Wednesday, April 29, 2015

Kelebihan Laa Ilaha Illallah

Bab 2

As-Samarqandi berkata: Apabila berkata seorang hamba Laa Ilaha Illallah dan hatinya pada dunia, disurat Allah baginya sepuluh kebajikan. Dan jika ada hatinya pada akhirat, maka baginya tujuh ratus kebajikan. Dan jika ada hatinya serta Allah Taala, maka baginya penuh barang antara Masyrik dan Maghrib kebajikannya.

Wallahu a’lam

Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai 
2013

Abadi dalam harum nama

Guru pendidik mulia
sudah berabad lalu
bermandi keringat
meniti gigi hari
mendaki puncak tinggi
di merata lurah dan denai
menabur bakti
tanpa mau dipeduli

Guru pendidik mulia
bukan untuk dipuja
atau di dewa-dewa
siang dan malamnya
adalah perjuangan jua
rela meluah bahagia
menelan duka nestapa
dengan senyum dan takwa
biarpun sayup di hutan belantara

Guru pendidik mulia
laksana kuntuk kembang mekar
memuncak nama pembela sejahtera
abadi dalam harum nama.

Ismala
20 Dis 1988

Hadis dari Ali’Imran (2)

Hati

Hadis 32

[3:29] Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk fizik kalian, juga tidak melihat penampilan kalian. Akan tetapi, Allah melihat pada apa yang ada dalam hati kalian. (HR. Muttafaq ’Alaih)

Membangkang

Hadis 33

[3:31] Rasulullah saw bersabda: Seluruh umatku akan masuk syurga kecuali orang yang membangkang. Para sahabat bertanya: Siapa gerangan yang membangkang wahai baginda rasul? Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa yang taat kepadaku, ia pasti masuk syurga. Barangsiapa yang melanggar perintahku, maka ia telah membangkang. (HR. Al-Bukhari)

Wallahu a’lam.

Al-Quran Tajwid Warna & Terjemahan
Humaira Bookstore Enterprise

Tuesday, April 28, 2015

Hafizahnya seorang doktor gigi

Dr. Nur Munirah naib johan hafazan di Jordan

SEPANG 28 April – Peserta Malaysia, Dr. Nur Munirah Mohd. Nor berjaya menduduki tempat kedua bagi kategori hafazan 20 juzuk dalam Majlis Musabaqah Menghafaz Al-Quran Al-Karim Kerajaan Hasyimiah Kali Ke-10 di Amman, Jordan baru-baru ini. Majlis musabaqah yang berlangsung pada 20 hingga 25 April lalu itu menyaksikan Nur Munirah menewaskan 10 peserta lain bagi kategori tersebut sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dalam bidang hafazan al-Quran. Nur Munirah yang merupakan seorang doktor gigi di Putatan, Sabah berkata, beliau bersyukur kerana berjaya menduduki tempat kedua walaupun menerima saingan sengit daripada 10 peserta lain dalam kategori yang disertainya itu.

“Terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menyertai pertandingan ini dan tidak lupa jasa kedua-dua ibu bapa yang telah mengajar saya mengenal al-Quran sejak kecil lagi.

“Saya membaca al-Quran sejak berusia enam tahun dan mula menghafal ketika berusia 13 tahun. Petua saya adalah menghafal al-Quran setiap hari tanpa jemu,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan Nur Munirah membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM8,000 berserta sijil dan plak. Sepanjang berada di Jordan Nur Munirah ditemani bapanya, Mohd. Nor Anuar, 63. Menurut Nur Munirah, pemilihannya ke Jordan adalah berdasarkan kejayaannya muncul naib johan peringkat kebangsaan pada tahun lalu bagi kategori hafazan 30 juzuk.

“Di Jordan saya memasuki ka­te­gori hafazan 20 juzuk kerana kategori hafazan 30 juzuk persai­ngannya amat sengit, jadi saya melihat peluang lebih cerah di ka­te­gori tersebut. Alhamdulillah ini adalah rezeki saya,” katanya.

Mengulas mengenai pembahagian masa untuk menghafal dan kerjaya sebagai seorang doktor gigi, Nur Munirah yang berusia 26 tahun berkata, menghafal al-Quran sama sekali tidak membebankannya malah menyebabkan beliau mudah untuk melakukan sebarang urusan kerja.

“Untuk menghafal saya tidak mempunyai sebarang pantang larang. Makan seperti mana insan lain asalkan halal. Apa yang penting ialah jaga mata dan juga pergaulan dengan rakan-rakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nor berkata, semasa kecil Nur Munirah belajar membaca al-Quran dengan ibunya, Wan Khatijah Wan Adam, 61, yang juga merupakan seorang ustazah sewaktu menetap di Kelantan semasa beliau berkhidmat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pengkalan Chepa.

“Nur Munirah semasa kecil belajar al-Quran dengan ibunya dan bersekolah di Sekolah Menengah Agama (Arab) Maahad Muhammadi Perempuan. Semasa di Kelantan Nur Munirah juga pernah belajar menghafal al-Quran dengan seorang ustaz di Tumpat,” katanya.

Wallahu a'lam.

Utusan online
29 Apr 2015

Jenis fikir

Kata setengah orang yang ’arifin, fikir itu dua bahagian :

a) Fikir pada Tuhan

b) Fikir pada barang yang bergantung dengan hamba

Wallahu a’lam




Asy-Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani
Permata Pemberian Yang Indah & Menjaga Segala Hati Yang Lalai
2013

Lampu bangsa

Sekian lama kerah keringat
tanpa jemu bakar semangat
lapang dada curah ilmu
dia guru penerang dunia

Guru lampu nusa bangsa
terus cekal tabor jasa
bicara luhur menangkis dusta
pelajar mulia panji sarjana

Ingatlah segala jasa guru
sinar pedoman tatkala kegelapan
hormati guru taat suruhan
hidup dirahmati sepanjang zaman
hayati ilmu jadikan amalan
agar hidup terus gemilang

Ibarat pelita membakar jiwa
rela berkorban
ibarat rembulan menerangi alam
pancar sinaran
ilmu diberkati duniawi ukhrawi
jannah menati di sana pasti

Dialah pembentuk akhlak bangsa
menggenggam amanah seiring kesabaran
hapus kejahilan julang kejayaan
kerlipan cahaya di malam suram
doa restu kita dambakan
agar ilmu diredhai Tuhan

Budi guru tak luput di hati
mekar mewangi
menyusuri liku menabur bakti
untuk ibu pertiwi
pengorbanan diri selayak dipuji
restu Ilahi kekal abadi

Rosmaini Mustafa
SMKA Nurul Ittifaq
Besut, Terengganu
Jendela Timur
Ogos 2014

Doa antara sunat fajar & fardhunya




Wahai Tuhan Yang Maha Hidup lagi berdiri dengan sendiriNya. Wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Kami memohon kepadaMu menghidupkan hati kami dengan cahaya ma’rifat dariMu. Ya Allah, ya Allah, ya Allah, wahai Tuhan yang menghidupkan orang-orang yang telah mati, dengan rahmatMu wahai Tuhan yang paling Pengasih dari setiap yang pengasih. Aameen.



Monday, April 27, 2015

Usah membangau............

Mata mereka terus meninjau ninjau jauh ke hadapan,
Entah apa yang dicari,
Makin jauh yang dipandang,
Makin panjang pula tengkuk ditarik,
Sekali pandang,
Terbayang seperti zirafah mencari makanan,
Tidak nampak di depan mata,
Yang jauh dan tinggi yang dikehendaki,
Terus membangau kepada hakikat,
Bahawa diri realitinya begitu.

Bangau oh bangau! Kenapa engkau kurus? Macam mana aku tak kurus,ikan tak mahu timbul......

Bait-bait lirik lagu rakyat di atas sungguh sesuai dengan tajuk refleksi Kak Lina kali ini. Pasti adik akan berasa hairan, kenapa Kak Lina mengaitkan bangau dengan kehidupan harian kita. Sebenarnya tanpa kita sedar,  kita sering membangau atau dalam erti kata lain dan lebih mudah menyalahkan orang lain dan situasi hanya kerana diri kita yang bersalah..........

Wallahu alam

Kak Lina
Pasir Mas

Perlu

Perlu
didekati tebing
di pinggir desa dunia
supaya kita tidak dilanda
lumpur banjirnya.

Kuntum biru kembang lestari
Muhammad Haji Salleh
2013


Hadis dari Ali’Imran (1)

Hadis 30

Diriwayatkan dari Nuwwas bin Sam’an bahawasanya rasulullah saw bersabda: Pada Hari Kiamat kelak, Al-Quran bersama dengan orang-orang yang mengamalkan kandungannya akan dikumpulkan dan kedua surah, Al-Baqarah dan Ali’Imran berada di barisan depan. (HR. Muslim)

[3:7] Sesungguhnya Al-Quran diturunkan bukan untuk didustakan sebahagiannya (dan dibenarkan) sebahagiannya. Maka apa yang kalian ketahui dari kandungan Al-Quran amalkanlah. Bila ada ayat yang mutasyabihat, maka imanilah. (HR. Ibn Abi Hatim)


Bersegera

Hadis 31

[3:14] Ibn Umar berkata: Jika memasuki waktu petang, janganlah kamu menunggu waktu pagi. Jika waktu pagi, janganlah menunggu waktu petang. Optimumkan waktu sihatmu untuk menyambut waktu sakitmu. Dan maksimumkan hidupmu untuk menyambut kematianmu. (HR. Al-Bukhari)

Wallahu a’lam.

Al-Quran Tajwid Warna & Terjemahan
Humaira Bookstore Enterprise

Keberkatan Rezeki




Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadamu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima. Jadikan kami orang yang sentiasa bersyukur walau sekecil apapun rezeki dan sentiasa bergantung harap hanya padaMu pada sekecil apa pun cubaan duniaMu. Pandang dan limpahkanlah rahmatMu yang berkekalan dan berpanjangan kepada kami. Aameen.

Friday, April 24, 2015

Cintai buku (4)

11. Petua khusus ketika membaca

a) Membaca bukan sekadar melihat susunan tulisan dan perkataan. Tetapi membaca perlu giat dilakukan.
b) Membaca bukan kegiatan santai tetapi membaca memerlukan kemahiran khusus untuk memanfaatkan bahan dan sumber yang diperolehi
c) Membaca perlu dilakukan dengan pantas kerana kini sudah terlalu banyak maklumat yang semakin melimpah dalam kehidupan kita. Kita sudah tiada pilihan selain daripada menggiatkan kegiatan membaca
d) Membaca memerlukan pergerakan mata yang pantas dan bersistem. Ini memerlukan penumpuan.
e) Membaca melibatkan usaha memilih kandungan utama yang ada dalam bahan bacaan. Anda perlu menjadi pemilih yang baik.
f) Membaca melibatkan perasaan dan fikiran. Proses pembacaan yang berkesan memerlukan penyatuan perasaan dan fikiran dengan bahan yang dibaca.

Wallahu alam.

Edisi Khas Fokus
PISA 2015


Daun

Daun yang gugur itu
terdampar di tanah
digetus takdir
dengan rupa kering
tersisip  di celah banir.

Ketika siang
dipilis hangit angin
ketika malam
dititis embun dingin.

Daun sepi tercari-cari
erti terasing
makna yang berapungan
di antara paras ketinggian
dan kerendahan.

Setiap daun
yang terdampar di tanah
usah impikan kembali
ke ranting tinggi.

Daun merimbun di atas
berbau pupuk jerengau
perlu insaf dan pasrah
pasti tiba waktu
terdampar di tanah.

M Arif
Padang Mokan, Kelantan.
Berita Harian
19 April 2015

Hadis dari Al-Baqarah (7)


Hutang

Hadis 28

[2:282] Rasulullah saw bersabda: Tidak ada seorangpun yang berhutang sebanyak satu dinar dan Allah mengetahui, bahawa dia berniat untuk melunasinya, kecuali Allah akan melunasinya di dunia. (At-Targhib,2/597-598)

Dua ayat terakhir Al-Baqarah

Hadis 29

[2:285] Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir surah Al-Baqarah dalam satu malam, maka keduanya dapat menjaga orang yang membacanya (dari hal-hal yang tidak diinginkan). (HR. Muttafaq ’Alaih)

Wallahu a’lam.

Al-Quran Tajwid Warna & Terjemahan
Humaira Bookstore Enterprise

Wednesday, April 22, 2015

Cintai buku (3)



10. Mitos dan fakta tentang membaca

Bil
Mitos
Fakta

1
Membaca amat menyusahkan
Membaca akan menjadi amat mudah sekiranya anda fikir begitu

2
Membaca perlu dilakukan perlahan-lahan supaya lebih faham apa yang dibaca
Adalah lebih baik membaca dengan pantas sebanyak 2 kali berbanding membaca dengan perlahan-lahan tetapi hanya sekali sahaja



3
Membaca perlu dilakukan di tempat khas
Membaca boleh dilakukan di mana-mana sahaja tetapi ia perlu dilakukan dengan sepenuh perasaan. Ini kerana membaca bermakna menggunakan perasaan anda untuk menguasai maksud yang terkandung di dalam bahan bacaan tersebut.


    4
Membaca perlu dilakukan dengan mengikuti setiap patah perkataan yang ada di dalamnya.
Membaca tidak semestinya dilakukan dengan mengikuti setiap patah perkataan semata-mata, kerana ia   tidak menggambarkan maksud ayat secara keseluruhan.

Wallahu alam.

Edisi Khas Fokus
PISA 2015

Gurindam Hidup

Kalau mahu jauh penyakit
Tutur sedikit kerja membukit

Kalau mahu disayang orang
Hasad dengki elok dihalang

Kalau mahu diri dihormati
Jangan sombong bila dinasihati

Kalau sudah orang budiman
Nama dipuja musuh dan taulan

Kalau orang penuh jasa
Namanya disebut di dalam doa

Kalau mudah menyerah kalah
Bangsa mudah kehilangan tanah

Kalau mahu tunjuk muafakat
Musuh dipujuk teman didekat

Kalau diri suka dipuji
Itu tandanya orang mengeji

Jangan cepat lupa janji
Kawan baik habis lari

Hidup jangan bakhil dan takbur
Nama sendiri mudah terkubur

Kalau benci orang mengeji
Sebelum bertindak buatlah uji

Jika bangsa ingin maju
Jangan pandir diajak berguru

Kalau bangsa mahu perkasa
Jangan berhelah memutar kata

Kalau mahu hidup selamat
Harta si miskin jangan dilesap

Dr. Muhammad b Salleh

Hadis dari Al-Baqarah (6)

Sedekah

Hadis 26

[2:261] Ucapan yang baik itu adalah sedekah. Dan sesungguhnya, sebahagian dari perbuatan yang baik adalah hendaknya engkau menemui saudaramu dengan wajah berseri-seri. (Al-Qurthubi,3/309)

Berdikari

Hadis 27

[2:267] Salah seorang di antara kamu yang mengambil tali kemudian pergi ke gunung dan memikul seikat kayu bakar di atas belakangnya lalu menjualnya, hingga Allah menjaga kehormatan dirinya adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada manusia, apakah mereka memberikan sesuatu kepadanya atau tidak memberikannya. (Riyadhus Shalihin,250)

Wallahu a’lam.

Al-Quran Tajwid Warna & Terjemahan
Humaira Bookstore Enterprise

Tuesday, April 21, 2015

Hadis dari Al-Baqarah (5)


Idah

Hadis 21

[2:236] Dari Ibnu Umar ra bahawa dia menceraikan isterinya dalam keadaan haid pada masa rasulullah saw. Lalu Umar bin Khathab menanyakan kejadian tersebut kepada rasulullah saw, beliau menjawab kepada Umar: Perintahkanlah dia untuk merujuknya kembali kemudian biarkanlah sampai ia suci, lalu haid lagi, lalu suci lagi. Kemudian setelah itu, kalau ingin dia dapat menahannya dan kalau ingin dia juga dapat menceraikannya sebelum menyentuhnya. Itulah masa idah yang diperintahkan oleh Allah swt bagi wanita yang diceraikan. (HR. Muslim)

Jihad

Hadis 22

[2:246] Dalam Shahihnya AlBukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Dzar dia berkata; Aku berkata : Wahai rasulullah! Perbuatan apakah yang paling utama? Rasulullah saw menjawab: Iman kepada Allah dan berjihad di jalanNya. Mereka berdua juga meriwayatkan dari sahabat Anas ra, bahawa rasulullah saw bersabda: Berangkat pagi atau petang untuk berjihad di jalan Allah adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya. (Riyadhus Shalihin,471)

[2:246] Dari Sha’ab bin Jatsamah ra dia berkata, rasulullah saw ditanya tentang kaum wanita dan anak-anak kecil musyrikin yang diserang pada malam hari ketika sebahagian kaum serta anak-anak keturunan mereka terbunuh. Beliau menjawab: Kaum wanita dan anak-anak itu adalah termasuk bahagian dari mereka. (HR. Muslim)

Hindari musuh

Hadis 23

[2:249] Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abdullah bin Abi Aufa bahawa di tengah-tengah waktu bertemu dengan musuhnya rasulullah saw menunggu hingga matahari bergerak ke barat mendekati terbenam. Lalu beliau saw berdiri di hadapan manusia dan berkata: Wahai sekalian manusia! Janganlah engkau berangan-angan untuk bertemu dengan musuh. Dan mintalah keselamatan kepada Allah. Jika kalian bertemu dengan musuh kalian, maka bersabarlah! Dan ketahuilah! Sesungguhnya, surga itu terletak di bawah kilatan pedang.

Kemudian beliau saw bersabda: Ya Allah, Dzat yang telah menurunkan Al-Kitab (Al-Quran), yang menjalan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkanlah mereka dan tolonglah kami atas mereka. (Riyadhus Shalihin,483)

Induk Al-Quran

Hadis 24

[2:255] Rasulullah saw bersabda: Segala sesuatu mempunyai punuk. Dan sesungguhnya, bongkol (punuk) Al-Quran adalah surah Al-Baqarah. Di dalamnya ada sebuah ayat yang merupakan induknya Al-Quran, iaitu Ayat Kursi

Zalim

Hadis 25

[2:257] Diriwayatkan dari Ibnu Umar ra, dia berkata: Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya kezaliman itu akan mendatangkan kegelapan-kegelapan pada hari kiamat kelak. (HR. Muslim)

Wallahu a’lam.

Al-Quran Tajwid Warna & Terjemahan
Humaira Bookstore Enterprise

Cintai buku (2)

6. Lihat soalan latihan di akhir bab
Anda boleh tinggalkan langkah 5 dan lakukannya kemudian. Soalan-soalan latihan yang disediakan di akhir setiap bab biasanya akan menyentuh perkara-perkara penting dan fokus kepada perkara yang dititikberatkan dalam bab tersebut. Untuk memudahkan dan mempercepatkan proses membaca, pelajar boleh membaca soalan dan cuba mencari jawapannya. Ini dapat menjimatkan masa dan mengelak daripada menghabiskan banyak masa dengan membaca bahagian yang kurang penting.

7. Nak baca semua tetapi tak cukup masa
Teknik yang boleh digunakan :
a) Membaca perenggan pertama dalam setiap tajuk kecil
b) Kemudian teruskan dengan membaca ayat pertama bagi setiap perenggan
c) Fahami perkataan-perkataan pelik atau teknikal.

8. Conteng-conteng atau nota ringkas
Setiap pelajar memiliki kaedah dan kecenderungan yang berbeza ketika membaca.Terpulang asalkan anda suka dan selesa. Ada yang menulis semula dengan cantik dan kemas kerana sukar membawa buku teks bersama-sama sepanjang masa. Namun ada yang suka menconteng di buku teks agar tidak hilang!

9. Fahami istilah-istilah pelik dan rujuk bahagian glosari jika perlu.
Biasanya istilah yang terlibat dipinjam daripada bahasa asing di seantero dunia. Rajin-rajinlah merujuk di bahagian glosarinya.

Wallahu alam.

Edisi Khas Fokus
PISA 2015

Jika tidak mampu menjadi orang

Jika kau tidak mampu menjadi orang
tapi berusahalah sekurang-kurangnya
menjadi seperti lebah
yang boleh mengeluarkan madu
atau seperti lembu
yang boleh mengeluarkan susu
kerana binatang biarpun dipandang hina
lebih baik dari manusia
jika hidup tidak berguna.

Jika kau tidak mampu menjadi orang
tapi berusahalah sekurang-kurang
untuk menjadi seperti kayu beluti
yang boleh dijadikan titi
kerana bukankah lebih baik
menjadi titi sebatang
yang jasanya membantu orang menyeberang.

Jika kau tidak mampu menjadi orang
tapi berusahalah sekurang-kurangnya
menjadi seperti rumput di padang
yang luas terbentang
kerana sehina-hina rumput
biarpun dipijak orang
kehijauannya menyegarkan mata memandang
menjadi hamparan gelanggang
tempat bersukan di waktu petang.

Demikianlah
jika sekalipun kau tidak mampu
tetaplah berusaha sedaya upayamu
untuk menjadi orang
yang akhlaknya cemerlang
yang budinya terbilang
yang namanya dikenang.

Ehsan Jamily
Taman Desa Baru, Melaka
Mingguan Malaysia
19 April 2015

Selawat untuk segala cita-cita

Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kami nabi Muhammad saw dengan limpahan rahmat yang dapat memberi berkat dalam hartaku, serta limpahkanlah rahmat yang dapat membuat istiqamah keadaanku. Dan limpahkanlah rahmat kepada keluarganya, sahabatnya serta berilah keselamatan. Aameen.

Fathullah Yasin
Doa & zikir penawar tekanan segera

Sunday, April 19, 2015

Cintai buku (1)


11 tip cipta mood ekstrem

1. Makan angin (previu)
Iaitu berjalan-jalan, tengok-tengok sambil memerhati dan menikmati pemandangan serta gambaran bagi setiap helaian muka surat bagi sesuatu bab. Lihat gambar-gambar yang ada. Baca topik dan subtopik yang ada dalam bab tersebut. Lihat berapa muka surat yang ada dalam bab tersebut. Tujuannya memberi peluang kepada minda supaya tahu apa yang akan ditemui sepanjang proses pembelajaran itu dan lebih bersedia menghadapinya. Mungkin ia nampak remeh. Biasanya proses makan angin hanya mengambil masa 2-3 minit.

2. Masuk pintu depan (pengenalan)
Bacalah bahagian pengenalan. Biasanya bahagian pengenalan mengandungi gambaran awal tentang apa yang akan dipelajari dalam sesuatu topik dan perkara utama yang bakal disentuh. Maka dengan membaca pengenalan secara langsung memberi peluang kepada minda untuk mendapat gambaran kasar dan bersedia terhadap maklumat-maklumat yang bakal ditemui dan dicerna untuk menghasilkan satu pemahaman yang berguna. Ini membolehkan pelajar membezakan antara fakta yang penting dan kurang penting.

3. Meneroka, menjelajah dan berkenalan dengan perkara baru
Mari kita lihat satu persatu benda-benda besar atau perkara penting yang ada dalam bab ini yang belum pernah anda lihat sebelum ini. Caranya ialah dengan meneliti dan membaca topik-topik, subtopik, ilustrasi atau gambar rajah, konsep dan istilah.

Selepas membaca dan memerhati terlebih dahulu topik dan subtopik, kemudian baca pula poin-poin kecil atau butiran penting yang terdapat dalam setiap topik dan subtopik itu. Tetapi tidak perlu baca penjelasannya yang panjang lebar.

Untuk setiap butiran tersebut fikirkan dan cuba fahamkan, cuba bayangkan dalam imaginasi apakah yang hendak disampaikan. Cuba kaitkan dengan apa yang pernah dipelajari sebelum ini atau kaitkan dengan segala pengetahuan yang ada. Kemudian tandakan dengan pensel bagi setiap butiran atau poin yang anda tidak tahu.

Seterusnya perhatikan pula gambar, gambar rajah, jadual, graf atau apa sahaja ilustrasi yang terdapat dalam bab tersebut. Baca penjelasan yang menerangkan tentang gambar, gambara rajah, jadual, graf atau apa sahaja ilustrasi tersebut.

4. Keluar pintu belakang (penutup)
Selepas itu, keluar mengikut pintu belakang (penutupnya). Bahagian penutup merupakan kesimpulan atau ringkasan terhadap keseluruhan bab tertentu. Oleh itu, membaca bahagian penutup membolehkan kita memahami secara keseluruhan terlebih dahulu tentang isi kandungan penting yang hendak disampaikan sebelum kita membaca secara terperinci satu per satu tentang bab tersebut. Walaupun terdapat sesetengah pelajar yang cenderung untuk mengabaikan daripada membaca bahagian pengenalan dan penutup kerana mereka beranggapan membaca isi utama dan subtopik-subtopik penting adalah lebih utama kerana itulah yang hendak disampaikan dan diajar oleh penulis buku teks. Tetapi mendapatkan gambaran awal dan kesimpulan ringkasnya memudahkan kita untuk memahami isi kandungan keseluruhannya yang lebih rumit.

5. Kembali ke bahagian (2) dan baca
Setelah selesai meneliti membaca penutup atau kesimpulan bab tersebut, rujuk semula poin-poin yang tidak difahami yang telah kita tandakan dengan pensel tadi. Kemudian cuba baca penerangan kepada poin tersebut dan fahamkan.

Wallahu alam.

Edisi Khas Fokus
PISA 2015

Ibu

Matlamat : Sumber ketenangan keluarga

v  Mengetahui & melaksanakan peranan,hak & tanggungjawab sebagai ibu & bapa ke atas mereka yang berhak
v  Menjadi model ikutan kepada anak-anak
v  Sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak di dunia & di akhirat
v  Memberi & mempamerkan kasih sayang dalam keluarga
v  Memberikan kasih sayang pada anak-anak secara adil
v  Memastikan anak-anak mendapat pendidikan Fardhu Ain yang sempurna
v  Mengenali rakan-rakan pergaulan anak-anak
v  Memantau kegiatan & aktiviti anak-anak
v  Tidak bertengkar & bertelingkah dengan pasangan di hadapan anak-anak
v  Mengambil berat tentang calon pasangan hidup anak-anak
v  Sentiasa berhubung dan memantau kehidupan anak-anak walaupun setelah berumahtangga
v  Mengetahui perkembangan semasa seperti ICT
v  Memainkan peranan yang seimbang di antara kerjaya,keluarga dan masyarakat
v  Menggalakkan anak-anak mengembangkan potensi dan bakat masing-masing
v  Mendidik dan menghukum anak-anak tanpa mendera
v  Mengasingkan tempat tidur anak-anak lelaki dan perempuan sebelum mereka baligh
v  Memastikan keseluruhan kehidupan berkeluarga mematuhi syariat

Wallahu a’lam

Panduan keluarga Mawaddah Negeri Kelantan
Urusetia PWKK&KR
Kerajaan Negeri Kelantan, 2014

Lukisan pujangga

Semakin kita mewarnakan pengalaman
kita semakin hampir
kepada titik-titik
dan garis-garis
yang terlukis di kanvas diri
memantulkan makna imej
dan cahaya peribadi
kehilangan ruang
dan keindahan

Semakin kita kehabisan
warna ilham
kita semakin bimbang
dengan bayang-bayang
diri sendiri
jelmaan lakaran dendam
walau yang jatuh
ke jurang paling dalam.

Mungkin inilah riwayat akhir
sebuah lukisan
bersemadi dalam aman
di pusara pujangga

Baharuddin Sairi
Sungai Nibong, Sekinchan
Berita Harian
12 April 2015