Thursday, October 31, 2013

Kalau tak ada kereta kuda, naiklah kuda

Hikmat 20

Masih mengenai kuda. Kali ini ada kaitan dengan alasan. Sesungguhnya di muka bumi ini lebih ramai yang mencari alasan berbanding yang mencari penyelesaian. Semakin ramai yang beralasan, nantilah ….Nantilah adalah kata-kata racun jika apa yang hendak dilakukan ialah kebaikan. Jika untuk kejahatan dan keburukan, itulah sebenarnya kata hikmat.

Laksanakanlah apa yang di depan mata, bukan mengabaikan. Hanya tindakan yang menghasilkan kejayaan. Alasan menghasilkan kegagalan yang tidak berpenghujung. Sebagai contohnya, anda hendak  ke suatu tempat. Di dalam minda sudah ditetapkan bahawa anda akan menaiki kereta kuda. Tetapi malangnya tidak ada kereta kuda. Apa yang akan dilakukan. Orang yang beralasan akan menjadikan ketiadaan kereta kuda sebagai alasan untuk tidak berganjak. Orang yang bijal akan mencari kuda jika tiada kkereta kuda. Bahkan jika tiada kereta kuda, dia akan berjalan kaki. Di tengah jalan nanti akan bertemu jua dengan kereta kuda atau kuda. Itu cara manusia yang bijak menumpukan pada penyelesaian bukan pada alas an demi alasan.

Maksud lain ialah – gunakan saja kelengkapan yang ada di tangan. Di tengah jalan nanti semasa mengusahakan akan bertemu dengan kelengkapan lain yang diperlukan. Jika menunggu hingga sempurna lengkap, yang pasti kaki tidak akan berganjak memulakan langkah pertama. Tunggulah selepas saya dapat….Biasa anda mendengar begitu? Itu adalah alasan dan pastinya yang berkata begitu sampai sudah tidak akan memulakan langkah.

Sebaliknya, orang yang bijak akan segera memulakan langkah, tanpa perlukan kelengkapan yang sempurna dan lengkap, kerana percaya andainya menunggu hingga lengkap pasti tidak akan terjadi langkah pertama dan langkah seterusnya. Orang yang bijak juga percaya, dalam perjalanan nanti akan terjumpalah berbagai-bagai kelengkapan yang boleh digunakan untuk mengusahakan kejayaan.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Satu kuda satu tempat duduk.

Hikmat 19

Manusia hanya mampu memikul satu tugas sahaja dalam satu-satu masa. Itu fitrah semulajadi dan kemampuan sebenar manusia. Jangan menarik buluh songsang. Anda yang mendapat susah akhirnya. Seekor kuda hanya mampu menanggung satu tempat duduk sahaja.

Itu jika anda diberi tanggungjawab. Bagaimana pula jika anda memberi tanggungjawab? Jangan bebankan orang dengan lebih dari satu pekerjaan dalam satu-satu masa. Pasti tidak akan terbuat kerja-kerja tersebut, kerana melawan sunnah alam. Kemudian, lihatlah sendiri bagaimana cemerlangnya seseorang itu jika anda hanya memberikan satu tugas sahaja dalam satu-satu masa.

Jangan memikul atau melakukan sesuatu melebihi kemampuan anda – ia tak akan terbuat sebaliknya akan hanya mendatangkan kegagalan uang berpanjangan. Percayalah. Ukur baju di badan sendiri, bukan di badan orang lain, melainkan anda tukang jahit.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Buat banyak pekerjaan serentak, keluarga kelaparan.

Hikmat 18

Cara paling pasti untuk gagal adalah dengan melakukan beberapa perkara serentak. Cara paling pasti untuk tidak melakukan apa-apa adalah dengan melakukan beberapa pekerjaan serentak. Melakukan beberapa atau banyak pekerjaan serentak sama dengan tidak melakukan apa-apa. Tidak melakukan apa-apa bersamaan dengan tidak mendapat apa-apa.

Orang yang melakukan banyak pekerjaan serentak adalah disebabakan oleh tamak atau tidak faham. Atau, tahu tetapi tidak mahu faham. Kerana tamak, hendak rebut semuanya, hingga akhirnya tidak satu pun yang Berjaya dilaksanakan. Memang mustahil hendak melaksanakan beberapa pekerjaan serentak kerana ia melawan fitrah manusia dan sunah alam.
 
Punca kedua, kerana salah faham dan tidak mahu faham. Konon, jika melakukan banyak pekerjaan, banyaklah wang yang masuk, banyaklah kejayaan yang diperolehi. Ini karut semata-mata. Anda boleh membuktikan sendiri, bagaimana orang yang berjaya adalah orang yang melakukan hanya satu pekerjaan , perniagaan atau usaha. ORang yang gagal dan melepas semuanya adalah orang yang melakukan banyak pekerjaan serentak.

Buang rasa tamak, fahami sungguh-sungguh bagaimana dengan melakukan satu perkerjaan atau usaha sebenarnya yang membawa kejayaan, akhirnya membuatkan anda tersedar dan tidak  ungkin lagi melakukan beberapa pekerjaan serentak.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Ikut orang sibuk tidur dalam rumah, ikut pengemis tidur di luar

Hikmat 17

Warisan hikmat ini agak unik. Orang yang sibuk diibaratkan sebagai orang yang rajin. Begitulah, jika anda melihat seseorang itu sibuk (bukan menyibuk atau buat-buat sibuk), memang dengan mudah anda boleh mengesahkan mereka sebagai seorang yang rajin. Pengemis pula diibaratkan sebagai seorang yang pemalas. Maksudnya pengemis yang tak selayaknya mengemis. Bahkan orang buta pun tidak mengemis sebaliknya menjual produk untuk mendapatkan rezeki kerana mereka faham mengemis adalah perbuatan yang hina. Hanya pemalas sahaja yang tidak memikirkan soal maruah, menadah tangan mengemis sedangkan mampu bekerja, menjual produk untuk menyara hidup.

Jadi, jika anda mengikuti jejak langkah orang yang rajin, anda akan menikmati hidup sebagaimana sepatutnya – mempunyai wang dan harta untuk keluarga. Sebaliknya jika mengikut perangai pengemis akhirnya akan menjadi seperti pengemis – pemalas, tidak bermaruah, tenggelam dalam kemiskinan.

Memang ramai yang sibuk di sekeliling kita ini. Bagaimana pun ia tidak menentukan kerajinan seseorang. Kadang-kadang mengerjakan di tempat yang salah – rajin pada perkara yang tidak membawa kejayaan atau buat-buat sibuk supaya dipandang rajin dan hebat. Ramai juga yang berperangai  pengemis di sekeliling kita. Bahkan jika anda perhatikan sesungguhnya lebih ramai yang berperangai pengemis dari yang rajin. Kita mendapat apa yang diusahakan – layak atau tidak kita mendapat tahap pengemis jika kita mengikut jejak pengemis.

 Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Air yang memenuhi tempayan, bukan embun

Hikmat 16

Hanya kegigihan yang boleh memacu diri anda ke arah kejayaan, bukannya sambil lewa, main-main, sekali-sekala. Bahkan orang yang gigih pun ada kalanya kecundang, apatah lagi orang yang mengerjakan sesuatu sambil lewa sahaja.

Jangan menjadi seperti majoriti manusia di sekeliling anda yang lebih suka sambil lewa berbanding mengusahakan sesuatu dengan berbekalkan kegigihan. Kerana itu selalunya sukar sekali melihat orang yang berjaya di sekeliling anda, tidak semudah melihat orang yang gagal.

Usaha anda mestilah disertai dengan kegigihan dan sentiasa meneruskan walaupun berkali-kali tersungkur. Bangun dan teruskan dengan gigih barulah anda boleh menjadi seperti air yang mampu memenuhi tempayan, bukannya seperti embun yang sememangnya gagal untuk memenuhi tempayan.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Agar dilindungi dari keburukan diri



Ya Allah, lindungilah aku dari keburukan diriku dan kuatkan aku atas urusanku yang paling benar. Ya Allah, ampunilah segala dosa yang kusembunyikan dan yang kutampakkan, yang tersalah dan yang kusengaja, juga kesalahan yang aku ketahui ataupun tidak.

( HR Al-Hakim )

Wednesday, October 30, 2013

Jangan menjadi tukang masak kalau tak tahan panas

Hikmat 15

Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai  - ada persamaan dengan warisan hikmat ini. Ada 2 maksud di sini. Pertama: jika takut risiko memang tak akan mengusahakan. Kedua : Jangan melakukan, mengusahakan jika tidak atau kurang berilmu.

Ilmu dan keberanian menghadapi risiko adalah amat penting dalam menjalani kehidupan anda. Risiko ada di mana-mana, sama ada ia risiko besar atau kecil. Keberanian anda menghadapi risiko, menentukan berapa jauh anda boleh pergi. Ramai yang bercita-cita besar mahukan kejayaan dan kekayaan tetapi tidak berani atau tidak mahu menghadapi risiko. Enggan menghadapi risiko sama buruknya dengan kekal di alam kegagalan. Orang yang takutkan risiko adalah penghuni alam kegagalan. Sebaliknya, orang yang mahukan kejayaan cemerlang di dalam hidup mestilah meneliti, mengukur, mempelajari risiko, kemudian menghadapinya dengan keberanian dan penuh waspada.

Hanya orang yang berilmu dan menggunakan ilmu tersebut, barulah mampu membina kejayaan cemerlang. Jangan sekali-kali menceburi sesuatu bidang tanpa berbekalkan ilmu pengetahuan. Ilmu ada di mana-mana saja, boleh anda pelajari dengan segera, asalkan anda mahu mempelajari.

Berilmu dan sanggup menghadapi risiko yang telah disahkan boleh membawa anda ke arah kejayaan cemerlang berterusan.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Dari buah, kenal pokok

Hikmat 14

Atau sebaliknya pun boleh. Dari buah kenal pokok; dari pokok kenal buah.. Jika buah durian, pokoknya begini, jika buah mangga pokoknya begitu.Atau jika pokok rambutan, buahnya begini.

Warisan hikmat ini ada sedikit kaitan dan boleh dikaitkan dengan tong kosong kuat bunyinya dan yang tahu sikit akan beritahu banyak. Darinya anda boleh mengenali sama ada seseorang sama seperti yang didakwa atau sebaliknya. Katalah dia memberitahu bahawa dia seorang doktor, bila anda soal asas perubatan, semua yang dijawab jauh menyimpang dari jawapan sebenar. Pokoknya rambutan, buahnya durian. Sesuatu yang sangat kerap terjadi di sekeliling kita Dari situ sahkah, selama ini hanya memukul canang atau tong yang kosong. Berhati-hatilah, manusia seumpamanya ada di mana-mana ceruk pun , pada bila-bila masa.

Anda dengan mudah mengenali keperibadian seseorang berdasarkan hasil kerja mereka. Jika misalnya hasil kerjanya bersih, kemas, teratur, dengan mudah anda mengenali memang orangnya berkeperibadian tinggi. Orangnya memang kemas, bersih, teratur.

Jika misalnya, ada orang yang mendakwa dirinya sebagai Chef tetapi meja masaknya berterabur, tunggang terbalik dan hasil masakannya agak pelik, lebih banyak mencari publisiti berbanding hasil masakannya – anda dapat meneka sendiri bagaimana orangnya berdasarkan hasil kerja dan penampilannya.

Positif hasil kerjanya, insyaAllah, yang mengerjakannya adalah orang yang positif juga. Seandainya pelik hasil kerjanya, memang pelik jugalah keperibadian orang yang menghasilkan kerja tersebut.

Dari buah kenal pokok, dari pokok kenal buah – memudahkan anda mengenali keperibadian seseorang.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Tong kosong kuat bunyinya.

Hikmat 13

Tong berisi tidak berbunyi. Buktikan sendiri. Ambil tong kecil, ketuk, ia akan berbunyi bising. Isi air atau pasir, ketuk, ia tidak berbunyi bising. Mana satu pilihan anda? Tong kosong atau tong berisi? Hanya orang yang malang sahaja memilih tong kosong. Orang yang diibaratkan sebagai tong berisi memang sentiasa diam dan senyap berbeza amat ketara dengan manusia yang dikategorikan sebagai tong kosong – sepanjang masa asyik mengetuk tong, memukul canang, menghebohkan apa yang tidak ada dan tidak dimiliki.

Dari warisan hikmat tersebut juga dengan sangat mudah anda mengenali sama ada seseorang atau pertubuhan itu tong kosong atau tong berisi. Jika cakap berdegar-degar, beria-ia benar hendak menonjolkan diri dan pertubuhan; jika yang disebut sentiasa besar-besar, hebat-hebat belaka, memang sahlah ia sekadar tong kosong.

Bukankah telah terbukti, tong kosong memang bising dan bunyinya kuat bergema. Perhatikan sekali lagi pertubuhan atau manusia yang benar-benar berisi – mereka senyap sunyi tak pernah hendak menyibuk menonjolkan diri atau mengada-adakan yang tidak ada. Nampak perbezaan besar? Memang jelas sekali jika anda menjadi pemerhati. Yang benar tetap benar; yang berisi tetap bersisi tanpa perlu sibok memalu tong. Yang kosong sahaja yang riuh rendah memberitahu, mencanangkan seluruh dunia.

Apa sebenarnya mesej yang hendak disampaikan. Mesejnya sangat mudah; jangan mudah terpedaya dan jangan sekali-kali memperdaya.Jangan terpedaya dengan tong kosong dan jangan sekali-kali memperdayakan orang dengan tong kosong.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Ilmu bagai tanaman, tanpa menanam tak mungkin boleh menuai

Hikmat 12

Apa yang anda beri, itulah yang menjadikan anda kaya, kata bijaksana. Bila anda memberikan ilmu kebaikan kepada umum, ia ibarat tanaman yang akan menjadikan anda kaya dengan ilmu kebaikan kepada umum, ia ibarat tanaman yang akan menjadikan anda kaya dengan ilmu. Apa yang ditanam, itulah yang dituai. Bila anda menanam ilmu yang membawa kebaikan kepada masyarakat, sama ada cepat atau lambat anda akhirnya akan menuai kembali ilmu yang berganda banyaknya.

Biasa melihat orang  yang kedekut ilmu? Sangat biasa. Antara sebab mengapa orang kedekut ilmu adalah kerana bimbang orang lain lebih pandai darinya atau bimbang kepandaiannya akan disaingi. Misalnya, seseorang itu mempunyai ilmu kekayaan, bila ada yang bertanya, dia menyimpannya, enggan memberitahu kerana bimbang akan ada yang menyaingi kekayaan.

Begitulah contohnya kedekut ilmu sedangkan kalaulah dia memberitahu ilmu tersebut kepada yang meminta, sudah pasti kekayaannya akan bertambah sebagaimana yang dijanjikan – apa yang diberi itulah yang menjadikan anda kaya. Ingat, hanya beri ilmu yang bermanfaat dan berguna untuk dunia dan akhirat.

Maksud kedua pula; ilmu yang anda miliki hendaklah digunakan, barulah anda akan memperolehi faedah dari ilmu tersebut.Ilmu di tangan anda ibarat benih yang memerlukan anda menanamnya (menggunakannya) barulah nanti ia boleh menjadi anak pokok, pokok dan akhirnya berbuah. Buah tersebut akan anda makan bersama keluarga dan masyarakat sekitar.

Ramai manusia berilmu di dunia ini tetapi tidak ramai manusia yang menggunakan (menanam) ilmu tersebut menyebabkan mereka tidak dapat menuai apa-apa. Manusia tanpa ilmu ibarat pokok kering di tengah gurun; manusia berilmu tetapi tidak menggunakan ilmu tersebut ibarat pokok subur tetapi tidak berbuah.

Berikan ilmu jika ada yang meminta. Jangan kedekut sebab ilmu bukan milik anda. Ia milik Allah swt untuk dikongsi bersama manusia. Bila anda berilmu, gunakan ilmu tersebut untuk meningkat diri, keluarga  dan masyarakat.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Hujan sedikit setiap hari akan menyebabkan sungai melimpah

Hikmat 11

Warisan hikmah yang seakan-akan sama ialah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit dan sehari selembar benang lama-lama menjadi kain. Lihat semula perkataan lama sebagai menunjukkan bahawa untuk membina, menghimpun atau mengumpulkan bukan sesuatu yang mudah dan singkat. Bila anda menyebut tentang membina, serentak dengan itu anda mestilah menyertakan satu lagi perkataan yang amat penting iaitu kesabaran.

Sungai akan melimpah jika hujan, walau sedikit tetapi setiap hari. Ia tidak akan terjadi jika hujan sekali sekala. Bahkan jika hujan lebat sekalipun tetapi sekejap atau sekali-sekala, sungai  tak akan melimpah.

Maksudnya mudah – sesuai dengan fitrah manusia yang mampu melakukan secara berdikit-dikit, setingkat demi setingkat, setapak demi setapak, bukan serentak. Walaupun sedikit demi sedikit jika ia dilakukan berterusan setiap hari, sepanjang hayat, ia akhirnya akan menghasilkan sesuatu yang besar, ia jauh lebih baik dari melakukan atau menghimpun dengan banyak tetapi sekali sekala. Apatah lagi, jika berdikit-dikit tetapi sekali-sekala. Yang tepat ialah mengikut fitrah manusia iaitu berdikit-dikit tetapi berterusan.

Namun ramai di antara kita yang menentang fitrah semula jadi manusia yang sepatutnya berdikit-dikit tetapi berterusan, menukarnya, mengharapkan banyak, besar dan serentak. Bolehkah mendapat? Hanya mendapat penat dan kekeciwaan.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Doa keteguhan iman




Ya Allah, teguhkanlah (iman)ku, dan jadikanlah aku orang yang selalu mendapat hidayah.
( HR Bukhari )


Tuesday, October 29, 2013

Jangan lihat di mana terjatuh, lihatlah di mana tergelincir

Hikmat 10

Melihat tempat anda jatuh mungkin boleh menyebabkan anda mengingatinya selalu dan terbawa-bawa kepada kekecewaan dan kesedihan. Sepatutnya, setelah dipelajari, kejatuhan dan tempat jatuh itu dilupakan sama sekali supaya anda tidak teringat-ingat, membawa kegagalan dan kejatuhan lalu ke hari ini. Kegagalan lalu yang dibawa ke hari ini akan memberi kesan kepada perjalanan hari ini. Apa saja yang dilakukan hari ini akan membawa kesan kepada masa depan. Ia berkait-kait – kejatuhan lalu membawa impak kepada keadaan dan usaha anda hari ini dan akan datang, jika anda berterusan mengingati kejatuhan dan tempat jatuh.

Orang yang bijak akan mempelajari kejatuhan itu untuk panduan di masa depan dan melupakan sama sekali agar tidak menganggu usaha hari ini dan impaknya pada masa akan datang. Apa dan di mana yang hendak dipelajari? Pelajari punca atau penyebab kegagalan. Kalau terjatuh, lihat di mana tergelincir kerana di situlah punca terjatuh. Dari tempat anda tergelincir anda boleh mempelajari sebab musabab dan punca anda terjatuh. Orang yang bijak akan mengkaji punca dan sebab kejatuhan, kegagalan, jadi di masa akan datang tidak akan melakukan kesilapan yang sampai berkali-kali.

Apa yang terjadi hari ini adalah sebaliknya. Lebih ramai yang mengenang kejatuhan dan kegagalan lalu tetapi enggan mengkaji dan mempelajari punca kejatuhan dan kegagalan itu. Maka, mereka yang lebih suka mengenang kegagalan berbanding mengkaji punca kegagalan, akan terus tenggelam dalam kejatuhan dan kegagalan.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Menjadi gembira lebih baik dari menjadi raja

Hikmat 9

Warisan hikmat ini membawa maksud betapa pentingnya kegembiraan, lebih utama dan penting dari kuasa ( raja diibaratkan sebagai kuasa ), wang, harta. Belum tentu wang, harta, kuasa mampu melahirkan kegembiraan tetapi selalunya kegembiraan boleh dijadikan landasan untuk mencapai kebahagiaan, kejayaan, kekayaan.

Betapa ramainya orang yang mempunyai segala-galanya tetapi kurang satu perkara iaitu kegembiraan. Dengan kurangnya kegembiraan, apa yang dimiliki seolah-olah tidak membawa sebarang makna. Betapa pentingnya kegembiraan.

Ia sama penting. Kejayaan, kekayaan, kuasa adalah penting. Kalau ada yang menyatakan kegembiraan lebih penting adalah tidak betul. Yang betul – kesemuanya adalah penting. Kegembiraan, kejayaan, kekayaan, kuasa adalah sama penting. Tetapi sudah tentu tak guna kejayaan dan kekayaan tanpa kegembiraan.

Mengapa kegembiraan itu amat penting dalam hidup ini dan menjadi keutamaan? Kerana tanpa kegembiraan ia akan menjadi sebaliknya iaitu kedukaan, murung dan kesedihan. Mahukah anda kejayaan dan kekayaan tetapi dalam masa yang sama anda sentiasa berduka? Tentu sekali anda tidak mahu. Jika diberi pilihan sama ada mahukan kekayaan atau kegembiraan, peratusannya lebih tinggi yang memilih kegembiraan, menandakan betapa pentingnya kegembiraan di dalam kehidupan.

Kegembiraan boleh dijadikan landasan untuk mencapai kejayaan dan kekayaan, tetapi sebaliknya, kekayaan dan kejayaan belum tentu boleh dijadikan landasan atau punca untuk mencapai kegembiraan. Jadi, utamakan kegembiraan.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Kota Rom tidak dibina sehari

Hikmat 8

Tidak ada jalan pintas di dunia ini bila anda bercakap mengenai kejayaan dan kekayaan. Yang ada hanya jalan pintas di tepi rumah anda hendak menuju ke rumah jiran. Dalam membina kejayaan, kekayaan, sikap, keperibadian atau apa saja kebaikan, tidak ada jalan singkat – sama dengan kota Rom yang mengambi masa puluhan tahun untuk membinanya. Ibaratkan saja diri anda, usaha anda ibarat membina sebuah kota atau bandar besar yang boleh digunakan ratusan tahun kemudian. Membinanya puluhan tahun, boleh digunakan ratusan tahun kemudian.

Apa yang terjadi hari ini adalah sebaliknya. Saksikan sendiri betapa ramainya manusia yang tersungkur kecundang kerana mencuba nasib, mencari-cari jalan singkat yang sememangnya tidak ada. Mencari jalan singkat hanya akan menyingkatkan nyawa sendiri. Perhatikan saja, buktikan sendiri bagaimana ramainya manusia yang mensia-siakan usia selama hidup mencuba nasib mencari jalan singkat. Di hujung usia mereka hanya mendapat angin kerana sememangnya sejak zaman purbakala hingga akan datang tidak akan ada apa yang dikatakan jalan singkat itu.

Jika anda masih lagi mencari-cari jalan singkat itu, hentikan serta-merta dengan  menoleh ke belakang sebentar. Selama ini, apa sebenarnya yang anda temui dengan mencari-cari jalan singkat itu? Benarkah anda menemui apa yang dicari-cari atau hanya membazirkan masa? Jika benar anda telah menemui apa yang dicari melalui jalan singkat selama ini – teruskan. Jika selama ini hanya membazirkan masa, adakah akan diteruskan juga?

Pastikan juga antara membuat dengan membina. Jika ia perkara kecil-kecilan boleh disebut sebagai membuat yang juga tidak ada jalan singkat. Apatah lagi jika ia dikategorikan sebagai membina – ia memakan masa yang panjang bahkan seumur hidup.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Sebelum menyembuhkan orang lain, ubati diri sendiri

Hikmat 7

Warisan hikmat ini ada kaitan dengan kepercayaan dan dipercayai. Ia seakan sama dengan, bagaimana hendak menjual sabun, sedangkan baju sendiri kotor. Bagaimana anda hendak menasihati orang lain sedangkan diri sendiri sebenarnya memerlukan nasihat orang lain? Bagaimana hendak bercakap fasal kejayaan jika diri sendiri belum berjaya? Bagaimana hendak bercakap fasal produk kesihatan yang boleh menyembuhkan berbagai jenis penyakit sedangkan diri sendiri tidak sihat dan kelihatan lesu?

Memang amat biasa kita lihat di sekeliling kita bagaimana ramainya manusia yang enggan mengubati diri sendiri sebelum menyembuhkan orang lain. Mereka bercakap fasal kewangan, fasal jutawan, mahu membentuk kejayaan dan kekayaan orang lain sedangkan diri sendiri tak kenal, tak pasti berapa digit sebenarnya angka jutawan, apakah pra syarat dan syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi jutawan. Biasa anda lihat begitu? Memang terlalu biasa.

Biasakah anda mendengar istilah, menjual diri sendiri?. Ia membawa maksud – diri sendiri mestilah dijadikan teladan sebelum cuba menjual atau membicarakan tentang hal yang berkaitan. Contohnya baju anda mestilah bersih, barulah anda boleh menjual sabun. Ia sangat bertepatan dengan warisan hikmat ini.

Bagaimanapun tidak ada halangan untuk anda berbuat kebaikan. Maksudnya biarlah ia selaras dengan ilmu anda. Tak perlu memandai dan menunjuk pandai. Kalau bukan doktor bedah, perlukah menyampaikan ilmu pembedahan? Kepandaian anda A hingga C, memandailah anda menyampaikan kebaikan dari A hingga C. Dalam masa yang sama juga, teruskan untuk mempertingkatkan diri sendiri. Itulah maksud selaras – anda bercakap mengenai kejayaan, dalam masa yang sama sentiasa meningkatkan diri menuju kejayaan.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Apa yang anak-anak cakap telah didengar di rumah

Hikmat 6

Warisan hikmat ini ada persamaan dengan bagaimana acuan, begitu kuihnya. Di mana-mana rumah, pertubuhan-pertubuhan, perniagaan – pengkut akan mengikut rentak pemimpin. Apa yang disuarakan oleh pemimpin, didengar oleh pengikut dan akan disuarakan semula oleh pengikut.

Mengikut kajian, 70 hingga 80 peratus apa yang pemimpin sampaikan kepada pengikut akan disampaikan semula kepada orang lain. Hanya pemimpin yang berilmu dan tahu sahaja akan sentiasa berhati-hati terhadap apa yang disampaikan kepada pengikut. Jika tidak berhati-hati akan terjadilah seperti kanak-kanak yang mencarut, bercakap kasar di luar rumah hasil dari apa yang didengar di dalam rumah.

Sebaliknya, jika yang disampaikan kepada pengikut ia akan menjadi seperti kanak-kanak yang berkata sopan, baik di luar rumah hasil dari kata-kata baik dan sopan yang didengar dari dalam rumah.

Kerana itu, berhati-hatilah terhadap kata-kata yang disampaikan kepada pengikut anda kerana ia akan tersebar luas dan membawa imej atau gambaran anda sebagai pemimpin.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Doa keberkatan rezeki




Ya Allah, puaskan aku dengan rezeki dariMu dan berkatilah rezeki itu, serta gantilah segala amal yang tidak boleh kukejakan dengan sesuatu yang lebih baik.

( HR Al-Hakim )

Monday, October 28, 2013

Hendak mengenali musuh carilah di kalangan sahabat

Hikmat 5

Ada orang mengatakan kata-kata ini adalah dari Sayidina Abu Bakar Assidiq. Tidak pasti kebenarannya dari siapa sebenarnya kata-kata hikmat tersebut. Tetapi yang pasti ia kata-kata yang sangat berharga dan amat benar.

Dengan mudah sekali anda mengenali musuh yang nyata. Mereka bukan sahabat anda, mereka adalah orang yang memusuhi anda. Ia amat mudah dikenali dan dibanteras. Cara terbaik untuk membanteras musuh ialah dengan menukar mereka menjadi sahabat. Permusuhan yang berterusan akhirnya akan menyusahkan dan memusnahkan diri anda sendiri. Satu tindakan yang amat mulia jika anda memulakan persahabatan dengan musuh anda. Permusuhan selesai, dada anda lapang, persahabatan baru bermula, rezeki kian terbuka, peluang-peluang baru terbuka. Itulah untungnya menukar musuh menjadi sahabat.

Itu bagi musuh yang nyata dan dikenali. Bagaimana pula dengan musuh yang tidak dikenali? Carilah di kalangan sahabat. Waspadalah, di kalangan sahabat ada musuh. Waspadalah, kadang-kadang sahabat yang paling baik itu musuh paling ketat. Sentiasa waspada kerana musuh dalaman atau musuh dalam selimut sebenarnya adalah musuh paling bahaya, sangat berbahaya, lebih dari musuh yang nyata.

Musuh yang dimaksudkan, tidak semestinya ia musuh seperti musuh yang nyata. Ia mungkin memusuhi anda dengan cara lain yang tidak disedari. Misalnya, anda hendak melakukan satu projek besar yang telah dikenal pasti mampu untuk mengubah kehidupan anda ke arah yang lebih baik. Datang sahabat karib anda Tanya diminta akan membentangkan sebab-sebab anda boleh gagal dalam projek tersebut. Itulah maksudnya. Sebagai sahabat karib semestinya, sepatutnya menyokong, membantu anda menyenaraikan sebab mengapa anda boleh Berjaya, bukan boleh gagal. Begitu sebahagian maksud dari istilah musuh.

Ada juga yang memusuhi dalam senyap sebagaimana musuh yang nyata. Memang amat berbahaya kerana tindakan mereka ini tidak terduga kerana mereka adalah sahabat.

Bukan maksudnya anda tidak boleh mempercayai sepenuhnya sahabat-sahabat anda. Kepercayaan adalah tunggak persahabatan. Tetapi, salahkah kalau sentiasa berwaspada. Apa yang merugikan anda jika sentiasa berwaspada? Bukan curiga tetapi berwaspada. Tidak ada ruginya berwaspada terhadap sahabat karib sendiri.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Paku yang menonjol akan kena ketuk

Hikmat 4

Paku lain tak mungkin akan diketuk sebab ia tenggelam pada papan atau kayu, tetapi paku yang menonjol terpaksa diketuk kerana bimbang akan memudaratkan orang, atau dirasakan paku yang menonjol itu menganggu atau bakal menganggu.

Persamaannya – bila anda menonjol dalam apa saja bidang, lebih dari orang lain, bersedialah untuk diketuk. Terlalu ramai orang yang memegang tukul bersedia untuk mengetuk pada bila-bila masa. Di sekeliling kita ini ramai yang susah melihat orang senang, senang melihat orang susah. Bila anda tenggelam, tidak akan ada siapa yang mempedulikan anda.

Ada kebaikan dan keburukan. Kebaikannya, anda tahu bahawa kehadiran, kebolehan, kemunculan mula diterima, diakui dan disegani. Jika tidak diterima dan diberi perhatian masakan ramai yang hendak mengetuk. Jika tidak diterima dan diakui pasti dibiarkan begitu saja, tidak dipedulikan. Jadi bergembiralah anda kerana sesungguhnya peluang untuk menuju kejayaan makin terbuka luas.

Keburukannya pula anda akan cuba dijatuhkan, disingkirkan, diketuk hingga anda terbuang dan tidak lagi menonjol. Keburukan lain – anda akan mula mempunyai musuh. Bukan anda memusuhi tetapi anda dimusuhi. Begitulah, setiap kebaikan, pasti terselit keburukan.

Jadi, sebaiknya anda bersedia dan tahu bahawa sebaik saja anda menonjol, akan ada yang berusaha untuk mengetuk. Sentiasa waspada dan mempunyai perancangan khusus untuk menghindari dari kena ketuk. Juga, jangan sekali-kali memusuhi orang. Tak mengapa orang memusuhi anda asalkan anda tidak memusuhi orang lain.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Senyum dalam gelap, hanya sendiri yang tahu.

Hikmat 3

Ada beberapa sebab mengapa seseorang itu lebih gemar senyum di dalam gelap atau di sebalik pokok. Salah satu sebab ialah kurangnya keyakinan diri. Sebab lain adalah takut. Dua sebab utama ini menyebabkan kebanyakkan manusia lebih suka senyum dalam gelap, tidak berani hendak ke hadapan.

Senyum dalam gelap membawa maksud keengganan untuk menonjolkan kebolehan yang ada dalam diri. Kebolehan itu hanya disimpan tidak diketengahkan. Sepatutnya diketengahkan untuk membantu kejayaan diri, tetapi atas sebab tidak yakin dan takut, lebih rela senyap tanpa mengetengahkan kebolehan tersebut. Akibatnya? Kebolehan tersebut tersimpan begitu sahaja, tidak dapat digunakan untuk membantu kejayaan diri. Hanya jika sanggup keluar dari gelap, barulah kebolehan itu mampu digunakan untuk membantu kejayaan diri. Jika tidak sanggup, kekallah ia di dalam gelap.

Anggap ia sebagai misi untuk orang ramai barulah anda keluar dari dalam gelap. Anda mempunyai misi yang besar iaitu mahu membantu orang ramai dengan kebolehan anda. Bila anda membantu orang ramai, secara automatik anda membantu diri anda sendiri. Keluar dari gelap, sinari masyarakat dengan kebolehan anda!

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Air dari gunung terpisah akhirnya bertemu semula di laut

Hikmat 2

Warisan hikmat ini maksud, asalnya bersahabat, akhirnya boleh bersahabat kembali walau pernah bermusuh di antaranya. Sama seperti air yang asalnya bermula dari gunung, air itu turun ke bawah melalui air terjun, berpecah masuk ke lembah, sungai, longkang, parit, muara, kuala, akhirnya masuk ke laut bertemu semula di laut.

Persamaannya dengan manusia? Ada kalanya bermusuh habis-habisan, akhirnya menjadi sahabat karib semula. Perkara ini amat sangat sukar diramal. Sahabat yang paling karib boleh menjadi musuh paling ketat dan akhirnya berubah menjadi sahabat karib semula seperti air dari gunung yang berpecah mengikut haluan masing-masing akhirnya bersatu semula di laut.

Selain dalam persahabatan, di dalam pertubuhan pun begitu juga. Orang yang meninggalkan pertubuhan, suatu hari tidak mustahil kalau mereka akan datang kembali dan menyokong habis-habisan lebih hebat dari sebelumnya.

Kerana itu, jika seseorang memutuskan persahabatan dengan anda, jangan anda risau, sebaliknya percaya bahawa suatu hari nanti dia akan kembali bersahabat dengan anda. Jadi, janganlah dimusuhi orang yang memutuskan persahabatan dengan anda, kerana suatu hari nanti dia akan kembali dan menjadi sahabat yang lebih karib lagi dari sebelumnya.

Air pasti akan bertemu semula di laut, sama ada lambat atau cepat.

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Rawatan ke 25

Wahai saudara-saudaraku yang sakit!. Jika kamu merasakan keperluan kepada suatu rawatan suci yang amat bermanfaat atau suatu ubat yang mengandungi kelazatan yang hakiki bagi setiap penyakit, maka kamu hendaklah sentiasa memperteguhkan dan menggilap iman kamu. Iaitu dengan melakukan taubat, istighfar, solat dan ibadat, kerana ia adalah rawatan suci yang tercerna melalui peningkatan keimanan.

Sesungguhnya orang-orang yang alpa dan lalai kerana kecintaan mereka terhadap dunia dan kebergantungan mereka yang teramat terhadapnya, menjadikan seolah-olah mereka memiliki suatu keperibadian maknawi yang sedang mengalami sakit tenat, yang penyakitnya sebesar dunia ini sendiri. Lalu iman yang masih ada menghentakkan pukulan maut kepada jasad yang sedang sakit itu sebagai ubat yang menyembuhkan dan menyelamatkannya daripada luka dan kecederaan. Kami telah buktikan di dalam beberapa risalah bahawa iman memberikan penawar yang hakiki. Untuk tidak memanjangkan perkara ini, aku ringkaskannya seperti berikut:

Rawatan iman jelas memperlihatkan kesannya dengan melakukan perkara-perkara fardhu yang termampu dilakukan oleh seseorang. Manakala kealpaan, kebodohan, menurut hawa nafsu dan permainan yang tidak dibenarkan syarak boleh membatalkan kesan rawatan tersebut.
 
Oleh sebab penyakit dapat menghilangkan selaput kejahatan, memadamkan api syahwat dan menghalang benda-benda yang ditegah daripada memasuki tubuh badan, maka hendaklah kamu mengambil manfaat daripadanya.

Gunakanlah rawatan keimanan yang hakiki dan cahaya qudus dengan bertaubat, istighfar, doa dan pengharapan agar Allah swt, menyembuh dan menjadikan penyakit kamu sebagai penghapus dosa. Aameen…..aameen…..aameen……!

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Agar ditambah ilmu





Ya Allah, tambahkanlah ilmu padaku, janganlah Engkau membengkukkan hatiku setelah mendapat hidayah dariMu, dan berikanlah rahmat padaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.

( HR Al-Hakim )

Sunday, October 27, 2013

Bocor kecil boleh menenggelamkan kapal besar

Hikmat 1

Selalunya yang keci itu tidak diberikan perhatian menjadikan ia terbiar. Kerana terbiar, tidak ada sebarang tindakan untuk menampalnya dengan anggapan: Biarlah, ia kecil saja, tak ada apa-apa impak pun. Tetapi lama kelamaan, bocor yang kecil itu kerana dibiarkan akhirnya mampu menenggelamkan kapal besar. Begitulah yang selalunya terjadi.

Kebocoran ada di mana-mana, sama ada dalam keluarga, perniagaan, kerajaan dan lain-lain. Kebocoran yang dimaksudkan ialah pembaziran yang dianggap kecil dan tidak diberi perhatian. Lama kelamaan, kebocoran itu terhimpun sama seperti air yang masuk melalui kebocoran dalam kapal laut, menyebabkan kapal itu tenggelam. Lama kelamaan pembaziran yang dianggap kecil dan dibiarkan itu akan terhimpun dan menjadi sangat besar hingga tidak mampu lagi mengatasinya. Akibatnya? Hanya satu sahaja akibatnya iaitu tenggelam.

Kerana itu sebaik saja bocor kecil dikenali, ia hendaklah ditampal segera sebelum melarat dan berlarutan. Kegagalan untuk mengenalpasti kebocoran membuatkan ia terbiar, berlarutan dan akhirnya membawa mudarat yang menenggelamkan. Semestinya, anda mestilah prihatin untuk mengenali kebocoran tersebut. Mengenali kebocoran adalah tindakan pertama sebelum menampalnya. Ia dilakukan ketika kebocoran itu masih kecil dan baru terjadi.

Masalahnya, ramai yang tidak mengenali kebocoran bahkan ramai yang telah kenal kebocoran tersebut tetapi membiarkannya sahaja. Jadi, berhak atau tidak kebocoran kecil yang tidak disangka-sangka itu akhirnya menenggelamkan? 

Wallahu a’lam.

Idris Mohd Said
100 warisan hikmat,2006

Rawatan ke 24

Wahai para jururawat yang merawat kanak-kanak yang tidak berdosa dan orang-orang tua yang pada hakikatnya adalah sama dengan kanak-kanak kerana lemah dan tidak bermaya! Di hadapan kamu terdapat perniagaan akhirat yang amat penting. Kamu hendaklah merebut perniagaan ini.

Hendaklah kamu sentiasa merasa rindu kepadanya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperolehinya. Penyakit yang dialami oleh kanak-kanak adalah suntikan-suntikan tarbiah rabbani bagi tubuh badan mereka yang masih lembut dan lemah, agar mereka membiasakan diri dengannya, supaya mereka dapat menghadapi segala kesulitan kehidupan pada masa akan datang. Penyakit-penyakit itu juga mengandungi pelbagai hikmat dan faedah, sama ada untuk kehidupan mereka di dunia mahupun di akhirat.

Jadi, penyakit-penyakit itu dapat membersihkan kehidupan kanak-kanak secara maknawi, sebagaimana ia juga dapat membersihkan kehidupan orang-orang yang sudah dewasa dengan menghapuskan segala dosa yang dilakukan. Maka suntikan-suntikan itu merupakan asas kepada peningkatan diri secara maknawi dan paksinya pada masa akan datang bagi kanak-kanak yang kecil itu, atau untuk kepentingan akhirat mereka.

Pahala yang terhasil daripada penyakit-penyakit seumpama ini akan dicatatkan di dalam lembaran amalan kedua ibu bapa atau di dalam lembaran amalan kebaikan ibu yang lebih mengutamakan kesihatan anaknya daripada kesihatan dirinya sendiri. Kerana rahsia perasaaan kasih sayang yang terdapat pada dirinya, sebagaimana telah dapat dibuktikan di sisi ahli hakikat.

Menjaga dan mengambil berat terhadap orang-orang tua yang sakit menjadi paksi kepada memperolehi pahala yang besar, terutamanya jika orang tua itu ialah ibu bapa sendiri. Ia juga akan menyebabkan seseorang memperolehi doa mereka. Di samping itu, hati mereka akan gembira jika perkhidmatan yang diberikan kepada mereka dilakukan dengan penuh kesetiaan dan ikhlas. Ia juga menyebabkan seseorang mendapat kebahagiaan di dunia dan diakhirat. Ini sebagaimana terbukti di dalam banyak riyawat yang sahih dan peristiwa sejarah.

Oleh itu, seseorang anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu bapanya yang lemah, akan melihat di kemudian hari anak-anaknya juga akan memberikan ketaatan yang sama kepadanya. Sebaliknya anak derhaka yang sentiasa menyakiti ibu bapanya, di samping dia akan dihumban ke dalam azab di akhirat, di dunia juga akan tenggelam di dalam pelbagai kemusnahan.

Tetapi yang dimaksudkan di atas bukanlah penjagaan terhadap orang-orang tua dan lemah serta tidak berdosa itu dari kalangan kaum kerabat terdekat sahaja. Bahkan jika seseorang mukmin terjumpa seorang tua yang sakit dan memerlukan penjagaan serta patut diberikan penghormatan, maka menjadi kewajipannya untuk memberikan perkhidmatan dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan, sebagaimana terdapat persaudaraan keimanan sejati. Inilah yang dituntut oleh Islam.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Tawaf kehidupan

Kutawaf diri dalam renungan
lalu terbuka sebuah keinsafan
banyaknya nikmat
pemberian tuhan
namun tetap dihulur
timbunan kesalahan.

Arah mana tawaf kehidupan ini
apa diguna masa yang dilapangkan
apa diguna pancaindera
yang disempurnakan
apa diguna kemewahan
 yang dihadiahkan
apa diguna nikmat
yang dilimpahkan.

Benar Engkau Maha Pengasih
benar Engkau Maha Penyayang
cuma aku belum cukup sempurna
buat mengasihi dan
menyayangiMu
ampun akan aku Tuhan.

Kamarulzaman Ismail
Kuala Terengganu
BH, 27 Oktober 2013

Doa kesucian hati





Ya Allah, sucikan hatiku dari kemunafikan, amalku dari riyak, lidahku dari dusta, dan mataku dari pengkhianatan. Kerana Engkau mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.
( HR Baihaqi )


Saturday, October 26, 2013

Rawatan ke 23

Wahai pesakit yang keseorangan, kesunyian dan lemah! Jika kesunyian kamu dan ketiadaan sesiapaan yang menjaga kamu, di samping penyakit yang kamu alami menjadi sebab kepada belas kasihan dan kelembutan walaupun daripada hati-hati manusia yang keras terhadap kamu, maka dapatkah ia menyamai pandangan rahmat Allah swt. Tuhan Maha Pencipta yang mempunyai jelmaan-jelmaan kebaikan pada permulaan surah-surah Al-Quran serta segala sifatNya sebagai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani?

Sesungguhnya Allah juga yang menjadikan semua para ibu sanggup bertungkus lumus demi mendidik anak-anak mereka melalui secebis perasaan belas kasihan dan kasih sayang yang amat menakjubkan yang disemarakkan ke dalam hati mereka. Allah juga yang memenuhkan muka bumi ini dengan pelbagai jelmaan rahmat, nikmat dan kelebihanNya. Melalui jelmaan rahmatNya juga, Allah menjadikan syurga kelihatan amat dekat serta dipenuhi dengan pelbagai keindahan.

Keimanan dan perlindungan kamu di bawah naungan Allah melalui lisan kamu yang lemah dan terhasil daripada penyakit yang dialami, serta penghargaan dan tadharru’ kamu kepadaNya, menjadikan penyakit, keseorangan dan kesunyian yang dialami sebagai suatu matlamat dan wasilah yang mendatangkan pandangan rahmat daripadaNya, kerana pandangan Allah mengatasi segala sesuatu.
 
Selagi Allah swt memandang kepada kamu, maka segala sesuatu yang lain juga wujud bagi kamu. Orang yang sebenarnya berada dalam keseorangan dan kesunyian ialah orang yang tidak mempunyai hubungan keimanan dan penyerahan diri kepada Allah, atau tidak suka terhadap hubungan tersebut.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Rawatan ke 22

Wahai saudaraku yang mengalami penyakit berat seperti lumpuh! Pertamanya kau membawa berita gembira kepada kamu bahawa lumpuh dianggap sebagai satu penyakit yang diberkati bagi seseorang mukmin. Aku mendengar tentang perkara ini semenjak lama dahulu daripada para wali yang soleh. Ketika itu, aku tidak mengetahui rahsianya. Sekarang, terlintas pada fikiranku, salah satu daripada rahsianya :

Sesungguhnya para wali yang ingin sampai kepada Allah swt bagi menyelamatkan diri mereka daripada bahaya maknawi besar yang datang dari dunia dan bagi menjamin kebahagiaan abadi di akhirat, maka mereka melalui dua asas:

Pertama: Ikatan kematian, iaitu mereka berusaha bagi memperolehi kebahagiaan dalam kehidupan abadi dengan sentiasa berfikir tentang kebinasaan dunia dan bahawa diri mereka hanya tetamu yang digunakan bagi melaksanakan tugas-tugas yang berbentuk sementara sahaja.

Kedua: Mematikan jiwa yang ammarah bi al-su’ (sentiasa menyuruh melakukan keburukan) dengan melakukan mujahadah dan latihan kerohanian bagi menyelamatkan diri daripada kebinasaan jiwa dan perasaan yang tidak melihat kesudahannya.

Wahai saudaraku yang kehilangan separuh daripada kesihatan dirinya! Terdapat dua asas yang pendek dan mudah telah diletakkan pada diri kamu tanpa kamu memilihnya. Kedua-dua asas tersebut membentangkan jalan bagi kamu mencapai kebahagiaan abadi. Kedua-duanya juga sentiasa mengingatkan kamu bahawa dunia dan manusia ini akan binasa.

Ketiga itu, dunia tidak lagi dapat menyekat dan menghalang pernafasan kamu dan kealpaan juga tidak akan berani lagi menutup mata kamu. Jiwa yang ammarah tidak akan berjaya mempergunakan nafsu syahwat yang hina bagi menghasut seseorang yang hanya berbentuk separuh manusia (kerana dia lumpuh).

Oleh itu, dia akan terselamat daripada segala bala dan keburukan nafsu itu dengan segera. Melalui rahsia keimanan, penyerahan diri dan tawakkal, seseorang mukmin memperolehi banyak faedah daripada penyakitnya yang besar seperti lumpuh itu dalam tempoh waktu yang paling singkat, seperti faedah yang diperolehi oleh golongan yang melakukan mujahadah dari kalangan wali yang melakukan riadhah (latihan) di tempat-tempat iktikaf mereka. Ketika itu, penyakit fizikal yang dialaminya itu hanyalah merupakan perkara yang kecil dan kerdil.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi

Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Rawatan ke 21

Wahai saudaraku yang sakit! Memang benar, terdapat kesakitan fizikal pada penyakit yang kamu alami. Tetapi terdapat kelazatan maknawi penting yang sedang mengelilingimu. Kelazatan ini menghapuskan segala kesakitan fizikal itu, kerana kesakitan fizikal itu tidak dapat mengatasi belas kasihan yang amat lazat itu, yang tidak diperolehi semenjak kecil lagi.

Kini ia terbit sekali lagi di dalam hati kedua ibu bapa dan kaum kerabatmu, jika kamu mempunyai ibu bapa dan kaum kerabat. Kamu akan mengingati kembali layanan mesra dan pandangan yang penuh dengan kasih sayang sebagaimana yang kamu perolehi ketika zaman kanak-kanak. Segala dinding akan terungkai daripada kaum kerabat kamu lalu mereka akan menjaga kamu semula dan mebdekati kamu dengan mencurahkan segala perasaan kasih sayang dan kemesraan kerana penyakit yang ada pada dirimu dan membangkitkan perasaan dalaman mereka.

Alangkah murahnya kesakitan-kesakitan fizikal yang kamu alami jika dibandingkan dengan perkhidmatan yang dipenuhi dengan kasih sayang dan kemesraan yang diberikan oleh mereka. Ketika sihat, kamulah yang sentiasa berusaha dengan penuh kebangaan untuk berkhidmat kepada mereka dan memperolehi keredhaan  mereka. Tetapi ketika sakit, kamu pula yang menjadi tuan yang memerintah mereka.

Dengan penyakit yang kamu alami itu juga, kamu beroleh lebih ramai orang yang menyayangi dan membantumu dengan penuh kasih sayang. Dengan itu, kamu menggabungkan mereka ke dalam golongan yang berhak mendapat kelembutan dan kasih sayang kemanusiaan yang bersifat semulajadi kepada manusia.

Di samping itu, dengan penyakit yang kamu alami itu juga, kamu berpeluang mengambil cuti daripada tugas kamu yang sulit dan memberatkan. Kamu sekarang tidak perlu melakukannya, bahkan kamu sekarang sedang berehat daripada melakukannya. Oleh itu, tidak sepatutnya sedikit kesakitan fizikal yang dialami itu menyebabkan kamu mengadu dan mengeluh, bahkan sepatutnya kamu bersyukur terhadap kelazatan-kelazatan maknawi itu.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi

Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Rawatan ke 20

Wahai pesakit yang mencari penawar! Ketahuilah bahawa penyakit terbahagi kepada dua bahagian. Pertama penyakit hakiki (sebenar) dan kedua ialah penyakit yang disangkakan (wahmi).

Mengenai penyakit hakiki, Allah swt. Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mulia telah menjadikan penawar atau ubat bagi setiap penyakit. Penawar itu disimpannya di dalam khazanah farmasiNya yang agung, iaitu muka bumi ini. Penawar-penawar itu memerlukan penyakit. Allah swt telah mencipta ubat bagi setiap penyakit. Oleh itu, mengunakan penawar bagi tujuan perubatan adalah dibenarkan tetapi mestilah mengetahui bahawa pemyembuhan dan kesan ubat tidak berlaku melainkan daripada Allah swt.

Sebagaimana Allah megurniakan penyakit, begitulah juga Dia mengurniakan penyembuhan. Seseorang Muslim mesti berpegang teguh dengan tunjuk ajar dan arahan doctor yang pakar. Ia adalah rawatan yang paling penting, kerana kebanyakkan penyakit lahir daripada penggunaan ubat yang tidak betul, tidak berpantang, tidak menghiraukan tunjuk ajar yang diberikan, boros, dosa, kebodohan dan tidak berhati-hati.

Tidak syak lagi, seseorang doctor yang baik akan memberikan nasihat dan pesanan dalam batas sempadan yang dibenarkan. Dia juga akan memberikan amaran akibat daripada penggunaan ubat dengan cara yang tidak betul. Di samping itu, dia juga akan sentiasa menghiburkan hati para pesakitnya dan memberikan penghargaan. Ini akan menyebabkan sesuatu penyakit yang ditanggung oleh pesakit akan berkurang kerana nasihat, pesanan dan kata-kata semangat yang diberikan oleh doctor. Bahkan dia akan bergembira sebagai ganti daripada perasaan sakit, sempit dan resah gelisah.

Manakala mengenai penyakit yang disangkakan (wahmi), maka rawatannya yang paling berkesan ialah dengan tidak menghiraukannya. Kerana sesuatu yang disangkakan akan membesar dan melebar apabila ia sentiasa diambil berat. Jika tidak dihiraukan, ia akan mengecil dan mengecut. Apabila seseorang manusia mengganggu sarang tebuan, maka semua tebuan akan berkumpul dan menyerangnya, tetapi apabila dia tidak menghiraukan sarang tersebut, tebuan itu berpecah-pecah dan berselerak.

Jika seseorang sentiasa bermain-main dengan khayalannya dengan penuh perhatian, dengan dia mengkhayalkan wujud seutas tali yang tergantung di dalam gelap, maka khayalannya itu akan menjadi besar bahkan kadang-kadang boleh menyebabkannya melarikan diri seperti seorang gila yang ketakutan. Tetapi jika dia tidak ambil peduli terhadap khayalannya, maka pasti dia akan mengetahui bahawa apa yang disangkakannya itu hanyalah seutas tali, bukannya seekor ular yang besar. Lalu dia akan merasa malu terhadap sangkaannya yang bukan-bukan.

Begitu juga dengan sakit yang disangkakan ini, jika banyak dan membesat, ia akan bertukar menjadi penyakit hakiki. Sangkaan di sisi seorang yang sensitive dan panic merupakan satu penyakit yang amat menyusahkan, kerana dia menjadikan sesuatu perkara yang kecil menjadi amat besar sekali.

Dengan itu, kekuatan maknawinya akan lenyap, terutamanya ketika dia hanya menemui doktor palsu berhati keras yang tidak memiliki perasaan belas kasihan, atau doktor yang tidak bersikap adil. Doktor ini akan menghasut dan membangkitkan lagi sangkaannya sehingga jika dia seorang yang kaya akan menjadi miskin, atau hilang akalnya bahkan dia boleh kehilangan kesihatannya sama sekali.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi

Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Rawatan ke 19

Perkataan Asma’ul-Husna yang digunakan bagi menggambarkan semua nama-nama Allah yang Maha Indah lagi Maha Mulia menunjukkan bahawa semua nama-nama tersebut adalah indah kesemuanya. Kehidupan adalah cermin ketuhanan yang paling indah dan paling halus. Cermin kepada sesuatu yang indah adalah indah juga. Cermin yang memancarkan keindahan sesuatu yang indah akan juga menjadi indah. Segala sesuatu yang indah yang mengenai cermin tersebut, akan menjadi indah juga.

Oleh itu, dari sudut hakikat, segala yang menimpa kehidupan ini adalah juga indah kerana ia sebenarnya menampil dan memperlihatkan buatan ukiran yang indah bagi nama-nama Allah yang indah itu.

Jika kehidupan terus menerus berada dalam keadaan sihat alafiat, nescaya ia akan menjadi sesuatu yang mempunyai kekurangan dan tidak sempurna. Bahkan sedikit sebanyak kehidupan akan merasa ketiadaan dan sia-sia. Oleh itu, ia akan mengalami keazaban dan kesempitan. Nilai kehidupan akan merudum. Kelazatan dan kesenangan umur akan bertukar menjadi kesakitan dan penuh dukacita.

Oleh itu, manusia akan terperosok ke dalam lumpur kebodohan atau sarang permainan dan porak peranda yang akan merampas segala kelazatan hidup meskipun sebelum umurnya berakhir. Ia adalah umpama seorang banduan yang memusuhi umurnya sendiri yang berharga itu lalu membunuh dirinya dengan segera kerana mahu menamatkan tempoh tahanannya.

Tetapi kehidupan yang berlangsung dalam keadaan dipenuhi dengan pelbagai pertukaran dan perubahan serta mengalami keadaan dalam berbagai-bagai bentuk dan peringkat, maka kehidupan itu akan merasa bahawa ia mempunyai nilai dan kedudukan yang tinggi. Kehidupan seumpama ini akan menatijahkan bahawa umurnya adalah penting dan memberikannya kelazatan yang menakjubkan. Hinggakan kamu akan dapati seseorang itu tidak mahu umurnya berlalu meskipun dia mengalami pelbagai jenis kesulitan dan musibah. Dia sedikit pun tidak mengeluh dan menyesalnya. Dia berkata: Harap-harap, janganlah matahari tenggelam dan janganlah malam berlalu.

Sebaliknya, kamu boleh bertanya kepada seorang kaya yang tidak berbuat apa-apa. Segala yang diingini diperolehinya dengan mudah. Tanyalah kepadanya: Bagaimana keadaanmu? Kamu pasti akan mendengar dia mengeluarkan perkataan-perkataan yang menggambarkan kesakitan dan penyesalan. Seperti : Aah…..kenapa lambat benar masa ini berlalu? Mahukah kamu datang kepada saya dan kita mencari suatu permainan yang boleh mengisi masa kita ini? Marilah kita bermain terup sekejap! Atau kamu mungkin akan mendengar berbagai-bagai pengaduan yang nenunjukkan dia adalah seorang yang mempunyai angan-angan yang panjang. Seperti: Perkerjaanku ada kekurangan. Alangkah baiknya jika aku berbuat begini atau begini……..
 
Tetapi jika kamu bertanya kepada seorang fakir yang tenggelam di dalam musibah atau seorang fakir yang giat berkerja: Bagaimana keadaanmu? Maka jika dia seorang yang mendapat petunjuk, dia akan berkata: Aku berada dalam keadaan baik. Alhamdulillah! Segala pujian bagi Allah. Ribuan kesyukuran buat Tuhanku. Aku sentiasa berusaha. Alangkah baiknya jika matahari tidak tenggelam dengan cepat agar aku dapat menghabiskan kerjaku. Waktu amat cepat berlalu. Umur juga berlalu tanpa henti. Meskipun sebenarnya aku berada dalam keadaan kesusahan dan kesulitan, tetapi ia tetap akan berakhir juga. Semua perkara berada di atas landasan yang sama.

Dengan perkataan sedemikian, lelaki fakir ini sebenarnya menggambarkan tentang nilai dan kepentingan umur di samping rasa dukacitanya terhadap umur yang melarikan diri daripadanya. Oleh itu, dia mengetahui bahawa kelazatan umur dan nilai kehidupan hanya diperolehi dengan kesukaran dan kesulitan. Manakala kerehatan, kemewahan dan kesihatan hanya menjadikan kehidupan ini pahit dan membebankan kerana ia akan menyebabkan seseorang itu bercita-cita agar dapat menyelamatkan diri daripadanya dengan segera.

Wahai saudaraku yang sakit! Ketahuilah bahawa punca segala musibah dan kejahatan bahkan punca segala dosa ialah ketiadaan sebagaimana yang telah dibuktikan dengan bukti yang kukuh dan terperinci. Ketiadaan adalah keburukan dan kegelapan sepenuhnya.

Maka keadaan-keadaan berhenti yang merupakan kerehatan dan ketenangan dalam bentuk yang sama selama-lamanya adalah amat menyerupai dengan ketiadaan dan kesia-siaan. Kehampaan dan kerupaan ini menjadikan kehidupan ini diselaputi dengan kegelapan yang wujud pada ketiadaan dan menjadikannya berada dalam keadaan keluh kesah dan kesempitan. Manakala keadaan, pergerakan dan perubahan pula, maka ia adalah kewujudan dan menjadikan kehidupan itu dirasai kewujudannya. Kewujudan adalah keadaan kebaikan dan cahaya yang sejati.

Oleh kerana inilah hakikatnya, maka penyakit yang berada pada diri kamu sebenarnya adalah tetamu yang diutuskan kepadamu untuk melaksanakan tugasnya yang banyak. Dia bertugas membersihkan, menguatkan dan mempertingkatkan kehidupanmu serta mengarahkan seluruh jentera lain yang berada pada dirimu agar membantu anggota badan yang sakit. Dia juga menampilkan ukiran segala nama-nama Allah Yang Maha Pembuat lagi Maha Bijaksana. Tugasnya akan berakhir tidak lama lagi, insya-Allah. Ia akan pergi melaksanakan tugasnya yang lain pula. Ia akan berkata kepada keadaan sihat : Marilah ke sini sekarang untuk menggantikan tempat aku selamanya. Mulakan semula tugas kamu. Inilah tempat kamu. Terimalah dan tinggallah di sini dalam keadaan baik.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi

Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

Rawi doa berzanji

Ya Allah, yang sentiasa terbuka kedua-dua tangannya untuk memberi
Wahai (Tuhan), yang memadai sekadar menadah tangan untuk meminta kepadaNya
Wahai (Tuhan) Yang Maha Suci pada Zat dan sifatNya Yang Maha Esa
Yang tiada bagiNya perbandingan dan persamaan

Wahai (Tuhan) Yang Maha Esa dengan sifat Baqa’ dan Qidam serta bersifat Azali
Wahai(Tuhan) yang tiada mengharap selain Dia, dan tiada tempat bergantung kepada selainNya.
Wahai (Tuhan) yang segala makhluk bergantung kepada kudratNya yang sentiasa berdiri kukuh.
Dan berkenaan memberi petunjuk kepada sesiapa yang memohon pimpinan dan petunjuk daripadaNya dengan kurniaNya.

Kami bermohon kepadaMu, ya Allah dengan (berkat) NurMu Yang Maha Suci.
Nur yang menghapuskan kegelapan hati kerana syak dan ragu.
Dan kami bermohon kepadaMu berkat kemuliaan nabiMu Muhammad saw.
Nabi yang akhir sekali Engkau bangkitkan, dan pada hakikatnya Dialah yang paling dahulu.

Dan dengan (berkat) ahli keluarganya yang bagaikan bintang di angkasa.
Dan selaku bahtera kesejahteraan dan kebebasan.
Dan dengan (berkat) para sahabatnya yang memperolehi hidayah dan kurniaMu
Yakni para sahabat yang rela mengorbankan jiwa mereka demi menuntut keredaan Allah.
 
Dan dengan (berkat) pembawa syariatnya yang memiliki kelebihan dan keistimewaan.
Yang telah diberi khabar gembira dengan nikmat dan kurnia daripada Allah.
Kurnialah kami ini pada segala perkataan dan perbuatan kami dengan hati yang tulus ikhlas.
Dan berilah kejayaan atas segala yang hadir dan tidak hadir di tempat ini pada setiap apa yang mereka inginkan dan mereka cita-citakan.
Dan bebaskanlah kami daripada godaan nafsu dan segala jenis penyakit hati.
Maka nyatalah harapan dengan apa yang kami sangkakan.
Maka nyatalah harapan dengan apa yang kami sangkakan.
Maka nyatalah harapan dengan apa yang kami sangkakan.

Jauhkanlah kami daripada segala kebekuan jiwa dan segala mara bahaya.
Janganlah Engkau biarkan kami menjadi orang yang dipengaruhi oleh hawanya.
Dan tutuplah setiap kami ini daripada aibnya dan kelemahannya, kesempitan dadanya dan ketidakmampuannya.
Dan mudahkanlah bagi kami melakukan amal kebajikan, walaupun berat melakukannya.
Kurniakanlah kepada kami keyakinan yang benar, bagaikan buah-buahan ranum yang dapat kupetik kerana rendahnya.
Dan hapuskanlah daripada kami segala dosa dan kecacatan.
Dan kurniakanlah kepada jemaah ini kemurahan daripada khazanahMu Yang Maha Agung.
Berupa rahmat dan keampunan, tiada lain yang Maha Kaya secara abadi selain Engkau.

Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah meletakkan setiap yang bermohon kepadaMu pada suatu tempat yang istimewa.
Dan bagi setiap orang yang mengharap untuk mencapai cita-citanya, sentiasa menunggu jawapan daripadaMU.
Sungguh benar ya Allah, kami bermohon kepadaMu dengan penuh harapan akan limpah kurniaanMu yang amat dekat.
Pastikanlah ya Allah, bahawa kami akan Berjaya memperolehinya daripadaMu.

Ya Allah, jauhkanlah kami daripada peperangan, dan perbaikilah pemerintahan kami berserta rakyatnya.
Dan besarkanlah ganjaran bagi orang yang menganjurkan kebaikan ini pada hari yang mulia ini.
Tuhanku, jadikalah negeri ini dan segenap negeri Islam, menjadi negeri yang aman dan makmur.
Curahkanlah hujan rahmat yang merata kepada kami sehingga kami memperoleh nikmat daripadanya.

Dan ampunkanlah kiranya ya Allah, akan dosa orang yang menggoreskan penanya bagi menyusun kisah Maulid ini.
Iaitu Sayidina Jaafar, orang yang dinisbahkan kepada berzanji dan dikenali dengan nama itu.
Pastikanlah jua kiranya ya Allah, baginya balasan berkat kemurahanMu, dan berilah dia kejayaan di dalam harapan dan cita-citanya.
Dan tempatkanlah dia berserta orang yang hampir denganMu dan berilah dia ketenangan.

Tutuplah segala kecacatannya, kelemahannya, kesempitan dadanya dan kecuaiannya.
Demikanlah juga atas orang yang menuliskannya, membacanya dan orang-orang yang tekun mendengarnya.
Tuhanku, kurniakanlah keberkatan dan kesejahteraan ke atas orang yang mula-mula menerima kebesaran daripada segala hakikat yang ada ( Nabi Muhammad saw )
Dan atas keluarganya, para sahabatnya dan orang-orang yang memberi pertolongan kepadanya.
Barangsiapa yang telah menghiasi telinga dengan permata bertatahkan intan.
Dan hiasilah dada orang-orang yang berhimpun di sini dengan rantai bertatahkan permata.
Limpahkanlah berkat yang lebih baik dan sempurnakanlah kesejahteraan ke atas penghulu dan pemimpin kami, nabi Muhammad saw, penyudah segala nabi dan rasul.
Dan ke atas seluruh ahli keluarga dan seluruh sahabat baginda. Maha Suci Engkau Tuhan Yang Maha Tinggi daripada segala yang disifatkan. Dan kesejahteraan untuk para rasul. Dan segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.

Hj Muhidir Hj Tamjis
Senjata Mukmin, 2012