Saturday, June 27, 2015

Satu analisis lanjutan tentang bahan-bahan kejayaan

Esei 63

Bagi mereka yang tidak lahir dalam keadaan serba mencukupi, penentuan besar adalah keupayaan berubah dan bebas daripada rantai kemiskinan serta kekosongan harapan. Perubahan mungkin datang sebagai satu inspirasi, satu pantulan daripada suasana kesukaran, satu tekad melarikan diri daripada penderitaan atau satu jalan terakhir. Jadi halangan tidaklah seburuk yang disangkakan akhirnya. Malangnya manusia sering terhasil sebagai satu produk tabiat; orang yang terperosok dalam kegagalan mungkin payah hendak menerima perubahan.

Ini seumpama permasalahan ayam dan telur ayam, satu pasir jerlus dan satu lingkaran jahat, kerana tabiat lama akan melemahkan keupayaan untuk berubah, kemiskinan dan persaingan dalam perniagaan melambatkan sebarang peluang untuk merubah keadaan. Mereka yang dapat melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan berusaha untuk mencari kekayaan sesungguhnya bernasib baik. Jangkaan untuk mencapai kejayaan adalah hebat; lebih hebat lagi apabila kejayaan menjadi milik kita. Mudahnya menjumpai jalan. Imej kendiri, berdikari dan keupayaan untuk berfikir merupakan satu bantuan besar jua!

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Mutiara Kata Prof. Dr Al-Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih ( 9 )


a) Jikalau engkau berdoa, lalu di hatimu terasa sesuatu (membekasnya sebuah perasaan khusyuk), maka hal itu merupakan petanda dikabulkan doa.

b) Orang-orang yang mencintai Allah dengan bersungguh-sungguh, tentu tidak akan bermaksiat kepadaNya (kerana cinta yang sebenarnya adalah berdasarkan ma’rifah atau pengenalan yang mendalam kepada Sang Pencipta seluruh alam ini. Kerana hal itu akan membuat pencinta tersebut enggan melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah SWT).

c) Jadilah kalian sebagai ahli nur, caranya isilah hati-hati kalian dengan zikir, selawat, istighfar dan selalu berkomunikasi dengan Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah

Mengaplikasi

Tahap operasi kognitif : Menggunakan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam situasi berlainan untuk melaksanakan sesuatu

Tahap
Huraian
I
Menggunakan sesuatu perkara yang berkaitan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai asas
II
Menunjuk cara sesuatu perkara yang berkaitan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang asas dalam situasi yang berlainan.
III
Menunjuk cara sesuatu perkara dengan sedikit penerangan atau contoh berkaitan dengan pengetahuan, kemahiran, nilai, konsep, prinsip dan strategi yang asas dalam situasi yang berkaitan.
IV
Menunjuk cara sesuatu perkara dengan penerangan atau contoh yang berkaitan dengan pengetahuan, teori, kemahiran, nilai, konsep, prinsip dan strategi yang asas dalam situasi yang berlainan.
V
Menunjuk cara sesuatu perkara dengan penerangan atau conth yang berkaitan dengan pengetahuan, teori, kemahiran, nilai, konsep, prinsip-prinsip dan strategi yang kompleks dalam situasi yang berlainan.

Wallahu a’lam.

Kemahiran berfikir Aras Tinggi: Aplikasi di sekolah
BPK, KPM 2014

Berguru dengan Ramadhan

Ramadhan mengingatkan
mereka yang makan debu
berkuahkan airmata
yang bermalam diselimutkan awan
anak-anak yang kehilangan
peta dan identity
dalam kembara meredah hutan duri
rumah yang sunyi ditawan sepi
sedangkan kita sibuk mengumpul selera
menulis dan melukis hidangan senja
mereka masih ada yang dikoyak lukanya
berpuasa dalam himpitan nasib
yang rentung
siang tanpa mentari
waktu menjadi panjang dan kejang.

Ramadhan yang menginsafkan
hadir untuk menewaskan nafsu kendiri
menkoreksikan imaginasi peribadi
menyucikan kemampuan hakiki
merefleksikan cerminan
perjuangan
bahawa hidup ini adalah
anugerah kehidupan
dan kasih dan cintanya
Maha Suci Tuhan.

Solihin Osman
Bandar Puncak Alam, Selangor
Mingguan Malaysia
21 Jun 2015

Saturday, June 20, 2015

Resepi kejayaan


Esei 62

Terdapat 20 perkara, iaitu

1. Imej kendiri yang berkuasa dan berkeyakinan
2. Suasana tempat kediaman yang tegas, bertenaga, kemesraan dan perhubungan sokongan yang baik
3. Pengalaman terdahulu dan pembangunan yang diminati dalam bidang tertentu
4. Membaca, penyelidikan,penerokaan malah obsesi rata dalam bidang ini
5. Tahap kreativiti yang tinggi, kebijaksanaan, kebolehan semulajadi dan kebijaksanaan.
6. Kesihatan fizikal dan psikologi yang baik dengan daya hidup
7. Impian, kehendak yang kuat, cita-cita, matlamat, rancangan dan keutamaan.
8. Kesanggupan untuk mengambil kesempatan peluang, sumber dan persekitaran
9. Wawasan, arah, strategi, kemampuan membuat keputusan dan prestasi
10. Motivasi dan kapasiti mengambil tindakan
11. Menguasai kuasa minda
12. Keazaman, ketabahan dan pengejaran sepenuh jiwa raga
13. Keberanian dan satu semangat perintis yang berani menjadi berbeza daripada yang lain
14. Semangat
15. Prinsip yang menjadi pedoman yang kukuh, nilai, watak dan integriti
16. Kasih sayang, simpati, sifat dan motif pemurah
17. Wajah menyenangkan, karisma, komunikasi dan kemahiran sosial
18. Tinjauan positif, optimisme dan mempunyai sikap lucu
19. Halangan atau kejadian yang membawa kepada kekuatan dan suatu perspektif baru
20. Pengetahuan khusus, kemahiran, produk atau servis yang memenuhi keperluan.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Zina dan seksanya


Bab  26

Lembah di neraka

Nabi saw bersabda: Di dalam neraka jahannam itu satu wadi ada padanya beberapa ular, tiap-tiap satu ular seperti tengkuk unta, menggigit ia akan orang yang meninggalkan sembahyang, maka lekat racunnya pada tubuhnya 70 tahun, kemudian hancur dagingnya.

Dan ada pada neraka jahannam itu satu wadi, namanya Hubbul Huzun. Ada padanya beberapa ular dan kala, tiap-tiap satu kala itu besarnya kadar baghal, ada baginya 70 sengat, pada tiap-tiap satu sengat rawiyyah, yakni tempat berhimpun racunnya. Memukul ia akan orang yang berzina dan dituangkan racunnya ke dalam jisimnya, mendapat ia akan pedih sakitnya seribu tahun, kemudian hancur dagingnya dan mengalir daripada farajnya nanah dan danur. (tersebut di dalam Zawajir)

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013

Mutiara Kata Prof. Dr Al-Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih ( 8 )

a) Budi pekerti adalah bahagian dari agama

b) Jarak penghubung antara kita dan baginda nabi Muhammad saw hanyalah kematian (kerana dengan kematian kita dapat bertemu nabi Muhammad saw di alam barzakh)

c) Bagaimana sebahagian kalian telah mencaci maki para sahabat rasulullah saw , sedangkan Allah SWT telah redha kepada mereka.

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah


Memahami

Tahap operasi kognitif :  Menterjemahkan bahan atau idea daripada satu bentuk ke bentuk lain : mentaksir bahan atau idea, menganggar trend.

Tahap
Huraian
I
Menceritakan sesuatu perkara yang berkaitan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang asas.
II
Menerangkan atau memerihal sesuatu perkara yang berkaitan dengan memberi contoh, pengetahuan, kemahiran dan nilai yang asas.
III
Menjelaskan atau memerihal sesuatu perkara dengan sedikit penerangan atau contoh perkaitan dengan definisi, pengetahuan, kemahiran, nilai, konsep dan prinsip yang asas
IV
Menjelaskan sesuatu perkara dengan memberi contoh yang berkaitan dengan definisi, pengetahuan, teori, kemahiran, nilai, konsep, prinsip dan strategi yang asas
V
Menjelaskan atau memerihal sesuatu perkara dengan memberi contoh yang berkaitan dengan definisi, pengetahuan, teori, kemahiran, nilai, konsep, prinsip dan strategi yang kompleks

Wallahu a’lam.

Kemahiran berfikir Aras Tinggi: Aplikasi di sekolah
BPK, KPM 2014

Lari ke pulau

Aku lari ke pulau dewata
tapi yang kulihat
orang-orang mabuk arak
di pasar tawar menawar
bahagian tangan dan kaki dewata
di tanah harga.

Aku lari ke pulau dewata
mendengar kitab disyairkan
orang buta tak tahu membaca.

Faisal Mat Zawi
Bangalore, India
BH, 31 Mei 2015



Wednesday, June 17, 2015

Mengingat

 
Tahap operasi kognitif : Mengingat kembali atau mengenal pasti maklumat yang spesifik

Tahap
Huraian
I
Menyatakan semula pengetahuan, kemahiran dan nilai yang asas
II
Menyatakan definisi, pengetahuan, kemahiran dan nilai yang asas
III
Menyatakan definisi, pengetahuan, kemahiran, nilai, konsep, prinsip dan strategi  yang asas
IV
Menyatakan definisi, pengetahuan, teori, kemahiran,nilai, konsep, prinsip dan strategi  yang asas
V
Menyatakan definisi, pengetahuan, teori, kemahiran,nilai, konsep, prinsip dan strategi  yang kompleks

Wallahu a’lam.

Kemahiran berfikir Aras Tinggi: Aplikasi di sekolah
BPK, KPM 2014

Kelebihan berkahwin

Bab 25
 
Sabda nabi saw : Berkahwin itu berkat dan anak itu rahmat. Maka muliakan olehmu akan segala anak itu ibadah.

Yakni, muliakan mereka itu dengan mengajarkan mereka itu segala adab dan segala pekerjaan agama.

Dan sabda nabi saw: Pertama-tama barang yang dihantarkan pada tangan hamba itu nafkahnya atas ahlinya (keluarganya).

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013


Mutiara Kata Prof. Dr Al-Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih ( 7 )

a) Jangan pernah terlintas dalam hatimu untuk berburuk sangka kepada para wali-wali Allah SWT

b) Kejernihan dan kebeningan hati merupakan anugerah Allah SWT bagi hamba-hamba yang dipilihnya

c) Lalai dari Allah SWT merupakan seksa di dalam dunia

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah


Hadiah dari laut

Kala aku di pesisiran bersendirian
meratib zikir mengukir senyuman
kutemui sebuah ketenangan
di sini aku beroleh pelajaran
tidak terjangkau dek akal fikiran.

Saat dilempar sampah
bahkan bangkai
kebosanan laut tidak berkunjung
menghasilkan pemandangan
nian indah
member nelayan secicip rezeki
dan menghadiahi
penyelam mutiara.

Mampukah aku menjadi
seperti laut
dilontar tuba dibalas madu.

Nuraini Shahbuddin
Muar, Johor
Mingguan Malaysia
31 Mei 2015

Tuesday, June 16, 2015

Meraikan Ramadhan 2015

Majlis Cerapan Ramadan 1436 hijrah
Menara Kuala Lumpur
16 Jun 2015

a) Kita hendaklah bersatu, kita buangkan yang keruh ambil yang jernih, kita bersihkan hati kita.

b) Kita buang sifat iri hati dan tamak. Kita gantikan dengan sifat ikhlas, sifat kasih sayang, hormat menghormati yang akhirnya kita dapat menjadikan negara kita 'baidatul taibatul rabul ghafur', insyaAllah

c) Para ulama telah mengajar kita tat kala kita menyambut Ramadan jadikan hati gembira, seronok kerana tawaran Tuhan yang cukup besar dan gandaan pahala yang besar apabila masa diisi dengan amalan-amalan soleh dan ibadah wajib atau sunat.

d) Pada Ramadan ini hendaklah kita menjadualkan manual khas antara yang amat dituntut adalah melengkapkan puasa, kedua berkiam pada waktu malam iaitu melakukan ibadat tarawih dan membaca al-Quran sehingga katam walaupun beberapa kali sebagaimana yang dilakukan oleh sahabat nabi dan orang soleh

e) Dalam isu berbelanja berlebihan ini ada dua keadaan, jika sekiranya dia belanja berlebihan sehingga sampai kepada tahap pembaziran maka adalah tidak dibolehkan. Tetapi jika dia belanja berlebihan dengan meniatkan untuk bersedekah kepada jiran, fakir miskin maka itu adalah digalakkan

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Utusan Online
17 Jun 2015

Profil murid

Peningkatan keupayaan murid melalui pelaksanaan KBAT

KPM telah mengariskan Profil Murid yang perlu ada untuk murid berupaya bersaing pada peringkat global seperti berikut :

1. Berdaya tahan : Murid mampu menghadapi dan mengatasi kesukaran, mengatasi cabaran dengan bijaksana, keyakinan, toleransi dan empati

2. Pemikir : Murid berfikir secara kritikal, kreatif dan inovatif: mampu untuk menangani masalah yang kompleks dan membuat keputusan yang beretika. Murid berfikir tentang pembelajaran dan diri mereka sebagai murid. Murid menjana soalan dan bersifat terbuka kepada perspektif, nilai dan tradisi individu dan masyarakat lain. Murid berkeyakinan dan kreatif dalam menangani bidang pembelajaran yang baharu.

3. Mahir berkomunikasi : Murid menyuarakan dan meluahkan fikiran, idea dan maklumat dengan yakin dan kreatif secara lisan dan bertulis, menggunakan pelbagai media dan teknologi.

4. Kerja sepasukan : Murid boleh bekerjasama secara berkesan dan harmoni dengan orang lain. Murid menggalas tanggungjawab bersama-sama serta menghormati dan menghargai sumbangan yang diberikan oleh setiap ahli pasukan. Murid memperoleh kemahiran interpersonal melalui aktiviti kolaboratif. Ini menjadikan murid sebagai pemimpin dan ahli pasukan yang lebih baik.

5. Bersifat ingin tahu :  Murid membangunkan rasa ingin tahu semulajadi untuk meneroka stategi dan idea baharu. Murid mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk menjalankan inkuiri dan  penyelidikan serta menunjukkan sifat berdikari dalam pembelajaran. Murid menikmati pengalaman pembelajaran sepanjang hayat secara berterusan.

6. Berprinsip : Murid berintegriti dan jujur, kesamarataan, adil dan menghormati maruah individu, kumpulan dan komuniti. Murid bertanggungjawab atas tindakan, akibat tindakan serta keputusan murid.

7. Bermaklumat : Murid mendapatkan pengetahuan dan membentuk pemahaman yang luas dan seimbang merentasi pelbagai disiplin pengetahuan. Murid meneroka pengetahuan dengan cekap dan berkesan dalam konteks isu tempatan dan global. Murid memahami isu-isu etika / undang-undang berkaitan maklumat yang diperoleh.

8. Prihatin : Murid menunjukkan empati, belas kasihan dan rasa hormat terhadap keperluan dan perasaan orang lain. Murid komited untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan kelestarian alam sekitar.

9. Patriotik : Murid mempamerkan kasih sayang, sokongan dan rasa hormat terhadap negara.

Wallahu a’lam.

Kemahiran berfikir Aras Tinggi: Aplikasi di sekolah
BPK, KPM 2014

Menyediakan persekitaran serta ganjaran untuk kecemerlangan

Esei 61

Oscar Wilde mencatatkan, menyayangi diri sendiri adalah permulaan bagi sebuah pencintaan sepanjang hayat. Anda tidak akan ada pesaing-pesaing! Jika anda menjaga kedudukan anda, membelai diri sepanjang kehidupan, membina satu suasana yang terbaik dan membuat kemajuan setiap hari, tahun sebenarnya tidak akan ada kehidupan yang boleh menjadik lebih baik!.

Umumnya, kesihatan dan daya hidup dalam keadaan hebat, persekitaran fizikal yang kondusif juga sfera sosial adalah amat penting. Berikan diri anda ganjaran yang sewajarnya selepasi pencapaian; elakkan ganjaran mewah dan muktamad. Wang tidak bermakna pada orang kaya seumpama salji pada Eskimo. Ganjaran kewangan dan bentuk fizikal membangkitkan semanat pada mylanya, akhirnya kualiti kerohanian dan pengalaman emosi mengatasi segalanya. Kebahagian adalah satu pengembaraan bukan satu destinasi!

Dalam kehidupan, selaiin kualiti pengalaman, menerima pampasan secara berkala dan progresif menjadi lobak-lobak dorongan dan menarik ke arah kejayaan.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Kelebihan fakir

Bab 24

Dan adalah rasulullah saw berkata pada doanya: Hai Tuhanku, hidup olehmu akan daku miskin, dan mati olehMu akan daku miskin dan himpunkan olehmu akan daku di dalam himpunan segala orang miskin.

Maka kata A’isyah ra baginya: kerana apa, ya rasulullah? Maka sabdanya: Bahawasanya mereka itu masuk syurga dahulu daripada orang kaya dengan 40 tahun. Hai A’isyah, jangan engkau tolak akan orang miskin dan jikalau dengan sebelah buah tamar sekalipun. Hai A’isyah, kasih olehmu akan segala miskin dan hampirkan olehmu akan mereka itu, nescaya hampir akan dikau Allah Taala pada hari qiamat.

Dan kata Yahya bin Mu’adz: Kasih engkau akan fuqara itu daripada perangai mursalin (para rasul). Dan memilih engkau duduk serta mereka itu daripada alamat orang shalihin dan lari engkau daripada bersahahat dengan mereka itu daripada alamat orang munafiqin.
 
Tanbih (peringatan)

Bermula fakir itu dua bahagi:

1. Fakir yang diberi pahala
2. Fakir yang diseksa

Dan alamat bagi yang pertama, bahawa membaik ia akan perangainya dan taat ia akan Tuhannya. Dan tiada mengadu hal ia kepada makhluk dan syukur ia akan Allah atas qadha Allah dengan kepapaannya.

Dan alamat bagi yang kedua, bahawa menjahat (memburukkan) ia akan perangai nya dan berbuat maksiat ia, dan mengadu hal ia kepada makhluk, dan marah ia atas kepapaannya.

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013

Mutiara Kata Prof. Dr Al-Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih ( 6 )

 
a) Darjat kewalian adalah mengikuti rasulullah saw baik perkataan mahupun perbuatan

b) Yang disebut wali adalah seseorang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya

c) Cubaan dan ujian apabila diterima dengan ikhlas serta husnuzzan (bersangka baik) kepada Allah SWT akan mendekatkan seseorang tersebut kepada darjat kewalian.

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah


Terima kasih yang tak sempat diucap

Ditanganku hanya pena tumpul
di dudukku cuma bangku tempang
sehinggalah perbicaraan
denganmu mengajarkanku
pujian selalu melayangkan
kertas anak muda
yang sedang ingin belajar menulis.

Pengalaman tak mungkin berdaya
jika kita berhenti meneroka
perjalanan tak akan bermakna
jika kita berhenti bertanya.

Tahulah aku cetusan idea
tiap huruf atau kata
adalah jelajah jauh pengarang
melangkau luas renungan
di luar baca
karakter berbeza harus
membawa kita berani
memecah baris
kepengarangan yang ada.

Kau penyair yang akan selalu diingati
sudi terus mengingatkanku
Sejauh mana pun
tanah kaukarangi
sehingga mana sanjungan diberi
kita pasti kembali
ke kampong kelahiran
halaman tempat kita
pernah berjanji.

Fauzan Zain
Kota Bharu, Kelantan
BH, 14 Jun 2015

Monday, June 15, 2015

Kepatuhan, sikap ingin tahun & keusahawanan


Esei 60

Banyak ciptaan hebat di dunia adalah hasil daripada kepatuhan dan sikap ingin tahu. Dalam sebuah biografi, Robert Lacey telah menulis mengenai seorang budak lelaki kecil di Michigan pada tahun 1870, yang terpegun dengan bahagian dalaman sebuah jam dan kemudian menjadi seorang pembaik jam yang bersemangat. Dia sering membuka dan menyelongkar bahagian-bahagian alat-alat permainan mekanikal.

Pada suatu hari buat pertama kalinya, dia memerhatikan dengan penuh hairan sebuah kenderaan yang tidak menggunakan kuasa tarikan kuda. Dia melompat turun daripada gerabak kudanya untuk bercakap dengan jurutera enjim stim berkenaan. Dia mengakui bahawa pertemuan itu adalah permulaan dia melangkah ke alaf baru. Cintanya terhadap alatan mekanikal telah membawa kepada peluang pekerjaan di bengkel mesin, limbungan kapal dan operasi jentera perladangan. Lelaki ini telah mempelopori perusahaan pembikinan automobil terbesar di dunia. Budak lelaki kecil inilah yang terdapat dalam buku Robert Lacey iaitu Ford: Manusia dan Mesin.

John Rockefeller pula ada menyebutkan: Jika anda mahu berjaya, anda harus meneroka lorong-lorong baru dan mengelak daripada meminjam laluan sedia ada yang menjanjikan kejayaan. Sesungguhnya banyak lagi insiden-insiden realiti kehidupan boleh dijadikan pembimbing sinar yang menghala ke arah penemuan dan perusahaan besar yang akhirnya bisa melimpah untuk memanfaatkan kepada orang lain pula.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Mutiara Kata Prof. Dr Al-Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih ( 5 )

a) Akal dapat menjadi tenang, hati akan menjadi lunak hanya dengan selalu ingat kepada Allah SWT

b) Perkataan seseorang itu menunjukkan bagaimana akal orang tersebut

c) Bukan dikatakan berilmu apabila tidak disertai ketaqwaan dan bukanlah dinamakan berakal bila tidak dihiasi adab serta budi pekerti.

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah

Titik

Hidup ini rupanya gubahan
sebuah karangan hidup
di atas kertas fana

segala angka
huruf dan diksi terakam
dari lembar ke lembar
dari helai ke helai
muka surat yang kadang-kadang
tetanggal
dibawa angin waktu
tersusun di rak kalbu

karanganmu
dambaan hati
gubahan budi
tertulis kata dan makna
sebuah cerita usia

tiba-tiba di penjuru lembar
terlakar tinta koma
sebelum titik terakhir
menyudahi karangan
di atas naskhah kenangan.

Husma Nazri
Kemaman
BH, 7 Jun 2015


Ya Allah terimalah pengakhiran dunia dan akhirat kami dalam keredhaanMu jua. Limpahi rahmatMu untuk kami menikmati Ramadhan kali ini dan kelazatan sabar taat pada suruhan dan tegahanMu Ya arhamarrahimi…..Aameen.

Saturday, June 13, 2015

Jimat cermat untuk berkembang maju

Esei 59

Benjamin Franklin mengatakan: Wang membuang wang dan duit membuat serta menjadikan lebih banyak wang. Dia seterusnya menambah, jalan menuju kekayaan selurus jalan menuju ke pasar. Jangan sekali-kali membazirkan waktu dan wang, tetapi gunakanlah kedua-duanya dengan terbaik.

Manusia juga berbelanja melebihi pendapatan yang diterima. Kebanyakkan mempunyai dua buah kereta dalam garaj. Tidak lama lagi mereka bekerja kuat untuk mencari wang yang telah mereka berbelanja atas benda-benda tidak perlu serta benda-benda untuk menarik perhatian orang terhadap orang yang mereka tidak suka! Fikirkan.

Kekuatan kewangan dan kemerdekaan kita sebenarnya semakin bergantung kepada menyelamatkan wang yang kita perolehi. Selain wang hanya anda akan menyelamatkan diri anda. Jimat cermat perlu diutamakan atas hal-hal kewangan. Ia menguasai semua kekayaan yang kita dapat lihat dan tidak kelihatan. Andrew Carnegie berkata: Jimat cermat adalah sifat untuk membina kekayaan.

Ingatlah, tabur dengan satu belah tangan dan kumpullah dengan dua belah tangan. Teruskan membuat simpanan tunai, untuk simpanan akan datang.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Kelebihan taubat

Bab 23

Kata Anas ra: Datang seorang lelaki kepada rasulullah saw, maka sembah ia: Ya rasulullah, bahawasanya aku telah berbuat dosa. Sabdanya: Istighfar olehmu akan Allah. Sembahnya: Bahawasanya aku taubat,kemudian aku kembali berbuat dosa. Sabdanya: Tiap-tiap engkau berbuat dosa, maka taubat olehmu hingga syaitan itu menyesal ia. Sembahnya: Ya rasulullah, tiba-tiba banyak dosaku?. Maka sabdanya saw : Ampun Allah terlebih banyak daripada dosa engkau.

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013

Ya Allah anugerahkan buat kami benar dalam bicara dan amalan kami. Jangan Engkau berpaling daripada kamu walau sekelip mata. Anugerahkan istiqamah dalam bertaubat buat kami. Anugerahkan air mata buat kami yang akan menangisi kezaliman diri sendiri. Usah hina kami dengan air mata darah di akhirat nanti. Hunjamkanlah sabar dalam taat dan menjauhi kemaksiatan padaMu meskipun dalam lintasan fikiran. Ingatkan kami bahawa pendengaran, penglihatan dan kulit akan menjadi saksi di akhirat nanti. Sucikan kami Ya Allah. Usah terus gelincirkan kami dalam hawa nafsu yang tidak pernah puas. Berikan kami cahaya Wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Mutiara Kata Prof. Dr Al-Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih ( 4 )

a) Di antara ciri seseorang yang hatinya bersih adalah, apabila ingat kepada Allah SWT, maka dia menangis.

b) Islam merupakan agama yang sangat rasional dan sebagai agama perjuangan

c) Seorang muslim yang sejati apabila ditimpa sesuatu apapun, maka dia tetap tenang dan redha menerima keputusannya

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah

Cawan amalan

Seteguk peringatan
demi seteguk peringatan
kuhirup perlahan-lahan
secangkir kopi kesedaran
dihulur seorang teman
tatkala kuriwayatkan
pernah kuterpenjara
di alam tanpa sedar

perinya membekas
penuhi dan limpahilah
cawan amalanmu
dengan kelazatan
zikir dan selawat
usia kurniaan cuma
kan sejap mata
diambil dan dibawa pergi

Khairul Hakimi Mansor
SEMSAS, Kuantan
BH, 7 Jun 2015