Sunday, July 26, 2015

Kepimpinan Aras 5

Pemimpin daripada kaca mata Harry S. Truman (McCullogh,1992) ialah seorang yang mampu mencapai apa sahaja dalam kehidupan tanpa mengambil kira keuntungan peribadi. Manakala Sun Tzu pula melihat pemimpin sebagai seorang yang bijak menunggu kealphaan pihak lawan untuk mencapai kejayaan semasa pertempuran.

Jim Collins dan pasukan penyelidiknya menemui Kepimpinan Aras 5 semasa menjalankan penyelidikan  terhadap 11 buah syarikat terbaik yang telah membangun menjadi syarikat-syarikat paling terkemuka di Amerika. Pemimpin ini mengamalkan keperibadian mesra dengan orang-orang di sekeliling, tegas terhadap subodinat untuk mendapatkan kejayaan organisasi serta memiliki semangat yang kuat dan sangat komited untuk kecemerlangan organisasi. Kepimpinan Aras 5 adalah merujuk kepada kepimpinan yang berada pada aras tertinggi dalam piramid hieraki keupayaan kepimpinan Jim Collins (2002).

Ciri-ciri Kepimpinan Aras 5 adalah seperti berikut:
*      Pemimpin yang menggabungkan sifat merendah diri dengan kehendak profesional
*      Pemimpin yang membina barisan pemimpin pelapis dan bersedia untuk mencipta kecemerlangan yang hebat
*      Pemimopin yang mempamerkan kesederhanaan atau kesopanan dan bukannya menunjuk-nunjuk
*      Pemimpin yang sentiasa terdorong untuk mengekalkan kecemerlangan
*      Pemimpin yang berusaha bersungguh-sungguh dan bukan bermuka-muka
*      Pemimpin yang menghubungkaitkan kejayaan yang dicapai dengan orang lain dan tidak kepada diri sendiri
*      Pemimpin yang sentiasa meletakkan kelemahan pada diri sendiri dan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala bentuk kegagalan dan
*      Pemimpin yang m,empunyai potensi untuk sampai pada kedudukan Kepimpinan Aras 5.

Collins mderumuskan bahawa kerendahan diri dan kehendak profesional adalah kunci kepada Kepimpinan Aras 5. Formula beliau adalah: Kerendahan Diri + Kehendak Profesional = Kepimpinan Aras 5.

Terdapat dua aspek Kepimpinan Aras 5 iaitu:

Kehendak Profesional (Professional Will)
Sifat Kerendahan Diri (Personal Humility)
Mencipta kejayaan yang hebat, mencetuskan satu pemangkin kepada perubahan daripada lebih baik kepada lebih hebat.
Mempamerkan kesederhanaan atau kesopanan dengan tidak mengharapkan pujian serta bukannya menunjuk-nunjuk
Mempunyai sifat ketegasan untuk mencapai kejayaan dalam satu jangka masa yang panjang tanpa memperdulikan kepayahan memperolehinya
Bertindak secara diam-diam, tenang berpandukan nilai-nilai kehidupan , tidak memaparkan karismanya, sebaliknya sentiasa memberi motivasi
Menetapkan beberapa piawaian bagi membangunkan organisasi hebat, tanpa kompromi
Menyalurkan semua cita-cita untuk kecemerlangan organisasi dan tidak kepada keuntungan peribadi; membina barisan pelapis untuk mengekalkan kehebatan pada masa hadapan
Bertangungjawab atas kegagalan tanpa menyalahkan sesiapa, faktor luaran atau takdir.
Kejayaan organisasi bergantung kepada kekuatan ahli, faktor luaran dan takdir dan bukan semata-mata kepada keupayaan diri sendiri.

Manakala aras-aras Kepimpinan Aras 5 adalah:

Aras 1 : Individu Berkeupayaan Tinggi
Individu yang berkeupayaan tinggi sentiasa membuat sumbangan yang produktif dengan cara sentiasa bermaklumat, berkemahiran serta memperlihatkan perilaku yang baik.

Aras 2: Ahli Pasukan Yang Menyumbang
Ahli pasukan pemimpin pelapis yang mempunyai iltizam tinggi memberikan sumbangan individu bagi menyempurnakan tugasan kumpulan berupaya bekerja secara efektif dengan orang-orang lain di dalam pasukan.

Aras 3 : Pengurus Kompeten
Pengurus yang berkompeteni menyusun staf dan sumber-sumber ke arah keberkesanan dan kelancaran objektif-objektif yang telah ditetapkan.

Aras 4 : Pemimpin Berkesan
Kepimpinan berkesan yang berupaya menggerakkan iltizam dan sentiasa memburu visi yang jelas serta sentiasa merangsang pencapaian tertinggi sebagai ukuran piawaian.

Aras 5 : Eksekutif Aras Lima
Kepimpinan yang membina kehebatan menerusi gabungan unsur merendah diri dan kehendak profesional.

Seterusnya pemimpin yang benar-benar menghayati ciri-ciri Kepimpinan Aras 5 akan mampu membina momentum sehingga berupaya mencapai tahap prestasi unggul. Ini dijelaskan melalui konsep Flywheel. Ia bermula daripada proses pembentukan warga organisasi yang berdisiplin melalui pembinaan Kepimpinan Aras 5. Pada peringkat ini juga sistem pengurusan ditambah baik bersama-sama strategi organisasi. Momentum kecemerlangan akan terbina apabila warga organisasi berjaya menghadapi situasi getir serta berupaya merungkai kekusutan, di samping mengutamakan yang penting dan mengetepikan perkara yang remeh.

Wallahu a’lam.

Mohd Shahrul Iza b Ismail
PrOD, IAB, 2011

Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah

Ini Multaqa (Pertemuan Keilmuan)
dinamakan ia dengan nama
“seorang sultan”,
pertemuan ini sangat bermakna
kerana ia diasaskan atas nama ugama.

Ya, apakah yang lebih agung
dari ugama?
Apakah yang lebih penting
dari ugama?
Apakah yang lebih suci
dari ugama?

Ugamalah kemuliaan
ugamalah kedaulatan,
ya, tiada lain
yang lebih menentukan
kecuali ugama.

Multaqa ini khusus
untuk mengenali undang-undang Allah,
– sambil juga –
dengan sendirinya akan menyingkap
siapa pendukungnya
siapa penentangnya
siapa yang tidak mantap pendirian
dari kalangan sesama kita.

Ya, memang macam-macam ada
ragam manusia,
bukan satu dua ragam,
tetapi pelbagai ragam,
demikianlah hukum alam.

Walaupun semua sudah tahu
jalan cuma satu sahaja
ke akhirat . . .
namun pentas tidak pernah sunyi
dari sandiwara demi sandiwara
dengan para pelakunya penggemar sensasi
terus beraksi
membakar semangat dan emosi
supaya para hamba ini
terus menerus berbeza,
ya, biar terus berbeza :
berbeza pendapat
berbeza pendirian,
lalu atas sikap inilah
hukum Tuhanpun diteorikan.

Ada yang berkata :
“kalau di negara sekian ...
undang-undang Allah itu tiadalah masalah
tetapi di Nusantara ada masalah itu
kerana Islam di dua tempat ini berbeza
sebab budaya berbeza.

Ini juga teori sangatlah naifnya
berdasarkan Islam tetap Islam
di manapun ia,
di Asiakah di Afrikakah di Eropahkah,
Islam adalah sama sekali tidak boleh
di Asiakan atau di Afrikakan atau
di Eropahkan,
tetapi ia tetap bulat satu-satunya
ugama seluruh alam.
 
Dan mengenai budaya pula,
bukan ugama yang tunduk kepada budaya
tetapi budayalah yang mesti tunduk kepada
ugama.

Kemudian menyusul lagi teori lain :
“tidak boleh tergesa-gesa atau terburu-buru
melaksanakan undang-undang ini.”
Ini juga pendapat yang aneh.

Sekarang, Brunei telahpun melaksanakannya,
apakah ini tergesa-gesa atau terburu-buru?

Mohon ingati hakikat ini :
sejak bilakah undang-undang itu dikanunkan?
Adakah baru setahun dua
atau seratus tahun?
Tidak! Tetapi Al-Qur’an dan Al-Hadits
telahpun mencanangnya semenjak
dari seribu tahun lebih lagi,
sementara Islam pula
sudahpun sampai di Nusantara
termasuk Brunei,
tidak kurang dari 600 tahun,
jadi di mana wajarnya
istilah “tergesa-gesa” atau “terburu-buru” itu?

Selepas itu,
ada lagi teori lebih celaru :
orang hanya mahu “feqih baru” saja
undang-undang jenayah syar’iah yang kita ada
adalah “feqih lama”,
penteori ini tidak mahu “feqih lama”
dia hanya mahu “feqih baru”
kerana “feqih lama” itu sudah lapok
berumur beratus-ratus tahun,
ia tidak layak
untuk dijadikan sandaran penggubalan
bagi undang-undang ini
dalam alaf baru.

Apa erti feqih?
Erti feqih ialah
ilmu berkaitan undang-undang Islam
yang disusun dikarang dan dirumus dengan
ijtihad
oleh para ulama muktabar
bersumberkan Al-Qur’an dan Al-Hadits.

Apa inikah yang mahu ditolak itu?
Dan kerana lamanya beratus-ratus tahun,
makanya ia perlu diganti dengan “feqih baru?”

Apakah ini juga bererti
teori itu sekaligus menolak
ulama muktabar dan kitab-kitab turats mereka:
Al-Imam Malik dan kitab-kitab Mazhabnya,
seperti :
Al-Muaththa’ dan Tanwirul Hawalik
Al-Imam Abu Hanifah dan kitab-kitab
Mazhabnya, seperti :
Al-Mabsuth dan Fathul Qadir
Al-Imam Syafe’i dan kitab-kitab Mazhabnya,
seperti :
Al-Um dan Ar-Risalah
Al-Imam Ahmad bin Hanbal dan kitab-kitab
Mazhabnya, seperti :
Kutub Al-Qadha’ Wal Ifta’ dan Al-Iqna’.

Wah, wah, hebatnya penteori ini
mahu mempertikai ulama muktabar,
ya, boleh saja jika mampu
tetapi kemampuan itu
bukan setakat pandai berteori saja
tetapi berteorilah sambil menghasilkan juga
karya-karya besar “feqih baru” itu,
ya berkaryalah seperti Al-Imam Malik
berkarya
berkaryalah seperti Al-Imam Abu Hanifah
berkarya
berkaryalah seperti Al-Imam Syafe’i berkarya
berkaryalah seperti Al-Imam Ahmad berkarya
berkaryalah seperti Al-Imam Ibnu Hajar
berkarya,
berkaryalah seperti Al-Ghazali berkarya
berkaryalah seperti An-Nawawi berkarya,
ya, berkarya, ayuh berkarya
dengan “karya-karya besar”
seperti Imam-Imam ini berkarya,
jangan kurang dari mereka,
jika kurang, sanya
teori “feqih baru” itu
akan hanya
jadi omongan saja.

Dipendekkan madah
tentang Multaqa ini,
ia adalah satu cetusan
dari minda hebat
oleh orang hebat
dan wawasan
oleh orang berwawasan,
kemudian lebih istimewa lagi
ia juga turut didepani
oleh seorang Raja
yang bistari.
Allah Maha Kaya
menentukan semua ini.

Subhanallah
Alhamdulillah
Allahu Akbar
sama-samalah kita
meraih berkah-Nya,
insya’ Allah.

ADI RUMI
China World Hotel,
Beijing, China,
9 November, 2014.
Pelita Brunei

Saturday, July 25, 2015

Persekitaran pembelajaran yang menyokong KBAT

a) Ciri-ciri murid KBAT

Seorang yang suka bertanya dan boleh memberi cadangan penyelesaian berdasarkan pengetahuan yang sedia ada. Penggunaan bahan rangsangan seperti soalan-soalan aras tinggi dapat menggalakkan murid berfikir dengan lebih mendalam, membuat kesimpulan dan refleksi seterusnya mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi sebenar.

1) Sentiasa menyoal
2) Boleh memberi cadangan penyelesaian (menaakul) berdasarkan pengetahuan sedia ada.

b) Ciri-ciri guru yang menggalakkan KBAT

Guru sebagai pemudah cara yang melaksanakan pelbagai aktiviti berpusatkan murid, menyediakan aktiviti yang dapat mencabar minda murid dan menggunakan penyoalan aras tinggi secara berperingkat bagi mendorong murid memberi pandangan serta membuat penyelidikan dan penerokaan secara terancang dan berstruktur.

1) Berperanan sebagai pemudah cara
2) Melibatkan murid secara aktif semasa pengajaran dan pembelajaran
3) Menggalakkan murid memberi pandangan dan membuat keputusan.

c) Bilik Darjah KBAT

Bilik Darjah merujuk di mana berlakunya pengajaran dan pembelajaran. Suasana bilik darjah mestilah ceria dengan paparan hasil murid dalam bilik darjah dan aktif dalam pembelajaran.Susun atur bilik darjah berpusatkan murid di mana murid duduk dalam kumpulan yang membolehkan murid berinteraksi dan berkolaborasi. Guru menggunakan bahan sokongan yang dapat meningkatkan pemikiran murid.

1) Susun atur bilik darjah yang berpusatkan murid
2) Aktiviti yang memerlukan murid membuat inkuiri, penyelidikan pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran kolaboratif.
3) Bahan sokongan bagi merangsang aktiviti berfikir.

Wallahu a’lam.

Kemahiran berfikir Aras Tinggi: Aplikasi di sekolah
BPK, KPM 2014

Lafaz dan setia

Ruang ini tempat kita
coretkan kartu janji penuh setia
atas lafaz dan nafas
sesungguhnya makna kata termeterai
dan sumpah dipancang kejap
dalam ruang laman
bangsa dan zaman.

Ikrarkan anak-anakku
dengan senafas lafaz jujurnya
di tangan tergenggam hasrat
di bahu tersandang tanggungjawab
melangkah mengembang ikhlas
dengan senyum bibir
yang ceria setia
demi bangsamu
dalam satu lafaz keramat wira
terbilang bangsa.

Ezani Hj Daud
Kota Bharu
BH, 31 Mei 2015

Saturday, July 11, 2015

Masalah dan halangan

Esei 66

Kesusahan timbul daripada pelbagai sebab, seperti kekurangan pengetahuan, kemahiran, teknologi, dana simpanan, persediaan, komunikasi, persefahaman, penerimaan antara satu sama lain dan sebagainya. Kebanyakkan ini dapat diselesaikan mengikut masa dan usaha. Hubungan baik, penjelajahan berdasarkan asas yang sama dan situasi menang-menang dalam cara baru dan fleksibel membawa suasana harmoni dan penyelesaian. Secara bijaksana, tentangan boleh ditukar kepada penerimaan. Sentiasa bermuhasabah diri, buangkan semua rasa sakit hati. Kemarahan menghakis situasi, melemahkan daya hidup dan menjahanamkan diri. Kenal pasti sebab-sebab sungutan dan selesaikan cara kreatif dan objektif.

Masalah adalah peluang dalam pakaian kerja, kata Henry Kaiser manakala Einstein pula, di tengah-tengah kesukaran muncul peluang.

Tuhan merendam kita ke dalam air yang dalam bukan untuk melemaskan tetapi untuk dilatih supaya menjadi lebih perkasa. Kesukaran melatih manusia supaya menjadi lebih bersedia untuk menghadapi kehidupan sebagaimana kalah perang telah melatih kita kaedah baru untuk menang di kemudian hari. Beribu-ribu halangan yang besar telah diatasi di dunia ini. Patutkah ia melemahkan anda? Beethoeven adalah pekak, Solzhenitsyn dan Mandela dipenjarakan, Ray Charles, Jose Feliciano dan Steve Wonder adalah buta! Jikalau anda mahu pelangi, anda harus menghadapi ribut hujan terlebih dahulu! Tidak ada perlumbaan yang mudah bagi mendapat hadiah yang berharga. Tersungkur bukan jatuh. Setiap air mata ada senyuman di sebaliknya dan sebarang halangan akan cepat dilupakan. Zaman kesusahan sebenarnya bukanlah begitu sukar tetapi membuatkan kita menghargai zaman yang baik.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Mencipta

Tahap operasi kognitif : Menghasilkan idea atau produk atau kaedah yang kreatif dan inovatif

Tahap
Huraian
I
Menghasilkan produk dengan bimbingan
II
Menambah baik produk yang sedia ada dengan bimbingan
III
Menambah baik produk yang sedia ada tanpa bimbingan
IV
Mengubah suai produk sedia ada
V
Menghasilkan produk baharu dan asli

Wallahu a’lam.

Kemahiran berfikir Aras Tinggi: Aplikasi di sekolah
BPK, KPM 2014


Munajat Malam Al-Qadar

Ya Allah, hambaMu ini hambaMu Ya Allah,
Yang sedang mengemis ini adalah hambaMu Ya Allah,
Kami mengemis kepadaMu Ya Allah keampunan daripadaMu Ya Allah,
Ya Allah ampunkanlah dosa-dosa kami Ya Allah
Ampunkanlah segala salah-salah kami Ya Allah
Ampunkalah segala khilaf-khilaf kami Ya Allah
Seandainya Engkau tidak mengampunkan kami Ya Allah
Nescaya akan kami ini  tergolong dalam golongan hamba yang sangat rugi Ya Allah

Ya Allah Ya Tuhan kami
Saat  kami masih mampu berdoa ini Ya Allah
Tolonglah perkenankan doa kami Ya Allah
Ya Allah, saat kami masih merayu ini Ya Allah
Perkenankanlah rayuan kami ini Ya Allah
Saat kami masih boleh mengemis kepadaMu Ya Allah
Tolonglah Ya Allah, dengarkanlah permohonan kami Ya Allah
Kerana nanti akan datang satu hari Ya Allah
Kami tidak mampu lagi menuturkan kata-kata doa Ya Allah
Akan datang satu waktu dalam hidup kami nanti Ya Allah
Tertutup doa buat kami Ya Allah
Maka pada saat itu Ya Allah
Janganlah langkaukan dosa kami ke dalam kubur Ya Allah
Janganlah heretkan  dosa ini ke alam barzah Ya Allah          
Janganlah ia menjadi peneman kami di alam barzah Ya Allah
Kerana ia seburuk-buruk peneman Ya Allah
Sekeji-keji peneman Ya Allah
Yang kami tidak mahu ia ada bersama kami di alam kubur itu Ya Allah

Ya Allah Ya Tuhan kami
Dosa ini jangan Engkau letak di atas neraca kami Ya Allah
Kerana ia sangat berat Ya Allah
Nescaya kebaikan kami yang sedikit
Tidak mampu untuk menampungnya Ya Allah
Dan Ya Allah saat kaki kami  berjalan atas talian Sirati Mustakim
Janganlah dosa-dosa ini menjadi bebola-bebola besi
Yang bakal menarik kami nun jauh ke lubuk neraka jahanam Ya Allah
Kerana tubuh kami kecil dan kerdil Ya Allah
Untuk dibakar dalam azabMu Ya Allah

Ya Allah siapa lagi Tuhan kami Ya Allah
Kalau bukan Engkau yang bakal mendengar daripada kamu Ya Allah
Ya Allah Ya Tuhan kami
Ramadhan ini Ya Allah yang bakal berakhir Ya Allah
Janganlah akhirkan ia buat kami Ya Allah
Kelebihannya Ya Allah jangan catukan buat kami Ya Allah
Rezekikanlah kami Ya Allah malam Lailatur Qadar Ya Allah
Ya Allah rezekikan kami Lailatur Qadar Ya Allah
Rezekikanlah kami untuk bertemu dengan malam Lailatur Qadar Ya Allah
Saat malaikat turun Ya Allah
Turunkan jua buat kami Ya Allah
Saat malaikat itu turun jengahlah kami Ya Allah
Saat Malaikat Jibril memenuhi seluruh ruang Ya Allah
Penuhilah ruang-ruang kami Ya Allah
Rumah-rumah kami Ya Allah
Isteri kami Ya Allah
Anak-anak kami Ya Allah
Zuriat kami Ya Allah
Ya Allah jangan kecualikan kami Ya Allah
Kerana sedih sekali dan perit sekali pengecualian itu Ya Allah

Ya Allah kami tahu
Seandainya kami tidak mendoakan ayah dan ibu kami
Engkau tidak mahu mendengar doa ini Ya Allah
Maka oleh itu Ya Allah
Dengarlah juga  agar Engkau  mengampunkan
Dosa ayah dan ibu kami Ya Allah
Ampunkanlah dosa mereka Ya Allah
Ampunkanlah salah mereka Ya Allah
Ampunkanlah khilaf mereka Ya Allah
Andai ada silap mereka dalam mendidik kami Ya Allah
Jangan Engkau tanya mereka di hari akhirat Ya Allah
Jangan Engkau tanya mereka Ya Allah         
Jangan Engkau ancam mereka Ya Allah
Sebaliknya berilah kasihanMu Ya Allah
Kerana mereka mengasihani kami saat kami masih kecil Ya Allah

Ya Allah Ya Tuhan kami
Tanamkanlah kebaikan dalam seluruh sendi-sendi kami Ya Allah
Berilah kebaikan dalam seluruh saraf-saraf kami Ya Allah
Sehingga masya-Allah tidak ada  walau  satu saat Ya Allah
Engkau berpisah dan kami berpisah dengan Engkau Ya Allah

Ya Hanan Ya Manan Ya Dzul Jalal wa Al-Ikram
Berikanlah sentiasa nafas kami keimanan dan ketakwaan
Sentiasa tingkatkan ketakwaan dan iman kami Ya Allah
Janganlah kurangkannya Ya Allah
Dan janganlah Engkau matikan kami Ya Allah
Melainkan dalam kalimah yang paling mulia
Laa Ilaha Illallah, dalam iman dan dalam husnul khatimah.
Aameen.         

Ust Zul Ramli M.Razali
Usrah Nurani, IKIMfm
10 Jul 2015

Monday, July 6, 2015

Nasib

Esei 65

Pengajaran 1 : Berwaspada dan berhati-hati, tanpa berpura-pura berperasaan menguasai keadaan. Sediakan diri untuk menghadapi jalan-jalan licin dan kapal yang hampir karam dan sentiasalah berharap untuk yang terbaik.

Pengajaran 2: Kurangkan risiko dan kerugian anda, sebelum terlambat. Cicak rumah akan memberikan ekornya, tetapi masih mengekalkan nyawanya! Sentiasa buang nasib malang sebelum ia berubah menjadi lebih buruk. Biarkan harimau menggigit tali sebelum ia membaham anda. Mereka yang malang adalah yang degil dan enggan berubah untuk mengurangkan kerugian.

Pengajaran 3: Bentuklah satu jaringan persahabatan yang besar. H.Khan, pengasas Institut Hudson berkata: Anda tidak akan tahu wawasan apa atau penyelesaian bagaimana yang mungkin datang kepada anda secara tidak disangka-sangka dengan perhubungan dengan orang lain.
 
Pengajaran 4: Kewaspadaan dan kepatuhan memperbaiki nasib anda. Jangan terlepas pandang kepada karenah, kerdipan atau teguran yang berlalu! Sedihnya, kebanyakan orang tidak suka memberi perhatian kedua terhadap sesuatu atau mengubah masalah menjadi peluang.

Pengajaran 5: Hendaklah berani dalam mengambil risiko yang terancang. Imbangkan keberanian dengan langkah-langkah berhati-hati. Kaji situasi dengan hati-hati, pro dan kontranya di antara satu risiko dengan yang lain dan jumlah risiko yang anda telah bersedia menghadapinya.

Pengajaran 6: Orang yang beruntung adalah orang yang rajin dan pintar berkekerja.

Pengajaran 7: Saling bersefahaman, kasih sayang, memperkasa dan membantu orang lain.

Kesimpulannya, kita harus menerima bahawa dalam kehidupan ada pasang surutnya, manusia tidak semesti menerima sesuatu bulat-bulat. Berbekalkan ilmu pengetahuan, kebijaksanaan, kemahiran dan semangat berdikari yang kuat, nasib dan seterusnya kehidupan boleh dikawal.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Menilai

Tahap operasi kognitif : Mmembuat pertimbangan dan keputusan menggunakan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan nilai serta memberi justifikasi

Tahap
Huraian
I
Membuat peryimbangan tentang sesuatu perkara bagi membuat keputusan dengan memberi sebab
II
Membuat keputusan berdasarkan pertimbangan dengan memberi justifikasi dalam satu situasi
III
Membuat keputusan berdasarkan pertimbangan dengan memberi justifikasi dalam pelbagai situasi
IV
Membuat keputusan berdasarkan pertimbangan  dengan memberi justifikasi dalam situasi bukan rutin
V
Membuat keputusan berdasarkan pertimbangan dengan memberi justifikasi dalam situasi yang kompleks

Wallahu a’lam.

Kemahiran berfikir Aras Tinggi: Aplikasi di sekolah
BPK, KPM 2014

Kita kesuntukan masa

Kita tiada masa lagi untuk bertelagah
Apa lagi berpihak kepada musuh
Kalimat klise ini berulang-ulang dicanang
Bergerak bersama denyut nadi hayat
Kita umat yang satu
Bangsa bermaruah
Sama-sama mengabdi diri kepada
Maha Esa
Menghadap kiblat yang sama
Syahadah, rukuk dan sujud
Ratapan doa dan air mata
Tertuju kepadaNya

Kita tiada masa lagi untuk berfoya-foya
Apa lagi melakukan noda dan dosa
Masa emas yang sedikit ini
Ibadat dan istighfar
Sedekah, tilawah, tahmid, takbir dan tasbih
Mengisi bagasi perpindahan
Maut akan menjemput bila-bila masa
Ia rahsia tapi pasti tiba

Mari kita membijaksanakan minda
Memanjang-manjang fikir
Menapis dan merenung masa
Bukan sentiment dan perasaan
Tetapi pilihan terbaik
Sesudah istikharah
Sesedudah nurani uzlah
Dan memohon maghfirahNya.

Abham T.R.
Kota Bharu, Kelantan
Mingguan Malaysia
21 Jun 2015

Saturday, July 4, 2015

Paradoks dalam mengejar kejayaan

Esei 64

1. Lebih rajin anda bekerja anda akan lebih berjaya
2. Pendidikan tinggi dapat meningkatkan kejayaan
3. Anda perlukan modal untuk melancarkan pencapaian hebat
4. Pergaulan sosial dan penjalinan hubungan yang luas dapat memperkasakan perniagaan.
5. Mempunyai daya memikat akan membuat anda mewah
6. Produktiviti, keuntungan dan  wang adalah tidak penting
7. Kreativiti adalah lebih penting untuk seni halus
8. Kita mesti menyenangkan dan memperkasa semua orang untuk menjadi berjaya
9. Anda perlu bakat semulajadi untuk mendapatkan kemewahan.

Wallahu a’lam.

Stephen W.K.Tan
100 esei Inspirasi & motivasi untuk pelajar

Friday, July 3, 2015

Mutiara Kata Prof. Dr Al-Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih ( 10 )


a) Seseorang yang menaruh rasa cinta kepada baginda Muhammad saw tidak pernah merasa rugi di dunia dan di akhirat.

b) Seseorang yang banyak membaca selawat kepada baginda nabi Muhammad saw akan cepat wusul (sampai) dengan baginda saw.

c) Seseorang yang sedang menuntut ilmu agama dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT lalu dia dianugerahi dapat bermimpi baginda nabi Muhammad saw, maka itu petanda dia akan dijadikan seorang yang alim.

Wallahu a’lam.

Mutiara Habaib Nusantara
Abdul Qadir Umar Mauladdawilah