Sunday, March 10, 2013

Isu pelaksanaan Pendidikan S&T (1)


Matlamat pendidikan Sains dan Teknologi (S&T)  adalah untuk melahirkan modal insan yng kompetitif pada peringkat global dan mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan tamadun sains dan teknologi. Walaupun hasrat yang dirancang adalah kemas dan tepat mengikut keperluan negara, namun hakikatnya sejauh manakah murid lepasan sistem pendidikan yang disediakan menepati keperluan yang dinyatakan? Beberapa faktor penyumbang kepada kejayaan pelaksanaan pendidikan S&T perlu dikaji semula dan dimantapkan.

Secara keseluruhan, faktor keberkesanan penyampaian pendidikan S&T di sekolah bergantung kepada kurikulum dan pentaksiran, kuantiti dan kualiti guru serta staf, kemudahan prasarana dan kecekapan pengurusan sekolah.

Laporan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik di Sekolah Ke arah Malaysia Kreaif dan Inovatif (Akademi Sains Malaysia, 2011) menyatakan bahawa kelemahan pelaksanaan sains dan matematik di sekolah disebabkan oleh faktor kurikulum yang tidak relevan, sempit, kaku dan berat.

Kelemahan ini turut dilaporkan dalam Malaysia Education Policy Review (M-PER) yang menyatakan bahawa kurikulum di Malaysia terlalu padat dan terlalu banyak mata pelajaran, pengajaran berfokuskan peperiksaan, kurang penyelarasan dan kefahaman dalam kalangan guru dan pentadbir untuk melaksanakan kurikulum yang dirancang dan kurang fleksibiliti untuk memenuhi keperluan murid yang pelbagai (UNESCO, 2012). Kajian berkenaan secara spesifik juga mendapati bahawa kualiti pembelajaran murid dalam sains dan matematik menurun seperti yang dibincangkan sebelum ini dan penurunan kualiti pembelajaran berlaku disebabkan oleh:

a) Soalan peperiksaan Malaysia berbeza dengan ujian antarabangsa yang berfokus kepada kemahiran berfikir, iaitu guru kurang bersedia melaksanakan pembelajaran bagi tujuan berkenaan.

b) Kurikulum sains di Malaysia berfokus kepada maklumat (information-based) Penekanan lebih kepada mengetahui bukannya keupayaan berfikir untuk memahami dan menggunakan pengetahuan sains

c) Guru sains kurang berpeluang melaksanakan eksperimen disebabkan oleh kekurangan masa, sumber, peralatan, latihan dan sokongan profesional serta prasarana makmal yang tidak lengkap dan sesuai dan

d) Guru selalunya tidak mempunyai pengetahuan asas sains yang diperlukan dalam pengajaran (content knowledge).

Laporan strategi mencapai Dasar 60:40 aliran Sains/Teknikal:Sastera
KPM 2012, ms 25-26

No comments:

Post a Comment