Monday, October 21, 2013

Rawatan ke 10

Wahai pesakit yang gelisah tanpa sebab! Kamu sebenarnya merasa gelisah terhadap tekanan dan kekerasan penyakit itu sendiri. Maka kegelisahan itu akan menambahkan lagi beban sakit yang sudah sedia ada. Jika kamu ingin meringankan kesakitan yang dialami, hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak berada dalam keadaan gelisah dengan cara berfikir tentang  faedah yang akan diperolehi melalui penyakit yang dihadapi. Tentang pahalanya dan juga tentang langkah yang seharusnya ditambah bagi menyembuhkannya. Cara ini dapat menghilangkan kegelisahan dan seterusnya menyembuhkan penyakit yang dialami sehingga ke akar umbi.

Memang kegelisahan (atau perasaan was-was) menyebabkan penyakit yang ditanggung menjadi lebih berat dua kali ganda. Kerana kegelisahan akan meniupkan penyakit maknawi ke dalam hati kesan daripada penyakit zahir yang dihadapi. Maka penyakit zahir yang kamu hadapi akan berkekalan kerana ia mempunyai sandaran daripada penyakit maknawi itu.

Tetapi jika kamu menghilangkan gelisah dan segala bisikan hati yang tidak baik itu, dengan berserah kepada Allah swt dan redha atas segala ketetapanNya juga dengan mengingati hikmat yang diperolehi melalui sakit yang dialami, maka penyakit zahir itu akan menghilangkan salah satu cabangnya yang paling penting daripada akar umbinya. Lalu penyakit itu akan menjadi lebih ringan kerana satu bahagian daripadanya telah hilang.

Jika penyakit zahir yang kau alami itu diiringi oleh kegelisahan dan gundah gulana, penyakit itu yang pada asalnya hanya sebesar satu per seratus daripada kegelisahan, akan membesar sehingga menjadi satu per sepuluh. Tetapi jika perasaan gelisah itu dihilangkan, sembilan persepuluh daripada kesan penyakit tersebut akan hilang.

Sebagaimana kegelisahan akan menambahkan lagi sakit, begitulah juga ia akan menyebabkan seseorang pesakit mencela hikmat dan rahmat Allh serta mengadu kesakitan dengan Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Mengasihani. Lalu dia akan diberikan tamparan bagi membetulkan adabnya dengan semakin bertambah lagi penyakitnya, berlawanan daripada apa yang diingininya. Kerana sebagaimana bersyukur akan menambah nikmat, maka begitu juga keluhan dan celaan akan menambah sakit dan musibah.

Selain dari itu, kegelisahan juga adalah penyakit. Rawatannya hanyalah melalui pengetahuan terhadap hikmat yang diperolehi melalui sakit yang dialami. Jika mengetahui hikmat dan faedahnya, kamu akan dapat menghilangkan kegelisahan itu. Oleh itu, hilangkanlah kegelisahan kamu itu dengan penawar tersebut. Selamatkanlah diri kamu. Daripada mengeluh dan mengaduh, sebaliknya kamu hendaklah berkata: Segala puji bagi Allah terhadap segala keadaan.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment