Friday, February 14, 2014

Kepintaran akademik


Michael Cole ialah seorang pakar psikologi matematik dari Amerika. Beliau dan rakan-rakan penyelidiknya membuat kajian ke atas proses kognitif suku bangsa Kpelle di Liberia. Kebanyakkan daripada suku ini masih buta huruf. Beliau dihantar ke negara tersebut untuk membantu meningkatkan pendidikan matematik di kalangan suku bangsa itu. Cole mendapati individu-individu yang tidak memiliki pendidikan sekolah mendapat markah rendah apabila menjawab soalan-soalan dan masalah-masalah yang dapat dijawab dengan mudah oleh individu yang pernah bersekolah. Contohnya:

Penyelidik : Flumo dan Yakpalo sentiasa minum air tebu bersama-sama. Flumo sedang minum air tebu. Apakah yang diminum oleh Yarpalo?

Subjek : Flumo dan Yakpalo minum air tebu bersama-sama tapi semasa Flumo minum air tebu itu, Yarkalo berada di tempat lain.

Penyelidik : Tadi saya sudah beritahu, Flumo dan Yakpalo sentiasa minum air tebu bersama-sama. Satu hari Flumo sedang minum air temu. Adakah Yakpalo minum air tebu pada hari itu?

Subjek : Pada hari Flumo minum air tebu itu Yakpalo tidak ada di situ.

Penyelidik : Mengapa?

Subjek : Sebab pada hari itu Yakpalo pergi ke kebunnya tapi Flumo tidak. Awak tanyalah dia sendiri.

Suatu Hipotesis yang popular menerangkan gejala seperti di atas ialah semua masyarakat mempunyai cara-cara yang tersendiri untuk mengesahkan proposisi-proposisi berkenaan dunia mereka. Dalam tradisi masyarakat barat mereka dilatih untuk membuktikan realiti dengan menggunakan proposisi representasi. Mereka dilatih berfikir berdasarkan peraturan-peraturan logik yang abstrak. Mereka membuat inferens berdasarkan premis-premis. Dengan itu, individu Kpelle yang tidak bersekolah berfikir secara konkrit manakala mereka yang bersekolah berfikir secara abstrak.

Soalan-soalan peperiksaan di sekolah bersifat adil kepada semua pelajar. Maklumat yang diperlukan sudah terdapat di dalam soalan itu sendiri. Berbeza dalam kehidupan sebenar, maklumat perlu diperolehi. Berdasarkan ciri-ciri masalah dalam peperiksaan sekolah, ia boleh diistilahkan sebagai teka-teki. Kepintaran tahap tinggi yang dipanggil kepintaran akademik yang berbeza daripada kepintaran akal biasa (common sense) diperlukan. Kepintaran akademik mempunyai ciri-ciri persamaan dengan kepintaran yang biasa digunakan oleh pakar-pakar sains komputer.

Kepintaran akademik ialah prestasi pintar dalam kegiatan mental yang kompleks yang mengkehendaki seseorang melaksanakan sesuatu tugas dengan betul dan pantas. Di sekolah kegiatan mental ialah masalah-masalah yang dicipta oleh orang lain (guru, pengarang buku teks) yang mesti diterima tanpa bantahan oleh pelajar untuk diselesaikan tanpa emosi. Ini berlainan dengan prestasi pintar dalam kehidupan sebenar yang merupakan tindakbalas-tindakbalas yang betul dari sudut matlamat jangka panjang dan jangka pendek seseorang dan berdasarkan fakta-fakta yang ditemui sendiri oleh individu berkenaan masalah yang dihadapi. Oleh sebab itu, ada kalanya tindakbalas yang paling pintar dalam kehidupan sebenar ialah supaya tidak bertindakbalas sama sekali!.

Wallahu alam.

Berfikir dalam bilik darjah
Ainon Mohd & Abdullah Hassan, 1996

No comments:

Post a Comment