Saturday, December 19, 2015

Pelajaran 41

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata setengah ulamak Rahimahumullahu Ta’ala: Hai anak Adam, rendahkan olehmu akan dirimu kepada barangsiapa yang tinggi martabat daripadamu dan jangan engkau meringan-ringan orang yang kurang martabat daripadamu dan tahankan olehmu lidahmu dan berkata-kata yang tiada memberi manfaat dan berperangaikan olehmu pada seorang seperti perangaimu pada sihatmu dan peliharakan olehmu janjimu dengan Tuhan yang menjadikan akan dikau dan hidupkan olehmu  di dalam dunia dengan takutmu akan Allah Ta’ala serta mematikan olehmu yang enam perkara ini iaitu tanda orang yang berakal.

Kata Siti ’Aisyah Radhiyallaha ’anha bahawa tanda orang yang berakal itu sepuluh perkara, lima perkara daripadanya zahir dan lima perkara daripadanya batin. Adapun yang zahir itu:

1. Diam diri
2. Menahan marah
3. Merendahkan diri
4. Meramah-ramahkan
5. Berbuat amal soleh

Adapun yang batin itu lima perkara:

1. Berkata-kata dengan kebajikan
2. Berbuat ibadat
3. Sentiasa takut akan Allah
4. Membesarkan dosa dirinya
5. Menghinakan dirinya

Kata ahli Al-Hikmah: Bahawa tanda orang yang berakal itu tujuh:

1. Barangsiapa berbuat jahat akan dia maka dibalasnya dengan kebajikan serta suka hatinya dan dimaafkan segala kesalahannya
2. Merendahkan dirinya kepada orang yang kurang martabat daripadanya dan dimuliakannya akan orang yang terlebih martabat daripadanya/
3. Diusahakannya segala pekerjaan yang kebajikan serta disegerakannya pada mengerjakan dia
4. Benci akan segala pekerjaan yang jahat
5. Sentiasa ia menyebut nama Allah dan memohonkan ampun daripada dosanya kepada Allah Ta’ala serta ia mengaitkan maut dan kuburnya.
6. Barang yang tiap-tiap dikatanya itu dengan pengentahuannya dan dengan nyatanya dan pada tempat yang sepatutnya
7. Tiap-tiap barang yang kesukaran itu berlindung ia kepada Allah Ta’ala dan harap ia akan Allah Ta’ala meluputkan dia daripada bahayanya.

Adapun tanda orang yang kurang akal itu pun tujuh perkara :

1. Menganiayai segala orang yang di bawah hukumnya
2. Membesarkan dirinya daripada segala orang yang mulia daripadanya dan menilik ia akan segala manusia dengan tilik mengurangkan dia serta melebihkan dirinya.
3. Apabila ia berkata-kata dengan orang yang lain tiada dengan adab dan sopan
4. Apabila ia melihat ia akan pekerjaan seorang yang salah, maka tiada dimuliakan melainkan dihinakan dan tiada ia benci akan kesalahannya
5. Kasih ia akan segala perbuatan yang salah dan akan segala orang yang jahat
6. Diperlambatnya mengerjakan segala pekerjaan yang baik dan disegerakannya segala pekerjaan yang jahat
7. Apabila datang kepadanya suatu kesukaran maka tiadalah ia sabar ia.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

No comments:

Post a Comment