Ramai orang pandai bercakap
Melakukan belum tentu cekap.
Sebab pulut santan binasa
Sebab mulut badan binasa
Lebih baik diam sahaja
Buruk orang jangan dijaja.
Jangan mengata jangan mengumpat
Pahala kurang dosa yang dapat
Jika kita tersilap cakap
Silap hari bulan masuk lokap.
Mengata dulang paku serepih
Mengata orang sendiri lebih
Mengata pisau sendiri parang
Mengata orang sendiri kurang
Jangan sampai buat fitnah
Kena saman harta musnah.
Cakap banyak dan lama-lama
Omong kosong memang percuma.
Ada telinga dengar
ada mata pandang
Kawal diri jangan cepat meradang.
Tiada bayaran untuk berkata
Jaga mulut jangan mengata
Suka cerita salah orang
Diri sendiri apa kurang.
Cakap jangan sebarang cakap
Salah cakap mungkin ditangkap.
Sebelum cakap fikir dahulu
Jangan sampai mendapat malu.
Jika ilmu hanya sedikit
Jangan sampai berlagak sebukit.
Lebih elok muhasabah diri.
Terlanjur cakap buruk padahnya
Kesal hampa membisu sudahnya.
Kesal dahulu sering pendapatan
Lalai leka hilang kesempatan.
Sesal kemudian tidak berguna
Sudah terlanjur hidup merana.
Jangan mengutuk usah menghina
Semuanya itu tidak bermakna.
Beri kritikan untuk membina
Itu tindakan yang bijaksana.
Berilah penghargaan murahkan puji
Cuba hindari mengumpat mengeji
Cakap siang pandang-pandang
Jika terdengar bahaya mengundang.
Cakap malam dengar-dengar
Mungkin siang hinggar-bingar.
Kata-kata memang percuma
Tiada sekatan cakap lama-lama.
Tetapi biarlah berpada-pada
Siang malam hendaklah waspada.
Wallahu alam.
Mohd Sidek b Mohd Dollah
Gurindam jiwa mengusik hati,2012
No comments:
Post a Comment