Sunday, October 20, 2013

Rawatan ke 5

Wahai pesakit yang sedang diuji dan diduga! Melalui pengalamanku pada masa lalu, sekarang aku merasa penuh keyakinan bahawa penyakit yang dihadapi oleh segolongan manusia merupakan satu bentuk kebaikan Ilahi dan hadiah ketuhanan.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa nabi saw bersabda : Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya, maka dia akan dikenakan musibah (HR Bukhari)

Beberapa orang pemuda telah berjumpa denganku dalam tempoh lapan atau sembilan tahun ini. Mereka memintaku mendoakan kesihatan mereka daripada penyakit-penyakit yang dihadapi, meskipun aku bukanlah orang yang layak berbuat demikian. Aku dapati sesetengah daripada mereka itu lebih banyak menghabiskan masa berfikir dan mengingati akhirat. Tidak lagi mabuk dan tenggelam dalam kelpaan masa muda. Bahkan mereka sedikit sebanyak memelihara dan menjaga diri daripada terjerumus ke lembah nafsu kehaiwanan.

Oleh itu, aku memperingatkan mereka bahawa penyakit yang masih boleh ditanggung itu sebenarnya adalah pemberian ehsan daripada Allah swt. Aku berkata : Wahai saudaraku! Aku tidak menentang penyakit yang kamu hadapi. Aku juga tidak merasa kasihan terhadap kamu kerana penyakit yang dihadapi sehingga membolehkanku berdoa untukmu. Apa yang kuharapkan ialah agar kamu terus bersabar dan teguh pendirian menghadapi penyakit ini hingga akhirnya  sembuh dan kembali sihat walafiat. Kerana selepas penyakit ini selesai menjalankan tugasnya, Allah Yang Maha Pencipta dan Allah Yang Maha Pengasih itu pasti akan menyembuhkan kamu, Insya-Allah.

Aku juga berkata: Sesungguhnya sesetengah orang seperti kamu sedang menggoncang dan meruntuhkan tiang kehidupan abadinya kerana mahu memperolehi kenikmatan zahir yang sementara di atas dunia ini. Mereka hidup dalam kealpaan kerana kesihatan yang dimiliki. Kepada mereka, kesihatan itu adalah bala sebenarnya. Mereka meninggalkan solat, lupa kepada kematian dan lalai daripada melaksanakan perintah Allah swt. Tetapi melalui penyakit yang dihadapi, kamu dapat melihat kubur iaitu tempat persinggahan yang kamu sama sekali tidak dapat melarikan diri daripadanya suatu hari nanti. Di samping itu, kamu juga dapat melihat segala tempat-tempat persinggahan akhirat yang lain. Oleh itu, segala tindakan dan perlakuanmu adalah berdasarkan apa yang dilihat itu. Sebenarnya, penyakitmu adalah ibarat kesihatan bagimu. Manakala kesihatan yang sedang dinikmati oleh sebahagian manusia pula adalah seperti penyakit buat mereka.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment