Tuesday, April 28, 2015

Hafizahnya seorang doktor gigi

Dr. Nur Munirah naib johan hafazan di Jordan

SEPANG 28 April – Peserta Malaysia, Dr. Nur Munirah Mohd. Nor berjaya menduduki tempat kedua bagi kategori hafazan 20 juzuk dalam Majlis Musabaqah Menghafaz Al-Quran Al-Karim Kerajaan Hasyimiah Kali Ke-10 di Amman, Jordan baru-baru ini. Majlis musabaqah yang berlangsung pada 20 hingga 25 April lalu itu menyaksikan Nur Munirah menewaskan 10 peserta lain bagi kategori tersebut sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dalam bidang hafazan al-Quran. Nur Munirah yang merupakan seorang doktor gigi di Putatan, Sabah berkata, beliau bersyukur kerana berjaya menduduki tempat kedua walaupun menerima saingan sengit daripada 10 peserta lain dalam kategori yang disertainya itu.

“Terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menyertai pertandingan ini dan tidak lupa jasa kedua-dua ibu bapa yang telah mengajar saya mengenal al-Quran sejak kecil lagi.

“Saya membaca al-Quran sejak berusia enam tahun dan mula menghafal ketika berusia 13 tahun. Petua saya adalah menghafal al-Quran setiap hari tanpa jemu,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan Nur Munirah membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM8,000 berserta sijil dan plak. Sepanjang berada di Jordan Nur Munirah ditemani bapanya, Mohd. Nor Anuar, 63. Menurut Nur Munirah, pemilihannya ke Jordan adalah berdasarkan kejayaannya muncul naib johan peringkat kebangsaan pada tahun lalu bagi kategori hafazan 30 juzuk.

“Di Jordan saya memasuki ka­te­gori hafazan 20 juzuk kerana kategori hafazan 30 juzuk persai­ngannya amat sengit, jadi saya melihat peluang lebih cerah di ka­te­gori tersebut. Alhamdulillah ini adalah rezeki saya,” katanya.

Mengulas mengenai pembahagian masa untuk menghafal dan kerjaya sebagai seorang doktor gigi, Nur Munirah yang berusia 26 tahun berkata, menghafal al-Quran sama sekali tidak membebankannya malah menyebabkan beliau mudah untuk melakukan sebarang urusan kerja.

“Untuk menghafal saya tidak mempunyai sebarang pantang larang. Makan seperti mana insan lain asalkan halal. Apa yang penting ialah jaga mata dan juga pergaulan dengan rakan-rakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Nor berkata, semasa kecil Nur Munirah belajar membaca al-Quran dengan ibunya, Wan Khatijah Wan Adam, 61, yang juga merupakan seorang ustazah sewaktu menetap di Kelantan semasa beliau berkhidmat di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pengkalan Chepa.

“Nur Munirah semasa kecil belajar al-Quran dengan ibunya dan bersekolah di Sekolah Menengah Agama (Arab) Maahad Muhammadi Perempuan. Semasa di Kelantan Nur Munirah juga pernah belajar menghafal al-Quran dengan seorang ustaz di Tumpat,” katanya.

Wallahu a'lam.

Utusan online
29 Apr 2015

No comments:

Post a Comment