Friday, February 28, 2014

Prinsip 12D ( 3 )


7. Detailed (Perincian) – memperincikan dengan teliti segala pemikiran bagi setiap tindakan dan jangkaan kesan tanpa mengorbankan kejelasan (clarity) terutama dalam mencari penyelesaian yang lebih kreatif sifatnya, dan serentak membawa ciri-ciri distinctive dalam merekayasa kelebihan persaingan. Kaedah deliberative perlu diutamakan untuk menentukan segala perincian telah dihalusi dan dititik berat supaya tidak mengelirukan keadaan serta menjejaskan imej dan persepsi positif organisasi. Dokumentasi (satu lagi abjad D) sewajarnya merupakan sebahagian daripada prinsip ini kerana tanpa dokumentasi yang teliti, perincian akan sukar dihayati. Ingat pepatah Inggeris: The devil is in the details (dua lagi abjad D).

8. Deep Thinking (Pemikiran mendalam) – mencakupi deep learning dan deep knowledge – merujuk kepada satu amalan tabii dan satu mekanisme asas untuk penghadaman fakta secara terperinci dalam suasana yang boleh memberikan pengajaran dan teladan (aspek learning) bagi dimanfaatkan sepenuhnya (aspek knowledge) sehingga membuahkan hikmah. Pemikiran pembelajaran dan ilmu mendalam merupakan kesinambungan serumpun untuk membolehkan isu yang ingin diketengahkan atau perkara yang ingin dipelopori dilangsungkan dengan licin, termasuk memerhatikan iktibar yang ada di persekitaran sendiri. Kesinambungan ini juga menggambarkan aliran ilmu dalam bentuk tidak ketaran (tacit) kepada ketara (explicit) Sebenarnya, 80 peratus ilmu adalah dalam bentuk tacit, hanya 20 peratus explicit. Aspek ini penting bagi mencapai matlamat perekayasaan yang cukup inivatif dan terkehadapan.

9. Dexterity (Serba mahir atau ketangkasan) – mempamerkan berbagai-bagai kebolehan merentasi bidang (transdisciplinary) yang sesuai dengan dimensi kepelbagaian (diversity) yang dianjurkan. Terdapat organisasi yang menyasar kepada penerokaan sesuatu yang unggul (distinctive). Imbuhan trans dalam istilah transdisciplinary sekali gus memusatkan aspek antara bidang ilmu, pelbagai bidang ilmu malah merangkumi semua bidang ilmu – wawasan dan pengalaman baru untuk pembelajaran. Terutama mempergiatkan kefahaman sains dalam sastera dan sastera dalam sains sebagai asas perkembangan ilmu yang seimbang dan menyeluruh. Matlamatnya untuk memberi kefahaman tentang dunia semasa, yang satu daripada tuntutannya (imperatitnya) ialah kesatuan ilmu, yakni satu kerangka baru menyusun ilmu dan berwacana bagi mengatasi masalah yang kian kompleks. Dexterity lazimnya lebih mudah mencetuskan sikap menemui sesuatu yang baru (lebih kepada discovering daripada discovery) kerana pendekatan yang diberi agak menyeluruh dan spontan.

Wallahu alam.

Dzulkifli Abdul Razak
Revolusi Pendidikan Merekayasa Sebuah Universiti, 2005

Today’s expert is a person telling us what yesterday’s expert did wrong.

No comments:

Post a Comment