Wednesday, December 30, 2015

Pelajaran ke 46


Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata ulama rahimahumullah: Hai anak Adam, ketahui olehmu bahawasanya barangsiapa ada baginya akal jikalau tiada ilmu sekalipun bahawasanya akalnya itulah yang menyampaikan dia kepada martabat yang tinggi dan barangsiapa ada baginya ilmu tiada baginya akal yang sempurna serta ilmu nescaya kembalilah segala pekerjaan itu berbalik dan barangsiapa ada baginya akal yang sempurna serta ilmu nescaya adalah di dalam dunia hakim yang bijaksana lagi ikutan segala manusia maka bahawasanya keelokan dan kemuliaan dan kebesaran martabat dan kebajikan segala hal dunia dan akhirat itu dengan akal jua dan kesempurnaan segala suatu dengan dia jua kerana akal itu pohon iman dan pertengahannya dan kesudahannya.

Kata hukama bahawa tiada perbuatan orang yang berakal itu jatuh pada suatu pekerjaan yang sukar maka  tatkala dibicarakannya melepaskan dirinya daripada bahaya itu tetapi prang yang berakal itu barangsiapa membicarakan tatkala belum jatuh di dalam pekerjaan kesukaran dan diusahakannya supaya terpelihara ia daripada bahaya pekerjaan itu.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Al-Khaliq

Asma Ul-Husna 12

Al-Khaliq ertinya Allah Maha Menciptakan makhlukNya sebagaimana bermaksud:

Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya).
(Al-Hasyr: 24)

Maha Mencipta Dari Tiada kepada Ada

Al-Khaliq berasal dari kata khalq, menciptakan. Allah yang Maha Menciptakan adalah Zat yang menciptakan segala sesuatu setelah ketiadaan mereka, yang mengadakan dan merekabentuk tanpa contoh sebelumnya.

Sebahagian ulama mengatakan bahawa al-Khaliq adalah Zat yang menciptakan segala sesuatu dari kekosongan lalu melimpahkan kepada mereka sifat-sifat mereka. Sebahagian lain menyatakan bahawa Dialah Zat yang menciptakan apapun yang dapat dipandang mata, yang menyempurnakan penciptaan mereka.

Sebahagian ulama lainnya ada yang mengatakan bahawa Dialah Zat yang menentukan kadar segala sesuatu ketika mereka diselimuti dengan kekosongan, menyempurnakan mereka dengan kurnia dan kebaikanNya, menciptakan mereka menurut kehendak, keinginan dan kebijaksanaanNya. Barangsiapa mengira bahawa ada seseorang selain Dia yang menciptakan maka sesungguhnya ia melakukan kekufuran, murtad dan keingkaran.

Ibn Abbas diriwayatkan telah mengatakan bahawa setiap kali rasulullah saw bercermin, baginda sentiasa memuji Allah kerana telah diindahkan akhlaknya oleh Allah yang Maha Menciptakan keindahan.

Sifat Manusia Yang Keduabelas ialah Mempunyai Wawasan dan Kreatif

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang keduabelas dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah bersifat mempunyai wawasan dan inovasi, berfikir kreatif dan sentiasa memikirkan perkara-perkara baru yang menjadi kemajuan tamadun manusia.

Walaupun hanya Allah yang Maha Mencipta, tetapi manusia dibenarkan memikirkan hikmah dan manfaat ciptaan Allah tersebut untuk merangsangnya supaya pandai dan cemerlang menghasilkan pelbagai ciptaan (produk) hasil daripada unsur-unsur bumi yang sememangnya diperuntukkan bagi manusia.

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010

ms30 - 31

Kerana aku yakin……

Ya Allah …
betapa kerdilnya diriku
betapa lemahnya di hadapanMu
namun inilah diriku
mengadu, meminta dan memohon hanya padaMu

Ya Allah…
aku dambakan kasih sayangMu
agar diri sentiasa cinta dan rindu
untuk selalu mengingati hari pertemuan denganMu

Ya Allah…
aku mengadu kepadaMu
ujian ini sungguh berat
dugaannya amat besar
maka aku memohon dengan setiap namaMu
bantulah daku, tolonglah diriku

Ya Allah
pintuMu kuketuk
tanganku menadah memohon agar Engkau sinarkan jua
gelapnya malam, kelamnya alam
kerana aku yakin cahayaMu kan menerangi
jalan yang diredhai ini.

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bicara ini demi Ilahi,2013

Tuesday, December 29, 2015

Pelajaran ke 45

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata ulama radhiyallahu anhum: Hai anak Adam, lazimkan olehmu akan dirimu diam supaya dinamai akan dikau orang yang berakal kerana orang yang berakal itu tiada berkata ia melainkan kerana suatu hajat yang tak dapat tiada atau kerana suatu perkataan yang memberi nasihat dan fikir melainkan pada afiat dunia dan akhirat hai orang yang berakal ikatkan olehmu lidahmu melainkan kerana menyebutkan perkataan yang benar atau kerana melarangkan daripada pekerjaan yang sia-sia atau kerana menyebutkan suatu perkataan hikmah atau mengucap syukur akan nikmat Allah.

Bermula diam itu perhiasan bagi segala yang akal dan penutup bagi segala yang bebal. Bermula diam dirinya serta berfikir sesaat pada menghasilkan ma’rifat Allah itu iaitu terlebih baik daripada berbuat ibadat tujuh puluh tahun yang tiada dalamnya fikir seperti sabda nabi saw:

Ertinya: Barangsiapa diam ia (daripada berkata-kata yang sia-sia) nescaya lepas ia daripada kejahatan lidah.

Bermula lidah yang berakal itu pada hatinya maka apabila hendak berkata-kata kembali ia jika ada manfaat baginya maka ia berkata-kata dan jika ada perkataan itu memberi mudharat atasnya ditahan lidahnya dan hanya yang bebal itu pada lidahnya maka berkata ia barang yang keluarnya maka dikasih Allah Taala bagi barangsiapa berkata-kata kebajikan dan jikalau tiada berkata ia kebajikan maka diamlah ia seperti sabda nabi saw:

Ertinya: Bermula diam itu mempusakai ilmu hikmah dan sedikitlah orang yang mengerjakan dia

Bermula akal serta ilmu itu mengangkatkan martabat yang mempunyai dia dan bahawasanya bebal itu merendahkan martabat yang mempunyai dia menurunkan dia daripada martabat yang tinggi.

Barangsiapa ada ia alim maka tiada baginya akal nescaya ringanlah ia pada penglihat segala manusia dan tiada beroleh manfaat ilmu selama tiada serta ilmu itu akal.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

PadaMu aku memohon….

Tika orang lain semuanya tidur nyenyak
Ya Allah…aku bangun ketuk pintu
membawa menggunung harapan
aku merayu padaMu sepanjang malam
bagaimana pedihnya penderitaan yang aku pikul

aku bermadah wahai Tuhan
kerana Kau adalah tumpuanku
bila sahaja bala menimpa
hanya Kau sahaja tempat aku berpaut

aku mengadu padaMu aneka penderitaan
kau tentu tahu sepenuh-penuhnya
kesabaranku sudah mula luntur
daya tenagaku mulai lemah lesu

PadaMu sahaja ya Allah
aku menadah tangan dengan cukup hina
kerana Kau Dzat
memang selayaknya untuk ditadah
tolonglah aku ya Rabbi…..

Usah biarkan tadahanku tidak berisi
limpah kurniaMu seluas lautan
akan memuaskan sesiapa sahaja yang menghirupnya….

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bicara ini demi Ilahi,2013

Al-Mutakabbir

Asma Ul-Husna 11

Al-Mutakabbir ertinya Allah yang Maha Besar dan yang Maha Memiliki Keagungan sebagaimana firmanNya bermaksud:

Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.
(Al-Hasyr:23)

Maha Besar dan Maha Memiliki Keagungan

Al-Mutakabbir adalah Zat yang memiliki semua keagungan, yang tidak dapat diatasi oleh makhluk-makhlukNya, yang kebesaran dan keagunganNya adalah yang paling utama. Allah terlalu Agung dan tiada memiliki sebarang kekurangan terhadap sesuatu dan tidak memerlukan kepada sesuatu, Zat yang mempunyai semua kebesaran dan kebanggaan.

Tidak seorang pun selain Dia dibenarkankan memandang dirinya sendiri besar atau berkuasa atau berdaulat. Dialah Zat yang terlalu kudus untuk dikenai oleh banyak musibah; maka tidak ada kebesaran yang dibenarkan bagi sesiapa pun selain Dia; Dialah Zat yang memiliki semua kekuasaan dan kerajaan.

Sifat ini bererti Zat yang telah menggabungkan dalam DiriNya dan secara pantas berhak mendapat semua sifat keagungan, kesempurnaan, kebanggaan dan kemuliaan pada saat yang bersamaan.

Dia terlalu hebat untuk tunduk kepada yang lain. Sebaliknya, ketundukan adalah semata-mata kepadaNya dan hanya kepadaNya.Al-Quran menisbatkan sifat kebesaran kepada Yang Maha Kuasa bermaksud:

Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Al-Jatsiyah:37)

Sifat Manusia Yang Kesebelas ialah Besar

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kesebelas dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah bersifat besar dalam pengertian tidak menghinakan diri dan tunduk kepada sebarang tekanan yang berunsur kebatilan.

Imam Syafie mengatakan manusia yang hebat adalah yang membuktikan dirinya besar dan agung dengan sebab mengamalkan Islam dan membuang sifat-sifat jahiliyah.

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010
ms28 - 29

Sunday, December 27, 2015

Al-Jabbar

Asma Ul-Husna 10

Al-Jabbar ertinya Allah yang Maha Memaksa (Pemaksa) sebagaimana firmanNya bermaksud:

Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya, Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.
(Al-Hasyr:23)

Maha Memaksa dengan segala kebesaran dan kekuasaan

Secara linguistik, al-Jabbar berasal dari jabr. Ia bermakna pemulihan yang kuat atas sesuatu yang pecah, retak, jatuh,hancur dan lain-lain. Al-Jabbar juga bererti besar,agung.Para pakar bahasa menyatakan bahawa al-Jabbar adalah Yang Maha Kuasa. Dialah satu-satunya Zat yang tidak saja merekatkan apa yang retak melainkan juga memperkayakan orang yang dilumpuhkan dengan kemiskinan dan kesusahan.

Pendeknya, Dialah Zat yang memulihkan segala sesuatu yang pecah atau rosak.

Abdullah bin Abbas mengatakan bahawa al-Jabbar adalah Raja yang Agung, sementara Ibn al-Anbari mengatakan bahawa al-Jabbar adalah Zat yang berada di luar pencapaian manusia. Yang lain mengatakan bahawa al-Jabbar bererti Zat yang tidak dapat dikalahkan dan tak seorang pun dapat berselisihan denganNya mengenai apa sahaja.
 
Diriwayatkan bahawa al-Jabbar menyampaikan pengertian yang sama yang disampaikan oleh sifat al-Mutakabbir, Yang Memiliki segala keagungan. Kesombongan dan kebesaran adalah sifat-sifat mulia yang hanya berhak diterapkan kepada Allah. Apabila diterapkan kepada makhluk, sifat tersebut akan menjadi buruk.

Disebutkan pula bahawa pengertian al-Jabbar bermakna Zat yang memaksakan kehendakNya kepada yang lain. Tak satu pun yang akan terjadi di kerajaanNya selain segala sesuatu yang dikehendakiNya, sama ada makhlukNya suka ataupun tidak. Dapat juga diertikan sebagai Zat yang memperbaiki, membuktikan atau mereformasi.

Dalam salah satu pernyataannya, Imam Ali bin Abi Thalib mengatakan: Dialah Zat yang kehendakNya telah menyatukan diriNya pada tabiat hati. Yakni Dia mengukuhkan hati menurut cara Dia menciptakan mereka dan menurut tingkat pengetahuan mereka tentangNya. Mereka juga mengetahuiNya adalah orang-orang yang berbahagia, sedangkan mereka yang tidak adalah orang-orang yang celaka.

Al-Jabbar mengandungi erti kekuatan dan daya paksa. Kita dapat menemukan bahawa seluruh anggota tubuh telah diarahkan untuk melakukan fungsi-fungsi mereka tanpa ada kehendak sedikit pun dari mereka sendiri. Cubalah pandang matahari ketika ia bergerak dalam orbitnya tanpa menyimpang sedikit pun dari garis edarnya walau satu inci sekalipun. Manusia tidak ada kawalan ke atas masa ketika Allah memilih kehidupannya untuk memulai atau bagaimana dia dilahirkan atau bila ia mati, atau keluarga yang melahirkannya. Semua ini telah ditetapkan baginya dan ia sedikit pun tidak dapat mengawal semua itu.

Demikian pula halnya dengan makhluk-makhluk lain di muka bumi. Mereka semua diciptakan dengan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan bumi.

Sifat Manusia Yang Kesepuluh Ialah Memaksa
 
Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kesepuluh dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah bersifat memaksa atau mendorong

Imam Ahmad pernah menyebut bahawa manusia sememangnya dibekali dengan sifat memaksa supaya ia dapat hidup di bumi. Sebagaimana Allah Maha Pemaksa, maka manusia juga harus memaksakan dirinya untuk tunduk kepada kebenaran yang diturunkan Allah menerusi para nabi dan rasul.

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010
ms25-27

Pelajaran ke 44

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata ulama’ radhiyallahu ’anhum : Hai anak Adam, perlahan-lahankan olehmu pada segala perbuatan kamu dan perkataanmu dan jangan engkau mameng, yakni segera akan dia kerana yang perlahan-lahan itu daripada Allah Ta’ala dan mameng itu daripada syaitan seperti sabda nabi saw:

Ditilik manusia kepada perangai perlahan-lahan nescaya tiadalah melihat mereka itu daripada barang yang dijadikan Allah Ta’ala terlebih baik daripadanya dan jikalau ditilik mereka itu kepada perangai yang mameng maka tiadalah diperoleh mereka itu daripada makhluk yang terlebih keji daripadanya.

Kata hukama: Barangsiapa yang ada padanya tiga perkara maka iaitu orang sempurna akal:

1. Benar serta dengan tulus ikhlas pada berbuat ibadat akan Allah Ta’ala
2. Berbuat kebajikan akan segala hamba Allah serta dengan baik hatinya akan mereka itu
3. Sabar serta memberat dirinya pada pahala dan bala’

Kata hukama: Yang akal itu bagi barangsiapa yang takut akan taulannya jika ada ia sebenar kasihnya sekalipun seperti sabda nabi saw: Yakni : Orang yang berakal itu ingat dan orang yang ingat itu jahat sangka.

Yakni, apabila jahat sangka seorang akan suatu maka peliharakannyalah dirinya daripadanya.

Kata baginda Umar Radhiyallahu anha: Jauh olehmu daripada seterumu dan ingat-ingat-ingat engkau daripada taulanmu.

Bermula manusia yang terlebih martabatnya pada Allah Taala itu iaitu manusia yang terlebih akal dan terlebih ilmu.

Hai anak Adam: Jauh olehmu akan dirimu daripada bercampurkan dirimu dengan segala manusia supaya tetap fikirmu maka yang melanjutkan fikir itu menunjukkan jalan kepada syurga bahawa fikir itu iailah perintah hati pada menghasilkan barang suatu.

Bermula fikir itu memelihara akan hati daripada karam di dalam laut ghaflah yakni lalai.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Munajat seorang hamba

Wahai Tuhan kami….
berilah kami perasaan takut kepadaMu
yang dapat menghalang kami daripada kemaksiatan
dan berilah kami ketaatan kepadaMu
yang menyampaikan kami ke syurgaMu
dan berilah keyakinan yang memudahkan kami
menghadapi ujian di dunia.

Wahai Tuhan kami…
berilah kami nikmat pendengaran
penglihatan dan kekuatan tubuh badan selama hidup kami
dan jadikanlah ia mewarisi kami dan berilah pembalasan
kepada orang yang menzalimi kami.

Dan janganlah Kau jadikan bencana bagi kami
dalam agama kami dan janganlah jadikan keduniaan
sebesar-besar cita-citanya kami
dan tidak sampai batasan ilmu kami
dan janganlah Kau biarkan
orang yang tidak menaruh kasihan belas
terhadap kami dapat menguasai ke atas kami

Wahai Tuhan kami…
kami pohon perlindungan dengan nur kesucianMu
dan berkat kebersihan dan keagungan sifat jalalMu
dari setiap yang datang waktu malam
kecuali yang datang dengan baik.

Wahai Tuhan kami…
Kaulah penolong kami
maka kepadaMu kami memohon pertolongan
Kaulah tempat kami menyelamatkan diri
maka kepadaMu jua kami memohon keselamatan….

Nik Abdul Aziz Nik Mat
Bicara ini demi Ilahi,2013

Ya Allah
aku memohon dengan setiap namaMu
kurnialah aku rasa cinta kepadaMu
juga rasa cinta kepada hambaMu
agar aku tahu bahawa Kau selalu bersamaku
biarpun ujian sentiasa bertamu

Doa Maulid

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam. Ya Allah, selawat dan salamMu atas penghulu kami Muhammad dan atas keluarga serta sahabatnya sekalian.Mudah-mudahan Allah jadikan saya dan kamu sekalian dari golongan orang yang mendapat syafaatnya; dan mengharapkan daripada Allah belas kasihan dan rahmatNya.

Ya Allah, dengan kehormatan nabi yang mulia ini, dan keluarga serta sahabatnya yang berjalan atas petunjuk yang kukuh, jadikanlah kami sekalian sebaik-baik umatnya.Himpunankanlah kami esok (Hari Mahsyar) di dalam kumpulannya. Pergunakanlah lidah-lidah kami dalam memuji dan membelanya. Hidupkanlah kami dalam keadaan berpegang dengan sunnahnya dan ketaatannya, dan matikanlah kami dalam kecintaan kepadanya dan dalam jemaahnya.

Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam Syurga bersama-samanya kerana baginda orang yang mula-mula masuk ke dalamnya. Turunkanlah kami dalam mahligainya bersama-samanya kerana bagindalah orang yang mula turun ke dalamnya. Kasihanilah kami di hari dia memberi syafaat kepada makhluk lalu engkau kasihani mereka. Ya Allah, berilah kami peluang menziarahinya setiap tahun. Janganlah Engkau jadikan kami dari golongan orang yang lalai dari mengingatiMu dan juga lalai dari mengingati walau sekejap.

Ya Allah, janganlah hendaknya ada di majlis kami ini orang yang berdosa melainkan Engkau cuci segala dosanya dengan air taubat; dan Engkau tutup keaibannya dengan pakaian pengampunan. Ya Allah, pada tahun yang lalu ada rakan-rakan kami yang tidak dapat menghadirkan diri pada tahun ini kerana dihalang oleh qadaMu (telah meninggal) maka janganlah Engkau sia-siakan mereka dari pahala dan kebaikan yang Engkau berikan kepada kami pada saat ini.

Ya Allah, kasihanilah kami jika kami sudah menjadi ahli kubur.Berilah kami taufiq untuk membuat amal soleh yang kekal cahayanya sepanjang zaman.Ya Allah, jadikanlah kami orang yang ingat kepada pemberianMu,bersyukur atas nikmatMu dan ingat kepada Hari Pertemuan denganMu. Hidupkanlah kami masyghul dengan ketaatan kepadaMu.

Kiranya Engkau matikkan kami, matikanlah kami tanpa sebarang fitnah atau kekecewaan. Sudahi segala perkara kami dengan kebaikan daripadaMu. Ya Allah, selamatkanlah kami dari kejahatan orang yang aniaya. Ya Allah, selamatkanlah kami dari kejahatan orang yang aniaya.Ya Allah, selamatkanlah kami dari kejahatan orang yang aniaya.Jadikanlah kami orang yang terselamat dari segala fitnah dunia.

Ya Allah, jadikanlah rasul yang mulia ini orang yang memberi syafaat kepada kami. Kurniakanlah kami dengan sebabnya kedudukan yang tinggi di hari kiamat kelak. Ya Allah, berilah kami minum dari telaga nabiMu Muhammad saw dengan minuman yang melegakan menyebabkan kami tidak rasa haus lagi selepasnya.Himpunkanlah kami di bawah panji-panjinya esok (Hari Mahsyar). Ya Allah, dengan darjatnya di sisiMu, ampunilah kami, kedua ibu bapa kami, guru-guru kami, orang-orang yang mempunyai hak atas kami dan bagi siapa yang mengadakan majlis yang baik pada saat ini serta sekalian mukmin mukminat, muslimin muslimat sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah wafat. Sesungguhnya Engkau memperkenankan segala doa, menunaikan segala hajat dan mengampuni segala dosa dan kesalahan. Ya Tuhan yang Maha Pengasih dari semua yang pengasih.

Selawat dan salam Allah atas penghulu kami, Muhammad dan atas keluarga serta sahabatnya. Maha Suci Tuhanku yang mempunyai kemuliaan dari segala apa yang mereka sifatkan. Ucapan salam atas sekalian Rasul dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.

Al-Fatihah dengan niat supaya terkabul dan tercapai apa yang dicita-citakan dipersembahkan ke hadrat rasulullah saw.

Aameen.

Zulkifli Mat Isa
Maulid berzanji & Daiba’i
2008

Saturday, December 26, 2015

Pelajaran ke 43

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata segala ’ulama radhiyallahu ’anhum: Bahawasanya akal itu ada lebih dan ada kurang seperti firman Allah Ta’ala:  Yakni....ambil ibarat olehmu hai segala yang empunya akal. (Al-Hasyr:2)

Kata Ibnu Abbas: Bermula kepala akal itu tiga perkara:

1. Memaafkan kesalahan manusia
2. Merendahkan dirinya kepada orang yang kurang martabat daripadanya
3. Dahulu ia bicarakan kemudian maka berat ia

Dan kepala bebal itu pun tiga perkara jua:

1. Membesarkan dirinya
2. Banyak berkata-kata yang tiada manfaat
3. Diaibkan akan segala manusia yang mengerjakan suatu pekerjaan dan adalah ia pun mengerjakan dia.

Dan perhiasan lelaki itu pun tiga perkara:

1. Ilmu serta tiada lemah pada segala hukum
2. Memudahkannya hartanya akan segala manusia dengan tiada dibangkitkan akan dia
3. Sangat ia usaha pada segala barang pekerjaan yang kebajikan serta tiada ia menuntut dunia, kerana bermula akal yang lebih utama itu orang yang mengenal ia martabat dirinya.

Bermula orang yang berakal itu iaitu orang yang mengerjakan pekerjaan yang amarah serta ia tertawa-tawa dan lagi orang yang berakal itu membalas ia akan orang yang berbuat jahat kepadanya seperti membalas ia akan orang yang berbuat kebajikan akan dia supaya sejahtera ia daripada kejahatan orang yang berbuat jahat akan dia.

Berkata hukama: Bahawasanya akal itu barangsiapa melihat ia akan tempat kebajikan kakinya maka dihantarkan pada tempat itu dahinya.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Kekayaan yang sebenar


Esei 100

Kesejahteraan tidak dapat diukur dengan sejumlah wang yang banyak mahupun kekayaan sebenar kita.Kekayaan tidak menjamin kesejahteraan.

1. Wang memberikan hanya sebahagian daripada kebahagiaan.
2. Beberapa benda yang paling bagus adalah percuma
3. Kebahagiaan adalah satu perilaku pengembaraa, bukan destinasi
4. Wang perlu digunakan untuk tujuan yang penting
5. Anda adalah lebih pengting daripada harta benda anda
6. Kemajuan peribadi; Charles Schultz menyatakan; kehidupan adalah sama seperti berbasikal dengan sepuluh kelajuan. Kebanyakan daripada kita mempunyai peralatan tetapi kita tidak menggunakannya.
7. Kualiti setiap pengalaman adalah penting

Kekayaan sebenar adalah seperti berikut:
1. Penemuan dan penghargaan semua kecantikan, keajaiban dan khazanah-khazanah di bumi
2. Satu kehidupan yang penuh dengan nilai-nilai moral, ideal tinggi, harapan dan impian-impian dan memuaskan hatinya.
3. Harmoni dan kekayaan dalam hubungan sesama manusia
4. Satu sikap mental yang positif, dengan fizikal yang cemerlang, kesihatan mental dan spiritual
5. Pilihan satu sebab yang lebih penting daripada anda
6. Kebebasan
7. Kerja, penghayatan, perlaksanaan dan ganjaran
8. Satu kehidupan yang penuh dengan kasih sayang, tabiat-tabiat baik dan kecemerlangan
9. Pengetahuan, kemahiran-kemahiran, kebijaksanaa dan mengimbangkan
10. Penggunaan paling sempurna dan keseronokan sumber dalaman dan luaran anda.

Lelaki dengan kekayaan yang sebenar menyatakan: Saya telah menggunakan semua bakat saya, keupayaan dan kekayaan untuk membawa kebaikan untuk diri,keluarga dan dunia saya. Bagi saya, saya telah menemui kekayaan sebenar saya. Keseronokan berpunca daripada menulis buku ini telah melimpah. Sekarang saya mempunyai teman di merata-rata tempat! Saya telah mengajar banyak perkara kepada anda. Saya telah mempengaruhi banyak kehidupan.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Indahnya menjadi guru

Guru adalah mata air
tapi murid adalah
sungai-sungai kehidupan
yang mengalir ke muara
lalu ke lautan lepas
lalu terbang ke awan
menjadi butiran air hujan
yang bisa menyuburkan hidup
atau bahkan menimbulkan
malapetaka banjir yang
menghancurkan bahkan
mematikan lalu
menjadi airmata


Iwan Fals

Doa Sambutan Maulidur Rasul Kebangsaan 2015

Bismillahi Rahmanir Rahim

Allahumma Ya Allah

Kami dengan penuh khusyuk dan tawadhuk menadah tangan menzahirkan kesyukuran kami di atas nikmat dan rahmatMu, maka dapatlah kami berhimpun pada pagi yang penuh bermakna ini dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan.
Mudah-mudahan  dengan rahmat dan inayahMu jua majlis ini akan berjalan dengan lancar dan sempurna.

Sesungguhnya Engkau telah mengutus Rasul agungMu Muhammad saw menyelamat umat  di tengah-tengah suasana masyarakat yang kehilangan arah dengan pelbagai kepincangan hidup yang parah, kehidupan masyarakat yang berpecah belah sesama sendiri disebabkan latar belakang kabilah. Dengan penuh bijaksana rasulMu berjaya melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu, berpaksikan tauhid dan membataskan keabadian kepada Allah. Akhirnya perpecahan yang berakar umbi dalam masyarakat dipadamkan dan kembali hidup bersama dengan saksama berkongsi kesenangan dan kesusahan
 
Sesungguhnya hambaMu Muhammad saw rasul yang mulia, membawa sinar ke seluruh alam semesta,tingkah laku dan akhlaknya begitu mulia, pengorbanannya pula tiada tara menjadi ikutan kepada umat sepanjang masa.

Ya Allah, limpahilah kepada kami taufik dan inayahMu untuk mencontohi rasulMu yang penuh suri tauladan, tutur bicara tingkah laku menyatu antara ucapan dan perbuatan. Jujur, amanah tidak mungkir pada janji bahkan pasti ditunaikan. Rendah diri menyantuni umat tanpa mengira darjat dan keturunan. Inilah ciri-ciri insan yang kami idamkan, mudah-mudahan kami peroleh hidayah dan pedoman menjiwainya pada setiap watak dan perbuatan.

Allahumma Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Kurniakanlah kekuatan kepada kami dalam menyelusuri kehidupan yang penuh mencabar walaupun dalam apa keadaan, tidak goyang bila menghadapi ujian,bila disogok dengan kurniaan mudah bertukar haluan dan pegangan. Mudah-mudahan kasih dan kecintaan kami kepada baginda akan mengatasi segala-galanya melebihi kecintaan kepada diri sendiri, keluarga dan manusia selurohnya.

Ya Allah bimbinglah kami dan anak-anak muda kami ke arah kebaikan bukan penyumbang kerosakan, jauh sekali juara keburukan, merosak negara, tamaddun dan kemajuan. Larangan baginda dijauhi sekalipun pahit tidak tertahan. Semoga keburukan akan berkurangan, mekar subur ma’arof kebaikan, kasih sayang terikat hubungan, masyarakat terselamat dari kerosakan, kepincangan dan kecelakaan. Akhirnya mendapat keamanan, kesejahteraan dan keredhaan. Hati masing-masing pula disandari takwa dan iman.

Allahumma Ya Hafiz Ya Alim

Di saat kami berhimpun di majlis yang diberkati ini, kami memohon dengan rahsia keagungan  nama-nama dan sifat-sifatMu agar dikurniakan taufik,kesejahteraan yang berterusan, sihat afiat dalam taat yang berpanjangan pada hambaMu raja kami yang kami kasihi, pemimpin-peminpin negara, seluruh rakyat dan  umat Islam seluruhnya.

Allahumma Ya Allah

Peliharalah juga negara kami, Malaysia  dan  negara-negara Islam dari sebarang huru-hara dan bala bencana , musuh yang ingin menggugat keharmonian , banjir dan kemarau panjang dan lain-lain keburukan yang akan menimpa.Pereratkan di antara kami tali persaudaraan, kukuhkan perpaduan. mudah-mudahan kami sentiasa berada dalam sejahtera, aman damai yang berpanjangan.

Aameen.

Tan Sri Datuk Sheikh Hj Ismail b Mohamad
Imam Besar Masjid Negara
24 Dis 2015

Monday, December 21, 2015

Pelajaran ke 42

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata ulama Rahimahumullahu Ta’ala: Hai anak Adam, ketahui olehmu bahawasanya tiada lebih martabat seorang itu melainkan dengan sebab lebih akalnya dan tiada kurang martabat seorang itu melainkan dengan sebab kurang akalnya.

Bermula akal itu terlebih daripada ilmu kerana tiada hasil faedah ilmu itu melainkan dengan akalnya jua.

Ketahui olehmu, bahawasanya akal itu sebaik-baik taulanmu yang menolong ia akan dikau pada pekerjaan dunia dan akhirat dan kerana inilah tiada dimulia akan seorang itu di dalam dunia dan di dalam akhirat melainkan dengan sebab lebih akalnya dan tiada kurang martabat seorang itu melainkan dengan sebab kurang akal seperti kata hukama yang bererti: Bermula akal itu sebaik-baik taulan.

Kerana ia menyatakan pekerjaan yang salah dan jikalau ada orang itu hina ia nescaya ialah memuliakan dia jikalau ada orang itu papa nescaya ialah mengayakan dia dan dengan dia tanda kebajikan di dalam dunia dan di dalam akhirat seperti sabda nabi saw:

Adalah bagi tiap-tiap suara itu pegawai dan bahawasanya pegawai mu’min itu akal dan adalah bagi segala yang menjahat itu kenderaan dan kenderaan manusia itu akal dan adalah bagi tiap-tiap suatu itu tiang dan tiang agama itu akal dan adalah bagi tiap-tiap kaum suatu yang menolong dia dan yang menolong manusia itu akal dan adalah bagi tiap-tiap kaum itu yang memelihara akan dia dan yang memeliharakan segala ’abid itu akal dan adalah bagi tiap-tiap saudagar itu dagangan dan dagangan segala yang menuntut ilmu itu akal dan adalah bagi tiap-tiap rumah itu melonggarkan dia dan melonggarkan segala orang yang shadiq itu akal dan adalah bagi tiap-tiap binasa itu yang meramaikan dia dan yang meramaikan akhirat itu akal dan adalah bagi tiap-tiap manusia suatu peninggalan yang disebutkan orang kepadanya dan sebut orang akan dia kerananya maka peninggalan segala manusia itu akal dan adalah bagi tiap-tiap pelayaran itu khemah dan khemah segala mu;min itu akal.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Kehidupan yang abadi

Esei 99

Robert Schuller mencatatkan dalam bukunya yang menarik The Be-Happy Attitudes; bahawa kebahagiaan adalah keindahan kepercayaan di mana dalam hidup ini, walau bagaimana susahnya ia, ianya bukan destinasi terakhir anda.

Biar kita berhenti sejenak untuk menghidu bunga-bunga dan merasai masa lampau, sementara kita melengkapkan diri kita dengan tabiat-tabiat baik dan sikap yang mulia dalam persediaan untuk menghadapi kehidupan abadi tersebut.

Beribu-ribu kematian singkat dan near death experience (NDE) yang dilaporkan kepada seluruh dunia telah menunjukkan kita satu kehidupan selepas mati. Nde ini telah menceritakan tentang orang yang telah meninggal dunia secara klinikal tetapi kemudiannya disedarkan semula.

Pengalaman kematian telah memberikan kepentingan kasih sayang dan memberi bantuan kepada yang lain.Mereka yang mengalami, mewujudkan keamanan dan memperkaya lain-lain akan diberikan ganjaran; kepada mereka yang merompak dan membunuh, dan merogol akan dihukum. Walaupun tanpa permulaan pengalaman tentang kematian, konsep ganjaran dan retribusi menyempurnakan perasaan.Ianya adalah ketidakadilan dan perbuatan salah yang begitu banyak berlaku di dunia bahawa perlu ada satu pengganti dan membuat peringkat sistem dalam sistem kosmik yang sempurna ini. Di samping itu, kita semua mempunyai suara hati yang dikurniakan Tuhan untuk menahan daripada kejahatan. Kita dapat merasakannya dan kita tahu kita tidak patut mencuri atau membunuh.

Bersedialah untuk kehidupan abadi iaitu kehidupan selepas mati,anda akan menghabiskan banyak masa di sana, dalam keabadian. Pemikiran menarik adalah bahawa: Selepas kematian kita akan bersatu semula dengan semua orang, terutama dengan orang yang kita kasihi. Syurga akan menjadi sebuah tempat keindahan berterusan, kebahagiaan lengkap, keselesaan yang kekal, abadi dan cinta yang kekal.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Sebuah rumah tanpa pagar

Di taman ini
ada sebuah rumah
tanpa pagar
halamannya yang luas
penuh pepohon
rambutan, manga
jambu,limau
langsat
dan pulasan

Setiap petang
ramailah tetangga
duduk duduk di bangku
sambil menikmati
musim buah-buahan

Di taman ini
sebuah rumah tanpa pagar
tiba-tiba dikejutkan
dengan pemergian
tuan rumah
kembali ke negeri kekal

Sejak rumah ditinggalkan
anak-anak bertindak
memagar rumah
dan tetangga
tidak lagi
berdatangan
musim buah-buahan
tidak lagi mewah

Anak-anak
mempertahankan
rumah mereka
kerana selama ini
kebebasan yang diberi
mencarik persahabatan
tetangga
yang berasa terganggu
dengan karenah anak remaja
yang berebut
setiap kali musim buah
hingga ada dahan yang patah.

Shapiai Muhammad Ramly
Taman Seri Wangsa, BP Johor
BH 20 Dis 2015

Al-Aziz

Asma Ul-Husna 9

Al-Aziz ertinya Allah Maha Perkasa yang memiliki segala Kekuatan dan Kejayaan sebagaimana firmanNya bermaksud:

Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana
(An-Naml:9)

Maha Perkasa dan Memiliki Kekuatan yang sempurna

Akar kata dari sifat ini adalah ’izz. Kekuasaan, kekuatan, kejayaan, pengangkatan , tidak tunduk. Kata kerjanya bermakna: memperkuat atau mendukung, sebagaimana dalam ayat:

Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: Sesungguhnya kami ini adalah diutuskankan kepada kamu.
(Yaasin:14)

Secara linguistik, kata kerjanya bererti: mengatasi, mendapatkan kekuasaan yang lebih baik, menundukkan dan sebagainya.

Al-Aziz adalah satu-satunya Zat yang memiliki semua kemuliaan dan keperkasaan. Dia tidak pernah ditaklukkan atau Dia tidak pernah bersalah. Tiada khayalan ataupun akal yang mampu memahamiNya. Dia Zat yang tidak pernah tunduk atau terganggu dalam cara apapun, Zat yang tidak memiliki bandingan atau kesamaan, Zat yang sangat dihajatkan, Zat yang berjaya dan tidak pernah terkalahkan, Maha Kuasa, Maha Perkasa, yang tak pernah dapat dicapai.

Sifat manusia yang kesembilan ialah kuat dan perkasa

Merujuk kepada perkara ini, maka sifat manusia yang kesembilan dengan bercermin pada Asma ul-Husna ialah bersifat kuat dan perkasa, terutamanya dalam sebarang bentuk ketaatan kepada Allah swt.

Rasulullah saw pernah menyebutkan bahawa Muslim yang kuat dan perkasa itu lebih disukai Allah daripada Muslim yang lemah dan daif. Ini memandangkan Muslim yang kuat dan gagah akan mudah melakukan ibadat yang memerlukan kekuatan fizikal seperti jihad dan berperang di jalan Allah.

Wallahu a’lam

Adil Akhyar
Kehebatan berzikir dengan Asma Ul-Husna,2010
Ms23-24

Saturday, December 19, 2015

Pelajaran 41

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata setengah ulamak Rahimahumullahu Ta’ala: Hai anak Adam, rendahkan olehmu akan dirimu kepada barangsiapa yang tinggi martabat daripadamu dan jangan engkau meringan-ringan orang yang kurang martabat daripadamu dan tahankan olehmu lidahmu dan berkata-kata yang tiada memberi manfaat dan berperangaikan olehmu pada seorang seperti perangaimu pada sihatmu dan peliharakan olehmu janjimu dengan Tuhan yang menjadikan akan dikau dan hidupkan olehmu  di dalam dunia dengan takutmu akan Allah Ta’ala serta mematikan olehmu yang enam perkara ini iaitu tanda orang yang berakal.

Kata Siti ’Aisyah Radhiyallaha ’anha bahawa tanda orang yang berakal itu sepuluh perkara, lima perkara daripadanya zahir dan lima perkara daripadanya batin. Adapun yang zahir itu:

1. Diam diri
2. Menahan marah
3. Merendahkan diri
4. Meramah-ramahkan
5. Berbuat amal soleh

Adapun yang batin itu lima perkara:

1. Berkata-kata dengan kebajikan
2. Berbuat ibadat
3. Sentiasa takut akan Allah
4. Membesarkan dosa dirinya
5. Menghinakan dirinya

Kata ahli Al-Hikmah: Bahawa tanda orang yang berakal itu tujuh:

1. Barangsiapa berbuat jahat akan dia maka dibalasnya dengan kebajikan serta suka hatinya dan dimaafkan segala kesalahannya
2. Merendahkan dirinya kepada orang yang kurang martabat daripadanya dan dimuliakannya akan orang yang terlebih martabat daripadanya/
3. Diusahakannya segala pekerjaan yang kebajikan serta disegerakannya pada mengerjakan dia
4. Benci akan segala pekerjaan yang jahat
5. Sentiasa ia menyebut nama Allah dan memohonkan ampun daripada dosanya kepada Allah Ta’ala serta ia mengaitkan maut dan kuburnya.
6. Barang yang tiap-tiap dikatanya itu dengan pengentahuannya dan dengan nyatanya dan pada tempat yang sepatutnya
7. Tiap-tiap barang yang kesukaran itu berlindung ia kepada Allah Ta’ala dan harap ia akan Allah Ta’ala meluputkan dia daripada bahayanya.

Adapun tanda orang yang kurang akal itu pun tujuh perkara :

1. Menganiayai segala orang yang di bawah hukumnya
2. Membesarkan dirinya daripada segala orang yang mulia daripadanya dan menilik ia akan segala manusia dengan tilik mengurangkan dia serta melebihkan dirinya.
3. Apabila ia berkata-kata dengan orang yang lain tiada dengan adab dan sopan
4. Apabila ia melihat ia akan pekerjaan seorang yang salah, maka tiada dimuliakan melainkan dihinakan dan tiada ia benci akan kesalahannya
5. Kasih ia akan segala perbuatan yang salah dan akan segala orang yang jahat
6. Diperlambatnya mengerjakan segala pekerjaan yang baik dan disegerakannya segala pekerjaan yang jahat
7. Apabila datang kepadanya suatu kesukaran maka tiadalah ia sabar ia.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

Satu kewajipan moral untuk kemanusiaan

Esei 98

Penulisan yang cantik oleh William Penn meluaskan penghargaan dan tujuan kehidupan: Saya menjangkakan dan berharap untuk melalui kehidupan dengan penuh aman walaupun hanya sekali. Oleh itu, terdapat beberapa kebaikan yang dapat saya tunjukkan, atau setiap perkara yang baik yang boleh saya lakukan kepada saudara saya, biar saya lakukan sekarang, supaya saya tidak perlu melakukan perkara ini sekali lagi. Martin Luther King, Jr mengulangi sentimen ini: Persoalan kehidupan yang berterusan dan penting adalah, apa yang telah kita lakukan untuk orang lain.

Jadikanlah kehidupan kita berguna. Albert Einstein menyatakan: Hanya dengan membuat amal kebajikan pada mereka yang lain menjadikan kehidupan itu lebih bermakna.

Menjadi bertanggongjawab kepada orang lain adalah sebahagian daripada kejayaan sebenar, kekayaan dan kehebatan. Nabi Muhammad saw menyatakan: Kekayaan seseorang itu adalah sesuatu yang baik dan dia telah lakukan semasa di dunia ini.Ralph Waldo Emerson menambah: Lelaki yang terhebat dalam semua peringkat umur telah menjadi seorang kekasih. Semua golongan lelaki terdahulu telah melaluinya. Kepercayaan dan penghormatan dalam diri seorang lelaki telah dicirikan dengan benar tentang kehebatannya. Tambahnya: Untuk berkongsi dengan kerap dan banyak....untuk mengetahui walaupun satu kehidupan telah dapat dijalani dengan lebih mudah ialah apabila anda telah menjalani kehidupan tersebut. Ini adalah untuk dijayakan.

St Francis Assisi turut membuat satu penyataan misi untuk kita: Tuhan, berilah keamanan kepada diriku. Di mana ada kebencian buatkan saya menyemai cinta di situ; di mana ada kecederaan, di situ ada pengampunan, di mana ada waswas, di situ ada kepercayaan; di mana ada kekecewaan, di situ ada harapan; di mana ada kehitaman, di situ ada cahaya; dan di mana ada dukacita, di situ ada kegembiraan.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar