Tuesday, April 30, 2013

Joran dan pancing


Dari muara siasah
berkunjung lagi sang pemancing
membawa joran dan umpan mereka

Sedang ikan-ikan bergelintaran
pancinglah kami
tangkaplah kami
musim ini harga kami tinggi

Pastikan umpanmu
dari hati budi maha tulus
yang bersikap mauduk
teguh bersatu

Pastikan umpanmu
akal ilmu berwibawa
yang tinggi beristiqamah
memaku peribadi bangsaku

Joran dan pancing
di tangan kalian
namun ingat
ikan-ikan belum tentu terumpan
anda syaitan bertopengkan insan
menjadi taruhan

Di gelanggang sahsiah ini
maruah dan jati diri tiada
bergalang ganti.

Zulkifli Mohd Top
Gombak Selangor
BH 21 Apr 2013

Memohon kesejahteraan


Permata 32

Daripada Abdullah bin Abi Aufa ra, sesungguhnya rasulullah saw pada sebahagian dari hari-hari yang baginda bertemu dengan seteru, baginda menanti (akan peperangan itu) hingga cenderung matahari. Kemudian baginda bangun kepada manusia lalu bersabda: Hai manusia! Janganlah kamu bercita-cita bertemu musuh, dan mintalah kamu kepada Allah swt kesejahteraan. Apabila kamu bertemu mereka itu maka hendaklah kamu bersabar dan ketahuilah bahawasanya syurga itu di bawah kilauan mata pedang. Kemudian baginda berdoa : Ya Allah, yang menurunkan kitab, yang menjalankan awan dan yang mengalahkan puak Ahzab!. Kalahkan meeka itu dan tolonglah kami memenangi atas mereka. (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Mutiara hikmah :

a) Jangan sesekali memulakan peperangan tetapi pertahankanlah negara anda. Ini kerana peperangan itu membinasakan dan merendahkan martabat manusia.

b) Apabila manusia masih menganggap dirinya lebih tinggi daripada makhluk lain tetapi masih tetap berlaku peperangan maka peperangan itu tidaklah berbeza dengan peperangan batin manusia itu sendiri.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Bahaya penyakit Taun


Permata 31

Daripada Anas bin Malik ra daripada nabi saw bersabda: Taun itu menjadi syahadah (dianggap mati syahid) bagi setiap orang Islam.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mutiara hikmah :

a) Imam al-Ghazali : Banyak pendidikan kesihatan yang diajar oleh rasulullah saw kepada umatnya termasuk aspek kebersihan tubuh badan, pakaian, alam sekitar dan juga makanan. Ini kerana di dalam tubuh yang sihat itu terdapat kelazatan dalam beribadat.

b) Seorang doktor yang muda memulai hidupnya dengan 20 jenis ubat bagi satu penyalit dan seorang doktor yang berusia mengakhiri hidupnya dengan hanya satu jenis ubat bagi 20 jenis penyakit.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Kemurkaan Allah


Permata 30

Daripada Abi Hurairah ra berkata bahawa rasulullah saw bersabda: Tiga golongan daripada manusia yang Allah SWT tidak akan berkata kepada mereka, tidak memandang pada hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka dengan menyediakan azab yang amat pedih. Orang yang mempunyai keperluan dan bekalan air yang lebih menahan daripada memberikan kepada musafir. Orang yang berbaiah kepada seseorang dan perjanjian itu tidak dibuatnya melainkan untuk keperluan dunia sahaja. Dan orang yang menawarkan kepada seorang lelaki dengan barang dagangan selepas waktu Asar lalu bersumpah dengan nama Allah : Demi sesungguhnya telah diberi harganya sekian-sekian banyak, maka terus diambil barang-barang itu. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaie, Ibn Majah dan Ahmad)

Mutiara hikmah :

a) Marah adalah kegilaan yang pendek. Di dalamnya terkandung iri hati dan penghinaan, ketakutan dan kesedihan, kebangaan dan prasangka, terburu nafsu dan kurang pertimbangan, kesenangan akan kejaharan dan suayu tujuan untuk menjurus ke arah itu.

b) Muawiyah bin Abi Sufyan berkata : Orang ini apabila dia marah, 100 000 orang lagi kaum Bani Tamim akan turut marah, walaupun tanpa mengetahui sebab mereka marah itu. Dia ialah Ahnaf bin Qais, pemimpin Bani Tamim, orang Arab yang unggull, seorang pejuang dan penakluk.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Galakan memberi hadiah



Permata 29

Daripada Aisyah ra berkata : Nabi saw menerima hadiah dan memberi balasan ke atasnya sebagai ganti. (Riwayat al-Bukhari)
 
Mutiara hikmah :

a) Kebahagiaan adalah khayalan. Apa-apa yang kita laksanakan dan berhasil tidak seindah apa yang kita khayalkan.

b) Sebungkus hadiah yang kecil amat besar ertinya apabila diberi tepat pada waktunya. Oleh itu, saling berhadiahlah kalian agar kalian  akan saling mencintai.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Allahuma rabbana, tolonglah kami untuk berzikir,mengingatiMu dan mensyukriMu dan baik beribadat padaMu. Allahuma  ameen

Selawat 77



Ya Allah, wahai Zat yang mempunyai keabadian anugerah kepada manusia. Wahai Zat yang membuka luas kedua-dua tanganNya dengan pemberian. Wahai Zat yang mempunyai pemberian-pemberian ya ng luhur, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kabi nabi Muhammad saw iaitu sebaik-baik manusia di dalam perangainya. Ampunilah dia, wahai Zat yang mempunyai keluhuran pada malam hari.

Monday, April 29, 2013

Bebaskan kuasa potensi manusia


Semarak 24
vs potensi manusia bukan masalah anda

Tahukah anda bahawa keupayaan otak anda tidak dapat diukur? Betapa kompleks dan berkuasanya otak menjangkaui teknologi terkini. Otak dapat memproses 30 bilion  bit maklumat sesaat melalui 6 000 batu dawai komputer. Bahan api yang memarakkan otak anda ringkas sahaja : oksigen dalam darah dan sedikit glukos, lantas anda memperoleh tenaga. Tanpa tenaga, tiada sinergi dalam organisasi anda.

Apabila orang berasa letih atau lesu, mereka tidak dapat mencapai tahap keupayaan mereka. Apabila anda berusaha untuk menambah tenaga pekerja, anda membantu mereka bergerak ke arah hidup bekerjasama yang lebih baik. Itulah maksud sebenar sinergi – bekerjasama. Sinergi ialah konsep yang mudah dan semulajadi, pengurus seperti anda sedang belajar menggunakan konsep ini dalam amalan perniagaan. Sambil pakar pengurusan menekankan pentingnya kerja bestari dan modal intelek, pengurus dan penyelia sedang menyedari pentingnya ciri sinergi dan manfaat yang dapat dihasilkan dalam struktur pasukan.

Buku ini memberi anda banyak cara untuk mencungkil yang terbaik daripada pekerja anda. Garis panduan dan petua yang diberi bertujuan untuk menggalakkan pemikiran anda – supaya berfikir tentang potensi yang terdapat dalam diri anda dan semua pekerja anda, kuasa luar biasa daripada semua kecerdasan, kreativiti, sifat ingin tahu dan tenaga itu. Sebagai pengurus dan pemimpin, adalah penting anda mempergunakan semua potensi di sekeliling anda. Hasil yang dicapai memang akan selaras dengan usaha anda, kerana sinergi yang dikembangkan akan terus bertumbuh, membina dan memotivasikan untuk jangka panjang. Dalam kata-kata Ralph Waldo Emerson : Manfaatkan sebaik-baiknya yang terdapat dalam diri anda...kerana itulah segala-galanya dalam diri anda. Berikut ialah beberapa cara yang digunakan oleh pengurus untuk membebaskan kuasa potensi manusia dalam diri pekerja mereka :

a) Latih mereka : Pepatah menyatakan : Ilmu adalah kuasa. Hal ini tidak benar. Apa yang berkuasa ialah bagaimana ilmu itu digunakan. Jadi, apakah jenis program latihan yang anda bekalkan untuk membantu pekerja untuk memperoleh dan menggunakan pengetahuan baru dengan berkesan? Latihan membantu pekerja meningkatkan kemahiran dan prestasi mereka – dan ini juga merupakan satu lagi cara bagi anda menunjukkan bahawa anda menyayangi mereka.

b) Bimbing mereka : Setelah melabur dalam pembelajaran dan pembangunan pekerja, sekarang tibalah masanya untuk memulakan program bimbingan. Anda bersusah payah menyelenggara komputer  dan peralatan lain. Tetapi apabila hendak melestarikan motivasi pekerja, memang senang melupakan bahawa pekerja perlu dilestarikan juga. Bimbingan ialah cara berkesan untuk melestarikan motivasi pekerja. Berikut ialah definisi istilah pembimbing : Seseorang yang meminjamkan pengalaman, galakan dan pemahamannya untuk menggerakkan orang lain supaya membuat kerja yang terbaik.

c) Sayangi mereka : Seperti lirik lagu Tina Turner yang bertanya : Apakah kaitannya dengan sayang? Jawapan : segala-galanya! Pengurus yang benar-benar  berjaya ialah pengurus yang benar-benar menyayangi pekerjanya dan menunjukkan rasa sayang ini dengan menggalakkan suasana penyayang di tempat kerja. Sayang dalam konteks ini bermakna anda prihatin terhadap pekerja anda dan kejayaan mereka, anda berasa gembira apabila mereka berjaya dan anda rela membantu mereka serta sanggup memberi bantuan tambahan apabila mereka memerlukannya. Perasaan yang muncul daripada persekitaran penyayang merupakan teras kerja berpasukan yang bermotivasi.

Kerja dapat memberi peluang bagi perkembangan rohani dan peribadi, selain kewangan. Jika tidak, kita membuang masa membuat kerja.
- James A. Autry, Love ad Profit : The Art of Caring Leadership

Wallahu a’lam
Bagaimana memotivasikan setiap pekerja
Anne Bruce, 2005

Curahkan hati dan jiwa kepada pasukan anda


Semarak 23
vs pastikan tidak mementingkan emosi

Dalam masyarakat global di mana kita bekerja, kita lebih cenderung mempelajari dahulu tentang operasi perniagaan, kewangan, strategi pemasaran, produksi, khidmat pelanggan dan sebagainya. Ini bermakna kita sebagai pengurus mengabaikan kenyataan bahawa organisasi adalah berkaitan dengan orang dan perhubungan yang dibina semasa bekerjasama.

Orang dan pasukan yang dibina oleh mereka dapat mengubah pekerja individu menjadi komuniti yang bekerjasama bagi mencapai matlamat individu dan matlamat bersama. Oleh sebab pengurus memang mementingkan pekerja, maka keadaan ini memang dapat diwujudkan. Ada ungkapan yang berbunyi : orang tidak peduli apa yang anda tahu, sehingga mereka tahu anda peduli. Mengapa? Apabila anda memperdulikan pekerja, anda membina suasana di mana mereka memperdulikan anda dan sesama mereka. Ini menghidupkan motivasi meeka untuk membuat kerja dengan baik dan menambahbaik diri sendiri.

Jika anda benar-benar memperdulikan pekerja dan menunjukkan sebegitu kepada mereka anda memang memenuhi keperluan asas mereka dari segi keinginan disayangi. Anda memotivasikan hati dan jiwa mereka. Perasaan penenteraman yang istimewaan itu membantu mereka mencapai motivasi yang lebih tinggi untuk bekerja lebih kuat dan bijak.

a) Gerakkan kerja pasukan yang dimotivasikan : Menggerakkan dan bekerjasama dengan orang lain untuk mencapai matlamat ialah dua daripada faktor motivasi paling kuat bagi mencapai kerja mencabar. Gabungkan kedua-dua perkara, maka anda mempunyai potensi bagi pasukan berprestasi tinggi. Buatlah apa-apa yang boleh untuk menunjukkan penghargaan anda terhadap sumbangan pekerja dan bertindaklah sebagai pemimpin yang menggalakkan dan memudahcara kerja berpasukan.

b) Pimpin sepenuh hati : Perkataan encouragement (galakan) mempunyai kata kunci yang berkaitan dengan hati. Apabila anda menggalakkan pekerja, anda sebenarnya menguatkan hati mereka. Anda memimpin degan perasaan. Kepemimpinan yang memotivasikan melibatkan hati, dan pemimpin seperti ini mengambil berat tentang pekerja dan organisasi mereka. Pekerja sudah tentu merespon secara positif kepada sikap ini.

c) Galakkan semangat berpasukan : Pengurus bestari tahu bahawa semangat berpasukan menyatupadukan. Mengubah sebilangan individu menjadi pasukan bermakna memberi penyatuan dan kepentingan serta hala tuju bersama. Sebagai pengurus, anda menentukan suasana . Tindakan dan sikap anda mempengaruhi secara langsung persekitaran kerja pasukan anda. Berikut ialah beberapa cadangan bagi menggalakkan semangat berpasukan :
# Beri pasukan matlamat dan tujuan yang jelas
# Biar pasukan membentuk peraturan sendiri
# Galakan keseronokan dan rasa kelucuan semasa kerja
# Berikan kuasa kepada pekerja untuk membuat keputusan serta tindakan susulan
# Beri sokongan. Buat apa yang anda janjikan
# Biar pasukan mencari penyelesaian tanpa gangguan
# Benarkan ahli pasukan membuat keputusan kewangan dan menyediakan belajawan sendiri
# Bersedia menghadapi kebaikan dan keburukan. Ada fasa projek yang berjalan lebih licin daripada fasa lain
# Biar pasukan menentukan sistem ganjaran

Bersatu ialah permulaan; kekal bersatu ialah kemajuan; kerja bersatu ialah kejayaan
- Henry Ford
Wallahu a’lam

Bagaimana memotivasikan setiap pekerja
Anne Bruce, 2005

Kekalkan pekerja anda


Semarak 22
vs jangan risau tentang pengekalan pekerja

Pengurus, pada asasnya perlu mengekalkan orang yang dapat melestasikan urusannya dalam perniagaan. Adakah  budaya anda merangsangkan dan menggembirakan orang yang datang kerja? Adakah semua pekerja dilayan dengan baik? Adakah kerja mereka mempunyai tujuan bermakna? Adalah penting kita mengekalkan pekerja terbaik kita. Memang semua orang ingin bekerja dan kekal di tempat yang mementingkan budaya penyayang dan hormat menghormati.

Apabila anda melabur dalam tenaga kerja, anda mencipta aset yang bernilai dan anda tentulah ingin mengekalkan mereka dan memastikan mereka berasa dimotivasikan. Jadi apakah yang sudah kita ketahui tentang motivasi? Penyelidikan dan tinjauan menunjukkan berkali-kali bahawa pekerja tidak mementingkan wang, gelaran atau nilai pemegang saham semata-mata. Malahan mungkin anda tidak mempunyai kuasa untuk mengawal perkara tersebut. Motivasi tertakluk kepada membina persekitaran di mana orang ingin bekerja dan bersedia melakukan apa-apa sahaja supaya diambil bekerja dan kekal di situ.

Pengurus yang memahami perkara ini berusaha ke arah membina nama baik dalam organisasi yang menyatakan : Semua orang ingin bekerja di sini. The men’s Wearhouse merupakan contoh baik pengekalan pekerja yang tinggi. Pekerja baru meluangkan lebih kurang empat hari di salah satu daripada 30 sesi yang diadakan setiap tahun di universiti korporat. Kos yang ditanggung oleh syarikat? Sejuta sahaja. Pulangan pelaburan? Pusingan ganti yang lebih rendah berbanding dengan saingan dalam industri. Selain itu, semua pengurus tahu bahawa proses mendapatkan pekerja amat rumit, mengambil masa dan penuh dengan ketidaktentuan. Kurangkan keadaan itu dengan mengekalkan orang yang sedia ada. Berikut ialah petua dan idea tambahan yang perlu anda ingat bagi memotivasikan dan mengekalkan pekerja anda yang berbakat :

a) Pastikan apa yang mengekalkan orang yang mengekalkan perniagaan anda : Pada asasnya, bina persekitaran yang sesuai bagi pekerja – budaya yang sesuai – seperti di Google, satu daripada enjin carian web yang paling berjaya dan kian bertumbuh. Di sini, pekerja bermain hoki roda dalam waktu kerja, membawa anjing ke pejabat dan makan tengah hari serta makan malam percuma di kafe syarikat. Hasilnya? Mereka bekerja hingga lewat dan sayang akan kerja mereka.

b) Pastikan sebab mengapa pekerja kekal : Bukan kerana wang. Pekerja terbaik ingin bekerja di persekitaran yang menggembirakan dan progresif di mana mereka berasa dihargai dan dihormati. Kewangan kurang penting.

c) Biarlah nilai dan sikap menjadi panduan : Apa yang diketahui oleh seseorang tidak sepenting siapa sebenarnya dia. Organisasi seperti Nordstrom, Rosenbluth International, Nucor Steel dan JetBlue percaya bahawa organisasi berjaya adalah yang berdasarkan pencarian orang dengan set minda, nilai dan sikap, bukan pengalaman semata-mata. Mengambil orang yang anda mahu kekalkan ialah langkah penting ke arah membina budaya yang mendorong orang untuk ingin bersama terus menerus.

Dapatkan orang anda setiap hari, sungguhpun kru anda sudah naik kapal
- Mike Abrashoff, Pengasas Grassroots Leadership LLC, Boston MA

Wallahu a’lam

Bagaimana memotivasikan setiap pekerja
Anne Bruce, 2005

Selawat 76


Ya Allah kurniakanlah selawat, salam dan keberkatanMu ke atas saidina Muhammad,  yang hati baginda itu telah Engkau penuhi dengan kebesaranMu, Kau penuhi mata baginda dengan keindahanMu lalu baginda itu gembira, bahagia dan terbantu dan ke atas keluarga dan para sahabat baginda dengan salam yang sempurna. Dan segala puji bagi Allah atas yang demikian itu.

Sheikh Dr Mahmud Al Maghlani

Sunday, April 28, 2013

Serang terus-menerus penghalang motivasi


Semarak 21
vs abaikan penghalang motivasi

Sebagai pengurus, anda secara langsung atau tidak mempengaruhi keyakinan diri, keinginan, kepentingan jangka-panjang pekerja dan kebolehan menyukai kerja sara hidup mereka. Oleh itu, setiap pengurus merasakan tekanan untuk melaksanakannya dengan tepat:

Buku ini penuh dengan petua dan garis panduan untuk membantu anda mempengatuhi dengan positif motivasi pekerja. Akan tetapi kita patut menyedari juga bahawa kita hidup pada zaman yang mendesak dan semakin negatif. Walau bagaimanapun anda, sebagai pengurus menyokong. Memotivasikan atau menggalakkan, anda masih sentiasa menghadapi keadaan yang mempengaruhi motivasi pekerja secara negatif.

Jadi, bagaimanakah  anda sebagai pemimpin dapat membina dan melestasikan harapan dalam keadaan yang sentiasa cuba menghalang motivasi? Senang sahaja. Anda menyerang penghalang motivasi secara terus menerus. Tumpukan tenaga anda terhadap apa yang dapat anda buat, bukan terhadap keadaan yang menghalang motivasi lalu menambah kesan buruk. Jika anda berbuat gegini, anda lebih berupaya memerangi maut dan kekelaman dan menghadapi kesusahan yang mempengaruhi secara negatif motivasi pekerja anda.

Ingatilah bahawa penghalang motivasi adalah faktor yang memecah gelembung motivasi. Penghalang motivasi berbentuk peristiwa, keputusan pengurusan, kekecewaan, kekurangan pujian dan ganjaran dan sebagainya. Memberi perhatian kepada sebab mengapa pekerja anda berasa kecewa dapat membantu anda menyerang dan mengawal penghalang motivasi. Terdapat tiga bidang khusus yang perlu anda sedari bagi membina kekuatan organisasi supaya pekerja anda lebih yakin menangani penghalang motivasi.

a) Ambil pekerja yang paling sesuai : Cara terbaik untuk menghadapi penghalang motivasi adalah dengan mencegahnya dan kadangkala masalahnya pada orang yang diambil bekerja. Ada orang yang mudah hilang pertimbangan, sekiranya tidak tentu dapat mengubah isu psikologi seseorang, lebih baiklah kita jangan mengambil pekerja seperti ini. Luangkan masa untuk menyaring keluar calon yang mungkin akan menghidap masalah motivasi.

 b) Kekalkan pekerja terbaik dengan membina persekitaran yang banyak memberi maklum balas dan membina keyakinan : Kehilangan orang yang baik sudah tentu merupakan penghalang motivasi. Untuk mencegah daripada berlakunya penghalang motivasi, berilah maklum balas yang tepat dan jujur serta pujian kepada pekerja anda. Maklum balas memperkukuh pekerja dan membina keyakinan, kalaupun berbentuk pembetulan. Minta pekerja memberitahu cara mereka ingin menerima maklum balas daripada anda. Anda akan dapat membina asas yang membantu mencegah kejutan dan mengurangkan ketidakselesaan akibat penghalang motivasi. Dengan mencipta persekitaran yang kaya dengan maklum balas dan pujian jujur, pengurus menggalakkan kerjasama dan kepercayaan pekerja serta tahap prestasi dan produktiviti yang lebih tinggi.

c) Sentiasa lindungi kewibawaan dan harga diri orang lain : Satu daripada penghalang motivasi yang paling teruk ialah apabila kewibawaan pekerja terjejas. Binalah persekitaran yang menggalakan pekerja menghargai satu sama lain. Beberapa petua untuk berbuat demikan : jangan kritik pekerja di hadapan orang lain, beri maklum balas pembetulan secara peribadi; jangan tuduh menuduh di khalayak ramai – ini amat merendahkan martabat dan langsung tidak profesional; jangan gunakan nada suara yang merendahkan maruah orang lain; jangan buat serangan peribadi; beri tumpuan kepada tingkah laku dan prestasi profesional sahaja dan akhirnya, jika anda mengharapkan orang lain menghormati kewibawaan anda, pastikan anda juga memberi penghormatan yang sama.

Ada satu cara sahaja untuk mengenali betapa kuatnya motivasi pekerja di syarikat anda – tanyalah orang yang bekerja di sana. Jika penghalang motivasi sedang meresap masuk, sudah tiba masanya untuk memusnahkan segala penghalang motivasi dengan serta-merta!

Wallahu a’lam

Bagaimana memotivasikan setiap pekerja
Anne Bruce, 2005

Gunakan keseronokan untuk memotivasikan


Semarak 20
vs keseronokan tidak patut wujud di tempat kerja

Data sudah diterima dan dapatan adalah jelas! Terdapat hubungkaitan langsung antara keseronokan semasa kerja dan produktiviti, kreativiti, semangat, kepuasa, kebolehan ingat-kembali, dan keuntungan – termasuk kepuasan pelanggan yang lebih tinggi dan banyak lagi faedah. Misalnya keseronokan semasa kerja membantu meredakan stres dan tekanan, membaik komunikasi, mengurangkan konflik, menyatukan orang, menghapuskan kebosanan dan keletihan serta membina banyak tenaga positif!

Dalam kata lain, orang yang bekerja di tempat kerja yang menggembirakan dan penuh keseronokan memandang kerja mereka sebagai tempat memenuhi pelbagai keperluan dan memperkukuh motivasi mereka untuk bekerja pada tahap yang lebih tinggi.

Anda memang boleh melatih orang untuk membuat apa-apa sahaja. Akan tetapi kunci kepada kejayaan sejati dan kepimpinan tenaga kerja yang bermotivasi ialah orang yang benar-benar ingin membuat kerja dan suka datang kerja. Orang ini menceriakan tempat kerja dan menyegarkan rakan sekerja. Jika anda rasa bersedia memandang kehidupan dengan tidak terlalu serius dan mula menikmati manfaat tempat kerja yang lebih seronok serta gembira, pertimbangkan yang berikut :

a) Galakkan asas keseronokan dalam motivasi : Katakan anda yakin tentang baiknya bersikap tidak terlalu serius dan membina tempat kerja yang seronok serta lebih gembira – bagus sekali! Bagaimana jika anda tidak tahu apa yang hendak dibuat? Berikut ialah beberapa petua untuk membina asas keseronokan dalam motivasi di tempat anda bekerja:

# Ketawa bersama orang, jangan ketawakan mereka
# Jangan serius sangat. Jangan pandang diri sendiri terlalu serius
# Berfikir dengan semangat kelucuan.
# Amalkan sikap seronok dan jenaka
# Rancangkan masa seronok setiap hari
# Bantu orang lain memandang aspek yang tidak serius

Perlukah bantuan lagi? Bacalah 301 Cara untuk Mencapai Keseronokan di Tempat Kerja oleh Dave Hemsath dan Leslie Yerkes, sera Get Weird! Oleh John Putzier.

b) Kenali hubungkaitan antara keseronokan dan tujuan asas syarikat : Adakah anda ingin mengurangkan ponteng, menambah kepuasan kerja, merangsangkan prestasi pekerja, menambah produktiviti dan mengurangkan masa downtime. Dengan menggalakkan persekitaran kerja yang seronok, anda akan mendapat manfaat yang tersebut di atas. Luangkan masa untuk mengkaji organisasi yang paling seronok di dunia. Berikut ialah beberapa syarikat seronok yang anda boleh dikaji. Rock and Roll Hall of Fame and Museum (Cleveland, Ohio), Virgin Management Limited, Southwest Airlines, Disney, dan Ben & Jerry’s. Pertimbangkan petua ini juga : tinjauan dekan fakulti pengurusan dan eksekutif perniagaan menunjukkan bahawa kelucuan memainkan peranan penting dalam operasi perniagaan yang sihat dan bderjaya.

c) Kenali kuasa keseronokan : Keseronokan, ketawa, kelucuan – semua ini menyegarkan. Keseronokan menyatukan kita dengan orang lain yang berasa seronok. Keseronokan menyebabkan kita tidak berasa terpencil atau terabai. Apabila kita sama-sama ketawa, kita menikmati ketawa itu, tetapi kita juga menikmati perkongsian ketawa. Keseronokan memotivasikan melalui rasa gembira yang dibina. Oleh itu, apabila pekerja berasa kurang seronok, tertekan, letih atau tiada keinginan bekerja sedaya upaya mereka, gelak ketawa dapat mengubah situasi.

Saya hanya memerlukan keseronokan. Saya rasa bukan saya seorang yang inginkan begitu.
- Sheryl Crow, penyanyi

Wallahu a’lam

Bagaimana memotivasikan setiap pekerja
Anne Bruce, 2005

Rangsangkan semangat


Semarak 19
vs semangat di luar kawalan anda

Semangat adalah berkaitan dengan keghairahan dan komitmen yang dibawa orang kepada kerja mereka setiap hari. Semangat mempengaruhi motivasi kerja. Semangat rendah – motivasi rendah. Semangat tinggi – mitivasi tinggi. Mungkin tidak begitu mudah  tetapi terdapat hubungkaitan langsung antara semangat dan motivasi.

Setiap organisasi bergantung kepada hubungan antara ahlinya. Tempat kerja semangat tinggi perlu dibina atas konsep kepercayaan dan intergriti. Akan tetapi, masih tidak mencukupi jika hanya anda percaya kepada pekerja. Mereka perlu percaya kepada anda. Pekerja perlu mengalami kepercayaan itu setiap hari semasa bekerja. Hampir semua pekerja ingin membalas kepercayaan itu dengan menjaga kepentingan anda dan kepentingan organisasi.

Ingatlah bahawa pekerja anda adalah sumber terunggul dan paling berharga. Anda mungkin mengupah mereka kerana kebolehan mereka, tetapi  prestasi yang lebih tinggi bergantung kepada sikap mereka. Semakin banyak yang dapat anda buat untuk membina tempat kerja bersemangat tingi, sambil memupuk kepercayaan di kalangan pekerja, semakin tinggilah tahap motivasi mereka. Marilah kita meninjau beberapa cara untuk melakukan sedemikian dalam organisasi anda :

a) Lakukan apa yang anda janji akan lakukan : Kurangkan janji dan tambah penunaian janji. Kerpercayaan dibina apabila kata-kata selaras dengan tindakan. Niat baik tidak mencukupi. Beritahu pekerja bahawa anda mengambil berat, dan padankan kata-kata itu dengan tindakan yang menunjukkan perkara itu setiap hari. Semangat tinggi akan menyusul.

b) Biarlah integriti menjadi bentuk kecerdasan tertinggi dalam organisasi anda : Integriti dihuraikan oleh segelintir sebagai kecerdasan tertinggi manusia. Integriti bukan sahaja perkembangan kejujuran dan kebolehpercayaan manusia, tetapi merupakan apa yang tertinggal apabila kita buang semua kelayakan dan nama baik kita. Integriti merupakan gentian moral dan suara hati kita, kepercayaan dan nilai utama kita.  

c) Bersifat jujur dan tunjukkan sifat kemanusiaan anda : Percayakah anda apa yang ingin disampaikan kepada orang lain?. Adakah anda bersifat benar? Adakah anda memimpin melalui teladan dengan membuat perkara yang betul mengikut nilai anda? Anda bukan pengurus yang baik jika anda bertindak secara tidak konsisten dengan diri dalaman dan kepercayaan anda. Bersifat jujur dengan orang lain dan jangan takut menunjukkan sifat kemanusiaan anda. Memang OK untuk berkongsi kesilapan, harapan, dan cita-cita anda. Bersifat benar dan terus terang. Pekerja akan menghormati dan menghargai kejujuran dan sifat kemanusiaan anda – dua lagi ciri tempat kerja bersemangat tinggi.

Kita perlu buat lebih daripada membuat perkara dengan betul – kita perlu juga buat perkara yang betul
- petikan daripada Nilai kita, Pfizer Pharmaceutical

Wallahu a’lam

Bagaimana memotivasikan setiap pekerja
Anne Bruce, 2005

Soalan Lazim MMI ( 4 )


Akademik :

24. Pelaksanaan MMI hanya mementingkan akademik dan tidak mementingkan aspek-aspek lain.

MMI tidak meminggirkan mana-mana elemen yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu melahirkan insan yang cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

25. Adakah MMI ini menghalang murid untuk menyertai aktiviti lawatan sambil belajar pada waktu persekolahan?

Murid masih boleh terlibat dalam aktiviti luar pada waktu persekolahan selagi berlakunya proses PdP dan mematuhi SP yang sedia ada (SPI Bil. 10/2011)

26. Bagaimanakah sumbangan Guru Cemerlang di sekolah-sekolah lain dalam memastikan keberkesanan MMI.

Pendekatan PdP yang berkesan yang dilaksanakan oleh GC perlu dikongsikan dengan guru-guru lain bagi mengoptimumkan keberhasilan pembelajaran murid.

27. Bolehkah saya melaksanakan aktiviti PdP di luar bilik darjah?

Boleh, selagi keberhasilan pembelajaran murid dicapai dan perlu mendapat  kebenaran pihak pemimpin sekolah.

FAQ MMI
Melindungi Masa Instruksional
Kembali Kepada Yang Asas
Pemimpin Instruksional, Guru Mengajar Murid Belajar
Apr 2013

Selawat 75



Ya Allah kurniakanlah selawat, salam dan keberkatanMu ke atas saidina Muhammad,  yang mendahului segala makhluk pada cahayanya, yang baginda itu ialah rahmat kepada semesta alam dengan kezahirannya, sebanyak segala bilangan makhluk yang telah berlalu dan yang masih kekal dan yang bahagia daripada makhukMu itu dan yang celaka. Selawat yang meliputi seluruh bilangan dan yang meliputi segala had, selawat yang tiada hujungnya, tiada habisnya, tiada selesainya, selawat yang sentiasa kekal dengan kekekalanMu. Berserta ahli keluarga dan para sahabat baginda dengan salam yang sempurna demikian juga.

Sheikh Dr Mahmud Al Maghlani

Saturday, April 27, 2013

Bahaya murtad


Permata 28

Daripada Zaid bin Aslam ra bahawa rasulullaah saw bersabda : Siapa yang menukar agamanya, maka hendaklah pancung lehernya. (Riwayat Malik dalam al-Muwatta’)

Mutiara hikmah :
 
a) Muhammad Iqbal berkata : Agama adalah kekuatan yang paling penting dalam kehidupan individu dan negara.

b) Agama dan pengalaman merupakan dua sendi hidup manusia yang sama-sama dipakai dan sama-sama dipelihara.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Derita hidup meminta


Permata 27

Daripada Abdullah bin Umar ra berkata bahawa rasulullah saw bersabda : Sentiasalah seseorang yang meminta-minta dari manusia sehingga dia datang pada Hari Kiamat dalam keadaan tiada bagi wajahnya secebis daging. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Mutiara hikmah :

a) Jangan bimbang menghadapi segala penderitaan kerana makin dekat tercapainya cita-cita makin banyak penderitaan yang kita alami.

b) Hadapilah segala penderitaan dengan penuh tawakal dan kecekalan, penderitaan itu mungkin akan menguntungkan apabila tiba saatnya. Oleh itu terimalah segala penderitaan dan tahanlah segala hawa nafsu.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Soalan Lazim MMI ( 3 )


Hal Ehwal Murid :

20. Pelaksanaan MMI menyebabkan murid tidak boleh menyertai aktiviti kokurikulum dan sukan?

MMI tidak menghalang murid untuk menyertai mana-mana aktiviti di atas. KPM menyarankan agar pemimpin sekolah dan guru terlibat mengurus masa murid berkenaan bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu.

21. Pelaksanaan MMI menyebabkan sekolah tidak boleh mengadakan sebarang bentuk perayaan seperti Sambutan Hari Guru, Sambutan Hari Kanak-kanak, Sambutan Hari Lahir, Hari Kantin dan sambutan keagamaan

MMI tidak menghalang pihak sekolah mengadakan aktiviti di atas. Walaupun demikian, sekolah perlu merancang dengan teliti supaya keberkesanan pembelajaran murid tidak terabai.

22. Pelaksanaan MMI telah menyebabkan guru tidak boleh menyertai aktiviti luar seperti aktiviti persatuan dan sukan?

Guru-guru masih boleh terlibat dengan aktiviti luar setelah memastikan PdP di kelas yang ditinggalkan dapat dilaksanakan sama ada secara modul, guru ganti atau lelongan jadual dan apa-apa pendekatan yang sesuai.

23. Adakah mendapat perkhidmatan kaunseling pada masa persekolahan dianggap sebagai sebahagian daripada proses PdP?

Ya. Unit kaunseling perlu merancang pertemuan dengan klien supaya tidak menganggu masa instruksional murid kecuali kes-kes yang memerlukan tindakan segera.

FAQ MMI
Melindungi Masa Instruksional
Kembali Kepada Yang Asas
Pemimpin Instruksional, Guru Mengajar Murid Belajar
Apr 2013

Selawat 74




Ya Allah kurniakanlah selawat, salam dan keberkatanMu ke atas saidina Muhammad dan ahli keluarga saidina Muhammad , selawat keredaan dan redailah ke atas para sahabat baginda keredaan di dalam reda.

Sheikh Dr Mahmud Al Maghlani

Friday, April 26, 2013

Nilai harta


Permata 26

Daripada Hakim bin Hizam ra berkata : Aku meminta daripada rasulullah saw, kemudian diberikan kepadaku. Selepas itu aku memintanya, kemudian diberikan kepadaku. Seterusnya aku memintanya dan diberikan juga kepadaku. Kemudian sabda baginda : Hai Hakim, sesungguhnya harta itu hijau dan manis. Maka siapa yang mengambilnya dengan jiwa yang besar dan lapang nescaya diberkatkan baginya, sebaliknya siapa yang mengambil dengan jiwa yang tamak nescaya tidak diberkatkannya dan adalah ia seumpama yang makan tetapi tidak kenyang dan tangan yang di atas (memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (menerima). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mutiara hikmah
 
a) Fudhail bin Iyadh berkata : Semua kejahatan dihimpunkan dalam satu tempat dan kuncinya ialah cintakan dunia. Begitu juga semua kebaikan dihimpunkan dalam satu tempat dan kuncinya ialah zuhud di dunia.

b) Zuhud di dunia akan menenangkan hati dan badan, sedangkan rasa gemar kepada dunia pula akan memperbanyakkan masalah dan dukacita.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Luasnya erti sedekah


Permata 25

Daripada Abi Burdah daripada ayahnya bahawa nabi saw bersabda : Atas setiap orang Islam perlu sedekah. Mereka bertanya : Hai Nabi Allah, maka siapa yang tiada? Sabda nabi saw : Hendaklah dia beramal dengan usahanya, lantas ia dapat manfaat bagi dirinya dan bersedekah. Mereka bertanya lagi : Jika tidak mampu? Jawab nabi saw : Hendaklah beri pertolongan kepada yang amat memerlukan. Mereka bertanya : Jika tidak mampu : Jawab baginda: Maka hendaklah dia beramal dengan makruf dan  menahan daripada kejahatan kerana baginya sedekah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Mutiara hikmah :

a) Jangan menyangka anda diberi segalanya, tetapi yang diberikan kepadamu adalah kebaikan yang banyak. Harapan bahawa anda boleh menerima semua anugerah adalah harapan yang terlalu jauh.

b) Sufyan al-Thauri berkata : Dua jenis nikmat jika kamu diberi kedua-duanya maka bersyukurlah kepada Allah. Pertama, jauh dari pintu raja dan kedua jauh dari pintu doktor.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Soalan Lazim MMI ( 2 )


Umum  (sambungan)

11. KPM amat menggalakkan perkongsian dengan pihak luar. Sekiranya agensi tersebut ingin melaksanakan program dan aktiviti pada waktu persekolahan apakah tindakan yang perlu diambil oleh pihak sekolah?

Pemimpin sekolah perlu mengadakan perbincangan dengan mana-mana agensi yang berhasrat mengadakan program dan aktiviti pada waktu persekolahan dan menjelaskan tentang pelaksanaan MMI. Pihak sekolah perlu menghubungi Unit Perhubungan JPN bagi mendapatkan kebenaran untuk melaksanakan aktiviti berkenaan.

12. Adakah saya perlu menghadiri mesyuarat, bengkel, seminar, kursus atau aktiviti luar jika menerima surat arahan daripada KPM, JPN dan PPD?

Pengetua dan Guru Besar perlu memberi pertimbangan atas kewajaran guru-guru ini terlibat dalam aktiviti dan program yang diarahkan. Sekiranya guru menghadiri aktiviti di atas maka guru perlu menyediakan bahan PdP yang sesuai selama ketiadaanya di sekolah.

13. Sebagai Pengetua / Guru Besar, adakah saya berhak untuk tidak membenarkan guru-guru saya untuk menyertai aktiviti/ program luar jika menerima surat arahan KPM/JPN/PPD?

Sebagai Pengetua atau Guru Besar instruksional, pemimpin sekolah perlu memberikan kerjasama dan komitmen kepada KPM, JPN dan PPD dalam menjayakan segala program demi meningkatkan profesionalisme guru dan membangunkan modal insan murid

14. Sekiranya saya tidak dapat melaksanakan PdP atas urusan rasmi, bolehkah saya menggantikan waktu tersebut di luar waktu persekolahan?.

Perlu mendapatkan persetujuan daripada pemimpin sekolah.

15. Saya telah diarahkan menjalankan tugas rasmi, adakah perlu saya mengganti waktu yang telah tertinggal tersebut?

Perlu mendapatkan persetujuan daripada pemimpin sekolah.

16. Bolehkah program kokurikulum diadakan pada waktu persekolahan sama ada di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan?

Program yang dijalankan pada waktu persekolahan perlu mendapat kebenaran bertulis sama ada daripada pihak PPD, JPN atau KPM.

17. Bolehkah guru meninggalkan bilik darjah bagi membuat persiapan acara peringkat Daerah / Negeri / Kebangsaan yang dikelolakan oleh sekolahnya?

Boleh, guru yang terlibat perlu memastikan PdP bagi kelas yang ditinggalkan dapat berjalan seperti biasa.

18. Adakah bertugas sebagai Pengawas Peperiksaan Awam menjejaskan keberkesanan MMI?

Tidak

19. Adakah pihak Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di sekolah terlibat dalam pelaksanaan MMI?. Contohnya pembantu makmal.

Semua pihak di sekolah memainkan peranan dalam pelaksanaan MMI.

FAQ MMI
Melindungi Masa Instruksional
Kembali Kepada Yang Asas
Pemimpin Instruksional, Guru Mengajar Murid Belajar

Soalan Lazim MMI ( 1 )


Umum :

1. Apakah yang dimaksudkan dengan MMI?

MMI ialah singkatan daripada tiga rangkai kata, iaitu Melindungi Masa Instruksional. Masa Instruksional ialah masa sebenar yang digunakan untuk pelaksanaan PdP yang berkesan tanpa sebarang gangguan.

2. Adakah MMI satu dasar baharu?

MMI bukan dasar tetapi merupakan amalan dalam kepimpinan instruksional. MMI bukan satu dasar baharu KPM. MMI sememangnya telah menjadi amalan warga pendidik sejak sistem pendidikan negara dibangunkan, iaitu penekanan konsep guru mengajar dan murid belajar. Oleh yang demikian, MMI diberikan jenama baharu dan diberikan penekanan semula oleh pihak KPM.

3. Apakah perlu MMI di sekolah?

MMI sangat perlu dilaksanakan di sekolah bagi memastikan peningkatan keberkesanan pembelajaran murid berteras konsep Guru Mengajar dan Murid Belajar.

4. Siapakah yang berperanan untuk melaksanakan MMI?

Semua Bahagian KPM, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah terlibat dalam pelaksanaan MMI.

5. Apakah faedah MMI kepada murid?

Murid akan mendapat masa pembelajaran yang maksimum jika MMI dilaksanakan dengan berkesan di sekolah. Manakala guru yang menghayati MMI akan berupaya meningkatkan keberkesanan pembelajaran murid.

6. Siapakah urus setia MMI?

Peringkat sekolah  - GPK Pentadbiran
Peringkat PPD – Pegawai Meja yang dilantik
Peringkat JPN – Pegawai Meja yang dilantik
Peringkat KPM – Sektor Operasi Pendidikan (SOP) KPM
Pimpinan sekolah

7. Perlukah JK ditubuhkan bagi melaksanakan MMI?

JK baharu tidak perlu ditubuhkan, MMI boleh dibincangkan dalam JK Kurikulum.

8. Betulkah guru-guru tidak boleh keluar mengiringi murid untuk menyertai sebarang aktiviti dan program yang diadakan di luar sekolah?

MMI tidak menghalang guru untuk terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan aktiviti lain selepas mendapat kebenaran daripada pemimpin sekolah.

9. Saya merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah yang aktif. Saya telah menerima tawaran untuk melakukan aktiviti sukarelawan membantu mangsa yang cedera semasa negara ditimpa bencana. Adakah pihak pemimpin sekolah akan memberikan kebenaran kepada saya untuk menyertai aktiviti tersebut?

Pemimpin sekolah sepatutnya membuat pertimbangan berdasarkan keperluan dan keutamaan peranan guru berkenaan. Sekiranya tiada halangan guru berkenaan boleh menyertai aktiviti tersebut. Walau bagaimanapun, guru perlu menyediakan bahan PdP untuk murid-murid sepanjang ketiadaannya di sekolah.

10. Adakah MMI akan membebankan pihak sekolah dan guru kerana perlu menyediakan pelbagai bentuk laporan?

MMI tidak akan membebankan pihak sekolah dan guru. Ini kerana KPM sentiasa berusaha melaksanakan penambahbaikan pelaksanaan MMI agar tidak membebankan mana-mana pihak. Oleh itu, garis panduan berkaitan pelaksanaan MMI disediakan oleh KPM bagi membantu semua pihak melaksanakan MMI dengan berkesan.

FAQ MMI
Melindungi Masa Instruksional
Kembali Kepada Yang Asas
Pemimpin Instruksional, Guru Mengajar Murid Belajar
Apr 2013

Selawat 73



Ya Allah kurniakanlah selawat, salam dan keberkatanMu ke atas saidina Muhammad,  kekasih Tuhan Yang Maha Rahman, penghulu alam buana yang hadir bersama dengan tiap mereka yang berselawat ke atas baginda di tiap masa dan tempat dan ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda dan pengikut baginda dengan ehsan

Sheikh Dr Mahmud Al Maghlani


Thursday, April 25, 2013

Perempuan bersedekah


Permata 24

Daripada Aisyah katanya : Rasulullah saw bersabda: Apabila seorang isteri bersedekah daripada makanan rumahnya tanpa merosakkannya maka baginya pahala dengan apa yang dinafkahkan dan bagi suaminya pahala dengan apa yang diusahakan. Dan bagi penjaga seumpama itu tidak kurang sebahagian mereka pahala sebahagian yang lain sesuatu pun. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Mutiara hikmah :

a) Siapa yang tangannya selalu menadah sedekah sahaja, akhirnya menjadi pemeras ataupun menjemukan sesamanya.

b) Rasulullah saw bersabda : Sedekah yang paling baik adalah memberi makan kepada orang yang berada di dalam kesusahan dan kelaparan.

Wallahu a’lam

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Bahana hasad dengki


Permata 23

Daripada Ibn Mas’ud ra berkata : Aku mendengar nabi saw bersabda: Tidak boleh berhasad kecuali dalam dua perkara : Lelaki yang dikurniakan Allah dengan harta, kemudian digunakannya dalam kebenaran dan lelaki yang dikurniakan Allah dengan hikmah (ilmu pengetahuan) kemudian dia berhukum dengannya dan mengajar kepada manusia. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mutiara Hikmah :

a) Hasad yang ada dalam hati lebih menyeksa empunya diri daripada orang yang dihasad. Ia umpama api yang membakar. Sebelum dia membakar orang lain, orang yang hasad akan membakar dirinya terlebih dahulu.

b) Orang yang menanamkan kedengkian sudah pasti akan memetik kedukaan  yang berpanjangan.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri 

Bola Sepak Piala Dunia dan Olimpik


Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, Hope Solo (HS)  menjadi antara pemain paling dikenali dalam bolasepak wanita. Dianggap sebagai penjaga gol wanita terbaik dalam generasinya, wanita berusia 31 tahun itu turut menikmati tempias selebriti sebagai pemain berpengaruh dalam pasukan wanita Amerika Syarikat.

S : Anda pernah berkata 2012 adalah untuk memenangi pingat emas. Pastinya anda bangga dengan pencapaian anda dan pasukan AS.

HS : Itu adalah matlamat utama kami pada 2012. Bukan sukar untuk merealisasikan matlamat itu. sebagai atlet dan pemain bolasepak hanya ada dua kejohanan iaitu Piala Dunia dan Olimpik.

Kami tidak menang Piala Dunia pada tahun 2011 jadi kami bangkit pada tahun berikutnya, membentuk semula pasukan dan memastikan kami berdiri di puncak podium dan itulah yang kami lakukan.

S : Apa yang istimewa mengenai pasukan Olimpik AS?

HS : Pasukan Piala Dunia 2011 sungguh istimewa dan pasukan Olimpik 2012 juga dibarisi pemain yang hampir sama. Perbezaannya adalah apa yang kami belajar dalam tempoh setahun.

Paling penting bagaimana untuk menamatkan perlawanan. Kami menentang Jepun pada perlawanan akhir buat kali kedua dan kali ini kami menang kerana kami tahu bagaimana untuk menanganinya.

S : Ramai yang masih ingat kempen Olimpik anda kerana perlawanan separuh akhir yang dramatik menentang Kanada. Apa kenangan paling manis dalam kejohanan itu.

HS : Ia satu kejohanan yang pelik bagi seorang penjaga gol. Saya tidak diminta untuk melakukan banyak perkara hinggalah ke final.

Saya rasakan sebagai pemain veteran dalam pasukan ini, saya perlu menunggu peluang. Menanti untuk melakukan sesuatu dalam perlawanan. Secara peribadinya saya tidak boleh melakukan sesuatu untuk membantu pasukan sehinggalah perlawanan akhir menentang Jepun.

Ia menguji kesabaran dan kematangan saya sebagai seorang penjaga gol, menyedari yang anda tidak boleh memberi impak dalam setiap perlawanan. Saya fikir detik paling penting adalah ketika wisel terakhir dibunyikan. Ia menghimpunkan usaha saya dan pasukan dan sokongan orang ramai. Rakan sepasukan menangis tetapi saya tersenyum hingga sebulan lamanya....

S : Pia Sundhage meninggalkan pasukan AS pada akhir 2012. Apa pengaruh yang diberikan terhadap karier  anda dan sumbangannya terhadap pembangunan jati diri?

HS : Pia adalah pemimpin sejati ketika beliau mula membimbing pasukan kami. Pasukan kami kucar-kacir, kami berbeza pandangan, matlamat dan gaya permainan kami juga berbeza. Beliau datang dan menyatukan kami. Apa yang paling sukar dilakukan jurulatih adalah menguruskan personaliti yang pelbagai. Ramai jurulatih yang tahu mengenai taktik, bagaimana mengendalikan sesi latihan tetapi apabila berhadapan personaliti seperti Abby Wambach adalah sesuatu yang sukar. Pia berkata : Semua orang ada perbezaan. Kita letak semuanya ke tepi dan kita mempunyai satu matlamat. Tidak kira apa yang anda lakukan di luar padang, kita sepakat di padang, berusaha untuk menang kejohanan dan pingat. Kami dengar apa yang diperkatakannya.

Wallahu a’lam.

Harian Metro
25 Apr 2013

Selawat 72



Ya Allah kurniakanlah selawat, salam dan keberkatanMu ke atas saidina Muhammad,  selawat seorang abdi, yang sedikit helahnya, Engkaulah tuanku, ya saidi ya rasulullah sebagai wasilah. Lalu ia berdoa kepada Tuhannya, aku tewas  maka tolonglah aku Tuhan.

Sheikh Dr Mahmud Al Maghlani

Tuesday, April 23, 2013

Peringatan dan larangan


Permata 22

Daripada al-Barra’ bin Azib berkata : Nabi saw menyuruh kami dengan tujuh perkara dan menegah kami dengan bilangan yang sama. Ia menyuruh kami mengiringi jenazah dan menziarahi orang yang sakit, menghadiri kenduri jika dijemput, menolong orang yang dizalimi, menepati sumpah, menjawab salam, mendoakan orang yang bersin. Melarang kami daripada menggunakan bejana atau bekas perak, lapik pelana sutera dan cincin emas, sutera halus dan kasar, kain yang bercampur sutera dan bersulam benang emas. (Riwayat al-Bukhari)

Mutiara hikmah :

a) Imam al-Syafie memberi wasiat : Apabila salah seorang di antara kaum kerabat dan jiran saudaramu sakit, hendaklah kamu meringankan langkah untuk menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dicintai Allah.

b) Berbuat kebaikan dan berbaktilah kepada orang lain. Jangan diam menyendiri kerana menyendiri merupakan sumber kesengsaraan. Semua bentuk keperitan, kesedihan dan kedukaan itu akan lenyap ketika anda berkumpul bersama keluarga dan orang ramai dan melakukan kebajikan untuk mereka. Bahkan disokong bahawa melakukan kebajikan sekali dalam dua minggu boleh menjadi ubat kedukaan.

Wallahu a’lam.

Al-Lu’lu Lil Mukminin Jld 2
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri