Saturday, October 19, 2013

Takut dan bimbang adalah racun kepada keyakinan (2)

Amat malang hidupnya jika dia tidak merenung ataupun membuat refleksi diri, supaya dapat bersyukur kepada Allah yang memberi nikmat hidup di dunia ini. Harta amat berguna jika dimanfaatkan menjadi bekalan mati. Apa yang kita tidak mahu ialah akibat menginginkan harta, manusia menjadi tamak dan lalai sehingga dia lupa bahawa semua yang dimiliki itu tidak dapat dibawa mati.

Jadi jika seseorang itu hidup dari dalaman kepada luaran maka bergantungannya kepada Allah swt sangat tinggi. Jika dia kehilangan barang, duit dan sebagainya dengan sendiri dia akan merasa redha dan merasakan itu bukan rezeki. Berpeganglah kepada prinsip bahawa rezeki kita tidak akan dapat diambil tanpa keizinan daripada Allah swt.

Setiap yang berlaku pasti ada penyebabnya. Apabila seseorang itu memiliki keyakinan begini, maka dia boleh bermuhasabah diri dengan berfikir, mengapa duit saya hilang? Adakah saya tidak membayar zakat? Adakah saya tidak menolong orang ataupun saya telah menganiayai orang lain?

Dengan bermuhasabah diri, kita dapat meningkatkan ketenangan di dalam diri dan amalan kepada Allah swt. Setiap yang berlaku ke atas diri kita, perlu diteliti sebagai teladan dan pengajaran, bagi memperbetulkan diri kita, supaya tiada perasaan bimbang dalam diri kita.

Perkataan saya bimbang berkait dengan perkara yang belum berlaku. Contohnya, ketika anak hendak menghadapi peperiksaan, rasa bimbang sekiranya anak tidak dapat menjawab dengan baik ataupun bimbang anak gagal dan sebagainya.

Mengapa kita perlu bimbang kerana perkara itu merupakan kewajipan untuk kita tempuhi dan selesaikan. Oleh itu tukarlah perkataan bimbang kepada perkataan prihatin. Contohnya, saya prihatin dengan anak saya yang akan mmenghadapi peperiksaan.

Apabila menyebut perkataan positif iaitu prihatin, tindak balas akan menjadi positif, dan kita akan proaktif dengan mengambil tindakan yang positif bertanggungjawab membantunya. Misalnya menjaga kesihatan anak dengan menyediakan makanan yang sihat, menjaga solatnya supaya apabila anak kita menghadapi peperiksaan dia di dalam keadaa sihat dan tenang dan berdoa untuk kejayaannya.

Saya membahagikan dan menyenaraikan kehidupan manusia ini kepada dua bahagian iaitu :

a) Sebelah kiri, tiada ilmu, bimbang, risau dan takut  
b) Sebelah kanan, berilmu, gembira, bersyukur, taqwa dan sihat

Perhatikan diri kita berada di bahagian mana, sebelah kanan atau kiri? Jika kita daripada sebelah kiri maka padamlah sifat-sifat golongan kiri daripada kamus hidup kita dan sebutlah perkataan yang positif seperti, saya prihatin kepada perkara ini......

Orang yang bimbang adalah orang yang tidak fokus dan tidak ada tujuan dalam hidupnya. Jika seseorang itu mempunyai tujuan hidup, dia akan berkata, saya ingin memanfaatkan diri saya kepada orang lain, hidup saya berbakti kepada hamba Allah yang lain.

Oleh itu amat rugi sekali jika kita menghabiskan waktu di dalam hidup kita dengan perkara-perkara negatif, hanya kerana bimbang. Hapuskanlah perasaan itu dan lawan perkataan bimbang dengan redha, yakin dan berserah. Insya-Allah hidup akan lebih bahagia.

Wallahu a’lam

Prof. Dr Muhaya Hj Mohamad
Bahagia & membahagiakan, 2012

No comments:

Post a Comment