Friday, August 30, 2013

Pemikiran Tuk Kenali ( 19 )



Biar mati adat, jangan mati syara’

Rasulullah saw diutuskan ke dunia ini, antara lain ialah untuk membanteraskan adat-adat yang sesat dan merugikan seperti menanam anak-anak perempuan hidup-hidup, arak minuman resmi, berpoligami tanpa batas, memperkecilkan kaum Hawa dan sebagainya.

Islam mengajar penganutnya bahawa untuk membanteras sesuatu adat itu juga hendaklah menerusinya. Adat yang buruk dan merugikan ditukar kepada yang baik dan menguntungkan. Contohnya solat lima waktu sehari semalam dan ibadah puasa sebulan Ramadhan adalah mendidik umat Islam membentuk adat yang baik dalam kehidupan seharian.

Menurut Tuk Kenali, bangsa Arab adalah terkenal sebagai suatu bangsa yang kuat memegang adat. Salah satu adat yang masih diteruskan sampai ke hari ini, sekalipun pernah ditentang hebat oleh nabi saw ialah adat meratap mayat.

Islam melarang seseorang meratapi mayat, menangis serta berteriak menyesali kematian seseorang dengan mengatakan: kiranya ia masih hidup, dia boleh melakukan..... juga memuji-muji mayat dengan tujuan menunjukkan penyesalan, lebih-lebih lagi menampar-nampar pipi atau mengoyak-ngoyakkan pakaian.

Menurut Imam Ahmad B Hanbal, termasuk peratapan ialah membuat perjamuan (kendiri kematian secara agak besar).

Sabda nabi saw : Orang mati itu diazabkan dalam kuburnya sebab ratapan yang diratapkan ke atasnya. ( HR Umar b Ibnu Al-Khattab ).

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

Al-Bara’ bin Azib Ra



Al-Bara’ bin Azib bin al-Harith bin Adi bin Jusyam bin Majda’ah bin Harithah bin al-Harith bin Amr bin Malik bin al-Aus al-Ansari al-Ausi. Dikuniyahkan dengan Abu Ammarah Abu Amr. Beliau dan ayahnya merupakan sahabat. Katanya: Aku dianggap kecil  oleh rasulullah saw dalam peperangan Badar. Beliau menyertai peperangan Uhud. Diriwayatkan daripadanya, beliau berperang bersama rasulullah saw sebanyak 14 peperangan dan bermusafir sebanyak 18 kali bersama rasulullah saw. Beliau yang membuka kota al-Ray pada tahun 24 Hijrah. Menyertai peperangan Tustar bersama Abi Musa, begitu juga bersama Ali dalam peperangan al-Jamal dan al-Sifin, juga memerangi Khawarij. Menetap di Kufah dan meninggal dunia di sana pada pemerintahan Mus’ab bin al-Zubair iaitu pada tahun 72 Hijrah.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Ketrampilan bunga dan warna



Esei 3

Warna terkenal dengan kuasanya sebagai pemberi pengaruh atau perubatan. Perhatikan kaedah penjual emas dan berlian mempamerkan barangannya dengan latar belakang bermandikan cahaya merah pekat atau biru tua.Hasil kerja lukisan juga mengaut duit yang banyak melalui penggunaan bijak warna. Merah agak berkuasa, menguja dan memberi perangsang; oren, lantang dan melaram; kuning, ceria dan bersemangat. Warna pic melambangkan kekayaan dan keselesaan; ungu, dikaitkan dengan percintaan. Hijau menyejukkan penglihatan mata, sesuatu yang dikaitkan dengan keseronokan bagi pemain golf dan pengembara hutan. Biru dikatakan berkait rapat dengan pemuliharaan dan peneutralan, baik untuk sakit kepala dan masalah tidur. Ungu adalah kekuatan dan bertenaga, tetapi ungu muda, merah kecubung dan merah senduduk adalah keamanan dan kesederhanaan.

Goethe menyatakannya dengan tepat bahawa setiap warna memberi impak yang tersendiri dalam kehidupan manusia, dengan itu mendedahkan hakikat sebenar kepada penglihatan mata dan juga kepada pengamatan minda.

Justeru itu prihatinlah dengan kuasa pengaruh yang ada pada bunga dan warna dan ingatlah di sepanjang hayat anda bahawa kedua-duanya meliputi Mm, iaitu menyokong, melegakan, menenangkan, mempengaruhi, menggoda, mempesonakan dan menjual!

a) Semua yang cerah dan cantik….semua perkara bijaksana dan istimewa, kesemuanya adalah anugerah Tuhan. (C.E Alexander)
b) Semua yang cantik itu membawa kebahagiaan yang kekal. Keayuannya bertambah dan tidak akan terhakis atau hilang. (J.Keats)
c) Kecantikan pada sesuatu benda itu wujud dalam minda yang mengamatinya. (D.Hume)

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Erti kemerdekaan



Kemerdekaan bagiku :
bukan bebas penjajah
aku tak pernah dijajah
bukan burung di angkasa
aku tak pernah terbang
bukan segar udara
aku dikelilingi kilang

Kemerdekaan bagiku :
bukan bebas bersuara
kesimpulan dan hak
bukan ucapan syukur
nikmatnya rasa
bukan wangi hidup
mesranya warga
bukan tenang melangkah
ruang nan terbuka
bukan pesta 31 Ogos.

Kemerdekaan bagiku :
kota yang sejahtera
kemerdekaan bagiku :
hidup di syurga!

Nassury Ibrahim
Menimba Laut, DBP 1996 

Tempat kembali yang baik



Ya Allah, ku mohon padaMu kehidupan yang baik, kematian yang baik dan tempat kembali kepadaMu yang tidak menghinakan dan tidak pula membongkar aib.
( HR Al-Bazzar )

Innalillah wainna ilaihi raajiuunnn...
Allahumaghfirlahum warhamhum wa'afihim wa'fuanhum... buat saudaraku…Aameen.

Thursday, August 29, 2013

Keindahan dan keajaiban alam



Esei 2

Halakan kamera kita ke arah kapal nabi Nuh as yang sepanjang waktu di sisi kita, dengan pelbagai muatan yang meriah; kerang laut, tapak sulaiman, udang karang, ampai-ampai, beluncas, kupu-kupu, tebuan, tupai, arnab, unta, kuda belang, zirafah, badak sumbu, gajah, jerung dan pari, katak dan kodok, neut dan bengkarung, cicak dan buaya, penyu dan labi-labi, ikan lumba-lumba dan paus, anjing laut dan singa laut, burung penguin dan beruang kutub, burung balatuk, helang dan rajawali, platipus dan tenggiling yang bertelur, siamang dan orang utan, harimau bintang dan harimau kumbang, anjing dan kucing, lembu dan kambing.

Ayam dan ituk, dan tikus…..anak-anak saya akan mencelah, mereka sukakan binatang; tetapi saya akan berkata : Dunia ini indah, tetapi berapa ramai manusia yang benar-benar dapat melihat dan menghayatinya?

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Pemikiran Tuk Kenali (18)



Tuk Kenali dengan wang

Diberitakan bahawa Datuk Perdana pernah menganjurkan agar Tuk Kenali menggunakan ilmu hikmat orang Maghribi untuk memperolehi wang menerusi doa dan zikir. Bagi Tuk Kenali, cara itu bukanlah sunnah ( jalan) yang baik, pekerjaan demikian bukanlah pekerjaan yang layak baginya.

Tuk Kenali seorang yang zaahid (hidup sederhana). Sewaktu menuntut ilmu lagi, beliau tidak bersungut (menyebut serta gelisah) tentang wang. Baginya wang atau rezeki itu adalah termasuk urusan Allah sendiri; tetapi si hamba mestilah pula mengikut sunnahNya; berusaha dan berikhtiar.

Dalam kehidupannya Tuk Kenali pernah diberi gaji yang lumayan oleh Majlis Agama Islam Kelantan berikutan tugas menterjemahkan kitab Tafsir Al-Khaazin dan kitab Al-Umm (Induk) karya Asy-Syaafi’i dengan jumlah $780.00 setahun ( $65.00 sebulan; tatkala itu harga seekor ayam cuma 30 sen! ).

Tuk Kenali seorang yang murah rezeki. Ramai sekali orang bersedekah kepada beliau, antara lain agar murah rezekinya di mana jualan dan perniagaan sipenyumbang akan menjadi berkat dan maju ( laris ).

Tuk Kenali pernah menyimpan wang di dalam sebuah tukir ( keratan buluh yang berbuku dan berlubang ) di mana tukir itu disangkut ke sepohon pokok rambutan di hadapan rumahnya. Wang-wang syiling itu akan diambil seminggu sekali oleh isterinya, Hjh Ruqayyah. Wang kertas tidak disimpan di dalam tukir tetapi terus diserah pada isteri.

Beliau tidak terlibat dengan wang bunga kerana menyimpan di bank. Menurutnya ianya sejenis riba; tidak boleh digunakan untuk apa-apa kebajikan pun malah pemberinya akan disoal di hadapan Allah SWT. Beliau melarang Majlis Agama Islam Kelantan mengambil atau mempergunakan wang faedah itu daripada bank-bank di mana wang itu disimpan oleh pihak majlis.

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

Al-Abbas bin Abdul Mutalib



Namanya al-Abbas bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf al-Qurasyi. Bapa saudara nabi saw, Abu Fadhl. Ibunya bernama Natilah binti Janab bin Kalb. Beliau lahir dua tahun sebelum rasulullah saw dilahirkan. Pada zaan jahiliyah, beliau menguasai siqayah dan imarah (memberi minum dan menjaga Baitullah al-Haram). Beliau menghadiri perjanjian Aqabah bersama golongan Ansar sebelum memeluk Islam. Beliau turut menyertai peperangan Badar di sebelah pihak Musyrikin.

Beliau termasuk salah seorang yng ditawan kemudian ditebus oleh anak saudaranya Aqil bin Abi Talib dan kembali ke kota Mekah. Dikatakan beliau telah memeluk Islam tetapi menyembunyikan daripada kaumnya. Beliau menulis surat kepada nabi saw menceritakan rancangan orang Mekah untuk menyerang Madinah dalam peperangan Khandak.

Kemudian beliau berhijrah sebelum pembukaan kota Mekah seketika. Menghadiri pembukaan kota Mekah dan peperangan Hunain. Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud : Siapa yang menyakiti Abbas sesungguhnya menyakitiku, kerana sesungguhnya dia adalah bapa saudara.

Rasulullah saw juga pernah memuji al-Abbas dengan bersabda yang bermaksud : Inilah Abbas, sepemurah Quraisy dan paling kuat menjaga silaturahim. Justeru, para sahabat mengiktiraf kelebihan Abbas, bermesyuarat dengannya dan mengambil buah fikirannya. Meninggal di kota Madinah pada bulan Rejab atau Ramadan, tahun 32 Hijrah. Antara sifat-sifatnya, beliau seorang yang tinggi, tampan dan putih warna kulitnya.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Mencari Wira



Berkurun kita berburu mencari makna kata
Berkurun kita keliru mengenal makna wira:
Jebat dan Tuah, siapa patut dipuja?

Lemas kita dilanda curiga
antara setia dengan pembela.
Selamanya wira dinilai oleh masa
selaman wira dicanai kuasa
selamanya wira dinobat oleh harta.
Akhirnya wira entah dimana
didepan kita pengkhianat bangsa.

Bangunlah dari lena khayali
kita kembalikan kata pada lidah
kita pulangakan pandang pada akal
kita keringkan rajuk pada tindak.

Akal tak pernah mengalah kalau diajak bertelagah
tapi selamanya kita mematikan akal
kerana akal membijaksanakan manusia
dan si bijak tidak perlu hidup
seperti wajarnya budak ditikam
atas kebijaksanaan yang mengancam.
(ah ! sejarah todak kerap sangat berulang)
 
Marilah kita didihkan akal
mentafsir kata dengan sempurna
- ada waktunya berontak itu keji
- ada waktunya berontak itu suci
- ada waktunya berontak itu cemar
- ada waktunya berontak itu samaran
berubah musim beralih sikap
bertukar pimpin bersalin harap
tapi pejuang tidak pernah terpuja
tika darahnya mengucur seksa matanya dicungkil buta
tanganya diikat waja kakinya dirantai sula
dan kita mengulang keanehan
berebut menabur bunga dan pandan
didada mereka setelah kematian

Sesal hanya datang sekali
tapi seksanya sepanjang hayat
lukanya berparut berabad-abad

Dunia Penyair 

Mohon kebaikan pada setiap malam



Ya Allah, aku mohon padaMu kebaikan malam ini, juga kebaikan yang ada di dalamnya. Dan aku berlindung padaMu dari keburukan malam ini dan keburukan yang ada di dalamnya. Ya Allah, aku berlindung padaMu dari kemalasan, kepikunan, keburukan hari tua, fitnah dunia dan seksa kubur.
( HR Muslim )

Kebaikan dan keberkatan setiap hari



Ya Allah, aku memohon kepada Engkau kebaikan hari ini, kemenangannya, pertolongan, cahaya, berkah dan hidayahnya. Dan aku berlindung padaMu dari keburukan hari ini, juga keburukan yang setelahnya.
( HR Ibnu Majah )

Doa amalan dekat kepada Allah



Ya Allah, aku memohon padaMu agar selalu mengerjakan kebaikan, selalu meninggalkan kemungkaran, mencintai  orang-orang miskin, juga aku memohon agar Engkau mengampuni dan merahmatiku. Dan jika Engkau hendak menguji (menurunkann musibah) suatu kaum, maka wafatkanlah aku tanpa mendapat ujian. Aku juga memohon kecintaanMu, memohon kecintaan terhadap orang yang mencintaiMu dan memohon kecintaan kepada amalan yang mendekatkanku kepada cintaMu.
( HR At-Tirmidzi )

Mohon darjat tertinggi di syurga



Ya Allah, aku mohon padaMu sebaik-baik permintaan, sebaik-baik doa, sebaik-baik keberhasilan, sebaik-baik amalan, sebaik-baik pahala, sebaik-baik kehidupan, dan sebaik-baik kematian. Ya Allah, teguhkanlah aku, beratkan timbangan amalku, kuatkan imanku, tinggikan darjatku, terimalah solatku, ampunilah kesalahanku, dan aku memohon padaMu darjat tertinggi di syurga. Ya Allah, aku memohon padaMu pembuka-pembuka kebaikan, penutup-penutup kebaikan, segala kebaikan yang pertama dan terakhir, yang nampak dan tidak nampak juga aku memohon padaMu darjat tertinggi di syurga.

Ya Allah, aku memohon padaMu sebaik-baik yang kudatangkan, sebaik-baik yang kukerjakan, sebaik-baik yang kukerjakan, sebaik-baik yang tersembunyi, sebaik-baik yang nampak dan aku memohon darjat tertinggi di syurga.

Ya Allah, aku memohon padaMu agar Engkau mengangkat namaku, menghapuskan dosaku, memperbaiki urusanku, mensucikan hatiku, menjaga kemaluanku, menyinari hatiku, mengampuni dosaku. Dan aku juga memohon darjat tertinggi di syurga.

Ya Allah, aku memohon padaMu agar Engkau memberkahi diriku, pendengaranku, penglihatanku, nyawaku, penciptaanku, budi perkertiku, keluargaku, hidupku, matiku dan amalanku. Terimalah amal baikku dan aku memohon padaMu darjat tertinggi di syurga.
( HR Al-Hakim )

Wednesday, August 28, 2013

Pemikiran Tuk Kenali ( 17 )



Melayu tidak perlu ubah namanya

Melihatkan umat Melayu mundur dalam banyak segi, ada pihak yang meletakkan sebabnya oleh semangat yang dibawa oleh perkataan Melayu itu sendiri. Me + layu (melayu : bukan bererti menghidup; tetapi sebaliknya). Di samping itu ada pula pendapat menyatakan perkataan Melayu itu berasal daripada bahasa Jawa yang bererti lari.

Dalam makallahnya berjudul Kalimah Melayu, dalam majallah Al-Hidaayah (1923) Tuk Kenali kurang bersetuju untuk mengubah perkataan Melayu. Menurutnya perubahan itu tidaklah bererti tetapi yang perlu ialah mengubahkan sikap dan fa’il laku orang Melayu sendiri dengan mengubah pelajaran dan kepandaian. Malah beliau mengalih pandangan kepada bangsa Jepun yang telah maju sebab mengubah nasib sendiri, sedangkan mereka tidaklah mengubah nama bangsa. Jepun masih disebut Jepun, keperibadian bangsa itu tidaklah berubah.

Tuk Kenali menafikan hakikat orang Melayu itu malas dan lemah. Buktinya ada yang memikul jawatan yang pada biasanya dipikul oleh dua tiga orang. Ini diakui oleh orang Eropah sendiri.

Seterusnya dalam tajuk Kenyataan dan pengharapan yang besar dalam Pengasuh (terbitan 21 September, 1918) beliau menulis :

Adakah Melayu itu umat yang hidup? Apabila bertiuplah atas mereka itu angin seruan, nescaya bernyawalah mereka itu dengan nafas yang panjang, kerana sedar mereka itu bahawa dirinya di dalam kekurangan daripada serba serbi. Maka menyegera mereka itu menyempurnakan kekurangan yang sudah ada dan mengadakan barang yang tiada ada, istimewa pula pada masa ini sangatlah berhajat kepada bertulung-tulung di antara satu dengan lain pada mendirikan kewajipan agama dan kemanusiaan.

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

Aisyah R.Anha



Ummu al-Mukminin Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq R.Anha. Digelar dengan Ummu Abdillah iaitu dengan anak saudaranya Abdullah bin Zubair. Beliau dilahirkan di kota Mekah empat tahun sebelum nabi Muhammad saw dilantik sebagai rasul.

Beliau berkahwin dengan rasulullah saw di Mekah ketika berusia 6 tahun dan rasulullah saw bersamanya di kota Madinah ketika usianya 9 tahun iaitu pada bulan Syawal selepas pulang daripada peperangan Badar pada tahun 2 Hijrah. Rasulullah saw wafat ketika usianya 18 tahun dan beliau hidup selepas kewafatan baginda selama 40 tahun. Salah seorang isteri rasulullah saw yang faqih, alim, cerdik dan banyak meriwayatkan hadis daripada rasulullah saw iaitu sebanyak 1210 hadis.

Aisyah R.Anha meninggal di kota Madinah pada tahun 57 Hijrah. Abu Hurairah menyembahyangkannya yang ketika itu menjadi Gabenor di kota Madinah pada zaman pemerintahan Marwan bin al-Hakam.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Mengapa kita berada di dunia



Esei 1

Pada peringkat awal anda harus faham dengan jelas tujuan utama anda berada di sini iaitu untuk mencintai diri anda, pihak lain dan mencintai Tuhan. Tugas utama ialah membawa kejayaan kepada diri sendiri dan pihak lain. Seorang pernah berkata : Tujuan utama hidup ini ialah untuk berbuat sesuatu yang dapat dimanfaatkan sepanjang masa. Amatlah sedih jika anda hidup seperti lembu atau biri-biri yang luput begitu saja, tanpa usaha memperbaiki dan memperkaya diri, masyarakat dan insan sejagat. Jadikanlah cinta dan nilai-nilai murni satu fokus utama dan sebahagian daripada hidup seharian. Jadikan cinta kepada ibu bapa, kalangan saudara mara suatu yang mendalam dan tidak berbelah bagi maka barulah kita akan dapat merasakan kegembiraan ketika bersama-sama mereka dan dapat memberikan lebih bantuan sambil sama-sama berkongsi dalam usaha membina keluarga bahagia. Jika kamu benar-benar cintakan Tuhan kamu akan berlaku baik bukan sebaliknya.

Hidup bergantung pada keterampilan diri, sikap, fikiran,tindakan serta cara menghadapi dan mengatasi situasi dan karenah manusia yang berbeza-beza. Cara mengatasi halangan dan masalah adalah penting. Hidup ini bukan sentiasa bahagia, tidak semestinya yang berjaya itu kurang menghadapi masalah berbanding dengan mereka yang gagal. Menghadapi halangan itu perkara biasa. Yang penting bukan isu atau masalah itu sendiri tetapi cara menangani situasi yang timbul dan kaedah mengatasinya, itusahaja yang membuatkan ia berbeza.

Hidup ini sangat berharga, begitu juga anda! Manfaatkan sebaik mungkin kehidupan dan diri anda.  Nikmati dan majukan setiap minit hari anda. Hari ini adalah permulaan kehidupaan terbaik anda. Renungkan kata-kata pujangga iaitu kata-kata yang merangsang minda dan membawa anda ke arah satu kehidupan yang menakjubkan.

a)      Dia yang telah melaksanakan sebahagian daripada amal kebajikan ialah dia yang telah memulakannya ( Horace )
b)      Sumbangkan yang terbaik untuk dunia dan yang terbaik akan datang kepada anda ( Awanama )
c)      Masa depan manusia berada dalam sanubarinya, cergas bertenaga ketika ini. ( Abraham Maslow )
d)      Anda bebas untuk membuat pilihan, setiap pilihan hari ini akan menentukan apa yang akan anda miliki, jadi dan lakukan pada masa-masa depan. ( Z.Ziglar )

Wallahu a’lam.

100 esei inspirasi & motivasi untuk pelajar
Stephen W.K Tan, 2009

Ceritera anak wawasan



Suatu ketika dahulu
bumiku banyak kenangan
aku hidup tenteram
menikmati sebuah impian

Paduan bangsa menggamit jiwa
berkat laungan sekalong doa
rasa riang sepuas ada
hidupku penuh kedamaian

Tapi pernah semua hilang
bumiku dijajah ternoda
segala dalam derita
sengsara mencengkam jiwa

Sedarlah aduhai insan
nostalgia masa silam
liku-liku kehidupan
meragut sebuah kebahagiaan

Segala telah bermula
cetusan rasa merdeka
modal insan jadi sasaran
nikmat hidup terbukti sudah


Kuatkan azam teguhkan visi
kejayaan kan dikecapi
berkorban untuk segalanya
demi negaraku yang tercinta

Pelangi Aurora
Gelanggang Seni, Kota Bharu
27 Ogos 2013

Mohon perlindungan segala gangguan



Ya Allah, aku memohon perlindungan kepadaMu dari segala gangguan di dunia dan di akhirat. Ya Allah, aku memohon ampunan dan perlindungan kepadaMu dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah segala keburukanku dan hilangkanlah rasa takut (cemas, gelisah dan lain-lain) dari dadaku. Ya Allah, jagalah aku dari arah depan dan belakang. Jagalah aku dari arah kanan dan kiri. Ya Allah, jagalah aku dari atas. Dan aku berlindung dengan keagunganMu jika aku diserang dari arah bawah.
( HR Ibnu Majah )

Mohon kebaikan dan kecintaan kepada Allah



Ya Allah, aku memohon padaMu segala kebaikan, selalu mengerjakan kebaikan, selalu menjauhi kemungkaran, mencintai orang-orang miskin, juga memohon agar Engkau memberi taubat kepadaku, mengampuni dan merahmatiku. Dan jika Engkau hendak menurunkan suatu fitnah (bencana) pada makhlukMu, maka selamatkanlah aku padaMu tanpa mendapat fitnah. Ya allah. Aku juga memohon cinta padaMu, cinta terhadap orang yang mencintaiMu dan memohon kecintaan kepada amalan yang mendekatkanku kepada cintaMu.
( HR Al-Hakim )

Mohon keredhaan Allah



Ya Allah, aku memohon padaMu keredhaan setelah datangnya keputusanMu, nikmatnya kehidupan setelah aku mati, nikmatnya memandang wajahMu yang mulia. Dan aku selalu merindukan pertemuan denganMu tanpa adanya musibah berat dan fitnah yang menyesatkan.Dan aku berlindung padaMu dari berbuat zalim atau dizalimi, berbuat aniaya atau dianiaya. Aku berlindung padaMu dari berbuat kesalahan, atau berbuat dosa yang tidak Engkau ampuni.
( HR Ath Thabrani )

Tuesday, August 27, 2013

Seputar pusara



Islam mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf melainkan ia adalah tanah persendirian.

Setiap pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.

Walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia.

Kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib.

Wallahu a'lam.

Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid
Mufti Selangor,
mStar Online
27 Ogos 2013

Pemikiran Tuk Kenali ( 16 )



Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

Di kala Tuk Kenali sedang mengajar murid-muridnya akan maksud dan pengertian sebuah syair yang termasyur, beliau menjelaskannya dengan sebuah cerita :

Dalam sebuah pondok terdapat seorang murid miskin. Ibubapanya tidaklah mampu untuk menyarai dia belajar, malahan untuk memenuhi sesuap pagi dan sesuap petang pun agak sukar dipenuhi.

Sekalipun Islam tidak menggalakkan penganut-penganutnya menjadi pengemis atau peminta sedekah namun pemikiran murid ini telah tertarik untuk meminta sedekah secara terhormat. Sekali seminggu dia keluar ke kampung Makmur, di sana kelihatan sawah-sawah padi melaut luasnya. Manakala di musim menuai pula kelihatan padi-padi di sawah itu runduk menguning.

Menahan jerat di pergentingan dan menepa besi di waktu panas, begitulah bunyi pepatah peninggalan orang-orang tua kita yang diikut oleh murid miskin ini. Manakala keadaan kelakuannya sangat pula menarik perhatian orang kampung, juga pakaiannya putih bersih dan kupiahnya bulu angsa.

Murid ini tidak segan-segan menceritakan penghidupan ibubapanya dan keadaannya di pondok sehingga menyebabkan orang-orang kampung itu jatuh belas kasihan. Padi-padi zakat berlonggok-longgok telah dihantar ke hadapannya, sedang mulutnya pula ringan tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada pemberi-pemberi sedekah itu.

Dengan pemberian dan perolehan dari titik peluh orang itulah maka perbelanjaannya di pondok telah dapat diatasi. Hanya ia terpaksa mencari perbelanjaan dari rumahnya sendiri untuk membeli lauk dan sayur-mayur sahaja lagi.

Akan tetapi pada tahun hadapannya, di musim menuai berikutnya kerana ilmunya yang telah agak  bertambah dan kerana ia telah banyak menghafal ilmu nahu seperti Al-Aajurumiyyah, Mata Alfiyyah Ibnu Maalik dan lain-lain maka mulutnya yang peramah itu telah bertukar dengan menyebut-yebut dan mengulang-ulangi syair yang dipelajarinya itu.

Di kala orang-orang kampung sedang bercakap-cakap, mulutnya tak berhenti-henti menyebut syair-syair dan bait-bait di dalam kitab-kitab nahu itu seolah-olah ia tidak memperdulikan lagi hal-hal di situ dan melupakan sifat-sifat ramah tamah bangsanya.Beberapa orang telah menegur dia secara membina tetapi ia membisu sahaja. Hal ini bukan menambahkan kasihan orang terhadapnya tetapi menjadikan benci pula.

Akhirnya murid tersebut telah terperangkap iaitu ketika ia hendak mandi di tepi sebuah sungai di kampung itu, tiba-tiba ia telah dihalaukan oleh sekumpulan pemuda dan mereka memberi amaran kepadanya agar tidak menjejak kaki lagi di kampung itu.

Murid malang itu pun segera pulang ke pondok dan menceritakan kepada gurunya. Lantas gurunya menyatakan:

Kamu tiada mempunyai siasah (politik). Janganlah kamu duduk di pondok ini semata-mata mempelajari pengetahuan agama sahaja, tetapi mestilah ditambah dengan pengetahuan siasah. Agama dan siasah tak boleh dipisahkan. Pengetahuan agama adalah untuk panduan hidupmu dan siasah (politik) adalah untuk pembinaan kehudupanmu.

Lantas Tuk Kenali mengucapkan sebuah syair yang berbunyi:

Di kalamu mendatangi suatu puak
Biarpun hatimu membenci mereka menghasung
Hendaknya di mana bumi dipijak
Di situ langit dijunjung.

Kemudian beliau menyambung: Kebiasaan kamu di pondok ialah menghafal ayat-ayat suci Al-Quran dan  nahu. Jika kamu membuat begitu di kala kawan-kawanmu bercakap-cakap, maka mereka tidaklah memandang kamu sebagai seorang yang biadab tetapi kebiasaan di kampung adalah lain dari yang lain. Tegasnya suasana pondok itu bukan sepenuhnya dapat dibawa ke kampung secara melulu sahaja.

Selanjutnya Tuk Kenali berkata : Apa-apa kebaikan yang kita lakukan mungkin dipandang orang sebagai suatu yang tidak baik bila dilakukan di luar garisan kebiasaan dan resaman sesuatu tempat.

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

Ali bin Abi Talib RA



Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf al-Qurasyi al-Hasyimi digelar dengan Abu al-Hasan. Lahir di kota Mekah sebelum kebangkitan rasulullah saw sebagai rasul sepuluh tahun mengikut pendapat yang sahih. Beliau telah dipelihara oleh rasulullah saw, sepupu nabi saw dan juga menantunya. Beliau antara orang yang pertama beriman ketika berusia 10 tahun.

Beliau mempunyai sejarah manaqib yang menarik sehingga kata Imam Ahmad tidak dinaqalkan bagi seseorang daripada sahabat sebagaimana dinaqalkan berkenaan dengan Ali. Beliau tidak pernah berpisah dengan rasulullah saw dan sentiasa bersamanya dalam semua peperangan kecuali peperangan Tabuk kerana beliau dilantik menjadi pengganti rasulullah saw di Madinah. Rasulullah saw mempersaudara dengannya. Salah seorang yang dijamin masuk syurga dan menjadi ahli syura yang dilantik oleh Umar RA. Beliau sentiasa menyebarkan ilmu dan berfatwa. Menjawat jawatan khalifah selama lebih kurang 5 tahun selepas Uthman bin al-Affan RA. Mati syahid dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljim pada malam 17 Ramadan tahun 40 Hijrah ketika berusia 63 tahun.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Gurindam Negara Bangsa



Gurindam bangsa itulah nada kecintaan
nusa yang berdaulat wajiblah dipertahankan,
raikan bangsa jiwa yang merdeka
hidup nan bahagia tanpa sengketa
Satu Negara satu pertiwi
di tanah inilah hidup dan mati
kita harus berani
menegakkan maruah dan jatidiri
demi agama dan bangsa disayangi
inilah rupa perjuangan yang hakiki

Aman dan damai tanah yang makmur
Hasilan bumi bertambah subur
Rakyat mewah berjiwa luhur
Erat setia bertambah masyhur
Bersatupadu sedia menggempur
musuh Negara sehingga berundur

Kalau sudah menongkah kata
Negara bangsa bakal dihina
Bersedia untuk bulatkan usaha
Asalkan maruah sentiasa terbela
Bersumpah setia seluruh warga
demi MALAYSIA tercinta

Janganlah ada pentingkan diri
Kelak ada berjauh hati
Seia sekata berbakti
Kalau sepakat menjadi dambaan
Pasti tiada kepura-puraan
Bersama kibarkan jalurgemilang

Ayuhlah bergurindam dan bergurindam
Negara bangsa usah dilupakan
Utuh bangsa kerana perpaduan
Kejap akar bangsa yang bertuan
Hinggap semangat bagai pahlawan
Menyuluh jalan-jalan perjuangan

Muammar Mukhtar
April 2013

 ( Dipuisikan oleh kumpulan Pelangi Aurora  sempena Pelancaran Pesta Buku Kelantan 2013 bertempat di Gelanggang Seni, Kota Bharu pada 27 Ogos 2013 yang bertemakan Membaca Budaya 1Malaysia )

Hati bersih dan bagus dalam ibadah



 
 Ya Allah, aku memohon kepadaMu keteguhan dalam agama ini, kemahuan kuat atas kebenaran. Aku memohon untuk selalu mensyukuri nikmatMu, dan memperbagus beribadah padaMu. Aku juga memohon hati yang bersih, lidah yang jujur dan segala kebaikan yang Engkau ketahui. Ya Allah, aku berlindung dari segala keburukan yang Engkau ketahui, dan memohon ampun dalam setiap dosa yang Engkau ketahui. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui hal-hal yang ghaib.
( HR Hakim )

Balasan baik mukminin yang disakiti



 
Ya Allah, aku telah membuat perjanjian denganMu yang Engkau tak mungkin mengingkarinya. Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia. Maka siapa pun dari kaum mukminin yang pernah aku sakiti, aku caci maki, aku pukul, atau aku laknat, maka jadikanlah hal itu baginya sebagai doa, kesucian dan kedekatan kepadaMu di Hari Kiamat.
( HR Al-Bukhari )