........Ingatlah
pesanan Konfucius ini: Pertama,
jika mahu menjadi pemimpin, jaga rumah tangga, anak isteri dengan baik, boleh
menjadi contoh, sebab orang memerhatikan kamu. Kedua,
nak pastikan rumah tangga itu menjadi baik dan terpelihara, pastikan diri
sendiri berakhlak mulia dan boleh dicontohi, sebab kebaikan rumah tangga
bermula daripada diri kita. Ketiga,
nak pastikan diri sendiri menjadi baik, pastikan hati itu bersih. Keempat, nak pastikan hati itu bersih,
asasnya adalah sifat ikhlas.

Menurut Gandhi,
pemimpin yang berdosa adalah pemimpin politik yang tidak berprinsip. Mahu kaya,
tetapi malas bekerja. Akhirnya, mengamalkan rasuah. Mahukan agama, tetapi tidak
mahu berkorban.
Masih adakah
pemimpin seperti Gandhi hari ini? Bukan maksud saya selepas ini, kita
berpakaian compang-camping atau menjadi papa kedana. Apa yang tersirat dan
tersurat adalah, pemimpin mesti bersama rakyat dan menyelami hati nurani
rakyat. Susah senang dirasai bersama.
......Sempena
perhimpunan ini, saya ingin menasihatkan beberapa perkara:
Pertama, berakhlaklah dengan akhlak Islam. Pastikan diri kita boleh menjadi
teladan. Kewujudan kita amat disegani dan dihormati. Pemergian kita nanti akan
ditangisi. Ingatlah jawatan itu amanah, ada perkiraan dunia dan akhirat. Orang
pertama yang dihisab adalah pemimpin. Adakah kita benar-benar membawa orang
yang dipimpin ke jalan yang benar?
Kedua, tegurlah pemimpin, jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, secara
terus-terang. Jangan bodek mereka. Itu menempah kecelakaan. Termasuk juga, jika
keluarganya perlu ditegur, tegurlah, sebab teguran itu untuk kebaikan.
Rasulullah dan empat Khalifah kita juga ditegur rakyat. Jika raja sekalipun
perlu ditegur. Tegurlah... kerana mereka juga manusia seperti kita, tidak
maksum.
Ketiga, perangi rasuah habis-habisan. Jangan menikam sesama sendiri kerana kita
bersaudara. Tolak pemimpin yang mengamalkan rasuah. Rasuah hanya akan
menjahanamkan kita.
Keempat, marilah kita bersama-sama membawa negara ini menuju keredaan dan
keampunan ALLAH. Jangan undang kemurkaan ALLAH dengan berbuat dosa dan maksiat.
Akhirnya,
marilah kita hayati pesanan Datuk Onn Jaafar, YDP Umno, ketika Perhimpunan
Agung Umno Pertama, 1946. Nasib Melayu hanyalah akan dapat dikekalkan dengan
kesatuan hati sesama mereka.
Meskipun sesama
kita berlainan fikiran dan fahaman, taraf dan kedudukan, tetapi hakikat tujuan
dan maksud kita hanya satu, iaitu kita hendak meninggikan dan memelihara maruah
serta kesopanan bangsa kita. Kita berkehendak supaya tanah air dan bangsa kita
terselamat dan kuat, dan hanyalah boleh kuat jika kita bersatu padu.

Ketika
Perhimpunan Agung Umno ke-2 (1950), Datuk Onn secara sukarela mengundurkan diri
daripada takhta kuasa. Beliau meminta supaya dirinya tidak dicalonkan sebagai
YDP bagi sesi 1951/52. Nyata sekali Onn tidak mengejar dunia. Kuasa bukan
segala-galanya bagi beliau. Bukan seperti kita hari ini, kalau boleh mahu mati
di takhta kuasa untuk hidup mewah. Bangunlah.......sebelum terlambat!
Wallahu ’alam.
Ridhuan Tee
Abdullah
Sinar Harian
24 Nov 2014
No comments:
Post a Comment