Friday, October 25, 2013

Rawatan ke 16

Wahai pesakit yang mengadu kegelisahan! Penyakit yang dialami sebenarnya mengajar orang yang mengalaminya tentang ikatan kehidupan kemasyarakatan dan kemanusiaan yang paling penting dan indah, iaitu saling hormat menghormati dan perasaan berkasih sayang.

Ikatan ini boleh menyelamatkan manusia daripada bersifat tidak memerlukan kepada orang lain. Kerana sifat tidak memerlukan kepada orang lain akan menyebabkan seseorang hidup dalam kelaphaan, terasing dan liar serta menghilangkan sifat belas kasihan daripada dirinya, sebagaimana dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran: Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya…. (Al-‘Alaq:6-7)

Jiwa ammarah yang terjatuh ke dalam perangkap sifat tidak memerlukan orang lain yang terhasil daripada kesihatan dan keafiatan yang berpanjangan dan berterusan, tidak akan memberikan penghormatan yang selayaknya terhadap hubungan persaudaraan.

Ia juga tidak akan mempunyai perasaan rahmat dan belas kasihan terhadap mereka yang ditimpa musibah dan penyakit yang selayaknya mendapat rahmat dan kasihan belas serta kasih sayang. Tetapi jika seseorang itu ditimpa sakt, dia akan memahami betapa lemahnya dia, betapa dia memerlukan kepada orang lain ketika mengalami tekanan penyakit, kesakitan dan bebanannya. Dia akan memberikan penghormatan kepada saudara-saudaranya yang beriman yang layak diberikan penghormatan kerana menjaganya ketika sakit, atau yang datang menziarahi ketika sakitnya.

Begitu juga dia akan memiliki perasaan belas kasihan kemanusiaan yang merupakan suatu sifat keimanan yang penting terhadap mereka yang ditimpa musibah dan bala bencana sebagaimana dirinya. Lalu melimpah-limpahlah daripada hatinya perasan kasih sayang dan belas kasihan dalam pengertian yang seluas-luasnya. Jika mampu, dia akan menghulurkan bantuan kepada mereka. Jika tidak, dia akan mula menadah tangan berdoa buat mereka. Atau datang menziarahi mereka serta bertanya khabar tentang keadaan dan kesihatan mereka. Dengan itu, dia telah melaksanakan suatu sunnah yang dituntut dan memperolehi balasan pahala yang besar.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment