Friday, October 18, 2013

Kemahiran memimpin : aspirasi murid PPPM

Ciri ketiga kualiti murid seperti yang terungkap dalam PPPM ialah kemahiran memimpin. Ilmu pengetahuan terbina, kemahiran berfikir yang terjadi bakal membantu kemahiran memimpin murid dan pelajar. Kemahiran ini harus dipupuk sejak awal usia lagi supaya dewasanya murid dan pelajar dipupuk dengan nilai dan kualiti kepimpinan yang baik.

Dalam dunia yang sifatnya interaktif, bakat untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain secara berkesan amat penting. Sistem pendidikan negara akan bantu setiap murid menggilap potensi diri sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan tidak formal untuk bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan teladan.

Dalam konteks sistem pendidikan kepimpinan merangkumi empat dimensi iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan. Justeru pemimpin harus berilmu dan berkemahiran, menjadi sumber teladan dan ikutan yang baik supaya daya kepimpinannya menjadi contoh kepada orang lain.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran membina kemahiran memimpin terhadap diri adalah perkara utama dan penting. Potensi diri yang terdapat harus digilap supaya bakat kepimpinan terbina. Kualiti diri yang membawa kepada kecerdasan, kepintaran, ketangkasan dan bijaksana amat penting disuburkan supaya kepimpinan diri menyumbang terhadap yang lain.

Mendepani alaf 21 ini kemahiran memimpin menjadi prasyarat utama meletakkan negara kita tidak saja maju dan moden tetapi maju dalam acuan kita sendiri. Ini kerana cabaran masa depan kepimpinan negara tidak saja sifatnya strategic dan intelektual tetapi harus memiliki keupayaan etika dan nilai yang tinggi dan mampu menyantuni masalah dan cabaran yang semakin kompleks.

Dalam tradisi Islam pemimpin dan kepimpinan dihubungkan sebagai taklif atau amanah. Kualiti amanah ini sangat penting bagi menentukan perubahan dan kejayaan berlaku. Amanah tidak saja dengan Allah tetapi dengan manusia, sistem dan negara.

Di samping amanah pemimpin harus adil, Keadilan adalah neraca yang sangat penting dalam membuat pertimbangan dan keputusan. Keadilan tidak sekadar sifatnya suatu pernyataan. Ia harus ditunjukkan menerusi sikap, pendirian dan terlihat ia dilaksanakan. Keadilan mesti bermula pada diri. Oleh itu sejak awal lagi diri murid atau pelajar harus dididik berlaku adil.

Aspek lain yang sangat penting dalam membina daya kepimpinan ialah pekerti yang memberi teladan pada orang lain. Dalam tradisi Islam rasulullah saw memiliki qudwah hasanah atau contoh yang baik terhadap orang lain. Bila pemimpin mempunyai pekerti yang baik ia bakal melahirkan kepengikutan yang baik juga.

Dalam suasana persekolahan tidak saja aspek kurikulum penting dalam memberi ilmu dan kemahiran tetapi kokurikulum juga sangat mustahak dalam membina potensi mereka. Hal yang terhubung dengan kegiatan ekstra kurikulum harus mampu menyaring dan memupuk bakat murid dan pelajar supaya binaan kualiti kepimpinan terserlah di samping pengukuhan aspek-aspek lapangan dan kesukarelaan.

Potensi diri murid dan pelajar ini harus dibina berasaskan etika dan nilai. Tanpa etika dan nilai murid dan pelajar tidak akan mempunyai ikatan dan pedoman yang teguh dan kukuh. Bagi pelajar Islam nilai paling utama (tauhidik) harus menjadi asas terhadap proses pengilmuan dan pendidikan dan bagi pelajar bukan Islam, nilai-nilai interaktif (universal) seharusnya dibina supaya landasan etika dan nilai mendasari pendidikan.

Cabaran pemimpin dan kepimpinan alaf 21 adalah lebih kompleks. Perubahan terhadap dapatan sains dan teknologi berlaku dengan pesat. Teknologi maya dan perkembangan media baru tidak saja mencabar sikap dan pendirian tetapi memerlukan kebijaksanaan tinggi menyantuninya.

Faktor globalisasi akan memberi kesan terhadap perubahan dalam negara. Isu  hak asasi akan sentiasa didepani antara hal asasi yang terbina bersamanya etika dan nilai atau hak asasi yang sifatnya lepas bebas tanpa dukungan etika dan nilai.

Natijah akhir dari proses perubahan dan kemajuan manusia ialah ke arah pembinaan peradaban tinggi. Sekiranya kemajuan bermakna runtuhnya system kekeluargaan, berkembangnya faham anarki, suburnya kecenderungan hedonistic ia bakal memusnahkan kualiti manusiawi dan berubah kepada status haiwani. Menjadi pemimpin harus peka dengan hal ini supaya daya kepimpinan yang dibina menjadikan pemimpin memiliki kualiti ilmu dan berfikir yang baik dan kualiti kepimpinan yang menjdi sumber contoh dan ikutan.

Wallahu ‘alam.

Sidek Baba
Sinar Harian
17 Oktober 2013

No comments:

Post a Comment