Sunday, October 20, 2013

Rawatan ke 3

Wahai pesakit yang tidak mampu bersabar! Tujuan kedatangan manusia ke dunia ini bukanlah untuk bernikmat-nikmat dan berlazat-lazat.

Buktinya: Kamu dapati setiap yang hidup pasti akan meninggalkan dunia ini. Setiap yang muda akhirnya akan menjadi tua. Setiap orang pasti akan merasakan kehilangan dan perpisahan dengan orang yang tersayang. Dalam masa yang sama, kamu dapati manusia adalah makhluk bernyawa yang paling sempurna, mulia dan mempunyai bekalan yang paling mencukupi. Bahkan dia adalah tuan kepada seluruh makhluk yang lain.

Tetapi pelbagai penyakit dan kesakitan tetap menerjah kehidupannya, ketika dia memikirkan tentang kelazatan-kelazatan yang diperolehinya pada masa lalu dan bala bencana yang akan dihadapinya pada masa hadapan. Lalu dia terpaksa menjalani kehudupannya dalam keadaan kekeruhan dan kesulitan serta mencampakkan dirinya ke lembah yang lebih hina daripada kedudukan haiwan.

Oleh itu, manusia datang kedunia ini bukan untuk menghabiskan kehidupan dalam keadaan mewah dan tenggelam dalam hembusan bayu yang merehatkan dan menyegarkan. Bahkan kedatangannya ke dunia ini bertujuan agar dia memperolehi kebahagiaan hidup yang abadi melalui jalan perniagaan yakni dengan menjadikan umurnya sebagai modal yang besar. Jika tidak mengalami sakit, seseorang itu akan hidup dalam keadaan alpha kerana sentiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat.

Dunia pada pandangannya adalah suatu yang indah dan lazat. Ketika itu, dia akan ditimpa penyakit lupakan akhirat. Dia menjadi benci untuk mengingati mati dan kubur. Dia mensia-siakan modalnya yang amat berharga itu. Dengan itu, datangnya penyakit dapat membukakan matanya serta-merta. Seolah-olah penyakit itu berkata: Kamu tidak kekal hidup dan kamu tidak dibiarkan begitu sahaja. Bahkan kamu dipertanggungjawabkan untuk menunaikan satu tugas. Janganlah kamu terpedaya. Ingatlah sentiasa Tuhan yang mencipta kamu. Ketahuilah bahawa kamu sedang menuju ke kubur. Persiapkan dan sediakan diri kamu untuk menghadapinya.

Maka penyakit mengambil peranan sebagai penasihat yang memberi peringatan. Oleh itu, tidak perlulah merasa keluh kesah jika penyakit mendatangi kamu. Bahkan kamu hendaklah bernaung di bawah bayangan kesyukuran. Jika penyakit yang kamu hadapi itu terlalu kuat, maka hendaklah kamu banyak bersabar.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment