Sunday, March 31, 2013

Perpecahan


Ya Allah Ya Tuhanku
aku bermohon kasihMu
lenyapkanlah rasa permusuhan
antara kami saling berpecahan
yang bisa meruntuhkan kekuatan
yang memusnahkan peradaban
musuh di segenap penjuru alam
lengkap bersedia intai peluang
di ruang lemah siasah ilmu kurang
bertebar kemiskinan
meluas kekufuran.

Ya Allah Ya Tuhanku
dengarkan suaraku mendayu
merayu jadikan kami satu padu
Mukmin timur Mukmin barat
suaranya satu memenuhi jagat
agar Palestin tidak lagi dizalimi
Zionis laknat sedar harga diri
pulih bumi Iraq aman Afghanistan
dari segala kuasa tuan syaitan.

Ya Allah Ya Tuhanku
Engkau lebih tahu
manusia sukakan perang
di sana sini pencerobohan
di situ keganasan penaklukan
di situlah kekejaman penindasan
manusia memang tahu dunia
dunia memang tahu manusia
Mukmin pun tahu
bukankah perpecahan
laksana pisau tajam
menghiris memotong mencincang
hancur umat lumat peradaban.

Ya Allah Ya Tuhanku
aku resah gelisah di medan
antara pilihan dengan harapan.

A.Aziz Deraman
1 Muharam 1430

Berita Harian
31 Mac 2013

Sifat orang munafik


Permata  85 :

Daripada Abdullah bin Amru bin al-As ra, rasulullah saw bersabda:  Ada empat perkara, barangsiapa yang terjebak di dalamnya jadilah dia seorang munafik yang penuh (asli) dan barangsiapa yang terdapat pada dirinya salah satu daripadanya, maka dia memiliki sifat munafik sehingga dia segera meninggalkan iaitu, jika berbicara dia berdusta, jika diamanahkan dia khianat, jika berjanji dia memungkiri janji dan jika berbantah dan bertengkar dia melampaui. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mutiara hikmah :

a) Jauhilah buruk sangka, buanglah angan-angan, khayalan-khayalan yang merosakkan dan fikiran-fikiran sakit.

b) Berbuat baiklah kepada sesama manusia dan berbaktilah dengan membuat kebaikan kepada semua orang supaya kamu akan mendapat kebahagiaan dari menziarahi orang sakit, memberi sesuatu kepada orang yang memerlukan dan dari mengasihi anak yatim.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Doa orang mukmin


Permata  84 :

Daripada Zaid bin Arqam ra katanya, rasulullah saw berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada sifat lemah, malas, tua (letih) dan azab kubur. Ya Allah, berilah kepada jiwaku ketakwaan, sucikanlahnya, dan Engkaulah sebaik yang mensucikannya. Engkaulah sebagai wali dan tuannya. Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak kenyang dan daripada doa yang tidak mustajab. (Riwayat Muslim)

Mutiara hikmah :

a) Terlalu ramai orang yang tidak mahu menetapkan cita-cita yang tinggi bagi dirinya atau bahkan lalai untuk memilih kerjaya kerana mereka takut kepada kritikan daripada keluarga dan sahabat yang mungkin menyebut: Jangan bercita-cita tinggi, orang akan berfikir engkau gila.

b) Kebanyakakan yang ditakuti orang itu tidak pernah berlaku. Kebanyakan berita-berita yang menakutkan itu tidak pernah berlaku. Di sisi Allah sahaja semua kecukupan dan di sisi Allah sahaja semua pengawasan dan pertolongan.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Habib Al-Ajmi (4)


Habib Al-Ajmi menangis teresak-esak bila mendengar orang membaca Al-Quran. Orang bertanya: Jika kamu tidak tahu maksud bacaan Quran itu, kenapa kamu menangis?. Beliau menjawab : Meskipun aku ini orang Iran, tetapi hatiku Arab.

Wallahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar

Habib Al-Ajmi (3)


Hasan : Ajmi (murid Hasan ), bagaimana kamu boleh sampai ke peringkat kerohanian yang tinggi ini?

Ajmi : Dengan membersihkan hati melalui sembahyang dan bukan dengan menghitamkan kertas melalui tulisan. Mendengarkan itu, Hasan berkata : Sayang! Pengajaranku menguntungkan orang lain, bukan diriku!

Wallahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar

Habib Al-Ajmi (2)


Suatu ketika Hasan pergi bertemu Habib Al-Ajmi di waktu asar. Hasan mendengar Ajmi membaca bacaan dalam sembahyang dengan tidak betul bacaannya. Hasan tidak mahu sembahyang bersama beliau lalu sembahyang berasingan.

Pada malam itu Hasan bermimpi bahawa Allah berkata kepadanya : Hasan, jikalau kamu menjadi makmum dalam sembahyang dengan Ajmi itu, kamu akan dapat keredaanKu dan sembahyang yang itu adalah lebih berfaedah dari sembahyang yang kamu telah lakukan sepanjang hidupmu. Kamu salahkan salah sebutan bacaannya tetapi kamu tidak tahu kesucian dan keikhlasan hatinya. Ketahuilah Kami lebih mementingkan hati yang suci bukan hanya menyebut bacaan yang betul.

Kata-katanya :

1. Allah sendiri memelihara mereka yang mengabdikan diri kepadaNya
2. Dengki dan cinta kepada dunia mestilah disingkirkan dari hati orang yang betul-betul menuju Allah.

Wallahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar

Habib Al-Ajmi (1)


Suatu hari seorang tetamu sedang memakan sedikit makanan yang dihidangkan oleh Ajmi. Pada ketika itu datanglah seorang pengemis, Ajmi pun terus mengambil makanan itu dan memberi pengemis tersebut. Tetamu itu (Hasan Al-Basri) terperanjat melihat kelakuan Ajmi itu, dan berkata : Kamu patutlah tahu sedikit sebanyak tentang sifat sopan.
 
Ajmi diam sebentar. Hasan terkejut apabila tiba-tiba datang seorang perempuan membawa hidangan yang lazat. Kedua-duanya pun makan 

Kemudian Ajmi berkata : Hasan, kamu adalah orang baik. Kamu hendaklah menambah kukuhkan imanmu kepada Allah (iaitu sesuatu yang diberi dengan nama Allah akan mendapat ganjaran berlipat ganda).

Wallahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar

Selawat 50



Ya Allah limpahkanlah selawat atas Muhammad dan atas keluarganya, sahabat-sahabatnya, anak-anaknya, isteri-isterinya, keturunannya, ahli baitnya, para penolongnya, para pengikutnya, para pencintanya dan umatnya dan jadikanlah kami bersama mereka semua. Duhai Tuhan yang paling penyayang di antara semua penyayang.

Saturday, March 30, 2013

Memelihara maruah saudaranya


Permata  83 :

Daripada Abu al-Darda’ ra bahawa sesungguhnya nabi saw bersabda: Sesiapa yang menolak (mempertahankan) kehormatan dan maruwah saudaranya di belakangnya, nescaya Allah akan menolak wajahnya dari api neraka pada hari kiamat. (Riwayat al-Tirmizi)

Mutiara hikmah :

a) Buatlah kebaikan dan berbaktilah kepada orang lain, jangan diam menyendiri sebab ia merupakan sumber kesengsaraan. Semua bentuk kesukaran, kesedihan dan kedukaan itu akan lenyap ketika anda berkumpul bersama keluarga anda dan orang ramai serta melakukan kebajikan untuk mereka.

b) Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan. Buku yang mendatangkan manfaat, anak yang baik, isteri yang disayangi dan sahabat yang soleh. Sesungguhnya Allah memiliki ganti untuk semua itu.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Kenali diri sendiri


Permata  82 :

Daripada Abu Hurairah ra berkata bahawa rasulullah saw bersabda: Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripada kau, dan janganlah melihat kepada orang yang lebih tinggi dari kamu. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu untuk tidak meremehkan nikmat Allah yang dikurniakan kepadamu. (Hadis muttafaq alaihi. Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mutiara hikmah :

a) Sesungguhnya Allah menjadikan makhluk pilihannya, iaitu apabila mereka berbuat baik merasa gembira, jika membuat salah segera meminta ampun, bila mendapat nikmat bersyukur dan jika menderita mereka bersabar.

b) Lihatlah orang yang lebih rendah dari diri anda dalam hal tubuh badan, rupa paras, rumah tangga, pekerjaan dan keluarga agar anda mengerti bahawa yang lebih rendah dari anda dalam hal-hal dimaksudkan masih ramai.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Malik b Dinar (2)


Beliau ditanya kenapa beliau tidak tidur. Malik menjawab : Aku takutkan Allah dan aku tidak tahu bila berkatnya jatuh kepadaku. Kalau aku tidur, berkatnya itu akan lepas dariku. Di samping itu, aku adalah orang yang malang jika memakan kurnia Allah tetapi menuruti kehendak syaitan. Jika adalah orang berdiri di pintu masjid sambil berteriak hendak tahu siapakah manusia yang paling hina di dunia itu, maka aku akan tampil ke muka menunjukkan diriku.

Malik berkata :

a) Apabila aku tahu keadaan dunia yang fana ini, aku pun tidak peduli tentang pandangan dunia terhadap diriku dan perbuatanku.

b) Janganlah bersahabat dengan orang yang persahabatan itu tidak akan menolongmu selepas mati kelak.

c) Firman Allah dalam Al-Quran : Ingatlah Aku dan Aku akan ingat padamu.

d) Firman Allah dalam Al-Quran : Aku akan jawab seruanmu dan terima doamu.

Wallaahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar

Malik bin Dinar (1)


Malik berkata : Aku telah pergi melihat seseorang yang hampir hendak meninggal dunia. Aku suruh dia menyebut nama Allah. Beliau enggan dan berulang-ulang menyebut nombor sepuluh, sebelas. Aku bertanya : Kenapa kamu enggan menyebut nama Allah? Orang itu menjawab: Apabila aku hendak menyebut nama Allah, aku lihat api yang besar menuju kepadaku. Tidak lama kemudia dia pun meninggal dunia. Apabila ditanya tentang si mati, dimaklumkan bahawa beliau banyak memakan riba dan mengurangkan timbangan semasa berjualbeli dengan tujuan untuk mendapat untung secara putar belit.

Wallaahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar

Selawat 49




Ya Allah, Tuhan yang selalu memberikan kurnia kepada manusia Tuhan yang selalu membukakan tanganNya lebar-lebar dengan pemberian, Tuhan yang mempunyai pemberian-pemberian yang mulia, limpahkanlah selawat atas Muhammad sebaik-baik manusia, dengan penghormatan; ampunilah pula kami, duhai Tuhan Yang Maha Tinggi

Friday, March 29, 2013

Mukmin yang kuat


Permata  81 :

Daripada Abi Hurairah ra berkata bahawa rasulullah saw bersabda: Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Pada masing-masing ada kebaikan. Tekunlah kamu atas sesuatu yang bermanfaat bagimu. Mintalah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu merasa lemah. Jika kamu tertimpa sesuatu, janganlah berkata: Kalaulah aku berbuat demikian, maka akan menjadi demikian, demikian. Akan tetapi berkatalah Allah telah mentakdirkan dan barang yang dikehendaki Allah, pasti Allah lakukan. Kerana kata-kata kalaulah dapat membuka perbuatan syaitan. (Riwayat Muslim)

Mutiara hikmah :

a) Iman, kesihatan, kekayaan, kebebasan, rasa aman, semangat muda dan ilmu adalah sari dari semua yang diinginkan oleh orang-orang yang berfikir. Namun hanya sedikit yang mampu mendapatkannya sekaligus.

b) Pengetahuan, pengalaman dan wawasan jauh lebih baik daripada harta yang bertimbun kerana gembira dengan harta benda adalah sifat binatang, sedangkan gembira dengan ilmu pengetahuan adalah sifat manusia.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Berdedikasi dalam pekerjaan


Permata  80 :

Daripada Aisyah ra, bahawa rasulullah saw bersabda: Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang. (Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Yala daripada Aisyah Mus’ab bin Thabit)

Mutiara hikmah :

a) Alam semesta ini dibangun di atas sebuah peraturan, kerana itu pakaian, rumah, meja dan kewajipan anda harus dikerjakan dengan rapi.

b) Orang yang bahagia adalah orang yang boleh mengambil pelajaran dari hari semalam, muhasabah terhadap diri sendiri, mempersiapkan diri untuk kehidupan kubur dan selalu merasa diawasi oleh Allah swt sama ada ketika terang terangan ataupun sembunyi.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Kesihatan dan masa lapang


Permata  79 :

Daripada Ibn Abbas ra berkata, nabi saw bersabda: Dua nikmat yang kebanyakkan manusia rugi (kecewa) dalam menerima keduanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang. (Riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah dan Al-Baihaqi)

Mutiara hikmah :

a) Punca keresahan dan kesuntukan adalah mengabaikan Allah swt dan mempersembahkan hidupnya untuk dunia hingga orang yang masuk penjara seumur hidup ini tidak boleh dikatakan hidup kerana sudah tidak mendatangkan manfaat lagi dan tidak pula mati yang kerana itu perlu diumumkan derita kematiannya.

b) Yang lalu telah berlalu dan yang telah pergi telah mati. Jangan difikirkan yang telah lalu kerana telah pergi dan selesai.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Hasan Al-Basri (5)


Pendapat Hasan :

1. Kambing itu lebih sedar dari manusia kerana menurut kata gembalanya. Tetapi manusia itu tidak taat kepada perintah Tuhannya dan menurut sahaja kehendak iblis.

2. Kawan-kawan yang jahat merosakkan orang yang berjalan menuju Allah.

3. Mengumpulkan hartabenda lebih buruk daripada meminum arak yang mana adalah dilarang oleh Al-kitab.

4. Siapa yang memecilkan dirinya akan selamat. Siapa yang memisahkan dirinya dari nafsunya akan merasai kebebasan.

5. Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan di situ membina bangunan akhirat adalah orang yang bijak.

6. Barangsiapa yang kenal Allah menganggap dunia ini sebagai musuhnya dan siapa yang kasih akan dunia akan menjadi musuh Allah.

7. Orang yang membuang amalan ruhaniah dan menggantinya dengan bermurah hati kepada dunia, cuba menegapkan cara-caranya yang jahat itu, adalah orang yang rosak.

8. Barangsiapa yang cinta kepada emas dan perak akan dihinakan oleh Allah. Siapa yang menganggap dirinya sebagai pemimpin masyarakat adalah  sesat dan hina.

9. Allah berfirman dalam Al-Quran : Aku akan ampunkan kamu dari segala dosa kamu jika kamu tidak memandang yang lain kecuali Aku.

Hasan ditanya : Bagaimanakah kamu? Beliau menjawab : Saya adalah ibarat orang di tengah laut yang kehilangan perahu dan terapung-apung di dalam air.

Wallahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar

Hasan Al-Basri (4)


Hasan berkata bahawa empat peristiwa yang memberinya pengajaran besar dalam hidup :

a) Satu ketika saya tarik pakaian seorang kasi kerana berseloroh. Orang itu berkata: Kembalikanlah pakaian itu, kerana tidak ada orang yang tahu keadaanku yang sebenarnya. Tiba-tiba terlintas di fikiranku bagaimana pula kedudukan kita di akhirat kelak jika kita ditelanjangkan dan semua dosa kita itu diperlihatkan.

b) Seorang mabuk sedang menggelupur dalam lumpur. Saya katakan kepadanya supaya berhati-hati agar tidak tenggelam. Orang itu berkata: Hasan, jika aku tenggelam, aku sendiri yang menderita. Tuan jagalah diri tuan. Jika tuan jatuh semua pengikutmu akan tenggelam sama.

c) Suatu hari seorang budak membawa lampu yang bernyala. Saya tanya dia dari mana dia bawa api itu. Kanak-kanak itu pun memadamkan lampu itu dan berkata: Beritahu padaku ke mana perginya api yang bernyala pada lampu itu?

d) Suatu hari seorang perempuan yang jelita berlari di jalan raya dengan kepalanya tanpa tudung sambil merungut tentang suaminya. Saya suruh dia menutup kepala dan mukanya. Perempuan itu berkata : Cinta kepada suami telah menghilangkan fikiranku hingga aku tidak sedarkan diriku dan kelilingku. Jika tuan tidak memberitahuku yang kepala dan mukaku tidak bertutup, maka tidaklah aku tahu. Aku akan berjalan seperti ini di jalan ini. Tetapi hairan juga aku, hai Hasan, tuan berpura-pura sebagai seorang pencinta Allah, dan tuan sedar kepada apa sahaja yang terlintas di hadapan tuan, dan pancaindera tuan masih ada kesedaran kepada yang lain. Apakah cinta Allah yang ada pada tuan itu?.

Wallahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar

Hasan Al-Basri (3)


Biasanya Hasan menulis dosa-dosa yang dilakukannya pada pakaiannya semenjak dahulu lagi. Beliau selalu melihat tulisan tersebut. Kadang-kadang beliau menangis hingga jatuh pengsan apabila melihat dosa yang dilakukannya itu.

Satu ketika,beliau dan rombongan ke Kaabah. Di pertengahan jalan, mereka tiba ke satu perigi tanpa tali timba. Hasan berkata : Saya hendak sembahyang, semasa saya sembahyang tuan-tuan akan lihat air itu naik ke atas. Bolehlah ia diminum bagi menghilangkan dahaga.

Perkara itu benar-benar berlaku. Setelah meminum sepuas-puasnya, seseorang telah mengisi bekas airnya untuk kegunaan masa depan. Tidak semena-mena air terus  turun ke bawah.

Itu adalah kerana kurangnya iman untuk bertawakkal bulat-bulat kepada Allah, ujar Hasan.

Wallahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar

Selawat 48




Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada orang yang ruhnya menjadi mihrab arwah, malaikat dan seluruh alam. Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada orang yang menjadi imam para nabi dan seluruh alam. Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada orang yang menjadi pemimpin penduduk surga iaitu hamba-hamba Allah yang beriman.

Thursday, March 28, 2013

Jangan bertangguh


Permata  78 :

Daripada Ibn Umar ra katanya: Rasulullah saw memegang dua bahuku seraya menasihatkanku: Jadilah kamu dunia seperti orang asing atau orang musafir. Dan adalah Ibn Umar ra berkata: Apabila kamu berada di waktu petang, maka janganlah kamu tunggu waktu pagi dan apabila kamu berada di waktu pagi, maka jangan kamu tunggu petang. Ambillah dari masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu dan dari masa hidupmu sebelum datang kematianmu. ( Riwayat al-Bukhari)

Mutiara hikmah :

a) Orang yang malas dan suka berlengah-lengah adalah orang yang membuat orang di sekitarnya tertanya-tanya dan yang menderita kesedihan, dalam erti yang sebenarnya. Sedangkan orang yang serius bekerja adalah orang yang tahu bagaimana sepatutnya hidup dan bagaimana mendapat kebahagiaan.

b) Hindarilah kata pengandaian, jika.....maka, nanti, akan.....menangguhkan pekerjaan dan menangguh-nangguh kewajipan. Ini kerana ia merupakan tanda kegagalan.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Takwa dan akhlak mulia


Permata  77 :

Daripada Abu Zar ra, rasulullah saw bersabda: Bertakwalah kepada Allah di mana saja kamu berada. Dan ikutilah kejahatan dengan mengerjakan kebaikan, nescaya menghapuskannya (kejahatan tadi). Dan berperangai kepada manusia dengan perangai yang baik. (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Mutiara hikmah :

a) Tanamkan dalam keyakinan anda bahawa siapa sahaja yang menjalinkan hubungan dengan anda terlepas dari celaan, sama ada saudara, anak, isteri, kerabat ataupun kawan, kerananya persiapkan diri anda untuk anda menerima semua.

b) Kembangkan bakat yang diberikan kepada diri anda, ilmu yang anda sukai, rezeki yang dianugerahkan kepada anda dan pekerjaan yang sesuai untuk anda.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Hasan Al-Basri (2)


Apabila Rabiatul-adawiyah Al-Basriyyah tidak datang menghadiri syarahan Hasan, ia tidak akan memberi syarahan hari itu. Jawabnya : Serbat yang ada di dalam bekas untuk gajah tidak dapat dimuatkan dalam bekas untuk semut.

Beliau juga pernah ditanya : Apakah Islam dan siapakah orang Islam?  Hasan menjawab: Islam itu dalam kitab-kitab dan orang Islam itu dalam kubur.

Kata-kata Hasan :

1. Janganlah kamu tinggalkan amalan agamamu kerana takutkan musuh yang menganggu kamu. Bahkan mereka itu menganggu Allah.

2. Akhir dunia dan awal akhirat ialah dalam kubur.

Wallaahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar

Hasan Al-Basri (1)


Suatu hari beliau ke Rum  untuk berniaga. Ditemuinya menteri sultan. Kata menteri itu: Anda hendaklah menunggu beberapa hari lagi kerana masa ini menemankan sultan dalam satu kerja pentingnya. Jika anda mahu, anda bolehlah bersama kami. Hasan pun mengikuti rombongan ke satu hutan lus. Di tengahnya ada sebuah khemah hebat, dikawal askar-askar.

Pegawai-pegawai tentera masuk dan keluar mengelilingi khemah dan pergi. Ia diikuti, orang-orang tua kehormat, pakar-pakar perubatan, dua ratus orang gadis cantik dan diakhiri sultan serta menterinya.

Kehairanan Hasan dijawab oleh menteri. Katanya : Sultan itu mempunyai anak yang lawa dan berani telah meninggal dunia di sini. Anak itu dikuburkan di tempat khemah itu terdiri. Saban tahun kami mengunjungi dan melakukan apa yang dilihat dan didengari. dari lafaz para tentera, tabib dan gadis rupawan hatta dari sultan itu sendiri. Jikalau dengan senjata kami, ilmu dan pengalaman, ubat-ubat dan kecantikan dapat kami menyelamatkan kamu dari Tuhan. Kematian akan kami korbankan nyawa kami untuk menyempurnakan tujuan itu, tetapi apakah daya kami tidak berupaya menyelamatkan kamu dari mati, namun takdir Tuhan itu tetap berlaku. Selamatkanlah kamu tinggal di sini dan kami akan datang lagi tahun depan, pada masa ini juga.

Peristiwa ini amat mengharukan Hasan dan mengubah sikapnya. Beliau kembali ke Basrah. Perniagaan ditinggalkannya. Beliau pergi jauh dari manusia ramai dan bersumpah tidak akan senyum sepanjang hidupnya. Tujuh puluh tahun lamanya beliau tidak henti-henti beribadat kepada Allah. Dia tidak peduli apa sahaja selain Allah.

Wallaahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar.

Selawat 47





Selawat Allah, malaikatNya, para nabiNya dan seluruh makhlukNya, semoga sentiasa tercurah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad atasnya serta atas mereka tercurah salam, rahmat dan berkah Allah.

Wednesday, March 27, 2013

Berlindung dari perkara merungsingkan


Permata  76 :

Daripada Anas bin Malik ra bahawa rasulullah saw menyebut dalam doanya: Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepadaMu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepadaMu dari rasa penakut dan kikir dan aku berlindung kepadaMu dari bebanan hutang dan penindasan. ( Riwayat Ahmad, al-Bukhari. Muslim, Abu Daud dan al-Nasaie)

Mutiara hikmah :

a) Dr. Russell Cecil dari Fakulti Kedoktoran University Cornell menyebutkan adanya empat sebab utama yang membuat goyahnya persediaan:
* Hancurnya rumah tangga
* Bencana yang bersifat material dan kesedihan
* Kesendirian dan kecemasan
* Perasaan terhina dan dendam kesumat
 
b) Hatim al-Zahid berkata : Empat perkara, tidak difahami nilainya kecuali oleh empat :
* Nilai muda tidak diketahui kecuali oleh orang yang telah tua
* Nilai kesihatan tidak diketahui kecuali oleh orang yang sakit
* Nilai sejahtera (aman) tidak diketahui kecuali oleh orang yang terkena bala
* Nilai hidup tidak diketahui kecuali oleh yang sudah mati

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Aman daripada azab


Permata  75 :

Daripada Ibn Umar ra, rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya Allah Taala mempunyai hamba-hamba yang mengkhususkan mereka untuk menunaikan keperluan hajat manusia. Mereka bersegera kepada golongan ini untuk meminta bantuan. Mereka itulah golongan yang aman dan terlepas dari azab Allah. (Riwayat al-Tabarani, Abu Nu’aim dan Ibn Abi Adi)

Mutiara hikmah :

a) Ciptakan diri anda selalu mempunyai kegiatan. Dengan kata lain, anda perlu berusaha dengan penuh kesedaran dan kemahuan untuk memanfaatkan kemampuanmu melakukan kemungkinan-kemungkinan yang boleh anda lakukan. Dijamin, anda akan merasa lebih bahagia kalau diri anda melakukan sesuatu yang indah. Kemalasan hanya akan menyuburkan kedukaan.

b) Akhlak dan tindakan yang baik lebih indah daripada wajah yang tampan, mata yang hitam dan pipi yang licin. Keindahan makna lebih utama daripada keindahan bentuk.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Owais Al-Qarni


Seorang telah memberi kepada Qarni beberapa keping wang. Beliau enggan menerimanya dan berkata bahawa beliau hanya ada dua dirham sahaja dan itu pun sudah cukup. Orang itu berkata: Berapa lama wang sebanyak itu akan mencukupi?. Beliau menjawab: Adakah engkau tahu bahawa hidupku ini tidak tentu (tidak tentu bila nyawa bercerai dengan badan) dan perlu pulakah aku menerima hadiahmu. Orang itu pun diam.

Qarni biasanya mengelakkan dirinya dari bertemu dengan manusia kerana ia memandang hari kiamat itu sangat hamper dan ia tidak sanggup membuang masa bergurau dan lebih baik menghabiskan masa dengan sembahyang.

Pendapat Qarni:

1. Orang yang mengenal Allah sebagai sahabat, tidak akan bersahabat dengan makhluk.
2. Tidurlah dengan mati di sampingmu (sentiasa anggap mati itu sangat hampir) dan bila bangun dari tidur janganlah sangka kamu akan hidup lama lagi.
3. Anggaplah Quran itu seperti Khidr, pemimpinmu dalam perjalanan dan jangan lupa mati. Sentiasalah sembahyang.
4. Ingatlah, malam itu untuk ibadat, bukan untuk tidur.
5. Hendaklah benar-benar khusyuk dalam embahyang hinggakan tatkala kamu rukuk dan tombak dilontar kepadamu, kamu tidak akan merasa sakitnya.
6. Siapa yang berpakaian indah, makan lazat-lazat dan mempunyai kawan-kawan yang kaya, maka ia lebih hampir ke neraka daripada urat lehernya sendiri.

Seorang telah bertanya kepada beliau: Siapa kamu?. Qarni menjawab : Apakah kamu anggap seorang yang tidak mahu tahu apakah ia akan hidup sehingga petang tatkala ia bangun tidur di pagi hari.

Satu ketika Qarni telah diberitahu bahawa seorang darwisy (fakir) yang memakai tudung sedang duduk di kubur  sambil menangis sepanjang masa. Beliau menjawab: Katakan kepadanya bahawa tudung itu adalah dinding atau tabir antara dia dengan Allah, kubur dan tudung itu menjadi penghalang dalam perjalanan kerohaniannya. Apabila si darwisy itu mendengar kata-kata beliau, dia pun bertafakkur, kemudian menjerit lalu meninggal dunia.

Wallaahu a’lam

Tazkiratul Auliya
Syekh Fariduddin Attar.

Pemergian Sheikh Said Ramadhan


Ketinggian ilmu ulama Syria Sheikh Said Ramadhan

TUTUR kata dan keperibadian Sheikh Said Ramadhan dikagumi ramai ulama.

"TIDAK tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku."

Itu pesanan terakhir Sheikh Muhammad Said Ramadhan Al-Bouti, 84, kepada ulama terkenal Yemen, Habib Ali al-Jufri yang menghubungi beliau melalui telefon kira-kira dua minggu sebelum kematiannya akibat serangan nekad pengebom berani mati.

Kejadian itu berlaku sewaktu beliau sedang mengajar anak-anak muridnya di Masjid Eman yang terletak di Damsyik, Syria pada 22 Mac lalu. Serangan tersebut mengakibatkan 42 jemaah terbunuh termasuk beliau.

Ternyata benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah."
 
Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Sheikh Said Ramadhan sudah mengetahui ajalnya akan tiba yang semua itu merupakan kurniaan Allah kepada hamba pilihan-Nya.

Apa yang pasti, pemergian Syeikh Said Ramadhan pada malam Jumaat yang mulia dalam keadaan al-Quran didakap di dadanya, ditangisi jutaan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Reda terima berita

Bagi Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 44, anak murid kepada Sheikh Said Ramadhan ketika menuntut di Universiti Ulum Islamiyyah di Syria sekitar tahun 1994 hingga 1997, walaupun sedih namun beliau menerima takdir itu dengan reda.

"Secara peribadi saya terkejut mendengar berita pemergian guru kami dalam tragedi tersebut. Tetapi, saya reda. Sheikh meninggal dalam keadaan sangat mulia kerana menegakkan agama Allah iaitu ketika mengajar di masjid.

"Antara keistimewaan Sheikh Said Ramadhan ialah beliau seorang mufaqih Islam. Setiap tutur kata dan pengaruhnya dikagumi dan diambil prihatin oleh ramai ulama dunia Islam. Beliau juga merupakan syeikh mazhab Syafie terkemuka pada tahun 1960-an hingga 1970-an," ujar Zulkifli yang merupakan seorang pendakwah bebas di Malaysia ketika dihubungi Kosmo!.


KETINGGIAN ilmunya membuatkan Sheikh Said Ramadhan sering diundang untuk menyampaikan syarahan di seluruh dunia.

Tambah Zulkifli, beliau pernah bertanya pada anak Sheikh Said Ramadhan, Dr. Tawfik Ramadhan berkenaan ayahnya. Ia lantas dibalas dengan kata-kata: "Di rumah kami ada sebuah bilik khas yang aku tidak pernah melihat ayahku kecuali dalam tiga keadaan iaitu membaca, menulis dan bersolat (berzikir)."

Ketika di Syria, Zulkifli turut berkesempatan berguru dengan beberapa ulama selain Sheikh Said Ramadhan iaitu Sheikh Dr. Wahbah Zuhayli, Sheikh Abdul Latif Marfour dan Sheikh Abdul Rahman Habbannakah. Menurut beliau, guru-gurunya di Syria terbahagi kepada beberapa kelompok.

"Ada antara mereka bersama kerajaan, menentang kerajaan atau memilih untuk berdiam diri. Bagi saya, pendirian Sheikh Said Ramadhan terhadap isu di Syria wajar dihormati kerana beliau lebih memahami keadaan semasa di sana.

"Ia berbeza dengan Mesir. Apa pun, Sheikh Said Ramadhan di akhir hayatnya bersama dengan perjuangan rakyat," tegas Zulkifli sambil berharap umat Islam akan berpegang teguh pada pesanan terakhir Sheikh yang meminta mereka bersatu atas kalimah Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Gelaran profesor

Dilahirkan pada tahun 1929 di sebuah perkampungan Ayn Dewar di utara Syria, Sheikh Said Ramadhan merupakan ulama Ahlus Sunah Wal Jamaah (ASWJ) yang bermazhab Syafie terkemuka di negara tersebut.

Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1955. Sekitar tahun 1960-an, Sheikh Said Ramadhan pernah menjadi tenaga pengajar sebelum dilantik sebagai Dekan di Fakulti Syariah, Universiti Damascus, Syria.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Undang-Undang Islam juga di Universiti Al-Azhar.

Semasa hayatnya, beliau masih bergelar profesor di Universiti Damascus dan bergiat aktif dalam persidangan serta seminar di peringkat antarabangsa. Beliau juga telah menulis tidak kurang daripada 40 buah buku dalam pelbagai bidang termasuk kesusasteraan, falsafah, sosiologi dan keagamaan.

Ketinggian ilmunya terserlah dalam kuliah-kuliah dan ceramah yang disampaikan di serata Syria. Sebagai seorang ahli akademik, beliau juga menganggotai Majlis Tertinggi Akademi Oxford, England dan penyelidik di Royal Society of the Islamic Civilisation yang berpusat di Amman, Jordan. Antara buku beliau yang terkenal adalah kitab Fiqh Sirah yang menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, pelajar jurusan Ijazah Takhassus Qiraat Shoubra di Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir, Haniff Abu Talib, 24, turut melahirkan rasa sedih di atas pemergian Syeikh Said Ramadhan.

"Kita membesar dengan kitab Fiqh Sirahnya. Takziah kepada seluruh umat Islam kerana kehilangan sebuah permata ummah. Beliau merupakan ulama yang telah mengarang banyak kitab dan kebanyakannya menjadi rujukan utama umat Islam," ungkap Haniff yang turut dipaparkan pada laman sosial Facebook miliknya.

Menurut Haniff, ulama bukanlah maksum dan mereka mempunyai ijtihad sendiri. Tetapi, inilah yang menyebabkan fitnah ke atas Sheikh Said Ramadhan apabila beliau membela rejim Bashar al-Assad.

Kunjungan ke Malaysia

"Ia berlaku lantaran kejahilan golongan awam terhadap ijtihad seseorang ulama. Apa pun, ingatlah jasa beliau yang telah meninggalkan banyak ilmunya pada kita," luah anak muda kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini.

Pada tahun 2010, Sheikh Said Ramadhan pernah berkunjung ke Malaysia melalui inisiatif yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Sepanjang berada di Malaysia, beliau sempat menghadiri pelbagai majlis ilmu dan memberi ceramah yang diterjemahkan oleh Zulkifli.

Ini termasuklah mengadakan syarahan perdana di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Wacana Ilmiah: Islamic & Extremism di Institut Kajian Rantau Asia Barat (Ikrab), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kuliah di Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan program Aplikasi Fiqh Sirah dalam Realiti Semasa di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Dalam pada itu, salah seorang ulama Syria, Sheikh Muhammad Abul Huda al-Yaqoubi berkata, Allah telah mengurniakan pengakhiran hayatnya dengan kebaikan dan kemuliaan syahid.

"Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat umat Islam seluruhnya. Beliau merupakan seorang mujaddid dalam pemikiran dan akidah. Beliau adalah seorang alim rabbani yang berjuang membela Islam dan ASWJ berdekad lamanya di mimbar Damsyik dan kuliah syariah," jelas Sheikh Muhammad Abul Huda.

Beberapa hari sebelum dijemput pulang menghadap Ilahi, Sheikh Said Ramadhan juga pernah berkata: "Setiap apa yang berlaku padaku atau yang menuduhku daripada ijtihadku, maka aku harap ia tidak terlepas daripada ganjaran ijtihad (yang betul mendapat dua ganjaran dan yang tidak mendapat satu ganjaran)."

Jenazah beliau telah disembahyangkan oleh ribuan pengikutnya dan dikebumikan di sebelah makam Salahuddin al-Ayubi yang terletak berdekatan dengan Masjid Ummaiyyah di Damsyik, Syria.

Wallaahu a’lam.

Kosmo! Online .
27 Mac 2013 

Selawat 46


Ya Allah limpahkanlah selawat dan salam kepada junjungan kami Muhammad, hamba, nabi dan rasulMu, nabi yang ummi, juga kepada keluarga Muhammad dengan selawat yang menjadi kerelaan bagi kami dan penunaian bagi haknya. Berikanlah kepadanya wasilah dari maqam yang terpuji yang telah Engkau janjikan. Balaslah ia dari kami dengan balasan yang sepantasnya; dan balaslah ia dengan balasan yang paling baik daripada balasan yang telah Engkau berikan kepada seorang nabi dari umatnya.

Limpahkanlah pula selawatMu atas semua saudara-saudaranya dari golongan para nabi, shiddiqun, syuhada dan orang-orang yang soleh.

Ya Allah limpahkanlah selawat kepada Muhammad di kalangan umat terdahulu dan limpahkanlah selawat kepada Muhammad di kalangan umat terdahulu dan limpahkanlah selawat kepada Muhammad sampai Hati Kiamat. Ya Allah limpahkanlah selawat kepada ruh Muhammad di dalam alam ruh. Limpahkanlah selawat kepada jasadnya di dalam alam jasad dan limpahkanlah kepada kuburnya di dalam alam kubur, jadikanlah semulia-mulia selawatMu, setinggi-tinggi berkahMu, selembut-lembut kasih sayangMu dan redaMu kepada Muhammad, hambaMu, nabi dan rasulMu serta berikanlah kesejahteraan yang banyak kepadanya.

Tuesday, March 26, 2013

Kelebihan berinovasi


Permata  74 :

Daripada Salman al-Farisi ra berkata kepada rasulullah saw: Adalah kami di Farsi dulu apabila dikepung, kami membina parit-parit di sekeliling kami. (Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut dalam kitabnya Fath al-Bari menaqalkan daripada Ashab al-Maghazi, antara mereka ialah Abu Mas’syar)
 
Mutiara hikmah :

a) Bacalah sejarah, fikirkan keajaiban-keajaibannya, renungkan keanehan-keanehannya, semak kisah-kisah dan khabar-khabarnya.

b) Sebaik-baik harta yang kamu miliki adalah yang memberi manfaat, seagung-agung ilmu yang kamu miliki adalah yang mengangkat darjat, sebaik-baik rumah adalah yang memberi kebebasan dan sebaik-baik sahabat adalah yang menasihatimu.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Jauhi budaya lepak


Permata  73 :

Daripada Abu Said al-Khudri ra berkata bahawa rasulullah saw bersabda: Awasilah kamu daripada duduk di tepi jalan. Para sahabat bertanya: Ya rasulullah kami terpaksa berada di tempat duduk kami dan berbual di situ. Sabda rasulullah : Jika kamu enggan, hendaklah kamu berilah hak jalan. Para sahabat bertanya : Apa haknya. Sabda rasulullah : Tundukkan pandanganmu, mencegah daripada perkara yang menyakitkan, menjawab salam dan melaksanakan amar makruf serta nahi mungkar. (Hadis sahih ini muttafaq alaihi. Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

Mutiara hikmah :

a) Orang yang menjauhi perselisihan, menjauhi sikap membanggakan diri sendiri, menjauhi sifat dusta, reda dengan takdir Allah dan menjauhi sifat dengki nescaya Allah jinakkan hati manusia kepadaNya.

b) Siapa yang mengabulkan permintaan orang yang terhimpit dengan masalah, jika meminta pertolongan, yang menoling orang yang tenggelam, jika menyeru dan yang akan menghapuskan kesusahan dari kita? Dialah Allah.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Abu Muhammad Imam Ja’afar Al-Sadiq



Suatu hari Ja’afar telah dipanggil oleh khalifah. Apabila tiba di tempat khalifah, beliau hendak diberi hadiah oleh khalifah itu dengan emas. Tetapi beliau enggan menerimanya. Khalifah menyuruhnya meminta apa sahaja yang beliau suka. Ja’afar berkata: Jika tuan redha, kurniakan pada saya satu hadiah, iaitu jangan tuan panggil saya bertemu dengan tuan lagi kerana itu menganggu ibadatku. Khalifah bersetuju.

Ada seorang hamba Allah telah berkata kepada Ja’afar: Wahai Ja’afar, tuan memakai pakaian yang mahal-mahal. Beliau menjawab, Lihatlah pakaian dalamku. Orang itu pun meraba pakaian dalam beliau. Orang itu terperanjat apabila dirasainya pakaian itu sangat kasar hinggakan tangannya tergaris oleh kasarnya pakaian itu. Orang itu bertanya : Apakah maksudnya dua jenis pakaian yang tuan pakai ini?. Ja’afar menjawab : Pakaian luar itu untuk dunia (untuk menyembunyikan pengabdianku dan mengelakkan dari diketahui orang ramai) dan pakaian dalam itu ialah untuk keredhaan Tuhanku (yang menghormati kefakiran kita dan memuliakan penyerahkan kita kepadaNya).

Seorang bertanya: Siapakah yang lebih baik di antara kedua orang ini: Orang kaya yang bersyukur kehadrat Allah kerana kurniaan Allah kepadanya; atau orang fakir yang redha?. Ja’afar menjawab : Orang fakir yang reda itulah yang lebih baik, kerana orang kaya ini sentiasa ingatkan hartabendanya tetapi fakir itu sentiasa ingat kepada Allah. Allah sendiri memuji orang-orang yang bertaubat dan memasuki Islam dan menganggap mereka lebih baik dari ahli-ahli ibadat. Zikir membuangkan segala ingatan kepada dunia.

Kata-kata Ja’afar :

1. Di hari pembicaraan kelak anda bukan ditanya tentang hartabenda atau pangkat atau nenek moyang dan pendapatan anda, tetapi adalah amalan kerohanian yang telah anda lalui dan ibadat yang anda lakukan.

2. Allah tidak akan dijumpai sehingga kita betul-betul mahu bertemu denganNya, seperti kita betul-betul mahu bertemu denganNya, seperti orang yang hampir kelemasan mahupun pertolongan.

3. Adalah satu dosa jika putus asa dalam ibadat.

4. Orang yang bertaubat setiap kali membuat dosa adalah orang yang dikasihi Allah.

5. Rahsia itu dibukakan kepadaku tatkala aku tenggelam dalam cinta Allah.

6. Orang yang tidak putus-putus berusaha dan menyerahkan semua peribadatannya kehadrat Allah adalah orang yang akan menduduki syurga; tetapi orang yang bergantung kepada dirinya sendiri dan menjadi hamba kepada hawa nafsu akan ditempatkan di neraka.

Wallaahu a’lam.

Tazkiratul Auliya
Sheikh Fariduddin Attar

Selawat 45





Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam kepada saidina Muhammad serta keluarga dan para sahabatnya, sebanyak jumlah huruf yang digariskan oleh qalam.

Monday, March 25, 2013

Kembalinya seorang tokoh


Tokoh Ilmuan Islam Dr Muhammad Uthman Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Dr Muhammad Uthman El-Muhammady meninggal dunia di kediamannya di ISTAC, Taman Duta di sini petang Isnin.

Dr Muhammad Uthman yang dilahirkan pada 9 Feb 1943 di Kelantan adalah tokoh yang tidak asing khususnya dalam dunia intelektual Islam dan telah menghasilkan ratusan penulisan berkenaan Islam dari segi akidah, akhlak, budaya dan falsafah.

Allahyarham memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat ijazah dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1966 sebelum menjadi tutor pada tahun 1969.
Sebelum kembali ke Kelantan, Allahyarham mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM sehingga tahun 1973.

Pada tahun 1995, Allahyarham dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D.Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM).

mStar Online
25 Mac 2013

Jauhi sifat ujub


Permata  72 :

Daripada Anas bin Malik ra meriwayatkan secara marfu’ : Tiga perkara yang menyelamatkan, takut kepada Allah Taala sama ada dalam sembunyi atau terang terangan, adil ketika reda dan marah dan berekonomi ketika fakir dan kaya. Dan tiga perkara yang membinasakan, hawa nafsu yang diikuti, orang yang kedekut ditaati dan seseorang merasa ujub dengan dirinya. (Hadis diriwayatkan oleh al-qudhaie dan Abu Nu’aim)
 
Mutiara hikmah :

a) Masruq ra berkata : Cukup seseorang dianggap alim apabila takut kepada Allah dan cukup seseorang menjadi bodoh, sombong dengan amalnya.

b) Mutharrif bin Abdullah ra berkata : Bila aku tidur semalaman, tanpa bertahajud kemudian bangun pagi dengan rasa menyesal lebih baik daripada bangun malam untuk bertahajud kemudian merasa ujub pada siang harinya.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Senyum adalah sedekah


Permata  71 :

Daripada Abu Zar al-Ghifari ra berkata bahawa rasulullah saw bersabda: Kamu senyum kepada saudaramu adalah sedekah, kamu melakukan amar makrif dan nahi mungkar adalah sedekah, kamu menunjuk seseorang yang sesat adalah sedekah dan kamu membuang batu, duri dan tulang dari jalan adalah sedekah. (riwayat al-Bukhari dan al-Tirmizi)

Mutiara hikmah :

a) Senyuman adalah kekuatan sihir yang dihalalkan, adalah wang muka yang dibayarkan untuk cinta dan pernyataan hubungan pertemanan, adalah satu misi yang diturunkan di dunia untuk perdamaian dan cinta kasih, dan adalah sedekah wajib yang menunjukkan bahawa orang yang mengeluarkannya, dengan itu menyatakan keredaannya, ketenangan jiwanya dan keteguhan hatinya.

b) Senyum itu adalah kunci kebahagiaan, cinta adalah pintunya, kegembiraan adalah taman bunganya, iman adalah cahayanya dan akaman adalah temboknya.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri