Monday, October 21, 2013

Rawatan ke 6

Wahai pesakit yang mengadu kesakitan! Aku bermohon dengan nama Allah, agar kamu mengembalikan ingatan kamu terhadap umur kamu yang telah berlalu. Aku juga bermohon agar kamu mengingati hari-hari lalu yang bahagia dan penuh kenikmatan serta waktu-waktu yang mencabar dan penuh kesulitan.

Sudah pasti, sama ada kamu akan melepaskan nafas kelegaan atau mengaduh terkenangkan hari-hari tersebut. Iaitu sama ada kamu akan menarik nafas lega seraya berkata: Segala puji bagi Allah dan kesyukuran bagiNya. Atau kamu akan berkata: Alangkah sedihnya! Alangkah dukacitanya!.

Lihatlah bagaimana penyakit dan bencana yang kamu hadapi dahulu. Apabila saja terlintas di benak pemikiran, kamu akan mengucapkan Alhamdulillah dan kamu sendiri akan diselubungi kelazatan maknawi. Ini adalah kerana kehilangan kesakitan atu sembuh daripada penyakit akan melahirkan kelazatan dan perasaan kegembiraan. Dengan kesembuhan dan kehilangan penyakit itu, tempatnya diganti atau ditanam denga kelazatan tersembunyi di dalam jiwa. Apabila sahaja situasi ini diingati kembali, ia membuahkan rasa kemanisan dan kegembiraan yang mendorong kepada kesyukuran dan memuji Ilahi.

Ini adalah kerana kehilangan kesakitan melahirkan kelazatan dan kegembiraan. Kehilangan kesakitan dan musibah telah menanam di dalam jiwa suatu kelazatan tersembunyi. Apabila sahaja terlintas di pemikiran bahawa sesuatu telah terkeluar daripada bebanan kesakitan, maka ia akan memperolehi kemanisan dan kegembiraan yang melahirkan puji-pujian dan kesyukuran.

Manakala suasana kelazatan dan kejernihan yang telah kamu alami dahulu dan situasi tersebut sedang diliputi debu dan asap kesakitan lalu menyebabkan kamu berkata: Alangkah sakitnya! Alangkah pedihnya! Maka ia berlaku kerana kehilangan nikmat tersebut menyebabkan tertanam di dalam roh kamu suatu keadaan kesakitan tersembunyi yang berpanjangan. Kesakitan ini akan berulang sengatannya sekarang jika ia diingati kembali meskipun hanya melalui pemikiran yang sebentar terhadap kehilangan kenikmatan yang diperolehi. Oleh itu, air mata kesedihan dan dukacita akan terhambur keluar.

Kelazatan selama satu hari yang diperolehi melalui jalan yang tidak syari’e kadang-kadang akan menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan kesakitan maknawi selama setahun. Begitu juga kesakitan yang terhasil daripada penyakit sementara yang dialami selama sehari akan membuahkan kelazatan maknawi selama beberapa hari, kerana ia disulami oleh balasan pahala daripada Allah swt. Ia juga akan membuahkan kelazatan maknawi yang lahir menerusi kesembuhannya daripada penyakit yang sedang dihadapi itu.

Oleh itu, kamu hendaklah benar-benar ingat akan natijah daripada penyakit sementara yang dialami. Fikirkanlah tentang besarnya balasan pahala yang diharapkan terhasil melalui celah-celah penyakit yang dihadapi. Berpeganglah dengan ksyukuran dan lepaskanlah diri daripada mengadu kesakitan. Katakanlah: Wahai jiwa! Setiap keadaan akan berubah…….

Wahai saudaraku yang gundah gulana akibat penyakit disebabkan terkenangkan kenikmatan dunia! Jika dunia ini memang benar akan kekal selama-lamanya, jika kematian benar-benar dapat dielakkan, jika taufan perpisahan dan kehilangan benar-benar akan berhenti bertiup selepas ini, jika masa hadapan akan menanggalkan musim dingin yang mencengkam, nescaya aku akan menyertai kamu dan merasa sedih serta menangisi keadaanmu. Namun, kerana dunia ini akan mengeluarkan kita daripadanya dengan berkata: Ayuh! Keluarlah…..Dan ia memekakkan telingannya daripada mendengar pekikan dan jeritan minta tolong, maka hendaklah meninggalkan perasaan cinta dan keinginan untuk kekal di dalamnya sebelum ia menghalau dan meninggalkan kita. Caranya ialah dengan mengambil bekalan daripada kesedaran yang dibangkitkan oleh penyakit dan berusaha mengosongkan hati dan perasaan terhadap dunia sebelum dunia meninggalkan kita.

Melalui peringatannya tentang pengertian yang halus dan mendalam ini, sesuatu penyakit membisikkan ke dalam benak hati kita dengan berkata: Binaan badan bukan diperbuat daripada batu yang keras atau daripada besi. Bahkan ia diperbuat daripada pelbagai bahan yang tersusun. Kesemua bahan itu amat mudah menerima proses pemecahan, pembusukan dan perpisahan. Oleh itu, tidak perlu bermegah. Sedarlah kelemahan kamu. Kenalilah Tuhan yang memiliki kamu. Fahamilah tugas kamu. Pelajarilah hikmat dan tujuan kamu datang ke dunia ini.

Kenikmatan dan kelazatan dunia ini tidak berkekalan. Terutamanya jika ia diperolehi melalui jalan yang tidak syari’e. Sebaliknya ia akan menyebabkan perasaan menjadi sakit di samping mendapat dosa dan kesalahan. Oleh itu, janganlah menangisi kehilangan kenikmatan tersebut kerana sakit yang dihadapi. Bahkan fikirkanlah tentang makna ibadat maknawi yang terkandung di dalam sakit yang dihadapi serta balasan pahala tersembunyi di akhirat yang bakal diperolehi. Berusahalah untuk mencapai perasaan yang murni lagi harum itu.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment