Monday, October 21, 2013

Rawatan ke 8

Wahai pesakit yang mengenangkan akhiratnya! Sebenarnya sakit yang kamu alami adalah umpama tindakan sebuku sabun. Ia membersihkan segala kekotoran yang terdapat pada diri kamu. Penyakit yang dialami membuang segala dosa kamu. Ia menyucikan kamu daripada semua kesalahan kamu. Telah terbukti di dalam hadis bahawa segala penyakit merupakan penebus dosa dan maksiat yang telah dilakukan. Dalam sebuah hadis, rasulullah saw bersabda: Tiada seorang Muslim yang ditimpa kesakitan, melainkan Allah akan menggugurkan kesalahan-kesalahannya, sebagaimana dedaunan pepohon yang berguguran. (HR: Bukari)

Dosa adalah penyakit yang berterusan dalam kehidupan yang abadi. Dalam kehidupan di dunia ini, ia adalah penyakit maknawi yang menimpa hati, perasaan dan roh. Jika kamu bersabar dan tidak mengeluh terhadap penyakit di dunia, kamu akan terselamat daripada penyakit-penyakit yang amat banyak di akhirat kelak. Jika kamu lalai terhadap dosa-dosa kamu, lupa terhadap akhirat dan cuai terhadap Allah, aku tegaskan bahawa kamu pasti akan menghadapi suatu penyakit yang merbahaya.

Ia lebih merbahaya dan lebih besar berjuta kali ganda daripada penyakit-penyakit dunia yang sementara itu. Jauhkanlah diri kamu daripada peyakit yang merbahaya ini. Menjeritlah untuk meminta pertolongan. Penyakit itu lebih merbahaya kerana hati, roh dan jiwa kamu terikat dengan seluruh benda yang wujud di atas dunia ini. Juga kerana segala saluran perhubungan akan terputus dicantas oleh pedang perpisahan dan kehilangan, lalu menyebabkan kamu mengalami luka yang dalam.

Keadaan menjadi lebih buruk lagi jika kamu merasakan kematian itu bersifat selama-lamanya, kerana ketiadaan makrifat terhadap akhirat. Ketika itu, seolah-olah kamu memiliki kewujudan yang sakit dan mempunyai luka sebesar bentuk dunia. Ini memaksa kamu mencari rawatan atau ubat yang hakiki bagi merawat kewujudan yang maknawi itu sebelum ia dipisah, dilebur dan direputkan oleh pelbagai jenis penyakit dan kecederaan yang tidak terkira banyaknya.

Aku yakin, kamu tidak akan menemui rawatan ata penawarnya melainkan pada rawatan iman dan ubatnya yang mujarab. Ketahuilah, jalan paling ringkas untuk mencapai rawatan tersebut adalah  melalui intaian dan jengukan melalui jendela kelemahan dan kefakiran yang menjadi fitrah manusia. Jendela ini pula hanya akan terbuka  dengan mengoyakkan penyakit fizikal yang menghijab kealpaan. Dengan itu, kamu akan mencapai peringkat makrifat terhadap kekuasaan dan rahmat luas Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Agung.

Orang yang tidak mencapa makrifat kepada Allah akan menanggung gundah gulana dan bala bencana di kepalanya seluas dunia dan segala isinya. Tetapi orang yang makrifat terhadap Allah, dunianya akan dipenuhi dengan cahaya dan kegembiraan maknawi. Ini dapat dirasakannya melalui kekuatan iman yang ada dalam dirinya. Kekuatan ini pula berbeza daripada seseorang dengan seseorang yang lain. Sesungguhnya kesakitan zahir akan lenyap dan tersungkur berhadapan dengan hujanan kegembiraan maknawi dan penawar lazat yang terbit daripada keimanan.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment