Monday, December 14, 2015

Si Penjual Roti

Sebagai anak kecil
pernah aku terfikir
bagaimana si penjual roti itu
memenuhkan basikalnya dengan roti
bergantungan dan berbagai rasa
bagaimana dia tahu
pelanggannya sedia menanti
ketika telah berbatu-batu
dia menyelinap di kesibukan pecan
berbatu-batu dia menghauskan
tayar basikalnya
di kelikir lorong kampong
yang belum berturap
dan gigi semak di sebelah rumahku

Waktu itu aku masih kecil
dan si penjual roti itu
hanyalah seorang India
tetapi fasih berbahasa Melayu
dengan suaranya yang dalam
dia memiliki lidah yang berputar
apabila menegur ibuku
dan menggeleng-gelengkan kepalanya
apabila bersetuju dengan permintaanku

Si penjual roti itu cukup ramah
apabila bercakap
walau kata-katanya sering timbul dan tenggelam
aku sering memilih
roti kelapa atau sekaya
dan rotinya kembali banyak
apabila dia datang keesokan harinya
sehinggalah beberapa waktu kemudian
aku mulai kehilangannya

Setelah dewasa baru kutahu kisahnya
si penjual roti itu telah pulang ke India
namun telah meninggal di Tanah Suci
baru kutahu roti-roti yang dijajanya
diambil dari kedai Ah Chong di bandar
roti Ah Chong kini boleh dibeli
di mana-mana kedai-kedai runcit
dan pasar raya besar.

Hilmi Rindu
Kuala Nerus, Terengganu
Mingguan Malaysia
6 Disember 2015

No comments:

Post a Comment