Tuesday, December 1, 2015

13 tahun muflis bangkit jadi jutawan

Pengarah Urusan Al-Faiz Industries Sdn. Bhd. Azhar Md Yusoff, dipilih sebagai pemenang Anugerah Perdana Menteri Hari Peladang,Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) 2015. Syarikat milik beliau, Al-Faiz Industries Sdn. Bhd pula dipilih sebagai pemenang Anugerah Pemasar Tani Jaya Peringkat Kebangsaan 2015.
Sebagai pemenang Anugerah Perdana Menteri, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM60,000 dan trofi serta RM30,000 lagi sebagai pemenang Anugerah Pemasar Tani Jaya.

Terus gigih berusaha

Azhar yang berasal dari Jitra, Kedah, pernah menerima Anugerah Pemasar Tani Jaya Peringkat Kedah 2015. Beliau berkata, kegagalan berniaga sehingga diisytiharkan muflis selama 18 tahun tidak mematahkan semangatnya, malah banyak mengajarnya untuk terus gigih berusaha.

Tidak pernah kecewa

Selama 13 tahun saya mengatur semula langkah (selepas muflis) dan memperkukuhkan kedudukan. Tidak pernah sesekali saya berasa sesal atau kecewa menceburi bidang perniagaan terutama berasaskan produk pertanian, katanya. Azhar yang diisytiharkan bankrap pada 1998 dan dilepaskan pada 2011,berkata beliau berpegang kepada prinsip dalam Islam yang menuntut supaya setiap umatnya menjadi kaya. Namun bila kita sudah kaya....jangan sesekali kita alpa dan berusahalah membantu orang lain yang baru mahu mengatur langkah (dalam perniagaan)

Syukur.....dalam tempoh itu,saya berjaya membuktikan bidang pertanian mampu menjanjikan masa depan yang cerah. Sememangnya, ada sinar di hujung kelam dan saya berjaya melahirkan 14 rakan perniagaan lain yang bertaraf jutawan, katanya yang turut bergelar jutawan. Beliau berkata, dalam tempoh kebangkrapan tiada agensi kerajaan mahupun bank yang mahu membantunya.

Berkat doa ibu bapa

Bagaimanapun, berkat doa kedua ibu bapanya serta sokongan dan bantuan rakan, beliau terus berusaha meneruskan perniagaan. Dengan bantuan pembekal mesin yang memberi kredit, akhirnya beliau berjaya mengembangkan perusahaannya dan mencapai tahap jutawan. Mengenai perancabgan masa depanny, Azhar akan meningkatkan latihan kepada pekerja syarikatnya bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan berkepakaran dalam bidang pengeluaran produk makanan.

Selain itu, syarikatnya juga akan mempertingkatkan pengiklanan melalui akhbar, majalah, internet, radio, telefon dan medium lain supaya produk yang dikeluarkan mendapat sambutan, sekali gus meningkatkan jualan.

Tonjol produk roselle

Saya juga akan membawa dan menonjolkan produk roselle agar berupaya menembusi pasaran antarabangsa serta mencapai tahap ISO (International Organisation For Standardisation), katanya.

Syarikat Al-Faiz Industries Sdn. Bhd adalah pengeluar pelbagai jenis produk roselle seperti jus pekat roselle, minuman jus roselle. Halwa Roselle dan ubat gigi Roselle White
Syarikat itu turut mengeluarkan produk Pengeluar Peralatan Asal (OEM) untuk usahawan yang ingin mengeluarkan produk mereka sendiri.

Setakat ini, syarikat itu mempunyai enam outlet perkhidmatan pemasaran di utara Semenanjung untuk memudahkan pemasaran produk keluaran Syarikat Al-Faiz Industries Sdn. Bhd.

Hardi Effendi Yaacob &
Mohd Roji Kawi
Berita Harian
29 November 2015

No comments:

Post a Comment