Friday, April 26, 2013

Soalan Lazim MMI ( 1 )


Umum :

1. Apakah yang dimaksudkan dengan MMI?

MMI ialah singkatan daripada tiga rangkai kata, iaitu Melindungi Masa Instruksional. Masa Instruksional ialah masa sebenar yang digunakan untuk pelaksanaan PdP yang berkesan tanpa sebarang gangguan.

2. Adakah MMI satu dasar baharu?

MMI bukan dasar tetapi merupakan amalan dalam kepimpinan instruksional. MMI bukan satu dasar baharu KPM. MMI sememangnya telah menjadi amalan warga pendidik sejak sistem pendidikan negara dibangunkan, iaitu penekanan konsep guru mengajar dan murid belajar. Oleh yang demikian, MMI diberikan jenama baharu dan diberikan penekanan semula oleh pihak KPM.

3. Apakah perlu MMI di sekolah?

MMI sangat perlu dilaksanakan di sekolah bagi memastikan peningkatan keberkesanan pembelajaran murid berteras konsep Guru Mengajar dan Murid Belajar.

4. Siapakah yang berperanan untuk melaksanakan MMI?

Semua Bahagian KPM, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah terlibat dalam pelaksanaan MMI.

5. Apakah faedah MMI kepada murid?

Murid akan mendapat masa pembelajaran yang maksimum jika MMI dilaksanakan dengan berkesan di sekolah. Manakala guru yang menghayati MMI akan berupaya meningkatkan keberkesanan pembelajaran murid.

6. Siapakah urus setia MMI?

Peringkat sekolah  - GPK Pentadbiran
Peringkat PPD – Pegawai Meja yang dilantik
Peringkat JPN – Pegawai Meja yang dilantik
Peringkat KPM – Sektor Operasi Pendidikan (SOP) KPM
Pimpinan sekolah

7. Perlukah JK ditubuhkan bagi melaksanakan MMI?

JK baharu tidak perlu ditubuhkan, MMI boleh dibincangkan dalam JK Kurikulum.

8. Betulkah guru-guru tidak boleh keluar mengiringi murid untuk menyertai sebarang aktiviti dan program yang diadakan di luar sekolah?

MMI tidak menghalang guru untuk terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan aktiviti lain selepas mendapat kebenaran daripada pemimpin sekolah.

9. Saya merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah yang aktif. Saya telah menerima tawaran untuk melakukan aktiviti sukarelawan membantu mangsa yang cedera semasa negara ditimpa bencana. Adakah pihak pemimpin sekolah akan memberikan kebenaran kepada saya untuk menyertai aktiviti tersebut?

Pemimpin sekolah sepatutnya membuat pertimbangan berdasarkan keperluan dan keutamaan peranan guru berkenaan. Sekiranya tiada halangan guru berkenaan boleh menyertai aktiviti tersebut. Walau bagaimanapun, guru perlu menyediakan bahan PdP untuk murid-murid sepanjang ketiadaannya di sekolah.

10. Adakah MMI akan membebankan pihak sekolah dan guru kerana perlu menyediakan pelbagai bentuk laporan?

MMI tidak akan membebankan pihak sekolah dan guru. Ini kerana KPM sentiasa berusaha melaksanakan penambahbaikan pelaksanaan MMI agar tidak membebankan mana-mana pihak. Oleh itu, garis panduan berkaitan pelaksanaan MMI disediakan oleh KPM bagi membantu semua pihak melaksanakan MMI dengan berkesan.

FAQ MMI
Melindungi Masa Instruksional
Kembali Kepada Yang Asas
Pemimpin Instruksional, Guru Mengajar Murid Belajar
Apr 2013

No comments:

Post a Comment