Wednesday, October 23, 2013

Rawatan ke 15

Wahai pesakit yang mengaduh kesakitan! Janganlah kamu mengaduh dan berkeluh kesah memandang kepada zahir penyakitmu yang jelek itu. Bahkan lihatlah kepada makna dan kandungannya. Bergembiralah dengan berkata : Alhamdulillah…….!

Jika penyakit tidak mengandungi sesuatu pengertian yang indah nescaya Allah Yang Maha Mencipta lagi Maha Pengasih tidak menguji makhlukNya yang paling dikasihi daripada kalangan para hambaNya dengan pelbagai jenis penyakit. Tersebut di dalam sebuah hadis : Golongan yang paling banyak terkena bala ialah para nabi, kemudian para wali dan golongan yang seumpama mereka….. (HR: At-Thabrani)

Terdapat beberapa hadis yang mempunyai pengertian hampir sama. Kesemuanya adalah sahih.

Salah satu daripada hadis tersebut (diriwayatkan oleh At-Thabrani) ialah daripada saudara perempuan Huzaifah ra bahawa rasulullah saw bersabda : Golongan manusia yang paling banyak terkena bala ialah para nabi, kemudian para wali, kemudian golongan yang seumpama mereka dan begitulah seterusnya….(Sahih Al-Jami; Al-Saghir)

Orang yang paling teruk dikenakan bala ialah nabi Ayub as, seorang yang amat penyabar. Kemudia diikuti oleh para nabi yang lain, kemudian para wali dan para solihin. Kesemua mereka menerima bala penyakit tersebut dengan menganggapnya sebagai ibadat ikhlas dan hadiah ketuhanan. Mereka melaksanakan tugas bersyukur di samping kesabaran yang mereka tunjukkan. Mereka melihatnya sebagai sejenis operasi pembedahan yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih kepada mereka.

Wahai pesakit yang sentiasa mengaduh dan mengerang! Jika kamu berhasrat untuk turut menyertai kafilah murni ini, maka hendaklah menunaikan kewajipan bersyukur di celah-celah kesabaran. Jika tidak, pengaduan yang dilakukan akan menjadikan mereka enggan menggabungkan kamu ke dalam kafilah mereka, bahkan kamu akan mencampakkan diri ke dalam gaung kelpaan. Seterusnya kamu akan melalui jalan yang penuh dengan kegelapan.

Terdapat beberapa jenis penyakit yang jika ia menyebabkan kematian akan menyebabkan orang yang mengalaminya memperolehi mati syahid maknawi, seterusnya mendapat maqam wali di sisi Allah. Iaitu penyakit yang disebabkan oleh melahirkan anak, penyakit di dalam perut, lemas, terbakar dan taun. Jika seseorang meninggal dunia kerana perkara-perkara di atas, maka darjatnya akan ditinggikan sehingga mendapat syahid maknawi. Terdapat juga beberapa penyakit yang jika mengakibatkan kematian akan menyebabkan orang yang menghidapnya memperolehi darjat wali di sisi Allah.

Di samping penyakit yang dialami boleh mengurangkan kecintaan mendalam terhadap dunia dan kenikmatannya, serta mengurangkan keterikatan mendalam dengannya, ia juga boleh mengurangkan perasaan sedih dan pahit kerana berpisah denggannya seperti yang dialami oleh ahli dunia ketika mereka meninggalkan dunia ini. Bahkan penyakit itu boleh menyebabkan ia merasa kasih dan suka kepada kematian.

Wallahu a’lam.

Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009

No comments:

Post a Comment