Saturday, November 29, 2014

Hari Qiamat


Pelajaran ke-41

Diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib ra, bahwa rasulullah saw bersabda: Akan tiba suatu masa di mana tiada tersisa dari Islam kecuali namanya, dari agama kecuali bayangannya (upacaranya), dari Quran kecuali darusannya. Masjid-masjid dibangun tetapi kosong dari zikir dan sebutan nama Allah. Yang paling jahat pada zaman itu, ialah para ulama’nya. Dari mereka fitnah timbul dan kepada mereka fitnah kembali. Itu semua adalah tanda-tanda Qiamat.
(Zubdatul-Wa’idhin)

Wallahu ’alam

H.Salim Bahreisy
Bekal Juru Da’wah Jilid 2
Surabaya, 1977


Pahala

Renungan 20

Kadang-kadang Allah menghantar orang yang kita tidak gemar sikap dan tingkah laku mereka yang sering menyakitkan hati. Namun kalau kita menganggap ini adalah ujian Allah untuk memberi pahala kepada kita, maka kita akan hadapi mereka dengan situasi yang tenang. Dalam al-Quran ada menyebut, perkara yang kita benci itu kadang-kadang ianya memberi kebaikan kepada kita. Yang penting adalah kebijaksanaan cara kita berhadapan dengan situasi tersebut.

Wallahu a’lam.

Ya Allah
Hjh Maimunah Hj Mohamad
& Dr Noor Azniza Ishak, ms 130
2008

Berkata-katalah

Berkata-katalah
kerana
manusia harus berkisah.

Berkata-katalah
kerana
kita harus berhujah.

Berkata-katalah
kerana
tukang cerita harus mengolah.


Berkata-katalah
kerana
bahasa meraut jalan
ke depan.

Kuntum biru kembang lestari
Muhammad Haji Salleh
2013

Mohon keampunan



Ya Tuhan kami, ampunilah bagi kami dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan wafatkanlah kami berserta orang-orang yang berbakti.

Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman maka ampunilah segala dosa kami dan peliharalah kami daripada seksa neraka.


Aameen Ya Rabb.

Friday, November 28, 2014

Kepedihan maut

Pelajaran ke-40

Dihikayatkan bahwa sewaktu Siti Fatimah, puteri rasulullah saw meninggal dunia, jenazahnya diangkat oleh empat orang: Ali bin Abi Talib, kedua puteranya Alhasan dan Alhusain dan Abu Dzar Alghifari. Ketika jenazah diletakkan di tepi kubur untuk dimasukkan ke dalam lahad, berdiri Abu Dzar dan berkata: Tahukah engkau, hai kubur! Siapa yang kami bawa kepadamu? Ialah Fatimah Azzahra, puteri rasulullah, isteri Ali dan ibu dari Alhasan dan Alhusain dan terdengarlah suara dari dalam kubur: Aku bukanlah tempat membanggakan keturunan atau nasab. Aku adalah tempat amal saleh. Tidak akan selamat daripadaku, kecuali orang yang banyak amal baiknya, bersih hatinya dan ikhlas dalam amalnya.
( Musykatul-Anwar)

Berkata Alfagih Abullaits: Barangsiapa hendak lolos dari siksa kubur, ia harus melakukan empat perkara dan menjauhi empat perkara pula. Adapun empat yang dilakukan ialah: Rajin bersembahyang, bersedekah, membaca Quran dan banyak bertasbih, kerana itu semua menjadi menerang dan pelapang di dalam kubur. Sedang empat perkara yang harus dijauhi ialah dusta, khianat, fitnah dan kencing berdiri.

Wallahu ’alam

H.Salim Bahreisy
Bekal Juru Da’wah Jilid 2
Surabaya, 1977

Ujian


Renungan 19

Apa jua ujian yang Allah berikan adalah untuk melihat kekuatan kita menanganinya. Sesukar mana ujian sekalipun kepada Allah jualah kita bergantung harap, Allah tidak membebankan hambaNya di luar daripada kemampuan manusia. Allah juga memberi ujian kepada hamba yang dipilihNya untuk menjadikan hambaNya lebih baik berbanding dengan hamba yang tidak beri ujian. Namun Allah jualah yang akan memberikan rasa bahagia kepada kita jika kita banyak mendekatiNya.

Wallahu a’lam.

Ya Allah
Hjh Maimunah Hj Mohamad
& Dr Noor Azniza Ishak, ms 124
2008

Sebuah pelita tembaga

Sebuah pelita tembaga
yang telah usang
terperosok disudut berhabuk
berdiri menyendiri
tanpa dipeduli
setelah sekian lama berbakti
apabila sumbunya dinyalakan
ia membakar diri
sinarnya memberi cahaya
disekelilingnya.

Maka ketika sumbunya bernyala
berhimpunlah disekelilingnya
para penghuni
dengan ragam telatahnya
masing-masing
dan cahaya kian malap
ditambah minyak
pelita tembaga
bersinar semula.

Demikianlah dalam nostalgia
sebuah pelita tembaga
yang telah usang dimamah usia
dalam melalui arus perubahan
dan kecanggihan zaman
sekali ketika cahaya berkemilau
dimana-mana begitu mudahnya
maka kini pelita tembaga
meski tetap tersimpan
fungsinya cumalah
sebagai barang simpanan
manakala anak-anak melihatnya
dengan sebelah mata
tanpa mau mengusik
jauh sekali mengenang jasanya

Adi Wahab
Pelita Brunei

Mohon rahmat



Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat daripada sisiMu; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi (kurnia)


Aameen Ya Rabb.

Wednesday, November 26, 2014

Perhimpunan.....: Muhasabahlah



........Ingatlah pesanan Konfucius ini: Pertama, jika mahu menjadi pemimpin, jaga rumah tangga, anak isteri dengan baik, boleh menjadi contoh, sebab orang memerhatikan kamu. Kedua, nak pastikan rumah tangga itu menjadi baik dan terpelihara, pastikan diri sendiri berakhlak mulia dan boleh dicontohi, sebab kebaikan rumah tangga bermula daripada diri kita. Ketiga, nak pastikan diri sendiri menjadi baik, pastikan hati itu bersih. Keempat, nak pastikan hati itu bersih, asasnya adalah sifat ikhlas.

......contohilah pemimpin terdahulu, sanggup berkorban jiwa raga. Mahatma Gandhi, seorang pemimpin agung India, sentiasa menaiki kereta api kelas ketiga untuk bertemu rakyat. Apabila ditanya, "Kenapa selaku pemimpin besar, menaiki kereta api kelas ketiga, bukan pertama?" Gandhi menjawab: "Aku memilih kelas ketiga, sebab tidak ada kelas empat".

Menurut Gandhi, pemimpin yang berdosa adalah pemimpin politik yang tidak berprinsip. Mahu kaya, tetapi malas bekerja. Akhirnya, mengamalkan rasuah. Mahukan agama, tetapi tidak mahu berkorban.

Masih adakah pemimpin seperti Gandhi hari ini? Bukan maksud saya selepas ini, kita berpakaian compang-camping atau menjadi papa kedana. Apa yang tersirat dan tersurat adalah, pemimpin mesti bersama rakyat dan menyelami hati nurani rakyat. Susah senang dirasai bersama.

......Sempena perhimpunan ini, saya ingin menasihatkan beberapa perkara:

Pertama, berakhlaklah dengan akhlak Islam. Pastikan diri kita boleh menjadi teladan. Kewujudan kita amat disegani dan dihormati. Pemergian kita nanti akan ditangisi. Ingatlah jawatan itu amanah, ada perkiraan dunia dan akhirat. Orang pertama yang dihisab adalah pemimpin. Adakah kita benar-benar membawa orang yang dipimpin ke jalan yang benar?

Kedua, tegurlah pemimpin, jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, secara terus-terang. Jangan bodek mereka. Itu menempah kecelakaan. Termasuk juga, jika keluarganya perlu ditegur, tegurlah, sebab teguran itu untuk kebaikan. Rasulullah dan empat Khalifah kita juga ditegur rakyat. Jika raja sekalipun perlu ditegur. Tegurlah... kerana mereka juga manusia seperti kita, tidak maksum.

Ketiga, perangi rasuah habis-habisan. Jangan menikam sesama sendiri kerana kita bersaudara. Tolak pemimpin yang mengamalkan rasuah. Rasuah hanya akan menjahanamkan kita.

Keempat, marilah kita bersama-sama membawa negara ini menuju keredaan dan keampunan ALLAH. Jangan undang kemurkaan ALLAH dengan berbuat dosa dan maksiat.

Akhirnya, marilah kita hayati pesanan Datuk Onn Jaafar, YDP Umno, ketika Perhimpunan Agung Umno Pertama, 1946. Nasib Melayu hanyalah akan dapat dikekalkan dengan kesatuan hati sesama mereka.

Meskipun sesama kita berlainan fikiran dan fahaman, taraf dan kedudukan, tetapi hakikat tujuan dan maksud kita hanya satu, iaitu kita hendak meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita. Kita berkehendak supaya tanah air dan bangsa kita terselamat dan kuat, dan hanyalah boleh kuat jika kita bersatu padu.

Marilah kita tunjukkan, hanya dengan persatuan di antara kita, akan lahir satu bangsa yang hebat, boleh berdiri di atas tapak kaki sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar, mengatasi bangsa lain. Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah bangsa kita. Marilah kita bekerjasama dan menyamakan perusahaan kita itu bagi melayakkan diri kita menjadi satu bangsa yang besar. Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang berani menghadapi bahaya dengan bersatu hati (Mac 1946).

Ketika Perhimpunan Agung Umno ke-2 (1950), Datuk Onn secara sukarela mengundurkan diri daripada takhta kuasa. Beliau meminta supaya dirinya tidak dicalonkan sebagai YDP bagi sesi 1951/52. Nyata sekali Onn tidak mengejar dunia. Kuasa bukan segala-galanya bagi beliau. Bukan seperti kita hari ini, kalau boleh mahu mati di takhta kuasa untuk hidup mewah. Bangunlah.......sebelum terlambat!

Wallahu ’alam.

Ridhuan Tee Abdullah
Sinar Harian
24 Nov 2014

Pendaman

Renungan 18

Mungkin kesedihan dan pendaman kekecewaan yang telah dilalui sekian lama oleh seorang hamba Allah membawa makna Allah teramat kasihkan dirinya? Jika ini yang dipegang, tekanan, kekecewaan serta kesedihan yang dilalui tidak bersifat kekal. Di dunia kebahagiaan tidak diperolehi, kebahagiaan di akhirat yang kekal abadi sedang menanti.

Wallahu a’lam.


Ya Allah
Hjh Maimunah Hj Mohamad
& Dr Noor Azniza Ishak, ms 118
2008



Memandang ke seberang

Aku melihat pulau
di seberang Selat Teberau
hatiku terusik
menelusuri Temasik
Sang Nila Utama menemui singa
Sang Rajuna Tapa membuka
pintu kota
Reffles tiba dikalung bunga
sultan mula kehilangan kuasa.

Pulau di hatiku
semakin jauh
hanyut ke tengah samudera
pemisah
pembangunan dan siasah
mski ada jambatan terbentang
passport perjalanan menjadi
penghalang.

Di hujung tanah ini
tempat aku berdiri
bukan kepunyaanku lagi
buat sekian kali
aku melihat ke seberang
dengan hati walang
kita punya kuasa
tapi tak punya suara
kita punya suara
tapi tak mampu bicara
kita punya bicara
tapi tak punya makna.

Benih yang baik
tidak  akan tumbuh apa lagi
menjadi pulau
jika disimpan dalam kepuk
kelekaan
malah pulau-pulau yang ada
bakal kehilangan
satu persatu
kita berputih mata
menyerahkan Batu Putih
pulau manakah lagi
yang bakal kita lepaskan.

Melihat ke seberang
dengan seribu tanda Tanya
melepaskan pulau masa silam
jangan sampai terlepas pandang
pulau akan datang
terlepas semuanya.

Shapiai Muhammad Ramly
Batu Pahat, Johor

Doa kebaikan



Ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada seksa neraka.

Ya Tuhan kami, jauhkan seksa Jahanam daripada kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal.


Aameen Ya Rabb.

Monday, November 24, 2014

Inquiry Base Science Education (IBSE)

Pengenalan :

       Pendekatan IBSE merupakan strategi pembelajaran berfikrah (murid menggunakan pemikiran secara optimum) yang dapat mencetuskan pemikiran kritis dan kreatif murid dan bukan berbentuk rutin. Pendekatan ini juga merujuk kepada aktiviti yang dilakukan oleh para pelajar dalam membina pengetahuan mereka dan memahami idea saintifik.

       Pendekatan IBSE  menyumbang kepada kemahiran berfikir murid secara kritis dan kreatif serta dapat membantu memperbaiki keputusan TIMSS dan PISA dalam aspek menginterpretasi maklumat yang lebih kompleks dan mengenal pasti strategi penyelesaian masalah yang sesuai serta mempamerkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

    Ciri-ciri :
       Mementingkan pembelajaran melalui pengalaman.
       Mencari maklumat, menyoal dan menyiasat sesuatu fenomena yang berlaku.
       Penemuan merupakan sifat utama inkuiri.
       Konsep dan prinsip utama dikaji serta ditemui oleh murid.
       Menyiasat sesuatu fenomena dan mencapai kesimpulan sendiri melalui aktiviti seperti eksperimen, projek dan kajian.

Jenis-jenis :

a) Pengesahan :
Murid mengesahkan prinsip-prinsip tertentu berdasarkan aktiviti penerangan oleh guru dan keputusan sesuatu penyelidikan telah diketahui terlebih awal. (mengesahkan suhu takat didih air adalah 100 darjah celcius)

b) Berstruktur :
Murid melakukan penyelidikan berdasarkan soalan dan langkah-langkah yang telah ditentukan oleh guru. (menyiasat hasil tindak balas antara asid dan alkali)

c) Terbimbing :
Murid melakukan penyelidikan berdasarkan soalan-soalan yang telah disediakan oleh guru dan pemilihan langkah-langkah penerokaan ditentukan sendiri oleh murid. (menyiasat hasil tindak balas antara asid dan alkali. Murid sendiri menentukan langkah penyiasatan)

d) Terbuka :
Murid melakukan penyelidikan berdasarkan soalan-soalan dan langkah-langkah yang dibina dan ditentukan sendiri oleh mereka berdasarkan topik-topik yang tertentu.

Wallahu a’lam.

Sunday, November 23, 2014

Bakti

Renungan 17

Bahgia itu akan hanya ada pada hambaNya yang sering ingat padaNya, redha dengan ketetapanNya dan menikmati hidup ini untuk berbakti pada Allah dan makhluk ciptaanNya. Dalam sebuah hadis nabi dikatakan : Tidaklah seorang mukmin dilanda kecemasan, kekecewaan dan kesdihan melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.

Jika kita berfikiran positif dan berbaik sangka pada Allah nescaya akan diberiNya dugaan untuk kita belajar menangganinya dengan kaedah mendekatkan diri kepadaNya.

Wallahu a’lam.

Ya Allah
Hjh Maimunah Hj Mohamad
& Dr Noor Azniza Ishak, ms 111
2008

Apalah erti hidup ini

Apalah erti hidup ini
Jika diri tidak mengenali diri
Tidak tahu dari mana datang dan ke mana mahu pergi
Tidak tahu apa yang dimahukan dan apa yang dicari
Tidak sedar kenapa dicipta Ilahi.

Apalah erti hidup ini
Jika hidup tidak berbudi
Tiada kebaikan yang dikongsi
Hanya hidup bersendiri dan untuk diri sendiri

Apalah erti hidup ini
Jika amanah dikhianati
Jika janji tidak ditepati
Jika hati penuh hasad dan dengki

Apalah erti hidup ini
Jika rantai kecewa selalu membelenggu diri
Lagu kesedihan bergema memenuhi sanubari
Bahasa sengsara membasahi bibir setiap hari
Hidangan duka dan derita menjadi santapan diri.

Apalah erti hidup ini
Jika hidup menyombong dan alpa diri
Kepada Tuhan jua sesama insani
Tidak kenal Pencipta dan wahyu suci
Tidak kenal rasul dan sabda nabi
Tidak ingat mati yang sedia menanti
Lupa akhirat yang pasti akan pasti.

Apalah erti hidup ini
Jika hidup tidak diberi erti
Hidup tidak bererti andai diri tidak mengerti

Ayuh sedar dan mengerti
Hidup ini perlu diberi erti
Agar ia bererti selepas datangnya mati
Hidup ini hanya untuk Ilahi

Dari-Nya kita datang kepada-Nya kita akan kembali.

A Razak Muthalib
30.11.2013
Sinar Harian
14 Nov 2014

Berjalan seorang ke Teluk Liku
Bila berjumpa memberi salam
Ilmu  disimpan selebar kuku
Jika disebar seluas alam.

Doa ibadah





Ya Allah, tolonglah kami dalam berzikir dan bersyukur serta memperbaiki ibadah kami kepadaMu, wahai Yang Maha Hidup dan Berdiri sendiri, Pemilik segala Keagungan dan Kemuliaan.


Aameen Ya Rabb.

Saturday, November 15, 2014

Keseronokan

Renungan 16

Melakukan maksiat seperti berzina adalah menyeronokkan kepada mereka yang tidak takut kepada azab yang bakal diterima. Untuk berseronok sekejap sahaja, tetapi untuk menanggung azab sulaan dan seksaan Allah teramatlah perit yang tiada bandingannya. Khabarkan berita ini di samping buku atau kaset ceramah yang berkaitan dengan azab Allah kepada mereka yang melakukan dosa besar seperti berzina.

Al-Hafiz Al-Hakami  dalam syairnya:

Ingatlah kematian dan peristiwa selepas itu
Tidak seorang pun yang terlepas daripadanya
Kematian merupakan penentuan segalanya
Kubur boleh menjadi sebuah taman syurga
Dan boleh menjadi api neraka
Jika ia baik, maka kenikmatan yang akan diperolehi
Jika ia jahat, adalah kesengsaraan yang teramat dahsyat
Demi Allah, sekiranya kau tahu apa yang berlaku selepas itu
Tentulah kau tidak akan tertawa malah banyak menangis.

Wallahu a’lam.

Ya Allah
Hjh Maimunah Hj Mohamad
& Dr Noor Azniza Ishak, ms 106
2008

aku datang

Tuan sahabat perjuang sejagatku,
hari ini
getar waja bilah bicaranya
suluh budimannya
menghantar kembaliku ke sini
mengutip lagi erti kehidupan.

Apa pun
aku datang dengan berat hati
tapak pergiku puas hati
insafkan jati diriku sendiri
jadilah hambaNya
tahu jalan pulang.

Aku datang
nantinya turut pulang
terima kasih tuan
terima kasih Tuhan
dalam maaf yang kelu
sentuhan yang malu.

Benarlah kata nabiku
benarlah firman Kalam Tuhanku
tiada yang kekal di sini
hanya Dia yang abadi!

zabid
Dua Intan
HUSM Kubang Kerian
14 Nov 2014

Doa mohon keampunan

Ya Allah, ampunilah segala kesalahan kaum mukminin yang telah wafat, yang telah bersaksi dengan sunguh-sungguh akan keEsaanMu dan risalah nabiMu serta mereka meninggal dunia dalam keadaan demikian. Ya Allah, ampuni dan rahmatilah mereka, maafkan semua kealpaan mereka, muliakan tempat tinggal mereka, luaskan kediaman mereka, bersihkan mereka dengan air dan salju. Bersihkan mereka daripada pelbagai dosa dan kesalahan sebagaimana pakaian putih yang dibersihkan dari kotoran. Dan balaslah amal kebaikan mereka dengan kebaikan pula, dan amal buruk mereka dengan keampunan.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memberi maaf, maka maafkanlah kesalahan-kesalahan kami.

Aameen Ya Rabb.


Friday, November 14, 2014

Tercelanya orang yang berpaling dari Al-Quran


Pelajaran ke-39

Berkata Mu’ad bin Jabal ra: Berada aku bersama rasulullah saw dalam suatu perjalanan dan (minta) aku daripadanya sesuatu hikmah atau hadis yang dapat aku pergunakan maka bersabda rasulullah saw: Jika kamu mengkehendaki penghidupan bahagia, mati sebagai syuhada, keselamatan pada hari Hasyar, naugan teduh di hari panas dan hidayah – bebas dari kesesatan -  maka bacalal Al-Quran selalu. Kerana itu adalah firman Allah, benteng terhadap gangguan syaitan dan pemberat dalam timbangan amal.

Wallahu ’alam

H.Salim Bahreisy
Bekal Juru Da’wah Jilid 2
Surabaya, 1977

Lailaha Illallah Muhammad Rasulullah


Ujian

Renungan 15



Dalam hidup kita yang indah itu kadang-kadang tidak memberi kebaikan untuk kita. Yang dibenci itu boleh memberi kebaikan yang mungkin tidak diketahui bila akan menjadi kenyataan. Ujian dan dugaan akan menjadikan kita lebih kuat berbanding dengan kehidupan dunia dan jika ditangani dengan baik mengikut ajaran yang telah ditetapkan maka ganjaran Allah amatlah besar.

Wallahu a’lam.




Ya Allah
Hjh Maimunah Hj Mohamad
& Dr Noor Azniza Ishak, ms 100
2008

Impian murid di sekolah

Ada 5 :

1. Bebas menjadi diri mereka sendiri
2. Mengiktiraf kejayaan mereka sendiri dan bukan semata-mata akademik
3. Semua orang mendengar semua masalah mereka secara perseorangan
4. Bermain sepuas-puasnya mengikut kemahuan sendiri
5. Mempunyai masa dan ruang untuk duduk dan bermimpi
(A.S. Neill’s Summerhill)

Laluan kecemerlangan
Dato’ Hj Sufa’at bin Tumin
TKPPM (SOP) KPM

Seorang Isteri

Terasa indah hidup
sebegini
pabila dikau sering
kunjungi
di hati seorang suami
melintas pagar kerukunan
rumah tangga
dengan ilai tawa manis
ayumu
memikat hati seorang
suami
membawa sinar yang suci
bersama memori ikatan
ukhuwah
selembar kasih berpaut
kembali
atas sebuah jalinan kasih
sejati

pada nilai budi hati nan murni
kejelitaan, keayuan dan
keramahanmu
adalah ratu nista yang
indah
buat seorang suami
untuk terus menempuh
kehidupan

Citra seorang isteri
punya seorang suami
yang memahami
perjalanan hidup
untuk dikongsi bersama
suka dan duka terjalin erat
sinar kebahagiaan terjalin
kukuh.

Wadiassofi Jaafar
Alor Setar, Kedah.
Wanita, Nov 2014

Doa muliakan Islam

Ya Allah, Yang Maha Hidup dan Berdiri sendiri, Pemilik segala Keagungan dan Kemuliaan, Yang Maha mengabulkan permohonan hambaNya yang dalam kesulitan, kami memohon kepadaMu; muliakanlah Islam dan kaum muslimin, hinakanlah kesyirikan dan kaum musyrikin, binasakanlah musuh-musuh agama, jadikan negeri ini dan negara-negara Islam umumnya penuh keamanan dan ketenteraman, wahai Tuhan sekalian alam.

Ya Allah, binasakanlah orang-orang Yahudi, kafir, musyrik, yang selalu merintangi jalanMu, menggantikan agamaMu dan memusuhi kaum mukminin. Ya Allah, cerai-beraikan persatuan mereka, pisahkan kesatuan mereka dan gilirkan atas mereka giliran yang buruk.

Ya Allah, timpakan seksakan seksaMu kepada mereka, seksa yang tidak akan ditarik kembali daripada kaum yang berdosa. Dengan rahmatMu wahai Zat Yang Maha Penyayang di antara para penyayang.


Aameen Ya Rabb.

Tuesday, November 11, 2014

Orang yang meninggalkan sembahyang

Pelajaran ke-38

Diceritakan bahwa nabi Isa as pada suatu hari mengadakan perjalanan ke luar kota. Tibalah ia di suatu desa yang dilihatnya sangat bersih, teratur, rapi dan indah. Tanahnya subur menghasilkan aneka buah-buahan, makanan dan minuman yang lazat-lazat. Penghuninya terdiri dari pria, anak-anak dan wanita-wanita yang cantik-cantik yang semuanya melakukan ibadah dengan tekun dan sunguh-sungguh. Sesudah tinggal beberapa saat bersama mereka, pulanglah nabi Isa meninggalkan desa itu.

Kemudian setelah berselang beberapa waktu ia kembali ke desa itu dan sangat terperanjat, ta’jub kerana dilihatnya desa yang dahulu makmur indah dengan penghuninya yang baik-baik ahli ibadah, sudah menjadi puing-puing, hancur tiada berpenghuni lagi.

Berdoalah nabi Isa dan bertanya: Ya Tuhanku! Apakah yang membinasakan desa ini dengan penghuninya? Adakah kerana mereka meninggalkan sembahyang dan ibadah? Tidak, suara wahyu Tuhan. Bukan kerana itu, tetapi kerana ada seorang peninggal solat yang lalu di desa itu mencuci wajahnya dan mandi, hingga bekas air mandinya yang membasahi tanah desa itulah yang menjadi sebab binasanya desa dengan seluruh penghuninya.
(Anisul-Majalis)

Wallahu ’alam

H.Salim Bahreisy
Bekal Juru Da’wah Jilid 2
Surabaya, 1977

Bahagia

Renungan 14

Kebahagiaan itu adalah adil dalam kehidupan walaupun pada diri sendiri. Kalau jasmani diberi makan, rohani pun  demikan juga, iaitu dengan ilmu pengetahuan. Kalau jasmani diberi pakaian, rohani pun juga begitu, iaitu budi. Kalau jasmani diberi latihan, rohani juga sama itu dengan kesusahan. Kalau jasmani dibersihkan, sama juga dengan rohani iaitu dengan kesucian dan kalau jasmani diubati, rohani juga demikian iaitu takwa kepada Tuhan.

Orang yang berbuat jahat akan mendapat pembalasannya dan orang yang melihat orang lain melakukan dosa wajib menegur. Namun untuk orang yang ingin kita ingini untuk berubah bukanlah kita penentunya tetapi sejauh mana usaha yang kita lakukan untuk membantu dia mengubah dirinya sendiri.

Wallahu a’lam.

Ya Allah
Hjh Maimunah Hj Mohamad
& Dr Noor Azniza Ishak, ms 94
2008

Ku minta warna

Semasa kecil
aku hanya meminta tiga warna
kerana aku inginkan
daun, langit dan suria

Tatkala remaja
kuminta  sekotak lagi
untuk kutanam pohon-pohon
di tepi pantai
untuk kulukiskan ufuk senja
dan hujan pagi
untuk kulukiskan pelangi.

Dan setelah dewasa
aku perlukan semua
termasuk warna fatamorgana
dan rona rasa.

Kini di usia tua
cukuplah satu atau dua
itu pun
tinggal di jendela.

Ramlah Abd Wahab
Shah Alam
Mingguan Malaysia,
19 Okt 2014

Doa pemimpin

Ya Allah, perbaikilah (akhlak) para pemimpin kaum muslimin, bimbinglah dalam menegakkan keadilan di antara rakyatnya, menyayangi dan memperhatikannya serta tumbuhkanlah rasa kasih sayang timbal balik di antara mereka.

Ya Allah, tuntunlah mereka ke jalan yang lurus, dan bekerja demi agamaMu, jadikan mereka sebagai pautan yang benar (berkat rahmatMu), wahai Zat Yang Maha Penyayang di antara para Penyayang.

Ya Allah, bimbinglah mereka agar memimpin sesuai dengan KitabMu dan sunnah nabiMu, menghukumi perkara berdasarkan syariatMu, dan sentiasa melaksanakan segala aturanMu.

Ya Allah, bimbinglah mereka dalam melenyapkan segala kemungkaran dan menampilkan pelbagai kebaikan.

Ya Allah, jadikanlah mereka orang-orang yang mengajak kepada kebaikan dan melaksanakannya, melarang kemungkaran dan meninggalkannya.

Ya Allah, perbaikilah keadaan kaum muslimin, mudahkan urusan keperluan mereka, dan jadikanlah mereka aman sentiasa di tanah air mereka.

Ya Allah, perbaikilah keadaan generasi muda kaum muslimin, jadikanlah mereka cinta kepada keimanan dan jadikanlah iman itu indah dalam hati mereka. Jadikan mereka membenci kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan serta jadikan mereka di antara orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus berkat rahmatMu, wahai Zat Yang Maha Penyayang di antara para penyayang.

Ya Allah, ampuni kaum muslimin dan muslimat, kaum mukminin dan mukminat, persatukan hati mereka, rukunkan dan menangkan mereka terhadap musuh-musuhnya dan musuhMu. Tunjukilah mereka ke arah jalan keselamatan, keluarkan mereka daripada kegelapan kepada nur (petunjuk). Berkatilah mereka pada pandangan, pendengaran, pasangan dan keturunan mereka selama mereka masih hidup, jadikanlah mereka selalu mensyukuri seluruh nikmatMu dan memujiMu keranaMu. Serta sempurnakanlah nikmat tersebut bagi mereka dengan rahmatMu, wahai Zat Yang Maha Penyayang di antara para penyayang.

Aameen Ya Rabb.

Monday, November 10, 2014

Tip tangani stres anak hadapi peperiksaan


Sekarang musim peperiksaan anak-anak kita yang baru selesai menghadapi UPSR dan ada yang masih menduduki SPM dan STPM. Lazimnya musim peperiksaan akan memberikan tekanan atau stres, bukan sahaja kepada anak-anak yang menghadapi peperiksaan tetapi stres juga dirasai oleh ibu bapa. Lebih kronik lagi cabaran ini, apabila ibu khususnya yang akan lebih stres daripada anak yang menghadapi peperiksaan.Lapan tip untuk mengelakkan anak stes menghadapi peperiksaan.

Pertama, apabila anak hendak menghadapi peperiksaan ibu bapa jangan stres. Aura atau getaran minda dan hati ibu bapa yang stres akan dirasai oleh anak yang menghadapi peperiksaan.

Kedua, berdoa. Bagi mengelakkan ibu bapa stres ketika anak berada dalam dewan peperiksaan, yang akan memberikan impak negatif kepada anak, hingga anak tidak boleh memberikan tumpuan di dalam dewan peperiksaan, banyakkan berdoa ketika peperiksaan sedang berlangsung.

Dalam dewan peperiksaan yang sunyi itu, yang ada hanya anak kita dengan Tuhan. Doa ayah dan ibu mustajab. Maka berdoalah. Ya Allah ya Tuhanku, berikan ingatan kepada ilmu yang pernah anakku pelajari dan yang dia tahu, izinkan anakku memilih soalan yang dia kuasai ilmunya, dapatlah dia menjawab dengan baik, dan Engkau lapangkan serta tenangkan hatinya. Boleh juga mengerjakan solat hajat dan membaca Surah Yasin.

Ketiga, sebut apa yang ibu bapa hendak anak buat sahaja ketika mula melangkah keluar dari rumah ke sekolah, untuk menghadapi peperiksaan.Contohnya, suruh anak cermat, tenang dan yakin semasa memilih soalan. Suruh anak berserah serta bertawakal kepada Allah, berselawat, cakap perkara yang baik-baik supaya tidak hilang fokus, banyakkan senyum, salam guru apabila berjumpa mereka dan mohon guru redakan ilmu yang diajarnya dan minta guru doakan.

Ingat, jangan sekali-kali sebut yang kita tidak mahu anak buat semasa berhadapan dengan peperiksaan. Contoh, jangan lalai, jangan patah semangat, jangan kelam kabut dan sebagainya yang negatif. Hal ini sangat penting kerana minda bawah sedar minda segar anak akan ingat apa yang kita sebut. Kalau yang kita sebut senarai kata-kata negatif, yang negatiflah yang akan melekat di minda anak.

Keempat, ibu bapa yang anaknya menghadapi peperiksaan, selain meningkatkan ketakwaan;buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang, banyakkanlah bersedekah. Bagaimana kita gembirakan hati dan mempermudahkan urusan orang. Allah akan gembirakan hati kita dan mempermudahkan urusan kita. Tempias kebaikan itu akan dapat kepada anak kita; dipermudahkan Allah ketika anak kita menghadapi peperiksaan.

Kelima,fokus kepada tujuan dengan niat kerana Allah untuk lulus dengan baik. Semoga anak kita cemerlang dalam peperiksaan ini, anak kita menjadi mukmin dan mukminah profesional dan dapat memberikan manfaat dalam hidupnya, kepada dirinya, keluarga, masyarakat dan negara. Aktiviti yang bersandarkan Allah, akan mendapat pertolongan Allah.

Keenam, fokus untuk reda Allah bukan penghargaaan manusia. Beritahu anak-anak, kita sebagai ibu bapa, tidak bangga kalau anak mendapat 10A, tetapi tidak hormat dengan orang, dengan ibu bapa melawan, solat tidak buat, pendek kata tidak meningkatkan ketakwaan tetapi yang ditingkatkan kedegilan dengan Allah. Kelulusan akademik yang kita dapat itu, Cuma sekeping kertas tidak bermakna pun sijil itu kalau hanya untuk kebangaan dengan sesama manusia buka reda Allah.

Ketujuh, untuk anak-anak yang menghadapi peperiksaan pula, ketika mendapat kertas soalan, lihat setiap soalan satu persatu dan fahamkan setiap soalan dahulu. Sebab semasa kita membaca semua soalan, akal kita juga turut membaca, dan dalam masa yang sama, minda bawah sedar / minda segar kita, mula memproses ilmu yang kita tahu dan kuasai, serta mengingatkan kembali fakta yang pernah dibaca atau diulang kaji.

Kelapan, berserah dan bertawakal kepada Allah. Percaya kepada qada dan qadar Allah, akan menghilangkan stes ketika menghadapi dan sesudah menghadapi peperiksaan. Sebab manusia yang mengejar penghargaan tidak fokus kepada kejujuran tetapi fokus kepada pencapaian. Sekiranya anak kita tidak mendapat keputusan seperti yang kita harapkan, tolong jangan bunuh imej diri anak dan jangan bunuh jiwa anak dengan kata-kata nista serta jangan bandingkan pencapaian anak dengan anak-anak yang lain atau dengan anak orang lain.

Ingatlah anak kita bukan kuda lumba untuk kita tunjuk kepada orang dan bukan KPI kita hingga sikap ibu bapa membuatkan anak menjadi stes ketika dan sesudah menghadapi peperiksaan. Hal ini kerana ada ibu bapa yang hidupkan cita-citanya melalui anak. Sebab itu disuruhnya anak membuat bermacam-macam perkara yang ada kalanya tidak termampu oleh anak, hingga anak menjadi stres. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.

Wallahu a’lam.

Prof. Dr Muhaya Muhamad
Mingguan Malaysia
9 Nov 2014