Wednesday, March 4, 2015

Kementerian Pendidikan tawar `Bursary’ kepada pelajar cemerlang SPM 2014

KUALA LUMPUR 4 Mac - Pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 9A+ ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 akan ditawarkan Bursary (bantuan kewangan pengajian) secara automatik untuk mengikuti pengajian peringkat persediaan atau pra-universiti dalam negara.

Kementerian Pendidikan menyatakan penajaan itu merangkumi pembiayaan yuran pengajian, elaun sara hidup serta elaun penginapan sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di dalam atau luar negara.

“Penajaan Bursary kepada pelajar cemerlang yang berjaya memperoleh keputusan 9A+ ke atas tanpa mengira etnik, kaum dan latar belakang keluarga,” kata kementerian dalam kenyataan hari ini.

Program persediaan yang diberikan di bawah penajaan Bursary ialah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, A-Level dan International Baccalaureate.
Pelajar boleh membuat semakan tawaran melalui Sistem Aplikasi Online Bursary di laman web Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.my yang akan dibuka mulai hari ini hingga 30 Jun depan.

Pelajar-pelajar yang ditawarkan penajaan itu perlu membaca dan memahami kesemua panduan serta syarat penajaan yang ditetapkan selain mengemas kini maklumat diri melalui Sistem Aplikasi Online Bursary.

Pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Bahagian Tajaan Pendidikan di talian 03-8321 7086 atau e-mel bt.bursary@moe.gov.my. – BERNAMA

Utusan Melayu
04 Mac 2015


Tahniah dan syabas kepada yang berjaya,didoakan budaya kecemerlangan ini istiqamah diteruskan dalam kehidupan dan dalam apa jua  bidang yang akan diceburi. Bagi yang kurang bernasib baik, jadikan sebagai satu cabaran dan peluang untuk mencipta  kejayaan yang lain di masa depan. Tiada nokhtah untuk kecemerlangan. 

No comments:

Post a Comment