Monday, March 30, 2015

Hakikat hidup


Ada 4 kategori

a) Selamat dan berada dalam kebenaran dari awal hingga akhir hidup
b) Awal hidupnya jahat dan batil, di akhir hidupnya selamat dan berada dalam kebenaran
c) Awal hidupnya baik dan dalam kebenaran manakala di akhir hidupnya berada dalam kebatilan dan jahat.
d) Dari awal hingga akhir hidupnya berada dalam kebatilan

Wallahu a’lam.

Shuib Sulaiman
Prestasi umat cemerlang, 2012

Mengenali pohon

Mungkin kita
harus lebih mengenali
pohon-pohon ini
sebelum mengenali
buahnya

Mungkin kita
harus mengenali
jiwanya
sebelum mengenali
diri sendiri?


Kuntum biru kembang lestari
Muhammad Haji Salleh
2013

Doa kemuliaan diri dan keturunan




Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan keselamatan kepada junjungan kami, nabi Muhammad yang mempunyai keturunan mulia dan juga kepada keluarganya dan sahabatnya.Aameen.

Fathullah Yasin
Doa & zikir penawar tekanan segera

Sunday, March 29, 2015

Guru… usahlah bersikap ‘nato’

SEWAKTU penulis bersama-sama dengan beberapa cendekiawan pemikir akademik Kementerian Pendidikan dalam satu seminar pendidikan di ibu kota, pelbagai pendapat telah dikemukakan untuk dibincangkan bagi mencari kata sepakat berkaitan beberapa isu pendidikan terbaharu, sekali gus menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Dengan kata lain, pejam celik, pejam celik begitu pantas sekali masa berlalu dan 2015 merupakan tahun akhir Gelombang 1 (2013-2015), iaitu mengubah sistem dengan menyokong guru dan memberikan tumpuan kepada kemahiran utama.

Masih kedengaran cakap-cakap massa di seluruh pelosok tanah air, iaitu terdapat sebilangan besar daripada pendidik tempatan kurang memahami kandungan PPPM yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 September 2013. Dalam hal ini, kata-kata seorang akademikus terkenal tanah air ada kebenarannya.

Kata beliau, “Saya berasa hairan kerana masih terdapat golongan pendidik kini yang bersikap ‘nato’ dalam urusan sehariannya sebagai pendidik sedangkan kerajaan melalui KPM (Kementerian Pendidikan) telah memperuntukkan wang yang begitu besar untuk menjayakan transformasi pendidikan agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa di negara maju.”

Sejujurnya, kerisauan beliau bukan sahaja dirasai oleh pegawai KPM tetapi ibu bapa juga turut menerima tempiasnya dek perilaku sesetengah guru yang bersikap ‘nato’ itu.

Perkataan ‘nato’ merujuk kepada frasa no action talk only yang begitu jelas menggambarkan bahawa ada guru yang bersikap sedemikian ketika memberikan ilmu pengetahuan kepada muridnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru yang tegar dengan situasi ‘nato’ ini berlaku di mana-mana daerah atau lokasi dunia pendidikan kini.

Apakah kesannya kepada murid pascamerdeka pada masa hadapan? Adakah murid berasa selesa akan sikap guru ‘nato’ itu? Sehubungan itu, stigma sebegini tidak wajar berlaku kerana setiap guru telah melalui proses pengamalan pedagogi berkesan serta praktikum ketika mereka menuntut di Institut Pendidikan Guru (dulunya maktab perguruan) atau di universiti tempatan dan luar negara.

Apakah yang diinginkan oleh seseorang murid pascamerdeka dalam proses pembelajaran seharian mereka? Jika perkara ini diajukan kepada murid, tentulah jawaban yang pelbagai akan diperoleh. Dalam hal ini, seseorang guru yang sentiasa menyedari tanggungjawabnya akan berusaha untuk memberikan persembahan yang terbaik ketika sesi pengajaran di dalam kelas, selain menitikberatkan aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek muridnya setiap masa.

Guru-guru seharusnya mendekati muridnya dengan penuh kasih sayang agar ilmu pengetahuan benar-benar meresap ke dalam diri murid tanpa gangguan unsur provokasi luaran. Usahlah dibiarkan sikap pasif ‘nato’ mendominasi minda guru terus-terusan tanpa adanya prakarsa murni untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan kaedah pengajaran terkini.

 Murid-murid pada abad ke-21 ini merupakan murid pascamerdeka yang aktif dalam serba bidang. Hal ini menuntut guru-guru mengetepikan sikap jelik ‘nato’ dalam mendepani kerenah murid masing-masing dengan minda yang terbuka selain mendidik mereka agar tidak sekali-kali meminggirkan kesantunan budi bahasa. Jadilah guru yang selalu kasih akan muridnya tanpa mendambakan sebarang balasan.

Selain itu, guru nan berwibawa perlu menerokai pelbagai disiplin ilmu kurniaan Ilahi dengan ikhlasnya kerana yakinlah bahawa apabila minda guru cerdas dan kuat, pengetahuan muridnya jua pasti mencapah sekali gus Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) turut terserlah. 

Kesimpulannya, peribahasa ‘leluhur ular menyusur akar’ tidak akan hilang bisanya masih malar segar dalam ranah kehidupan seseorang guru kini. Setiap guru mempunyai nuansa yang cukup ampuh dan nirmala untuk menjadi guru yang bercita-cita tinggi, sekali gus menjayakan PPPM pada abad ke-21 ini.

Wallahu a’lam

Nik Nor Ahmarizam b Nik Ahmad
Sinar Harian Online.
26 Mac 2015

Peringkat akal

Ada 6
 a) Fatanah
b) Super genius
c) Genius
d) Cerdik biasa
e) Bodoh
f) Dungu

Wallahu a’lam.

Shuib Sulaiman
Prestasi umat cemerlang, 2012


Apakah yang kaulakukan



Apakah yang telah
kaulakukan
terhadap negaraku

Aku tak mengenalinya lagi
ada bangunan
yang dicat wang
dan dilapisi angkuh
yang meleleh dengan nafsumu

Apakah yang telah
kaulakukan kepada negara?
aku tidak mengenalinya lagi

Di jalan wajah asing
keras dan kurang ajar
dia seperti anakku
tapi juga perompak dari kapal
matahari
sekarang aku harus mengungsi
ke kampong di ulu
supaya dapat kembali
kepada diri

Apakah yang telah
kaulakukan terhadap negaraku

Kuntum biru kembang lestari
Muhammad Haji Salleh
2013

Doa mujarab ubat hati




Ya Allah, limpahlah rahmat kepada junjungan kami nabi Muhammad, pengubat hati dan ubatnya, ubat untuk bahan dan merawatnya, cahaya batin  dan sinarnya. Semoga keberkatan dan keselamatan dilimpahkan kepada keluarga dan sahabatnya. Aameen.

Fathullah Yasin
Doa & zikir penawar tekanan segera


Saturday, March 28, 2015

Kedudukan orang Islam


Ada 5 di sisi Tuhan

a) Siddiqqin
b) Muqarrabbin
c) Solehin
d) Fasiqin
e) Zolimin

Seseorang yang kedudukan solehin adalah pada kedudukan yang sekurang-kurangnya perlu dicapai. Inilah prestasi yang cemerlang di sisi Allah swt.

Wallahu a’lam.

Shuib Sulaiman
Prestasi umat cemerlang, 2012

Wang

Tiada perumpamaan lebih mahal dari wang
darinya mengalir keringat
rasa susah dan rasa senang
darinya cinta mengalir
rasa hampa dan tercabar
bercakaplah apa sahaja
antara memberi dan menerima
tetapi wang lebih bijaksana
bermuafakat atau membuat pesona

Wang mempunyai dua wajah
lain di hadapan lain di belakang
di tangan kita
ia masih boleh berubah
menjadi baik
atau menimbulkan masalah

Wang sering bersembunyi
dalam kerja-kerja terpuji
sering juga menutupi
dosa dunia di sana sini

Maka berbahagialah mereka
yang memiliki banyak wang
tetapi peliharalah harta
yang tidak boleh dibeli dengan wang.

Hilmi Rindu
Kuala Nerus, Terengganu
Mingguan Malaysia
22 Mac 2015

Friday, March 27, 2015

Peringkat roh

Ada 4

a) Roh bercahaya
b) Roh bersih
c) Roh kelabu
d) Roh gelap

Roh gelap adalah milik orang kafir. Roh kelabu adalah milik orang Islam yang bergelumang dengan dosa, maksiat serta mazmumah. Tahap prestasi cemerlang sekiranya seseorang itu memiliki roh bersih yakni bersih dari mazmumah dan dipenuhi oleh mahmudah.

Wallahu a’lam.


Shuib Sulaiman
Prestasi umat cemerlang, 2012

Dia Yang Maha Agung

Dongaklah setinggi-tingginya ke langit
tunduklah serendah-rendahnya ke bumi
introspeksi dan selamilah ke dalam diri
kerana antara kita dengan Dia
seumpama jarak langit dan bumi
tiada standing keagunganNya

Dia Yang Maha Agung
pencipta yang berkuasa
berhak ke atas semua
di langit dan bumi
Dia pinjamkan sementara
kepada kita makhlukNya

Dengan anugerahNya
terokailah dengan  bestari
akan keagungan dan kekuasaanNya
kerana semuanya mulik Dia
bisa diambil kembali

Tanpa kita ketahui
bila akan terjadi.

Zaibiee
Perairan Sarawak
Mingguan Malaysia
22 Mac 2015

Azam PISA Malaysia 2015



Lipat ganda usaha ke arah kejayaan
Pencapaian PISA lambang kemegahan pencapaian negara
Kejayaan PISA
Kejayaan kita semua!


PISA MALAYSIA 2015
YAKIN BOLEH
YAKIN HEBAT

Insyaallah.




KPPM, KPM
24 Mac 2015
BTPN, Pengkalan Chepa

Thursday, March 26, 2015

Peringkat Iman

Terdapat 5 tahap di kalangan orang Islam :

1. Iman Taqlid
Iman sekadar ikutan atau Islam baka. Islamnya kerana ketrunan atau baka. Iman taqlid ini tiada padanya benteng, kubu ataupun penangkis daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Batinnya menjadi sarang mazmumah. Jiwanya lemah, mudah kecewa dan putus asa. Menurut pendapat ulama iman taqlid ini tidak sah imannya.

2. Iman Ilmu
Iman yang sah kerana sudah bersandar dengan ilmu serta ada hujah mengesahkan imannya. Namun imannya belum kuat atau belum mantap. Biarpun berilmu tetapi masih lemah dalam melawan nafsu sering saja terjebak dengan dosa. Kalau Tuhan tidak ampunkan nescaya masuk neraka terlebih dahulu.

3. Iman Ayyan
Iman orang soleh yang sudah menjadikan nafsunya tunduk. Hanya sekali sekala dan amat sedikit terjatuh kepada dosa kecil yang tidak disengajakan. Itu pun dirasakan seperti gunung hendak menghempap kepala, lantas bersegera memohon ampun dan Allah SWT ampunkan. Ada jaminan tidak jatuh ke neraka.

4. Iman Hak
Iman para sahabat, para syuhada dan wali besar

5. Iman Hakikah
Iman para rasul dan nabi

Prestasi cemerlang dalam aspek Iman ialah apabila mencapai kedudukan sekurang-kurangnya pada tahap Iman Ayyan yang ada jaminan dapat masuk syurga.

Wallahu a’lam.

Shuib Sulaiman
Prestasi umat cemerlang, 2012

Ya Allah anugerahkan kami ketetapan dan kesempurnaan iman dan takwa. Aameen.

Kalung buat murabbi


Diraliti dakapan masa nan erat
aku lupa dia juga ditelan lelah dan keringat
demi mentasbihi fasih di lidah umat
air mukanya masih tegas
bicaranya tetap emas

Dirakusi kucupan waktu nan berlalu
aku lupa dia juga dimamah pilu dan ngilu
demi menzikir fikir di ujana ilmu
kudratnya masih tersisa

Aku kalungkan ingatan kudus buat murabbi
yang tidak pernah lupa
membenamkan seluruh jiwa
milikku dalam tadahan doanya.

Nudra Shafini Halis Azhan
UPM, Serdang Selangor
Mingguan Malaysia
22 Mac 2015

Wednesday, March 25, 2015

Helah

Semasa saidina Umar Ibnu Abd Aziz menjadi khalifah, beliau telah menghantar sebuah rombongan misi dakwah ke wilayah Asia Tengah. Pemimpin rombongan itu ialah Samarkand. Helah dan muslihat melalui satu pakatan dengan pegawal agar pintu kota dibuka di malam hari. Ini membuatkan tentera Islam berjaya memasuki kota dan terus menakluki dengan amat mudah. Cara Samarkand itu membuatkan para pendeta di situ tidak berpuas hati dan mengadu kepada khalifah.

Ketika diadili, hakim telah memanggil pendeta untuk memulakan pendakwaan. Pendeta pun menceritakan helah yang telah dibuat oleh tentera Islam. Hakim bertanya kepada Samarkand: Apakah dakwaan itu benar?. Samarkand menafikannya. Lalu hakim bertanya pula kepada Samarkand: Kalau begitu, di antara tiga cara ini, cara manakah yang kamu lakukan dalam penaklukan ini? Petama, menyeru supaya penduduk kota memeluk agama Islam. Kedua, jika tidak mahu, mereka dikehendaki membaar jizyah. Ketiga, jika tidak barulah berperang.

Soalan hakim itu tidak dapat dijawab oleh Samarkand. Jadi ternyata dakwaan pendeta itu betull. Lalu saidina Umar Ibnu Abd Aziz mengarahkan Samarkand dan semua tentera Islam meninggalkan wilayah itu dengan segera lalu diserahkan semula kepada pendeta.

Walau bagaimanapun, setelah semua tentera Islam keluar dari  wilayah yang ditakluk itu, seluruh penduduk wilayah itu memeluk Islam kerana melihat keindahan dan keadilan Islam yang ditunjukkan oleh Saidina Umar ibnu Abd Aziz.

Wallahu a’lam

Shuib Sulaiman
Rasulullah tokoh transformasi
2012

Jangan



Jangan cepat menyerah
kerana setelah malam berjela
ada subuh
dan setelah siang
ada sederet jam pagi.

Kuntum biru kembang lestari
Muhammad Haji Salleh
2013


Wednesday, March 18, 2015

Tanda utama kegagalan dalam mendidik manusia (4)


Banyak penjara

Bukti lain kegagalan dalam mendidik ialah semakin banyak dan besarnya bangunan penjara dan semakin sendat. Banyak kompaun dan saman dikeluarkan. Banyaknya kes yang dibicarakan di mahkamah. Ini belum lagi diambil kira mereka yang terlepas begitu saja tanpa dapat dikesan. Manusia terdidik rohaninya dengan Allah sehingga mendapat rasa bertuhan jika bersalah pun terlalu sedikit yang mana tidak perlu dihukum. Mereka akan insaf dan bertaubat sendiri.Manusia zaman salafussoleh paling minima jumlah mereka yang menerima hukuman. Ini kerana manusia zaman itu rohani mereka terdidik dengan Allah.

Mungkin  kerana takutkan undang-undang yang ketat dan keras serta hukuman yang berat maka manusia kurang membuat kesalahan. Terjaminkah mereka itu bersih dari kejahatan? Sedangkan kejahatan batin atau mazmumah adalah angkara nafsu, bukan dapat dikikis atau dibakar dengan undang-undang dan hukuman.

Nafsu tidak takutkan hukuman. Sudah ramai manusia yang dihukum gantung kerana membunuh dan mengedar dadah. Mereka yang belum kena pun tahu akibatnya. Namun begitulah sifat nafsu sentiasa mendorong dan merangsang kepada kejahatan. Nafsu hanya boleh tunduk, mengaku kalah, kendur dan lemah dengan takutkan Allah SWT. Malah nafsu yang sifat asalonya sentiasa negatif itu, dengan takutkan Allah akan bertukar kepada mendorong dan merangsang kemahuan yang positif sahaja. Ingatlah bahawa melalui hukuman tidak berhasil membakar sifat-sifat mazmumah.

Terdapat kesalahan yang tidak disabitkan kesnya di mana-mana mahkamah iaitu kesalahan dalam mendidik manusia itu sendiri. Pemimpin dan pendidik yang tidak membawa manusia kenal Allah adalah satu kesalahan. Kesan dari manusia tidak kenal Allah amat merbahaya. Manusia itu ibarat membawa racun ke mana-mana. Sifat racun itu memang sudah sedia rosak dan jika tumpah mengenai orang lain maka ia merosakkan. Racun itu ialah sifat-sifat mazmumah yang sangat merosakkan kehidupan manusia.

Wallahu a’lam

Shuib Sulaiman
Rasulullah tokoh transformasi
2012

Cabutan kasih sayang

Selepas suatu peperangan berakhir, saidina Bilal telah membawa dua orang wanita tawanan perang untuk dipertemukan dengan rasulullah saw. Sebelum init, beliau membawa tawanan wanita-wanita itu melihat mayat-mayat tentera musuh yang bergelimpangan  terlebih dahulu. Di antara mayat-mayat itu, ada mayat ayah dan saudara lelaki salah seorang wanita-wanita tawanan itu. Melihatnya, dua wanita itu menjerit-jerit sambil melemparkan pasir ke muka sendiri.

Peristiwa itu diceritakan Bilal kepada rasulullah saw. Lalu baginda berkata  berkata kepada Bilal: Wahai Bilal, apakah kamu ingin dicabut rasa kasih sayang dari hati kamu? Teguran itu bermaksud memadailah tawanan wanita itu menderita kehilangan ayah dan saudara lelaki. Sewajarnya mereka diberi layanan dengan penuh kasih sayang dan jangan ditambahkan penderitaan perasaan mereka.

Wallahu a’lam

Shuib Sulaiman
Rasulullah tokoh transformasi

2012

Ya Allah anugerahkan kami kemampuan Bina Ilmu Melalui Akhlak (BIMA). Aameen

Kod negeri


Belajar menjadi tabah

Mereka telah lama menyarung baju tabah
sehingga ujian menjadi
seperti lintasan kilat
yang pantas dan jauh
melihat senyum
yang memercik ikhlas
kita seperti sedang
menonton wayang
yang memaparkan kesempurnaan

Alangkah manisnya
menyarung baju tabah
ketika yang lain menjerkah takdir
dengan hambur nista
dan api amarah
mereka pula begitu santun
menyalami sukar dan
mengucap syukur
kerana masih dikurniakan hidup
meskipun rumah yang tinggalnya
hanya tangga dan rangka

Kita belajarlah daripada
ribuan kisah
mereka yang lama diasuh
mensyukuri musibah
sehingga menjadi sedemikian tenang
gelap pun akhirnya
bertukar terang.

Ratna Laila Shahidan
IPGKRM Seremban
BH, 8 Mac 2015

Monday, March 16, 2015

Tanda utama kegagalan dalam mendidik manusia (3)



Banyak menghukum

Dalam ajaran Islam menghukum adalah jalan terakhir setelah diusahakan pelbagai cara terutamanya melalui didikan. Islam paling mengutamakan prevention is better than cure iaitu mencegah lebih baik daripada merawat.

Melalui didikan, hati manusia itu sendiri benar-benar takutkan Allah, takutkan dosa, takutkan neraka serta benci dan menolak maksiat. Jika ditangkap, didakwa, kemudian dimasukkan ke dalam penjara atau pusat serengti, itu bukan mencegah, menghalang atau membendung. Mencegah atau membendung ertinya langkah-langkah yang diambil sebelum kejahatan dan kemungkaran itu berlaku. Jika kejahatan sudah berlaku kemudian dihukum, itu menghukum bukan mencegah.

Mendidik pula bukan bermaksud masuki sekolah, menghafal atau lulus peperiksaan. Ia bermaksud membina iman dan takwa, syariat dan akhlak. Selepas proses mendidik berlaku, langkah seterusnya ialah menutup semua pintu kejahatan. Kemudian memberi jalan keluar atau alternatif bagi mereka yang memerlukan.

Dalam sejarah rasulullah saw, yang sesuai dengan zaman itu, baginda memberikan kapak kepada orang miskin supaya digunakan untuk mencari kayu api.Itu adalah sebagai satu cara untuk menghindari perbuatan mencuri atau merompak. Apabila menghukum orang yang bersalah, pelbagai aspek pula dikaji, diteliti dan diprerhalusi supaya tiada yang dizalimi. Umpamanya seseorang mencuri di musim kemarau. Masih ada pertimbangan termasuk mencuri harta orang kaya yang mengabaikan orang miskin. Mencuri benda yang tidak dijaga dengan sempurna juga ada pertimbangan. Begitulah kedudukan hukuman dalam Islam.

Andainya kita juga terjebak dengan kaedah trial and error dengan semata-mata menggunakan akal bagi mengatasi masalah manusia, pasti kitajuga akan banyak menghukum. Banyak pula pasukan penguatkuasaan. Mereka itu juga perlu diawasi. Ujudkan pula team yang bertugas mengawasi pasukan penguat kuasa. Team pengawas itu juga perlu dipantau. Tubuhkan pula satu skuad pemantau. Dan begitulah seterusnya.

Banyak menghukum itu isyarat bahawa manusia banyak buat salah. Banyak buat salah dan masalah ertinya manusia itu tidak terdidik sekaligus tiadalah prevention. Begitulah perangai atau tabiat manusia yang bertuhankan nafsu. Nafsu akan menguasai semua aspek kehidupan. Dalam masyarakat dan negara yang rohani tidak terdidik dengan rasa bertuhan, masyarakatnya dikepung oleh undang-undang, akta dan hukuman. Masyarakatnya sudah terpenjara oleh undang-undang dan hukuman. Sedangkan jika rohani terdidik dengan rasa bertuhan maka iman dan takwa yang mengawal kehidupan.

Wallahu a’lam

Shuib Sulaiman
Rasulullah tokoh transformasi
2012

Pemimpin 4E

Ciri-ciri 4E  ini dikemukakan oleh Jack Welch, pengerusi syarikat General Elekric.  Pada tahun 1981 beliau dilantik sebagai CEO syarikat GE itu. Beliau berpendapat satu syarikat yang besar menghalang kemajuan, ia bergerak pelahan dan terlalu birokratik. Dalam dunia bisness, sama ada kita lakukan yang terbaik ataupun kita tidak akan bertahan lama di dalamnya. Penstrukturan semula dilakukannya dalam Fasa harware diikuti memfokuskan kepada menaikkan semangat dan produktiviti pekerja dalam fasa kedua, software. Menerusi 4E  merujuk kepada :

a) Energy  : Tenaga

b) Energizes : Mendorong

c) Edge : Cekal

d ) Executes : Melaksana

Konsep 4E terletak antara intergriti dan keghairahan. Ciri-ciri ini bertindan dan saling bertindak.

Energy
Energizes
Edge
Executes
Memacu & mendorong
Visi dan wawasan
Pesaing hebat
Mengeluarkan hasil & mencipta matlamat
Mendukung perubahan
Mendorong semangat orang lain
Membuat keputusan sukar & rumit
Prestasi yang konsisten cemerlang

Wallahu a’lam

Kuasa kepimpinan 4E
Jeffrey A.Krames
2013

Menjauhi amalan orang Rom dan Farsi

Selepas satu peperangan berakhir, seorang tentera Islam telah membawa sebuah bungkusan lalu menghadiahkannya kepada saidina Abu Bakar as Siddiq. Saidina Abu Bakar bertanya: Hadiah apakah ini? Tentera Islam itu pun membuka bungkusan itu, Saidina Abu Bakar terkejut kerana mendapati ia adalah kepala seorang musuh. Lalu Saidina Abu Bakar bertanya: Apakah kamu hendak mencontohi cara-cara orang Rom dan Farsi?. Sesungguhnya Islam tidak sedikit pun menyerupai cara-cara mereka itu.

Apa yang dimaksudkan oleh Saidina Abu Bakar perbuatan membawa pulang kepala musuh itu sangat menyalahi adab dan akhlak peperangan dalam Islam.

Wallahu a’lam


Shuib Sulaiman
Rasulullah tokoh transformasi
2012


Air Zam-Zam


Air Zam-Zam Miliki Mukjizat - Saintis Jepun

KAJIAN seorang saintis Jepun mendapati bahawa air zam-zam mempunyai keajaiban dan kandungan airnya berbeza dengan yang lain.Dr Masaru Emoto dari Universiti Yokohama, Jepun menjalankan kajian ke atas perubahan bentuk molekul air yang didedahkan kepada pengaruh-pengaruh positif dan negatif. Beliau mendapati apabila air didedahkan kepada kata-kata, tulisan dan pesanan yang berbentuk positif, air-air tersebut membentuk molekul yang berbentuk kristal indah.Sebagai contoh, dalam salah satu eksperimen beliau, air didedahkan dengan bacaan doa agama Islam dan molekul air yang terhasil membentuk kristal indah berbentuk segi enam dengan lima cabang daun yang berkilauan indah.

Beliau turut mendapati molekul air yang terhasil menerusi eksperimen ke atas air zam-zam adalah bercabang-cabang dan berkilauan.Emoto mendedahkan hasil penemuannya itu dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Mac 2005 di New York. Dalam eksperimen tersebut turut mendedahkan pengaruh unsur-unsur negatif terhadap air. Menurut Emoto, apabila air didedahkan kepada perkataan syaitan dan muzik heavy metal, kristal molekul air yang terhasil tidak mempunyai bentuk dan kelihatan hancur serta buruk.

"Ternyata, air boleh 'mendengar, membaca dan memahami' kata dan doa," katanya.

Pada Persidangan Air Sedunia di salah sebuah universiti di negara ini beberapa tahun lalu turut membuktikan segala fakta mengenai air. Sewaktu persidangan itu, air dari merata dunia diambil dan diperiksa akan 'kehebatannya'.Kamera berfrekuensi tinggi berjarak jauh digunakan untuk melihat akan gambaran yang terjadi kepada air yang sedang diuji itu.  Maka air dari Sungai Ganges dan juga termasuk air zam-zam diuji dan dikenal pasti. Uniknya, air zam-zam membentuk molekul yang begitu kukuh, strukturnya tidak berubah disebabkan apa jua tekanan.

Malah, kehebatan air zam-zam didapati mampu merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu tertentu. Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di makmal Eropah, terbukti bahawa air zam-zam memang lain daripada yang lain.Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Mekah.

Ia mengandungi kadar kalsium dan garam magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan penyembuhan.
Air zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya.Lebih menakjubkan, tidak ada sedikitpun lumut di telaga zam-zam dan ia sentiasa bebas dari pencemaran kuman.

Justeru, dalam perubatan Islam, penggunaan air penawar dalam rawatan adalah satu aspek penting untuk diamalkan pesakit. Air penawar biasanya dibacakan Surah al-Fatihah atau ayat suci al-Quran yang berkaitan dengan penyakit dialami pesakit. Selepas pesakit membaca ayat al-Quran, mereka dikehendaki membaca doa memohon kepada Allah untuk penyembuhan dan doa ini turut dibacakan ke air penawar.

Teori Emoto mengenai perubahan kristal molekul air jelas menerangkan kemujaraban air penawar yang didedahkan kepada bacaan ayat suci al-Quran. Pembacaan ayat suci al-Quran ke atas air penawar menyebabkan kristal molekul air penawar berubah kepada bentuk kristal indah dan memberi kesan positif kepada peminumnya.

Wallahu a’lam.

Mstar
6 September 2014

Baiklah

Baiklah kita duduk dulu
sebelum bibir berkata-kata
ketika telinga sedia mendengar
selepas mata saling mengenal

Baiklah kita berehat seketika
ketika pungguk bertasbih panjang
selepas penat melayan kehidupan
sebelum malam bertukar siang

Baiklah kita bergerak semula
selepas kaki ditemani sepatu
ketika peluang diberi Tuhan
sebelum jam berubah waktu.

Abd Hadi Yusoff
Kota Bharu Kelantan
Mingguan Malaysia
15 Mac 2015



Sunday, March 15, 2015

Tanda utama kegagalan dalam mendidik manusia (2)

Banyak kes mahkamah

Bangunan mahkamah semakin besar dan semakin banyak dibangunkan. Kes-kes yang dibawa ke muka pengadilan bertimbun-timbun. Oleh kerana tidak cukup kakitangan, banyak berlaku kes yang perbicaraannya tertunda.

Penjara juga semakin besar dan semakin banyak dibangunkan. Tetapi ia sentiasa penuh sehingga banduan tidak berpuas hati. Apa perlunya banduan melahirkan rasa tidak berpuas hati? Sekiranya rasa tidak selesa di dalam penjara, mengapa jadi penjenayah? Pusat pemulihan akhlak juga semakin besar dan semakin banyak dibangunkan bagi menampung pelbagai jenis salah laku remaja.

Inilah gambaran didikan yang gagal. Belum lagi diambil kira kes-kes yang terlepas dari dakwaan dan gejala sosial yang bukan bersifat jenayah. Salah laku maksiat yang tidak dikanunkan juga banyak seperti minum arak walaupun tidak sehingga mabuk atau berjudi di tempat yang dilesenkan. Mabuk pun hanya menjadi kesalahan jika memandu dan menyebabkan kemalangan. Ada satu lagi kes yang amat besar dan akibatnya juga amat berat iaitu menimbulkan perpecahan dalam masyarakat. Tetapi ia tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah.

Wallahu a’lam

Shuib Sulaiman
Rasulullah tokoh transformasi
2012

Rakyat Malaysia ambil garam lebih

Kempen Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2015

PUTRAJAYA – Kira-kira 32.7 peratus rakyat Malaysia atau 5.8 juta orang yang berumur 18 tahun dan ke atas kini menghidap penyakit hipertensi atau darah tinggi akibat pengambilan garam secara berlebihan sekali gus menjadi penyumbang utama kepada kadar kematian di negara ini.Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, secara purata seorang dewasa mengambil sebanyak 8.7 gram sehari iaitu 1.7 kali ganda lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu lima gram atau sesudu teh sehari.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dijalankan Institut Kesihatan Umum pada dua tahun lalu mendapati, pengambilan garam adalah lebih tinggi dalam kalangan lelaki berbanding wanita dan perkara ini disebabkan kurangnya kesedaran.

“Dalam kajian yang sama, kicap soya didapati menjadi makanan utama yang menyumbang kepada kandungan sodium tinggi diikuti nasi goreng, nasi lemak, mihun goreng, mi sup dan sup. Kebanyakan orang tidak sedar bahawa mereka telah mengambil garam secara berlebihan kerana kira-kira 75 peratus daripada garam dalam diet seharian datangnya dari makanan terproses,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Kempen Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2015 yang bertemakan ‘Makan di luar, kurang masin, pilihan sihat’ di kementeriannya di sini semalam. Tema tersebut menekankan pemilihan makanan yang rendah kandungan garam ketika makan di luar kepada tiga kumpulan sasaran iaitu murid sekolah, golongan pekerja dan pengusaha makanan.

Subramaniam memberitahu, seseorang yang mempunyai yang mempunyai paras garam yang tinggi di dalam darah adalah berisiko menghidap penyakit darah tinggi dan seterusnya jantung, strok, kerosakan ginjal atau buah pinggang dan kerosakan mata.

Terdapat bukti saintifik terkini yang menunjukkan bahawa pengambilan garam yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak juga mempengaruhi tekanan darah dan berisiko mendapat penyakit osteoporosis, asma, kanser dan obesiti, ujarnya.

Justeru, beliau mengesa orang ramai supaya melaksanakan langkah pengurangan garam dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan menyasarkan tekanan darah (BP) pada paras optimal iaitu 120/80 mmHg atau kurang.

Pengambilan garam mengikut umur :

Kumpulan umur ( tahun )
Pengambilan yang mencukupi (garam)/hari
1 - 3
1 – 1.5
4 – 8
1.2 – 1.9
9 - 13
1.5 – 2.2
14 – 18
1.5 – 2.3
18 ke atas
Kurang daripada 5 gram

Wallahu a’lam.

Suhana bt Md Yusof
Kosmo; 13 Mac 2015

Duka sejarah


Usah diungkit kata
segala peristiwa duka
menumpahkan air mata
terjajah negara tercinta
biarlah ia jadi kenangan
dan teladan masa depan.

Teks sejarah di sekolah
biarlah anak-anak kita
kenali baca segala peristiwa
dikaji, difahami dan dhayati
luka bangsa sejarah penjajah
tidak berulang kembali
akhirnya tinggal sejarah
parut luka dan darah.

Duka sejarah duka kita
kitalah pencipta sejarah
agama, bangsa dan Negara
biar gagah dan perkasa.

Ami Masra
USJ 4, Subang Jaya
Berita Harian,
8 Mac 2015