Monday, October 21, 2013

Rawatan ke 9

Wahai pesakit yang beriman kepada Allah swt! Sesungguhnya sebab timbulnya rasa kesakitan, perasaan ketakutan dan gundah gulana akibat penyakit adalah kerana sesuatu penyakit kadang-kadang boleh membawa kepada kematian  dan kemusnahan. Bahkan, menurut pandangan mereka yang lalai, kematian pada zahirnya merupakan sesuatu yang amat menakutkan dan menggerunkan. Oleh itu, penyakit yang mungkin menjadi sebab kematian itu menyebabkan seseorang berada dalam keadaan bimbang dan keluh kesah. Oleh itu, hendaklah kamu mengetahui:

Pertama: Berimanlah dengan penuh keyakinan. Sesungguhnya sesuatu ajal telah ditetapkan. Ia tidak akan berubah. Telah banyak kali berlaku, orang-orang yang menangisi pesakit yang sudah dalam keadaan nazak. Lebih dahulu mati daripada orang yang mereka tangisi itu, sedangkan mereka memiliki kesihatan yang amat baik. Tetapi orang yang ditangisi kerana penyakit yang boleh menyebabkan kematian itu disembuhkan oleh Allah lalu dapat hidup lebih lama.

Kedua: Kematian itu tidaklah menakutkan. Sebagaimana yang kelihatan kepada kita pada zahirnya. Dalam banyak risalah dan juga melalui wahyu Al-Quran, telah dibuktikan dengan jelas tanpa meninggalkan sebarang keraguan dan kekeliruan bahawa:

Kematian bagi seseorang mukmin adalah pelepasan dan berakhirnya taklif bebanan daripada tugas kehidupan dan kesulitannya. Ia juga adalah pembebasan dari ubudiyah yang merupakan proses pembelajaran dan latihan di medan dunia yang dipenuhi dengan bala bencana.

Kematian juga adalah pintu untuk menemui sembilan puluh sembilan kekasih dan teman rapat yang telah pergi terlebih dahulu ke alam akhirat.

Kematian juga adalah cara untuk memasuki halaman tanahair yang hakiki serta tempat tinggal abadi bagi memperolehi kebahagiaan yang kekal.

Kematian juga adalah seruan untuk berpindah daripada penjara dunia kepada taman-taman dan kebun-kebun syurga.

Kematian juga adalah peluang yang baik bagi menerima balasan daripada perkhidmatan yang telah dilaksanakan. Balasan yang akan dihamburkan dengan penuh kemurahan daripada khazanah kelebihan dan kebaikan Allah Yang Maha Mencipta lagi Maha Mengasihani.

Oleh kerana demikianlah keadan kematian dari sudut hakikat, maka tidak sepatutnya ia dilihat sebagai sesuatu yang amat menakutkan. Bahkan wajib kita menganggapnya sebagai berita gembira untuk memperolehi rahmat dan kebahagiaan. Sehinggakan ketakutan sesetengah wali Allah bukanlah terhadap kematian yang gans dan dahsyat itu tetapi adalah kerana mereka masih ingin memperolehi dan membuat lebih banyak kebaikan dan kebajikan dengan melanjutkan tempoh masa mereka boleh meneruskan tugas kehidupan.

Ya! Memang kematian bagi ahli keimanan ialah pintu rahmat. Tetapi bagi ahli kesesatan, ia adalah perigi gelap yang abadi.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment