Tuesday, March 3, 2015

Pencapaian STPM meningkat

Catat PNGK 2.62 berbanding 2.57 pada 2013

KUALA LUMPUR 2 Mac - Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negara dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 mencatat peningkatan sebanyak 2.62 berbanding 2.57 pada tahun 2013.

Peningkatan itu menyaksikan calon yang memperoleh PNGK 4.00 meningkat kepada 0.91 peratus atau 390 orang berbanding 0.89 peratus atau 492 dalam peperiksaan STPM 2013. Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, pencapaian calon STPM 2014 meningkat dalam semua kriteria pengukuran meliputi peratusan calon yang mendapat PNGK 4.00, PNGK 3.50 ke atas, PNGK 2.00 hingga 3.49, calon yang mendapat A dalam lima dan empat mata pelajaran, peratus lulus penuh dan penurunan peratus calon gagal.

“Peratusan calon yang mendapat PNGK 3.50 ke atas juga meningkat kepada 9.09 peratus atau 3,895 orang berbanding 8.18 peratus atau 4,516 pada tahun lalu.

“Peningkatan peratusan juga ditunjuk dalam pencapaian PNGK antara 2.00 hingga 3.49 iaitu me­ningkat kepada 73.85 peratus atau 31,647 calon berbanding 71.38 peratus atau 39,425 pada STPM 2013,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman keputusan peperiksaan STPM 2014 yang turut dihadiri Ketua Eksekutif MPM, Dr. Jamil Adimin dekat sini hari ini.
 
Dalam pada itu, Mohd. Noh berkata, peningkatan pencapaian STPM 2014 adalah kerana pelaksanaan sistem pentaksiran baharu STPM yang menyaksikan calon diuji mengikut perkara yang dipelajari pada penggal berkenaan sahaja, selain calon juga boleh memperbaiki pencapaian melalui peperiksaan ulangan pada setiap penggal.

Katanya, kerja kursus yang disediakan dalam sistem terbaharu itu turut membantu calon meningkatkan pemahaman tentang perkara yang dipelajari, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pencapaian keseluruhan calon.

Selain itu, peratusan calon yang mendapat kelulusan peringkat lulus penuh dalam lima hingga satu mata pelajaran juga meningkat daripada 96.85 peratus kepada 97.81 peratus pada STPM 2014 manakala bilangan calon gagal dicatatkan menurun iaitu hanya 57 calon berbanding 112 pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa jumlah calon yang mendaftar untuk menduduki periksaan STPM 2014 menurun berbanding 2013.

“Bilangan calon yang mendaftar untuk peperiksaan STPM 2014 adalah sebanyak 48,615 berbanding 58,355 orang (2013).

“Jumlah itu menunjukkan pengurangan sebanyak 16.69 peratus atau 9,740 calon,” ujarnya.

Sementara itu, turut diadakan Majlis Anugerah Cemerlang untuk meraikan 11 pelajar terbaik daripada 390 pelajar yang mendapat PNGK 4.00.

Wallahu a'lam.

 http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment