Wednesday, October 23, 2013

Rawatan ke 14

Wahai pesakit yang hampir tertutup matanya akibat selaput (cataracts)! Jika kamu mengetahui terdapat cahaya dan mata maknawi di bawah hijab yang tertutup di atas mata ahli iman, maka kamu akan berkata : Terima kasih dan ribuan terima kasih kepada Allah Yang Maha Mengasihani.

Sebagai menjelaskan rawatan ini, aku akan membawa cerita berikut:

Sulaiman yang berasal dari Barla sentiasa berkhidmat untukku tanpa jemu meskipun untuk tempoh sehari. Beliau tidak merasa sempit dada terhadapku sepanjang lapan tahunberkhidmat untukku bahkan dia memberikan sepenuh kesetiaan dan penghoratan.

Beliau mempunyai seorang ibu saudara. Ibu saudara beliau ini menjadi buta dan tidak dapat melihat. Perempuan itu terlalu bersangka baik terhadapku, melebihi apa yang patut kuterima. Dia memohon padaku ketika aku dalam perjalanan keluar dari masjid dengan berkata: Aku memohon dengan nama Allah agar tuan berdoa kepada Allah untuk menye,buhkan mataku ini.

Lalu dengan segera aku berdoa kepada Allah dengan menjadikan kesolehan wanita beriman itu sebagai syafa’at dan penguat doaku. Aku berdoa kepada Allah dengan penuh tadharru’ dan tawasssul dengan berkata: Ya Allah! Ya Tuhan kami! Dengan kelebihan kesolehan wanita ini, kembalikanlah penglihatannya.

Pada hari berikutnya, seorang doktor pakar mata dari wilayah Burdur yang berhampiran datang merawat wanita itu, lalu Allah mengembalikan penglihatannya. Tetapi empat puluh hari kemudian, matanya kembali kepada keadaan asal, iaitu tidak dapat melihat semula.

Aku merasa amat dukacita dan banyak berdoa. Aku berharap agar doa yang kulakukan itu dimustajabkan meskipun di akhirat nanti, kerana jika demikian, doaku itu akan menjadi bencana kepadanya dengan tidak disengajakan. Namun perempuan itu hanya hidup empat puluh hari sahaja selepas itu, kerana selepas itu beliau meninggal dunia.

Perempuan yang diharapkan memperolehi rahmat itu tidak sempat menikmati pandangan indah taman-taman di Barla, serta terhijab pandangannya daripada melihat kehijauan yang indah dalam tempoh empat puluh hari. Namun telah digantikkan nikmat di dalam kuburnya dengan melihat syurga dan menyaksikan ribuan taman-taman syurga yang menghijau selama empat puluh ribu hari kerana keimanannya yang mendalam dan kesolehannya yang tinggi.

Ya, sesungguhnya apabila seseorang mukmin dilabuhkan hijab di hadapan matanya dan memasuki kubur dengan keadaan demikian, maka dia mampu melihat dunia cahaya berdasarkan darjat kedudukannya dengan pandangan yang lebih luas daripada pandangan ahli kubur yang lain. Kerana sebagaimana kita mampu melihat dengan mata kita kebanyakkan benda yang wujud di atas dunia ini, sedang orang-orang beriman yang buta tidak dapat melihatnya, maka di dalam kubur nanti mereka yang buta itu akan dapat melihat dengan darjat yang sama jika mereka mempunyai keimanan. Malah lebih banyak daripada apa yang dapat dilihat oleh ahli kubur yang lain.

Mereka akan menyaksikan taman-taman dan kenikmatan syurga seolah-olah mereka dibekalkan dengan teropong yang kuasanya adalah berdasarkan darjat masing-masing. Teropong ini dapat menangkap pandangan-pandangan syurga yang indah dan mempersembahkannya seperti layar di dalam pangung wayang di hadapan mata mereka yang tidak dapat melihat semasa berada di dunia.

Oleh itu, wahai saudaraku! Kamu boleh memperolehi mata nurani ini yang akan membongkar syurga dan segala apa yang terdapat di atas langit yang tinggi di sana, meskipun berada jauh di bumi, dengan bersabar dan bersyukur di atas hijab yang menutup matamu. Ketahuilah bahawa benda yang bijaksana dan amat mengetahui tentang mata serta mampu membuang hijab yang menutup matamu agar dapat melihat dengan mata nurani itu hanyalah Al-Quranul-Karim.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment