Friday, October 25, 2013

Rawatan ke 18

Wahai pesakit yang tidak bersyukur dan tenggelam dalam rungutan! Rungutan sepatutnya lahir daripada sesuatu hak manfaat yang hilang daripada kamu. Sedangkan tiada hak kamu yang dipersia-siakan yang menyebabkan kamu patut merungut. Bahkan kamulah yang sepatutnya menunaikan banyak hak, malah belum menunaikan hak bersyukur pada Allah. Kamu belum menunaikan hak Allah ke atas kamu. Lebih dari itu, kamu juga merungut terhadap sesuatu yang batil, seolah-olah kamu benar dalam tindakan itu. Kamu tidak berhak untuk merungut dengan melihat kepada orang yang lebih sihat daripada kamu, tetapi sepatutnya kamu melihat kepada orang yang lebih lemah dan lebih teruk sakit yang dialaminya daripada kamu.

Kamu sebenarnya ditugaskan untuk bersyukur sebanyak-banyaknya. Jika tangan kamu patah, lihatlah kepada tangan yang terpaksa dipotong. Jika kamu hanya memiliki sebelah mata sahaja, lihatlah kepada mereka yang kehilangan kedua-dua belah mata, agar kamu bersyukur kepada Allah swt.

Dari sudut kenikmatan, tiada seorang pun yang berhak untuk melihat kepada orang yang lebih baik kedudukannya agar api rungutan menyala marak di dalam dirinya. Tetapi ketika ditimpa musibah seseorang mesti melihat dari sudut musibah itu kepada orang yang lebih teruk menghadapi musibah dan sakit agar dia bersyukur selepas itu, dalam keadaan berpada dengan apa yang ada pada dirinya. Rahsia ini telah dijelaskan dalam sebahagian risalah yang lain.

Contohnya seperti berikut: Seorang lelaki memimpin tangan seorang miskin menaiki sebuah menara hingga ke puncaknya. Lelaki itu memberikan hadiah kepada si miskin pada setiap tingkat menara. Akhirnya ketika sampai di puncak menara, lelaki itu memberikan hadiah yang paling besar dan berharga kepada si miskin itu. Sepatutnya si miskin itu mengucapkan terima kasih terhadap pelbagai jenis hadiah yang diberikan kepadanya. Tetapi dia lupa terhadap segala hadiah yang diterimanya pada setiap tingkat menara.

Atau dia menganggapnya tidak bernilai lalu dia tidak berterima kasih kerana dia melihat kepada orang yang lebih tinggi darjatnya daripada dirinya. Seterusnya dia berkata dan merungut: Kalaulah menara ini lebih tinggi, nescaya aku boleh mencapai darjat yang lebih tinggi! Kenapa ketinggianmenara ini tidak sama dengan bukit di sana atau menara di sebelah?

Jika lelaki miskin itu merungut sedemikian rupa, maka alangkah besarnya kekufuran nikmat yang telah dilakukannya dan alangkah besarnya sifat melampaui hak yang dibuatnya.

Demikian juga halnya dengan keadaan manusia yang datang ke dunia ini daripada ketiadaan, dengan menjadi manusia Muslim yang banyak memperolehi segala macam jenis nikmat kesihatan dan afiat serta dapat mengecap darjat kenikmatan yang tinggi. Dia tidak menjadi batu, pokok dan binatang.

Meskipun demikian, dia tetap menampilkan rungutannya ketika sakit kerana tidak memperolehi kesihatan dan keafiatan hasil daripada sesetengah penyakit yang dialaminya, atau kerana dia sendiri yang mensia-siakan nikmat lantaran kesalahannya sendiri, atau kesilapannya ketika menggunakan nikmat itu. Atau dia tidak mampu mencapai nikmat tersebut, kemudian dia berkata: Apakah yang telah aku buat, sehingga terjadi kepadaku apa yang berlaku?

Dia berkata demikian dalam keadaan mencela rububiyyah dan uluhiyyah Allah swt. Keadaan ini menggambarkan kesakitan maknawi dan musibah yang lebih besar daripada penyakit dan musibah yang dialaminya. Dia sebenarnya menambahkan sakitnya dengan rungutan itu. Seperti seseorang memasuki pertandingan gusti sedangkan tangannya telah sedia tercedera. Tetapi orang yang berakal akan sentiasa mengingati firman Allah swt: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali….. (Al-Baqarah:156)

Lalu dia menyerahkan segalanya kepada Allah dalam keadaan sabar sehingga penyakit itu berakhir dan menjalankan tugas seterusnya.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment