Tuesday, October 22, 2013

Wilayah Persekutuan

Kota wilayah pusat negeri
Kawasan indah semakin berseri
Tumpuan orang rezeki dicari
Pelbagai bangsa kanan dan kiri

Pusat pentadbiran di sini letaknya
Wadah perniagaan inilah tempatnya
Orangnya ramah rajinlah bertanya
Lambang sahsiah tinggi hemahnya

Bangunan tinggi menjadi tanda
Maju Negara berlipat ganda
Warga ceria senang bercanda
Tiada yang susah semua berada

Putrajaya kota yang tenang
Biru mengimbau tasik bergenang
Semuanya lengkap urusan senang
Ke seluruh dunia hebat tercanang

Bangunan indah di sini sana
Hasil rencana minda perdana
Lestari alam mesra terjana
Rakyat selesa tiada bencana

Sudah ternama Pulau Labuan
Tempat warga mencari habuan
Pusat kewangan jadi tumpuan
Bebas selamat tiada gangguan

Kuala Lumpur ibu Negara
Kotanya besar tidak terkira
Pesat membangun sangat ketara
Muhibah rakyat bagai saudara

Pelancong datang tiada henti
Melihat rakyat elok pekerti
Membawa balik cenderahati
Kenangan indah sampai ke mati

Warga kota hidup bergaya
Berkat kerajinan mencari biaya
Rajin usaha hidup Berjaya
Malas ditinggal sukar nescaya

Pendatang asing menumpang rezeki
Rakyat terima tidak berdengki
Membantu negara maju hakiki
Tiba waktunya angkatlah kaki

Di ibu negara semuanya ada
Tinggi tamadun puncak persada
Dapat iktiraf baik petanda
Zaman maya deras melanda

Putrajaya Bandar bestari
Rangkaian maya hebat terperi
Segala urusan di hujung jari
Kerja sebulan siap sehari

Negara Tercinta

Ghazali Lateh, 2013

No comments:

Post a Comment