

Mohd Sidek b Mohd Dollah
Gurindam jiwa mengusik hati,2012

Munajat Ya Al-Akhir

Yang Maha Akhir

Wahai Tuhan
Tuhan yang Maha Akhir
Engkau tidak pernah mematahkan hati
seorang hamba yang meminta padaMu
siapa pun yang berharap padaMu
pasti Engkau sampaikan harapannya
kerana Engkau pernah berkata :
Tangan Allah di atas tangan mereka.

Engkau sentiasa menyentuh tangan hamba-hambaMu
yang memohon padaMu
aku memohon padaMu
supaya Engkau terus menyentuh tanganku
hingga aku tak pernh merasa rendah
dengan apa pun pekerjaan yang aku lakukan
hingga jelas bagiku pekerjaan ini 
ternyata memberikan kebaikan.
Aameen.

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Sunday, February 16, 2014

Peranan Coach


Cara terbaik bagi membezakan peranan coach daripada pengurus, pengajar dan mentor adalah oleh siapa yang memiliki apa dan bagaimana komponen semasa interaksi.

* Pengurus memiliki apa, tidak bagaimana.
* Mentor memiliki bagaimana, bukan apa
* Pengajar memiliki kedua-dua apa dan bagaimana
* Coach tidak memiliki apa atau bagaimana. Ini adalah dimilik oleh Coachee!

Membuat anjakan mental kepada peranan sebagai coach memerlukan seseorang itu  :

a) Melepaskan kedua-dua apa dan bagaimana.
b) Hapuskan berat sebelah dan prasangka
c) Menjadi kurang ego dan
d) Hapuskan kekusutan

Wallahu alam.

Abdul Razak b Alias
Coaching & Mentoring

Hubungan suami isteri 3


a) Apabila cinta demam, tanggungjawablah yang akan menjaga perkahwinan sehingga cinta pulih semula! Perkahwinan memang diserikan oleh cinta, tetapi disempurnakan oleh tanggungjawab.
b) Hadiah terbaik seorang bapa kepada anak-anaknya adalah dengan mencintai ibu mereka (isteri kita). Jangan hendaknya berebut kasih sayang dengan anak-anak. Ingat selalu hukum kasih sayang…..sesiapa yang banyak memberi, dia akan lebih banyak menerima.
c) Jangan sampai apa yang kita tidak ada menghalang kita menghargai apa yang kita ada!
d) Perkahwinan bukan sahaja menagih kebijaksanaan untuk memanfaatkan persamaan, tetapi juga memerlukan kesabaran bagi mengurusan perbezaan.
e) Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonism dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.
f) Apabila Allah inginkan kebaikan dalam sebuah rumah tangga, maka diberikanNya kelembutan dalam interaksi dan komunikasi sesama anggotanya. Itu petanda yang sangat ketara dan dapat dirasai, bukan sahaja oleh mereka tetapi bagi orang lain yang melihatnya.

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Derhaka


Jika jadi anak derhaka
Di akhirat nanti masuk neraka.

Jika jadi cucu derhaka
Datuk nenek berada duka.

Jika jadi murid derhaka
Hidup nanti ditimpa celaka.

Jika jadi suami derhaka
Hati isteri pedih luka.

Jika jadi isteri derhaka
Pintu syurga tidak terbuka.

Rakyat derhaka kepada negara
Kena tahan masuklah penjara.

Jika jadi pemimpin derhaka
Rakyat benci tidak suka.

Kepada Allah jangan derhaka
Turun bala tanda Allah murka.

Jangan derhaka kepada Tuhan
Bencana melanda tidak tertahan.

Jangan derhaka kepada kawan
Rakan setia menjadi lawan.

 Ingat jangan jadi penderhaka
Memang sah bergelar puaka.

Ada juga ibu bapa derhaka
Tanggungjawab tiada, lalai leka.

Kepada ibu bapa, guru jangan derhaka
Jalan ke syurga, luas terbuka.

Wallahu alam.

Mohd Sidek b Mohd Dollah
Gurindam jiwa mengusik hati,2012

Munajat Ya Al-Awwal

Yang Maha Awal

Wahai Allah yang Maha awal
beri aku kemampuan membaca segala keajaiban
yang Engkau bentangkan dalam diriku
dan alam semesta
hingga kutahu sebenarnya setiap keajaibanMu
selalu datang padaku.

Dengan ini,
aku menjadi manusia
yang tidak pernah putus asa
di tengah-tengah kekurangan
yang ada dalam diriku
justeru
kekurangan itu adalah kekurangan bagiku
menggapai seluruh impianku.
Aameen

Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011

Saturday, February 15, 2014

Hubungan suami isteri 2

a) Lakukanlah tugas cinta yang pertama jika anda benar-benar cintakannya…. . dengarkanlah, pandanglah matanya, belai tangannya, sapa rasanya dengan rasamu. Insya-Allah dengan mendengar, anda seolah-olah terus berkata : aku tetap setia, aku tetap cinta!
b) Cinta itu bukan mengikat, cinta itu membebaskan. Untuk bebas daripada memperalatkan dan diperalatkan oleh cinta, jadikalah cinta Allah sebagai asas dan atas segala cinta. Jangan jadi sandera cinta walaupun kepada isteri ataupun suamimu!
c) Terimalah ketidak sempurnaan pasangan kita sebagai satu kesempurnaan dalam berumah tangga. Kekurangan, kelemahan dan kesalahan sesungguhnya membuka peluang untuk redha, sabar dan memaafkan. Si dia ialah alat Allah untuk mendidik kita!
d) Dipercayai lebih utama daripada dicintai. Berapa banyak hubungan cinta yang terputus kerana hilangnya kepercayaan. Jadi, dalam rumah tangga jangan hanya menjaga cinta, tetapi pupuklah kepercayaan!
e) Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau menikahinya tetapi siapa dia selepas menikah dengan mu.

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Tepuk-tepuk

Tepuk tangan tanya selera
Hendak susah atau gembira.

Tepuk tangan tanya rasa
Jangan sampai rosak binasa.

Tepuk tangan tanya nafsu
Jangan sampai terkulai lesu.

Tepuk tangan tanya hati
Hendak hidup atau mati.

Tepuk tangan tanya tangan
Terus berusaha usah berangan-angan.

Tepuk tangan tanya kaki
Tekun melangkah murah rezeki.

Tepuk tangan tanya telinga
Jangan cepat hendak menyinga.

Teouk tangan tanya mata
Fikir dahulu jangan mengata.

Tepuk tangan tanya jari
Berani berjuang hidup berdikari.

Tepuk tangan tanya rambut
Fikiran tenang jangan serabut.

Tepuk tangan tanya mulut
Jangan bercakap sampai kalut.

Tepuk tangan tanya kepala
Jangan sampai jadi gila.

Tepuk tangan tanya hidung
Tingkah laku wajib dibendung.

Tepuk tangan tanya muka
Jangan hendak ikut suka.

Tepuk dada tanya emosi
Sedih marah kawal situasi.

Tepuk tangan tanya semangat
Terus berjuang membara hangat.

Tepuk tangan tanya pinggang
Hubungan baik jangan direnggang.

Tepuk tangan tanya perut
Selera makan jangan diturut.

Tepuk tangan tanya lutut
Buat sahaja apa yang patut.

Tepuk tangan tanya iman
Dunia akhirat pasti aman



Tepuk tangan tanya akal
Berani berjuang sabar cekal.

Tepuk tangan tanya perasaan
Jangan sampai hilang keselesaan.

Tepuk tangan tanya dada
Jangan sampai mengada-ada.

Wallahu alam.

Mohd Sidek b Mohd Dollah
Gurindam jiwa mengusik hati,2012

Munajat Ya Al-Mu’akhir

Yang Maha Mengakhirkan

Wahai Allah
pelabuhan tempatku
menambatkan cita-cita dan harapan
anugerahkanlah aku dengan semangat
untuk terus berjuang
di tengah kesulitan yang kualami
jangan Engkau biarkan aku
menjadi manusia yang mahu segera
memperoleh sesuatu secara mudah
tanpa didahului dengan kerja keras.
Aameen.


Kecerdasan berasaskan Asmaulhusna
Sulaiman Alkumayi;2011


Friday, February 14, 2014

Kepintaran akademik


Michael Cole ialah seorang pakar psikologi matematik dari Amerika. Beliau dan rakan-rakan penyelidiknya membuat kajian ke atas proses kognitif suku bangsa Kpelle di Liberia. Kebanyakkan daripada suku ini masih buta huruf. Beliau dihantar ke negara tersebut untuk membantu meningkatkan pendidikan matematik di kalangan suku bangsa itu. Cole mendapati individu-individu yang tidak memiliki pendidikan sekolah mendapat markah rendah apabila menjawab soalan-soalan dan masalah-masalah yang dapat dijawab dengan mudah oleh individu yang pernah bersekolah. Contohnya:

Penyelidik : Flumo dan Yakpalo sentiasa minum air tebu bersama-sama. Flumo sedang minum air tebu. Apakah yang diminum oleh Yarpalo?

Subjek : Flumo dan Yakpalo minum air tebu bersama-sama tapi semasa Flumo minum air tebu itu, Yarkalo berada di tempat lain.

Penyelidik : Tadi saya sudah beritahu, Flumo dan Yakpalo sentiasa minum air tebu bersama-sama. Satu hari Flumo sedang minum air temu. Adakah Yakpalo minum air tebu pada hari itu?

Subjek : Pada hari Flumo minum air tebu itu Yakpalo tidak ada di situ.

Penyelidik : Mengapa?

Subjek : Sebab pada hari itu Yakpalo pergi ke kebunnya tapi Flumo tidak. Awak tanyalah dia sendiri.

Suatu Hipotesis yang popular menerangkan gejala seperti di atas ialah semua masyarakat mempunyai cara-cara yang tersendiri untuk mengesahkan proposisi-proposisi berkenaan dunia mereka. Dalam tradisi masyarakat barat mereka dilatih untuk membuktikan realiti dengan menggunakan proposisi representasi. Mereka dilatih berfikir berdasarkan peraturan-peraturan logik yang abstrak. Mereka membuat inferens berdasarkan premis-premis. Dengan itu, individu Kpelle yang tidak bersekolah berfikir secara konkrit manakala mereka yang bersekolah berfikir secara abstrak.

Soalan-soalan peperiksaan di sekolah bersifat adil kepada semua pelajar. Maklumat yang diperlukan sudah terdapat di dalam soalan itu sendiri. Berbeza dalam kehidupan sebenar, maklumat perlu diperolehi. Berdasarkan ciri-ciri masalah dalam peperiksaan sekolah, ia boleh diistilahkan sebagai teka-teki. Kepintaran tahap tinggi yang dipanggil kepintaran akademik yang berbeza daripada kepintaran akal biasa (common sense) diperlukan. Kepintaran akademik mempunyai ciri-ciri persamaan dengan kepintaran yang biasa digunakan oleh pakar-pakar sains komputer.

Kepintaran akademik ialah prestasi pintar dalam kegiatan mental yang kompleks yang mengkehendaki seseorang melaksanakan sesuatu tugas dengan betul dan pantas. Di sekolah kegiatan mental ialah masalah-masalah yang dicipta oleh orang lain (guru, pengarang buku teks) yang mesti diterima tanpa bantahan oleh pelajar untuk diselesaikan tanpa emosi. Ini berlainan dengan prestasi pintar dalam kehidupan sebenar yang merupakan tindakbalas-tindakbalas yang betul dari sudut matlamat jangka panjang dan jangka pendek seseorang dan berdasarkan fakta-fakta yang ditemui sendiri oleh individu berkenaan masalah yang dihadapi. Oleh sebab itu, ada kalanya tindakbalas yang paling pintar dalam kehidupan sebenar ialah supaya tidak bertindakbalas sama sekali!.

Wallahu alam.

Berfikir dalam bilik darjah
Ainon Mohd & Abdullah Hassan, 1996

Hubungan suami isteri 1

a) Tagihlah janji Allah bahawa lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Berusahalah untuk menjadi baik kerana kebaikan itu bukan hanya berlaku pada awal pernikahan tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan.
b) Cinta sebenar membebaskan bukan mengongkong. Seseorang yang mengongkong, hakikatnya mencintai dirinya bukan pasangannya. Ikat hatimu dengan Allah dan bebaskan pasanganmu…..Insya-Allah, kamu akan dapat kesetiaannya!
c) Kekasih yang baik ialah seorang pendengar yang baik. Soalnya, bilakah kali terakhir kita menjadi pendengar yang baik kepada pasangan kita? Ketika kita pulang daripada bekerja atau pun bermusafir, adakah kita memilih menjadi pendengar kepada isteri yang ditinggalkan di rumah atau pun sebaliknya?
d) Semakin banyak kemanisan yang kita teguk sebelum bernikah, semakin tawar perkahwinan yang dilalui nanti.
e) Mendengar lebih sukar, kerana ia bererti memberi perhatian hati dan perasaan. Hanya orang yang pemurah sanggup berbuat demikian. Orang yang bakhil tidak akan sanggup. Si bakhil tidak akan sanggup memberi tumpuan, perhatian dan hatinya kepada orang lain.

Wallahu alam.

Pahrol Mohamad Juoi
Seraut kata selaut rasa,2013

Gurindam jiwa mengusik hati

Seindah kata semanis bicara
Secantik bahasa semerdu suara.

Berkias bermadah di hujung lidah
Bahasa  indah menghilang gundah.

Insan cemerlang bijak bestari
Ilmu berada di hujung jari.

Hati risau jiwa kacau
Mulut meracau fikiran cacau.

Langit menangis bumi berduka
Jiwa merintih hati terluka.

Wajah ceria usah moyok
Ramah mesra usah monyok.

Gurindam jiwa mengusik hati
Berilmu beriman beramal berbakti.

Bumi dipijak langit dijunjung
Nama yang baik pasti disanjung.

Pandai berbahasa bijak bicara
Hidup bahagia aman gembira.

Siang malam pagi petang
Akal tidak sekali datang.

Ilham tidak sekali tiba
Berjaya tidak sekali cuba.

Berbuat baik biar berkali-kali
Berbuat jahat jangan sekali.

Dataran gula lautan madu
Dekat berjumpa jauh dirindu.

Doa dan usaha adalah tawakal
Panjangkan akal jangan sejengkal.

Wallahu alam.

Mohd Sidek b Mohd Dollah
Gurindam jiwa mengusik hati,2012