Sunday, March 15, 2015

Rakyat Malaysia ambil garam lebih

Kempen Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2015

PUTRAJAYA – Kira-kira 32.7 peratus rakyat Malaysia atau 5.8 juta orang yang berumur 18 tahun dan ke atas kini menghidap penyakit hipertensi atau darah tinggi akibat pengambilan garam secara berlebihan sekali gus menjadi penyumbang utama kepada kadar kematian di negara ini.Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, secara purata seorang dewasa mengambil sebanyak 8.7 gram sehari iaitu 1.7 kali ganda lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu lima gram atau sesudu teh sehari.

Menurutnya, berdasarkan kajian yang dijalankan Institut Kesihatan Umum pada dua tahun lalu mendapati, pengambilan garam adalah lebih tinggi dalam kalangan lelaki berbanding wanita dan perkara ini disebabkan kurangnya kesedaran.

“Dalam kajian yang sama, kicap soya didapati menjadi makanan utama yang menyumbang kepada kandungan sodium tinggi diikuti nasi goreng, nasi lemak, mihun goreng, mi sup dan sup. Kebanyakan orang tidak sedar bahawa mereka telah mengambil garam secara berlebihan kerana kira-kira 75 peratus daripada garam dalam diet seharian datangnya dari makanan terproses,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Kempen Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2015 yang bertemakan ‘Makan di luar, kurang masin, pilihan sihat’ di kementeriannya di sini semalam. Tema tersebut menekankan pemilihan makanan yang rendah kandungan garam ketika makan di luar kepada tiga kumpulan sasaran iaitu murid sekolah, golongan pekerja dan pengusaha makanan.

Subramaniam memberitahu, seseorang yang mempunyai yang mempunyai paras garam yang tinggi di dalam darah adalah berisiko menghidap penyakit darah tinggi dan seterusnya jantung, strok, kerosakan ginjal atau buah pinggang dan kerosakan mata.

Terdapat bukti saintifik terkini yang menunjukkan bahawa pengambilan garam yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak juga mempengaruhi tekanan darah dan berisiko mendapat penyakit osteoporosis, asma, kanser dan obesiti, ujarnya.

Justeru, beliau mengesa orang ramai supaya melaksanakan langkah pengurangan garam dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin dan menyasarkan tekanan darah (BP) pada paras optimal iaitu 120/80 mmHg atau kurang.

Pengambilan garam mengikut umur :

Kumpulan umur ( tahun )
Pengambilan yang mencukupi (garam)/hari
1 - 3
1 – 1.5
4 – 8
1.2 – 1.9
9 - 13
1.5 – 2.2
14 – 18
1.5 – 2.3
18 ke atas
Kurang daripada 5 gram

Wallahu a’lam.

Suhana bt Md Yusof
Kosmo; 13 Mac 2015

No comments:

Post a Comment